علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 4. Ilmu Agama Beransur-ansur Hilang




  • Print Friendly

    4. Ilmu Agama Beransur-ansur Hilang

    Kematian alim ulama

    Hadith Akhir Zaman (4)

    Ertinya:

    Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As r.huma berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW. Bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekaligus daripada (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama’.

    Apabila sudah ditiadakan alim ulama’, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Jadilah mereka itu sesat lagi menyesatkan orang lain.”

    (Hadith riwayat Muslim)

    Keterangan:

    Sekarang ini alim ulama’ sudah berkurangan. Seorang demi seorang pergi meninggalkan kita. Peribahasa Melayu ada mengatakan, ”Patah tumbuh, hilang berganti.” Malangnya ia tidak menepati senario yang terjadi kepada alim ulama’. Mereka patah tetapi payah tumbuh dan hilang sukar berganti.

    Sampailah suatu saat nanti permukaan bumi ini akan kosong daripada ulama’. Oleh yang demikian, pada masa itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia ini. Alam penuh dengan kesesatan. Manusia telah kehilangan nilai dan pegangan hidup yang dikehendaki Allah SWT.

    Sebenarnya alim ulama’lah yang memberi makna dan erti kepada kehidupan manusia di permukaan bumi ini. Justeru apabila alim ulama’ telah pupus, lenyaplah segala sesuatu yang bernilai.

    Pada akhir-akhir ini, kita telah menyaksikan gejala-gejala yang menunjukkan kian hampirnya zaman yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW itu. Bilangan alim ulama’ hanya tinggal sedikit. Tambah menyedihkan pula ialah usaha-usaha untuk melahirkan golongan pelapis pula tidak diberi perhatian yang sewajarnya.

    Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang menarik khalayak cerdik pandai. Mereka lebih mengutamakan pengajian-pengajian dalam bidang pengurusan keduniaan yang bakal meraih laba harta benda dunia. Beginilah keadaan masyarakat kita hari ini. Marilah ini bersama memikirkan hal ini dan mencari solusinya.

    "Kitab hadis akhir zaman"
    Rujukan:
    ابو على البنجري الندوي (احمد فهمى زمزم). ١٩٩٩.امڤت ڤولوه حديث تنتڠ ڤريستيوا أخير زمان. قدح دارالأمان: الخزانة البنجرية. موك سورة: 20 – 21

    Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

    Nota:
    Mykrk telah memperolehi ijazat daripada anak murid Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On
    Share/Save
    Share/Save