Program Penilaian Semula Hafiz Hafizah Al-Quran Negeri Johor




  • Print Friendly

    Cuti Persekolahan

    Assalamualaikum wrt. wbt.

    Kini cuti persekolahan sudahpun seminggu berlalu. Namun tahukah tuan/puan sekalian bahawa pelajar-pelajar sekolah tahfiz tidak bercuti? Sepanjang tahun hanya ada dua musim cuti persekolahan yang panjang bagi mereka.

    Pertama cuti Hari Raya Eidul Fitri dan kedua cuti Hari Raya Eidul Adha. Itupun hanyalah selama sepuluh hari setiap kali.

    Sesi pengajaran dan pembelajaran pula dimulakan sejurus selepas solat fardu subuh. Sudah pasti mereka telah bangkit awal untuk mandi, berpakaian sempurna dan bersolat tahajud terlebih dahulu.

    Cuti mingguan hanya bermula pada waktu zuhur hari Sabtu sehinggalah penghujung asar hari Ahad.
    Kira-kira sejam sebelum maghrib hari Ahad malam Isnin kelas telah dimulakan kembali. Setiap hari kelas hanya berakhir selepas Isya’.

    Demikianlah padatnya sesi pembelajaran bakal hufaz. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan jika terdapat segelintir pelajar yang tidak mampu menghabiskan sehingga khatam tiga puluh juzuk.

    Sudah menjadi kebiasaan sekiranya kita mendapati kaki-kaki mereka berkematu lantaran lamanya duduk sopan bertimpuh menghadap guru.

    Betapa hati ini mencemburui darjat mereka yang khas di sisi Allah Robbul ‘Alamin.

    Sabda Nabi SAW:

    Hadis Orang Istimewa Allah

    Hadis Orang Istimewa Allah

    Sayyidina Anas r. anhu berkata Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya bagi Allah SWT ada hamba-hamba-Nya yang istimewa sebagaimana sesebuah rumah ada ahlinya yang istimewa.”

    Para sahabat r.anhum bertanya, “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?”

    Baginda SAW menjawab, “Mereka ialah ahli al-Quran, mereka ialah orang istimewa Allah SWT.”

    (Mustadrak Hakim)(1)

    Kita dituntut agar memuliakan golongan ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

    Hadis Anjuran Memuliakan Tiga Golongan

    Hadis Anjuran Memuliakan Tiga Golongan

    Sayyidina Abu Musa Asy’ari r.anhu berkata Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya memuliakan tiga jenis orang ialah termasuk dalam memuliakan Allah SWT:

    1. Seorang muslim yang tua.
    2. Hafiz al-Quran yang tidak menambah dan mengurangkan.
    3. Pemerintah yang adil.

    (Abu Daud)(2)

    Keterangan: Maksud daripada ‘tidak menambah dan mengurangkan’ ialah dia mengambil berat untuk membaca al-Quran dan tidak melampaui had tajwid dan huruf-huruf sebagaimana ahli riyak. (Bazlul Majhud)

    Sehubungan dengan itu pihak Jabatan Agama telah lama mengambil inisiatif memperuntukkan sejumlah elaun kepada mereka. Walau bagaimanapun, kini ada beberapa peraturan yang diperketatkan bagi menjaga kualiti para hufaz tersebut.

    Peraturan sedemikian telahpun dilaksanakan di negeri-negeri lain sedangkan di Johor ianya baru dikuatkuasakan.

    Program Penilaian Semula/ Pemantauan/ Isbat

    Ustazah bersama para pelajar

    Ustazah bersama para pelajar

    Alhamdulillah, pada bulan September yang lalu dengan izin Allah SWT saya berkesempatan menyertai sekumpulan tiga belas orang hafizah dari sebuah madrasah tahfiz menjalani ‘Pemantauan’ di Masjid Bandar Daerah Kluang Johor.

    Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 11.30 pagi. Seramai lapan orang menjalani ujian serentak. Para pemeriksa telah didatangkan dari Majlis Agama Islam daerah-daerah lain.

    Majlis Agama Islam Negeri Johor

    Majlis Agama Islam Negeri Johor

    Menurut maklumat yang diterima, saya hampir pasti bahawa para pemeriksa yang kesemuanya lelaki itu adalah hafiz al-Quran juga.

