علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 1. Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Pada Akhir Zaman




  • Print Friendly

    1. Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Pada Akhir Zaman

    Taqwa dan perpaduan asas keselamatan pada akhir zaman

    Hadith Akhir Zaman: Hadith 1

    Ertinya:
    Daripada Abi Najih al-`Irbadh bin Sariah رضي الله عنه berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menasihati kami dengan suatu nasihat yang menggeletarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya.

    Lalu kami berkata, “Ya Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seolah-olahnya ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami.”

    Baginda bersabda, “Aku mewasiatkan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat kepada pemimpin sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya di kalangan kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak.

    Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar).

    Gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.”

    (Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

    Keterangan:
    Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada umatnya. Terutamanya apabila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan, iaitulah seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh kerana itu, sesiapa yang mahu selamat, maka hendaklah dia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam hadis ini:

    1. Hendaklah dia istiqamah bertakwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.

    2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba selagi mereka berpegang dengan al-Qur’an dan sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم dan sunnah-sunnah khulafa’ al-Rashidin. Patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada al-Qur’an dan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم.

    3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم dan sunnah para khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali رضي الله عنهم) kerana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah سبحانه وتعالى iaitu berpegang kepada fahaman dan amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan bertuah mendapat syurga pada hari kiamat nanti.

    4. Menjauhi perkara-perkara bid’ah dholalah iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambahkan kepada Agama Islam yang sempurna ini, sedangkan tiada dalil atau asal dan contoh daripada agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bid’ah menurut pengertian syara’ (bukan bid’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid’ah menurut pengertian lughah atau bahasa sahaja (bid’ah hasanah).

    "Kitab hadis akhir zaman"
    Rujukan:
    ابو على البنجري الندوي (احمد فهمى زمزم). ١٩٩٩.امڤت ڤولوه حديث تنتڠ ڤريستيوا أخير زمان. قدح دارالأمان: الخزانة البنجرية. موك سورة: 12 – 14

    Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

    Nota:
    Mykrk telah memperolehi ijazat daripada anak murid Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On
    Share/Save
    Share/Save