علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 7. Golongan yang Sentiasa Menang




  • Print Friendly

    7. Golongan Yang Sentiasa Menang

    Hadith Akhir Zaman: 7. Golongan yang Sentiasa Menang

    Hadith Akhir Zaman: 7. Golongan yang Sentiasa Menang

    Ertinya:

    Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga tiba suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya”.

    (H.R. Bukhari)

    Keterangan:

    Allah swt. telah menjadikan umat Muhammad ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu Allah swt. berjanji akan memelihara kitabnya (al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin dipermukaan bumi ini.

    Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat.

    Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani.

    Tidak ketinggalan serangan bangsa Moghul dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamdun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol).

    Seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak.

    Selanjutnya serangan dari segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya terus menerus tanpa kesudahan. Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia pada hari ini.

    Walaupun pada hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka tetapi dalam masa yang sama masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya.

    Walaupun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar-syiar Islam diinjak-injak di beberapa tempat tetapi di kawasan lain syiar-syiar Islam masih lagi gagah dan teguh.

    Meskipun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa di suatu lokasi, namun di tempat lain mereka akan disanjung dan dihormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari permukaan bumi ini hinggalah sampai masa yang dikehendaki oleh Allah swt.

    Maka pada masa itu Allah swt. akan mematikan semua orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal selepas itu hanyalah orang-orang yang jahat atau orang kafir, lalu pada saat itulah akan berlakunya hari kiamat.

    40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
    Rujukan:
    Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 24-25

    Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

    Nota:
    Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On
    Share/Save
    Share/Save