    Walau bagaimanapun, sewaktu mengiringi pelajar menjalani ujian serupa di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru, saya mendapati pemeriksa bagi pelajar perempuan adalah perempuan.

    ‘Pemantauan’ atau istilah terbarunya ‘Penilaian Semula’ diwajibkan bagi semua kategori;
    • Kategori 10 juzuk
    • Kategori 20 juzuk
    • Kategori 30 juzuk

    ‘Pemantauan’ dikenali juga di kalangan para hufaz sebagai isbat. Dalam setahun, penilaian semula diadakan sebanyak dua kali. Bagi kategori 30 juzuk penilaian semula dijalankan pada bulan Mei dan November di Pejabat Agama Daerah Johor Bahru.

    Bagi kategori 10 dan 20 juzuk pula, penilaian dijalankan mengikut takwim jabatan agama daerah masing-masing.

    Markah lulus adalah 70 peratus, sekiranya markah yang diperolehi kurang daripada 70 peratus, calon dianggap gagal.

    Borang Pemarkahan Program Penilaian Semula

    Borang Pemarkahan

    Nota: Sila klik gambar borang pemarkahan di atas untuk memuat turun borang. (Dengan izin Ustaz Mohd Izudin bin Haji Hasan al-Hafiz)

    Bagi pelajar tahfiz, biasanya mereka akan menjalani penilaian sepuluh juzuk demi sepuluh juzuk.
    Penilaian kali pertama: Dinilai hafazan juzuk satu hingga sepuluh.
    Penilaian kali kedua: Dinilai hafazan juzuk sebelas hingga dua puluh.
    Penilaian kali ketiga: Dinilai hafazan juzuk dua puluh satu hingga tiga puluh.

    Sebagai contoh; Juzuk 11 hingga 20 mesti lulus barulah boleh mengambil ujian penilaian untuk juzuk 21 hingga 30.

    Program penilaian semula. Fail Hafiz Hafizah di Jabatan Agama

    Fail Hafiz Hafizah di Jabatan Agama

    Urusan berhubung penilaian semula ini boleh diurus oleh pelajar atau ibu bapa pelajar sendiri kerana program ini adalah program untuk orang awam. Asal saja seseorang itu lancar dan bersedia, silalah pergi ke jabatan agama daerah yang terdekat untuk mengisi borang. Jabatan Agama akan menghubungi lewat surat untuk memaklumkan tarikh menjalani ujian.

    Penilaian Semula sedang dijalankan

    Penilaian Semula sedang dijalankan

    Sekiranya gagal di dalam penilaian semula (pemantauan) calon tidak akan mendapat elaun selama 6 bulan. Elaun akan disambung semula sekiranya lulus didalam penilaian yang berikutnya.

    Jika tidak dapat hadir sila beri kenyataan seperti; uzur (kedatangan haid), surat tidak sampai dan sebagainya.

    Jika tidak hadir JANGAN berdiam diri. Tindakan sedemikian akan menyebabkan calon dianggap tidak memberi komitmen dengan program MAIJ dan tiada alasan yang munasabah. Kesannya calon akan dibuang terus daripada program penilaian semula.

    Satu-satunya calon lelaki, dia sedang menuntut di Madrasah Sri Petaling

    Satu-satunya calon lelaki (dari madrasah lain – kini belajar alim di Sri Petaling)

    Seterusnya ikuti temubual saya dengan Ustaz Mohd Izudin bin Haji Hasan. Penyelaras Program Penilaian Semula Negeri Johor. Dahulu, beliau pernah menuntut di Madrasah Kubang Bujuk seawal usia 13 tahun dan hanya dua tahun beliau berjaya mengkhatamkan hafalan 30 juzuk.

    Soal: Berapakah madrasah yang terlibat di dalam program ini?

    Jawab: Tiada jumlah yang tertentu melibatkan madrasah kerana ini adalah program penilaian semula awam (terbuka kepada semua orang). Asalkan lancar dan bersedia, datanglah ke Jabatan Agama Daerah untuk mengisi borang.

    Pada hari ini kita mengadakannya di masjid sebab ramai calon yang terlibat. Jika sedikit, ujian hanya dibuat di pejabat agama sahaja.

    Bagi daerah Kluang, penyelarasnya adalah Imam Mohd Nazri bin Muda. Manakala di seluruh negeri Johor ada seramai 86 orang hafiz hafizah.

