Tanggung jawab Ibu (2)




  • Print Friendly

    Tanggungjawab Ibu (2), The Principal Task Of A Mother (2)

    Tanggungjawab Ibu 1
    Tanggungjawab Ibu 2
    Tanggungjawab Ibu 3 (akhir)


    Kau adalah sekolahnya yang pertama, daripada ibulah dia dapat pelajaran. Apa juga yang diperolehnya diwaktu kecil akan dibawanya terus ke kubur. Sokonglah kebanggaan perasaannya dengan cara yang seelok-eloknya. Turutilah jejaknya agar selamat, bersabarlah jangan bergopoh, beranikan dari kecilnya dan jangan ditakut-takuti. Ringankan segala kesilapannya, maafkan segala keterlanjurannya, biasakan dia bertaubat dan meminta ampun, dan janganlah lekas memarahinya kerana dia tidak mengerti bagaimana mahu mengutarakan keinginannya, membentangkan cita-cita dan kehendak hatinya.


    Oh, Ibu! Sesungguhnya pengajaran Islam telah meletakkan syurga di bawah tapak-tapak kakimu dan memaksa anakmu mencintai dan menghormatimu. Bangunkanlah cintanya itu untukmu dengan mementingkan pemeliharaannya. Tetapkanlah penghormatannya untukmu selama-lamanya dengan mengambil berat segala perkara mengenainya, agaklah masa kecil, waktu muda dan zaman dewasanya, letakkanlah gadis-gadis kerjanya menurut umur dan tingkatan usianya, keraskan hati dan tahan sedapat-dapatnya untuk melatihnya, peliharalah segala gerak langkahmu bersamanya dengan lembut dan tenang, dan korbankan untuknya apa yang mungkin dirasanya bahawa kau mencintai dan mengasihinya. Dengan cara demikian dia akan menjadi seorang muda yang mematuhimu dan dapat mencontohimu dalam mengerjakan usaha-usaha yang baik dari keelokan pemeliharaanmu itu. Jagalah seboleh-bolehnya supaya dia terjauh daripadamu ketika kau marah dan tidak dapat melihat apa-apa selain daripada perbuatanmu yang elok dan baik.


    Bukakanlah matanya terhadap cahaya kebenaran, padamkan dari penglihatannya api bohong dan pendustaan. Biasakanlah dia bersikap benar, jangan dipaksa dalam segala perbuatannya supaya dia tiada berbohong kerana takut, tetapi biarkanlah dia bekerja menurut bentuk jiwanya sendiri sehingga fikirannya menjadi kental dan masak, segala gerak gerinya melahirkan faedah yang nyata, dan usah jemu-jemunya memberi nasihat dengan lunak dan tenang. Janganlah dia ditengking, dipukul dan disakiti meskipun besar salahnya dan berulang-ulang kali membuat salah, kerana menyakitinya itu menyebabkan cita-citanya lebur, akhirnya patah hati dan tidak ambil peduli. Demikian juga berlaku keras menyebabkan dia jua tak ingin mengulang percubaannya yang tak kena itu untuk kerja yang baik-baik.


    Pandanglah dia sebagai kanak-kanak ketika dia di dalam buaian, sebagai hampir (kawan) kedatangan mimpi ketika sudah meningkat umur, dan sebagai seorang teruna diwaktu muda belia. Jangan dipandang dari segi yang tidak cocok dengan umurnya, dan kerja yang di luar kesanggupannya janganlah disuruh buat. Janganlah disangka sebagai seorang yang sudah sempurna kejadiannya, janganlah difikir dia akan terus mahu membuat apa yang kau suruh jika tidak secara beransur-ansur. Dia – anakmu itu adalah seperti sepotong getah, tidak akan tentu bentuknya dan tidak akan terpelihara keadaannya kalau tidak kau berusaha bersungguh-sungguh mencetaknya. Jika kau pandai, eloklah bentuknya, kalau tidak binasalah dia. Jagalah supaya jangan sebelah tangan lain menghulur kepadanya selain daripada tanganmu sendiri. Jangan diserahkan perkaranya kepada orang lain atau dibiarkan saja bulat-bulat sesuka khadam, tetapi pergunakanlah segenap waktumu untuk anak-anakmu. Kau adalah dijadikan untuk mereka dan mereka telah dianugerahkan Allah untukmu. Janganlah dipercayakan saja intan-intan permatamu itu kepada orang lain. Janganlah disia-siakan amanah Allah yang telah dipercayakan kepadamu itu, dan janganlah dibiarkan sangat leluasa bergaul dengan orang lain meskipun dengan kerabat-kerabat mereka sendiri. Awaslah kalau-kalau mereka dipersia-siakan oleh khadam. Kalau kau cuaikan semuanya itu tak ada yang kan kau perolehi selain dari penderitaan dan sesal.


