علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 10. Bahaya Kemewahan




  • Print Friendly

    10. Bahaya Kemewahan

    Hadith Akhir Zaman: 10. Bahaya Kemewahan

    Ertinya:

    Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

    Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Makkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya).

    Selain daripada itu Baginda sedih kerana memandangkan nasib Mus’ab sekarang. Ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin, Mus’ab r.a terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaannya.

    Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan sehelai pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula.

    Apabila diangkatkan satu hidangan, diletakan pula satu hidangan yang lain. Kamu juga menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka’bah?”.

    Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”.

    Lalu Nabi saw. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”.

    (Hadis riwayat at-Turmuzi)

    Keterangan:

    Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan di dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan.

    Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat.

    Tetapi Nabi kita Muhammad saw. mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

    Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada berbuat ibadat kepada Allah swt., sepertimana yang berlaku pada hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi.

    Namun begitu, apabila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita pula sangat jauh ketinggalan.

    Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah.

    Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., “Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)”.

    Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Dia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian.

    Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi pada saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

    Oleh kerana itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan.

    Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak.

    Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan dia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

    40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
    Rujukan:
    Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 30-32
    Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

    Nota:
    Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On