    Imam Mohd Nazri bin Muda

    Imam Mohd Nazri bin Muda

    Soal: Bagaimanakah cara kekal istiqamah menghafal al-Qur’an?

    Jawab: Peruntukkan waktu yang khusus untuk mengulang hafalan seperti setiap kali selepas Maghrib dan Subuh.

    Sebagai contoh; seorang hafiz dapat mengekalkan hafazan 30 juzuknya dengan baik sekali sedangkan beliau bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur. Tiada alasan untuk tidak menghafal al-Qur’an.

    Walau bagaimanapun kebanyakan mereka menghafal al-Quran semasa belajar di sekolah tahfiz.

    Soal: Ke manakah hala tuju pelajar sekolah tahfiz?

    Jawab: Terpulang kepada diri masing-masing. Contohnya beliau sendiri selepas selesai menghafal al-Qur’an beliau mengambil peperiksaan SPM. Seterusnya mengambil diploma, ijazah dan kini sedang menyambung pelajaran ke peringkat Master.

    Soal: Boleh ustaz kongsikan tips menghafal al-Quran secara pantas?

    Jawab: Saya tidak menggalakkan menghafal cepat. Guru saya berpesan, “SEMAKIN BANYAK HAFALAN, MENGULANG HAFALAN JUGA MESTILAH BANYAK JUGA.”

    Contoh;
    Setelah menghafal sebanyak 10 juzuk, paling kurang kita mesti mengulang hafalan sebanyak 4 juzuk sehari. Selagi tidak mampu mngulang hafalan sebanyak itu, penambahan hafalan ke juzuk 11 dan seterusnya tidak akan dibuat.

    Setelah menghafal 29 juzuk pun (sudah sangat hampir khatam), pengulangan sebanyak 9 hingga 10 juzuk sehari tetap MESTI dilakukan.

    Kelancaran hafalan penting dijaga sejak awal. Jadi, untuk menghadapi syahadah iaitu peperiksaan 30 juzuk yang mengesahkan seseorang itu adalah seorang hafiz 30 juzuk adalah mudah sahaja.

    Makhraj huruf dan tajwid perlu ditekankan dan dibaiki sewaktu menghafal juzuk-juzuk awal. Jika sudah terlanjur menghafal juzuk yang banyak tanpa menekankan aspek di atas, masalah tersebut sukar dibaiki lagi.

    Menunggu giliran untuk penilaian semula (pemantauan / isbat)

    Menunggu giliran

    Soal: Menyentuh berkenaan imam solat tarawih. Saya perhatikan ada hafiz yang bacaannya sedap dan mampu bertaranum, ada pula hafiz yang bacaannya laju tanpa taranum. Apa pandangan ustaz?

    Jawab: Itu adalah kelebihan masing-masing. Ada hafiz yang hafal 30 juzuk dan bersuara sedap. Ada hafiz yang suaranya kurang sedap tetapi akhlaknya baik. Suara sedap bukanlah kayu ukur bahawa seseorang hafiz itulah yang paling baik. Semua itu ada hukmahnya.

    Soal: Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ibu bapa kepada pelajar tahfiz?

    Jawab: Beri rangsangan dan mengambil berat. Contohnya; pelajar tahfiz itu solatnya bukan di rumah sebaliknya berjamaah di masjid. Jadi, peringatkanlah hal tersebut sewaktu anak berada di rumah.

    Jaga hubungan kita dengan Allah. Ingatlah bahawa rezeki hafalan ini daripada Allah jua.

    Soal: Manakah yang lebih baik. Menghafal al-quran dahulu baru belajar agama atau belajar agama (alim) baru hafal al-Quran?

    Jawab: Terpulanglah kepada kecenderungan masing-masing. Al-Quran adalah nur. Menghafal saat kita sudah remaja atau dewasa mungkin agak sukar kerana kita sudah mulai mempunyai tanggungjawab. Ujian bagi remaja juga tidak kurang hebatnya berbanding jika masih kanak-kanak.

    Soal: Apa pendapat ustaz sekiranya pelajar tahfiz yang pulang bercuti asyik menonton televisyen dan seumpamanya. Adakah aktiviti itu akan menjejaskan hafalan mereka?