    Kanak-kanak itu seperti bunga. Jika terletak di dalam pasu-pasu yang berjenis-jenis harum semerbaklah baunya, tetapi jika berada di antara pianggang-pianggang rumput, disedutnya baunya, layulah dia tidak mengirap. Apa yang sudah luput tak akan dikembalikan lagi, mustahil dapat disegarkan semula, dan mungkin luruh semuanya selain duri-durinya sahaja yang bakal tinggal. Setelah bersuka-suka dan bernyaman-nyaman dengan baunya, dia pun lari, tak mahu mendekatinya, tinggallah duri-durinya berkecambah menyayat tangan melukakan kaki.


    Jika kau sudah tahu semuanya itu wahai ibu yang merindu, takutilah Allah pada anakmu. Tetapkanlah rasa cintanya terhadapmu dimasa hidup dan sesudah matimu. Janganlah kau lihatkan kepadanya segala peranan yang kau lakukan selain dari perkara-perkara yang baik dan memberi guna.


    Wahai ibu yang penyayang! Bukanlah sayang kepada anak, dibiar jahat mahupun baik sesuka hatinya, tetapi sayang sebenar sayang, kalau baik dibaiki lagi, kalau menyalah tunjukkan dia, kalau bodoh diajari, dilatih jika tak tahu, dibiasakan baik jika jahat. Apabila perangainya sudah elok, suburkan pula perasaannya. Janganlah semata-mata sayang sahaja tetapi perbuatlah segenap tempohmu seperti mata yang terus jaga, sebagai diri yang tetap bergerak, dan pasanglah sendi hidupmu untuk menegak membangunkannya.


    Wahai ibu! Biasakanlah anakmu berbesar hati dan kenamaan, tanamlah padanya benih jiwa yang besar mulia, kikislah dari semangatnya perasaan lemah yang suka menyerah, dan fahamkan kepadanya bersungguh-sungguh bahawa sejenis roti yang diperolehi dari titik peluh sendiri adalah lebih baik dari seenak-enak makanan dari usaha orang lain. Ajarlah dia suka bekerja dan berusaha, dan bawalah menempuh perjuangan jihad yang suci mulia: (Menuntut ilmu untuk ilmu). Nyatakan kepadanya bahawa dasar ilmu adalah mengenal segala yang wajib, dan awal wajib iaitu beriman dengan Allah, patuh menurut segala perintah dan menjauhi segala larangan, menghormati kitab Allah yang Maha Berkuasa dan Bijaksana, dan percaya terhadap nabi-nabi yang menjadi perutusan Tuhan. Masukkan pengertian ke dalam otaknya bahawa: (Ilmu untuk makan) akan hilang jika tak makan, tetapi (Ilmu yang supaya manusia mendapat pelajaran) tetap kekal selagi penuntut-penuntut masih hidup dan para guru tak kunjung dilupakan, selama mereka mengikut petunjuknya. Di belakang itu jangan berkeputusan mencari rezeki, tetapi terus menjalankan usaha. Sesungguhnya Allah tidak pernah menggelapkan upah mereka yang bekerja.


    Wahai ibu! Biasakanlah anakmu menjadi pemberi bukan diberi, bersedekah bukan disedekahi. Sesungguhnya meminta-minta mengemis itu adalah seberat-berat penyakit yang tak kan sembuh, tak ada penawar dan ubatnya, itulah penyakit dari segala penyakit, punca dari tidak mempunyai cita-cita, mati hati, tidak berperasaan. Tanamlah di dalam diri anakmu perasaan jujur dan ikhlas terhadap dirinya sendiri dan umum manusia, memelihara kemuliaan, menjaga ketinggian dan kebesarannya, membunuh rasa yang suka menyerah, menyerang kemalasan yang tak ingin bekerja, agar tak kaget memasuki gelanggang perusahaan hidup, berhemah tinggi serta berani.


    Wahai ibu! Biasakanlah anakmu berperangai lunak, mulia dalam segenap usahanya, tidak haloba dalam segala keinginannya, suka besar dalam sepenuh cita-citanya, tampil untuk derma-derma kebajikan, maju berbuat bakti, banyak kawan, sedikit musuh. Tanamlah di dalam hatinya rasa menjauh dari dengki, busuk hati dan menganiaya. Hembuskan ke dalam jiwanya tekad yang teguh dalam berusaha, cenderung berkhidmat untuk manusia, mengasihi segenap bani insan sebagai mencintai diri nya sendiri.


    Oh ibu! Kembangkanlah ilmu kebaktian pada anakmu, pancarkanlah cahayanya sentiasa di hadapan matanya, kirapkan bau wanginya yang semerbak itu di mana-mana dia berada, tujukan hidupnya ke arah ‘bakti’, agar dia menjadi seorang penolongnya, bekerja terus untuk menaikkan panji-panjinya. Sesudah itu peringatkan pula betapa hasil perbuatan yang rendah, dan bentangkan di hadapan matanya setiap masa bagaimana akibat-akibat kejahatan dan mala petakanya. Kemudian tunjukkanlah hasil-hasil yang elok dari usaha-usaha yang suci mulia, dan janganlah pula lupa selamanya memberi perbandingan antara jalan yang dua itu – yang buruk dan yang baik – dengan mana kau akan dapat menghidupkan padanya rasa cinta kebajikan, membenci dan membanteras kejahatan. Penuhilah jiwanya dengan kelimpahan dan kedermawanan, bermurah hati dan santun budi bicara. Biasakan dia memandang mulia dan menghormati orang yang mempunyai kedudukan dan keturunan baik, menjauh dari tuan-tuan punya nikmat yang palsu, yang mempunyai kedudukan yang tidak kekal dan bakal rosak.