    Jawab: Apa yang penting adalah pembahagian masa. Waktu murajaah, murajaah. Waktu rehat bolehlah menonton televisyen. Gunakanlah kebijaksanaan kita untuk memilih rancangan yang baik-baik. Tahap hafalan itu hanya tuan punya badan yang mengetahui…….

    Madrasah Manar el-Hikmah

    Madrasah Manar el-Hikmah, Layang-layang, Johor

    Suci Dalam Debu

    Erk, apa kena mengena lagu ini?…………… :Happy-Grin:

    Saya mempunyai kenalan dan saudara yang saya yakin masih menjaga hafalan al-Quran mereka dengan baik.

    Apabila saya mengutarakan isu elaun ini, salah seorang menjawab, “Seganlah, kalau kita ini masih budak-budak tidak mengapalah. Sekarang sudah tua, seperti hendak meminta-minta pula rasanya.

    Kalau budak-budak, ustaz ustazah atau ibu-bapa yang menguruskan dengan Jabatan Agama lainlah ceritanya……………….”

    Seorang lagi pula berkata, “Ada juga guru saya di kampung suruh balik ambil ujian untuk diberi elaun. (Dia seorang guru tahfiz yang berasal dari negeri lain – bukan Johor)

    Cubalah bayangkan, Anak sudah tujuh orang. Duit minyak, duit tol lagi. Macam tidak logik pula susah-susah balik untuk menuntut elaun. Tidak mengapalah, rezeki ada di mana-mana……….. Kalau lulus ok juga. Kalau gagal ke, hari ujian itu kebetulan uzur ke?………..”

    Hemmm…… “Betul betul betul.” Sampuk Upin dan Ipin. Eh, dari mana kamu datang?…….. :Who-s-the-man:

    Baiklah, dua kes di atas saya tinggalkan untuk difikir-fikirkan………

    Penyudah Kalamku

    Manusia dicipta untuk mengimarahkan bumi. Manual penciptaan kita juga sudah pencipta kita iaitu Allah SWT bekalkan. Ia tidak lain tidak bukan adalah al-Quran yang sesuai untuk segala zaman.

    Ayuhlah kita baca, hafal, pelajari kehendak-kehendaknya dan menuruti semua anjurannya. Semoga kelak ia akan menjadi pembela kita di akhirat.

    Sabda Rasulullah SAW:

    program penilaian semula hafiz al-quran johor

    Hadis al-Quran Pemberi Syafaat

    Sayyidina Jabir r.anhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Al-Quran ialah pemberi syafaat yang syafaatnya diterima dam pembela yang pembelaannya diterima.

    Sesiapa yang meletakkan al-Quran di hadapannya (dengan beramal dengannya) maka al-Quran akan memimpin orang itu ke dalam syurga sementara sesiapa yang meletakkannya di belakang (yakni tidak beramal dengannya) maka al-Quran akan menolaknya ke dalam neraka.”

    (Ibnu Hibban)(3)

    Keterangan: Maksud ‘al-Quran ialah pembela yang pembelaannya diterima’ ialah al-Quran akan berhujah member pembelaan untuk orang-orang yang membaca dan beramal dengannya supaya darjat mereka ditinggikan.

    Sementara terhadap orang-orang yang tidak menghiraukan hak-haknya maka al-Quran akan menuntut, “Kenapa kamu tidak menunaikan hakku?”

    Wallahu’lam.

    Rujukan:

    Maulana Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi. الأحاديث المنتحبة Muntakhab Ahadis – Hadis-hadis Pilihan. 2012. Kuala Lumpur: Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd. halaman:(1) 270, (2) 432, (3) 261.

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On

    Submit a Comment

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge

    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_bye.gif 
    :bye:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_good.gif 
    :good:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_negative.gif 
    :negative:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_scratch.gif 
    :scratch:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_wacko.gif 
    :wacko:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_yahoo.gif 
    :yahoo:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_cool.gif 
    B-)
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_heart.gif 
    :heart:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_rose.gif 
    :rose:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_smile.gif 
    :-)
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_whistle3.gif 
    :whistle:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_yes.gif 
    :yes:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_cry.gif 
    :cry:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_mail.gif 
    :mail:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_sad.gif 
    :-(
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_unsure.gif 
    :unsure:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_wink.gif 
    ;-)