    Untuk melaksanakan kewajipan itu, kau sewajarnya berpandukan kitab yang nyata turun dari Tuhan yang Maha Tinggi dan Maha Bijaksana. Maka jadikanlah anakmu daripada mereka yang hafaz Al-Qur’an, lelaki yang bertakwa dan beriman. Ajarilah dia perjalanan hidup Ar-Rasul Al-Amin An-Nabi Al-Karim s.a.w. Di dalamnya banyak teladan yang elok dan contoh yang baik-baik untuk diturutinya. Itulah petunjuk yang akan membawanya ke jalan yang lurus, ke arah membentuk keadaan yang kuat dan teguh. Dan ajarkanlah kepadanya sejarah nabi yang terpilih itu serta apa yang dideritainya di jalan menyeru manusia dalam berbagai-bagai pusingan dan peredaran, juga apa yang telah ditemui baginda daripada musuh-musuh kaum penyengutu Allah yang tidak mempercayai baginda. Ajarilah anakmu ilmu sejarah. Sejarah adalah cermin daripada segenap kejadian, mengandungi rahsia-rahsia peralihan zaman dan saksi yang adil dari apa yang berlaku pada manusia setiap masa, istimewa sejarah penghulu dari sekalian nabi dan penutup utusan Allah di mana segala yang bertabur ada terkumpul di dalamnya, melengkapi segala kejadian dan penuh berisi barbagai-bagai teladan. Bukan sedikit kekerasan, kesakitan dan penderitaan yang pahit-pahit yang telah ditemui oleh Rasulullah s.a.w. dalam usahanya untuk mempropaganda terhadap Allah. Betapa banyak kesukaran dan kemelaratan yang telah ditimpakan kepadanya oleh musuh-musuhnya kaum kafir, dan bagaimana pula tetapnya pendirian baginda dengan jiwanya yang besar, hati yang tabah beserta perangai tinggi mulia membasmi segala penentangan itu.


    Wahai ibu! Ajarilah anakmu sejarah membangun syara’ yang besar itu, dan terangkan kepadanya bagaimana tetapnya pendirian baginda di hadapan penyerbuan musuh-musuhnya kaum musyrikin, diperkuat Allah segenap langkahnya membunuh kaum penyembah berhala, berdiri teguh menentang mereka meskipun besar jumlah mereka dan mempunyai kelengkapan yang banyak. Mereka ingkari hak baginda di kalangan mereka, mereka tak akui baginda lagi sebagai bangsanya, mereka tidakkan sama sekali kebaikan baginda. Tetapi dengan rasa kejujuran yang kuat, tekad yang padat, keyakinan yang tetap dan keimanan yang teguh, baginda bertahan, laksana sebuah gunung besar yang tidak bergerak, tidak berkisar, tidak berganjak tidak gentar, tidak sakit tidak mengadu, dan tidak mengeluh sehingga beroleh kemenangan nyata yang muktamad.


    Ayuhai ibu! Ajar anakmu kerja-kerja pembentuk perdamaian yang besar ini, pemimpin besar yang telah mengubah corak permukaan bumi, yang telah menyusun bangunan dunia, mengatur acara hidup, menukar kepercayaan manusia, meletakkan sendi-sendi dasar kehidupan yang tetap dengan mana baginda telah berjaya menegakkan menara petunjuk, menerangi segenap hati dengan beriman terhadap Allah yang Esa Maha Tinggi, membangunkan setiap diri dengan meyakini kekuasaan Tuhan yang Maha Berkuasa, membawa cahaya yang ada padanya, yang tak cacat sedikit jua, baik ketika berada di sisinya mahupun sepeninggalan wafatnya: Sebuah kitab dari Allah yang Maha Mulia Bijaksana. Dibukakannya pintu-pintu kehidupan yang lapang untuk manusia, di aturan undang-undang pergaulan bani insan, dibersihkannya dunia dari kekotoran keberhalaan, diterangkannya adat-adat yang sebaik-baiknya dan cara-cara hidup yang paling mulia, dibentuknya suatu makhluk baru, suatu umat yang pandai bekerja setelah mereka terkenal degil menyangkal dan tidak terkenal sedikit juga. Ditiupkannya pada mereka ‘jiwa perjuangan’ untuk hidup dan sesudah mati, diperkencangkannya setiap langkahnya, diperteguhnya segenap tekadnya dan didorongnya selama-lamanya maju ke muka.

    Dipetik daripada:


    As’ad Lutfi Hasan. 1372H=1953M. Perkahwinan Dalam Islam. (kitab kuning – jawi). Penang : Persama Press. m.s 58 – 68

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On