Tanggung jawab Ibu (3)




  • Print Friendly

    Tanggungjawab Ibu 1
    Tanggungjawab Ibu 2
    Tanggungjawab Ibu 3 (akhir)

    Oh Ibu! Seelok-elok peringatan ialah peringatan petunjuk. Petunjuk siapakah yang lebih elok dari Rasulullah s.a.w.? Amalan siapakah yang lebih murni dari perjuangan hidup baginda? Dan siapakah lagi yang lebih tinggi kedudukannya, kekuatannya, kebaikannya, keutamaannya dan panji-panjinya selain baginda? Ajarilah anakmu segala perbuatan dan usaha baginda serta segala yang berhubung dengan kehidupan dan perjalanan hidup baginda alaihis solaatu wassalam yang harum itu. Semuanya itu adalah lebih besar dari apa yang telah dan yang sedang dibuat oleh pembesar-pembesar, yang sangat dicintai agar raja-raja dan pemerintah-pemerintah beroleh taufik mengerjakannya. Sebesar-besar aturan dan cara hidup yang dijalankan oleh penganjur-penganjur dan para pemimpin, serapi-rapi susunan untuk mendirikan keamanan, dan seteguh-teguh hukum untuk memperdapat kesenangan, kemewahan hidup, namun ‘tuah dan damai’ itulah jalan yang selurus-lurusnya, yang paling selamat dan paling santun.

    Wahai ibu! Ulangilah lagi riwayat hidup rasul amanah, betapa bijak perhatiannya, betapa teguhnya baginda berfikir, berlemah lembut dalam segala pekerjaan dan budi bicaranya, tolong menolong bersama mukminin segolongannya, membantu mereka yang hidup terlantar, mengubat si malang yang ditimpa penyakit, melipur duka yang dirundung malang, tak pernah menghampakan hajat mereka, yang mulia dipandang mulia, yang besar dibesarinya juga, yang kecil dikasihinya, tak ada padanya yang disebut sia-sia, hendak membelot jauh sekali, segala-galanya sangat amanah. Ajarilah anakmu tentang bagaimana kelicinan baginda, kebijaksanaan yang telah ditunjukkannya dalam memerangi dan menggempur kaum-kaum kafir, dan bagaimana baginda menentang mereka. Musuh-musuh baginda adalah banyak cukup dengan alat kelengkapan, sedang baginda dengan penolong-penolongnya hanyalah pasukan sebilangan kecil. Tetapi segenap kekuatan baginda bersama kaumnya adalah terletak pada percaya terhadap Allah dan yakin akan mendapat pertolongan yang nyata. Kekuatan itulah yang menghancur-leburkan serangan dan pertahanan musuh sehingga kemenangan tetap berada di tangan baginda, kekuatan mana lagi? Tidak lain daripada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.

    Ajarilah anakmu bahawa hidup adalah perjuangan. Bagaimanapun tingginya cita-cita dan panjangnya umur manusia namun pasti akan pulang ke asalnya, ke tempat ciptaannya dari bumi, kerana manusia dijadikan dari tanah (maksud ayat Al-Qur’an: Daripadanya (tanah) kamu Kami jadikan, ke dalamnya kamu akan Kami kembalikan, dan daripadanya juga kamu akan Kami kembalikan sekali lagi.) Dan bahawa dunia ini rumah persinggahan, akhirat juga rumah yang kekal. Maka hendaklah dia mengatur perbekalan dari tempat singgahnya itu ke tempat yang tetap, supaya disediakannya untuk dirinya amalan bakti dari dunia menuju akhirat, dan agar dicontohinya amalan Rasulullah s.a.w., diikutinya jejak diturutinya jalan baginda, mengerjakan suruh, menjauhi larangannya.


    Ajarilah anakmu: Atlas perjuangan sahabat Ansar dan Muhajirin, bacakan kepadanya riwayat hidup mereka yang penuh setia itu, terutama sejarah Khulafa’ur Rashidin sesudah Rasulullah Al-Amin, dan pemerintah-pemerintah di belakangmereka. Jadikanlah sejarah harum yang membawa kemegahan yang paling besar ini lebih utama dari berbagai-bagai hikayat dan cerita-cerita yang karut marut, sejarah yang akan dapat menjaga dan menghidupkan hati, menyalakan api gembira dan berani di dalam diri. Peringatkanlah kepadanya sejarah Abu Bakar As-Siddiq r.a. bagaimana sukanya menghulurkan tangan untuk menolong, murah hati dan dermawan, terutama pertolongannya yang istimewa terhadap rasul yang mulia dan keberaniannya menemani baginda di dalam gua.


    Ajarilah anakmu riwayat hidup Al-Faruq Umar bin Al-Khattab r.a. yang mana dengannya Allah telah menolong tentera muslimin dan melebur tentera musyrikin sehingga termasyhur di kalangan kaumnya sebagai ‘pedang tajam islam’.


    Nyatakan kepadanya: Usaha murni Uthman bin Affan, bagaimana dia berkhidmat untuk Islam, mengumpul dan memelihara Al-Qur’an. Sebelum Rasulullah s.a.w. wafat, Qur’an telah siap disusunnya dan dibacakannya terhadap baginda.


    Sebutkan kepadanya: Riwayat ‘Aliy Karramallaahu Wajhah saudara sepupu Rasulullah s.a.w. di pihak ayah dan suami Fatimah Az-Zahra’ r.anha, gedung ilmu, juara pedang dan sastera.


    Ajarilah anakmu riwayat ‘Peperangan Tabuk’. Bagaimana Khalid bin Al-Walid dan tentera-tentera musliminnya bertindak. Dengan usaha dan perjuangan mereka Allah Ta’ala menaikkan bendera Islam di tanah tinggi Syam (Syria), Parsi, China, Afghanistan dan berkibar terus sehingga ke Negara Romania.


    Kemudian bawa pula perhatiannya kembali ke Mesir yang telah dimasuki oleh Amru bin Al-As dan tenteranya, mengibarkan bendera Islam di sekitar daerahnya dan mencacakkan tiang-tiang tinggi ‘haiya ‘alal falah’ hingga sekarang.

    Ajarilah anakmu semuanya itu.

    Tanggung jawab Ibu (3), The Principal Task Of A Mother (3)

    Singkirkan daripadanya cerita ***‘Abu Rijal Maslukhah’, ‘Luba’ba’, ‘Abu Khiisyah’, ‘Penggal-penggal Kitab Seribu Satu Malam’, ‘As-Sanad Badul Bahri’, ‘Allasshus Sariif’ dan ‘Nawadir Hafiz Najib’. Haramkan dia membaca cerita ‘Kasy Kasy Bak’, ‘Ar-Raihaaniy’. *** (seumpama buku-buku dongeng yang biasa kita dengar). Dan janganlah ditinggalkan sahaja dia ke pusingan takdir.


    Masukkan ke dalam otaknya bahawa: Agama, tanahair dan berurusan di kalangan manusia adalah sepenting-penting perkara yang wajib dihormati, yang mesti ditunaikan kehendaknya. Dan di dalam itulah terkumpulnya segala-galanya, padanyalah terletaknya lapangan kemakmuran, merdekanya ibu pertiwi, mewahnya kehidupan, dan menangnya dari segala musuh. Daripadanyalah bersatunya kalimat, sejalannya fikiran, sejajarnya barisan, menangnya kebenaran, terbelanya yang lemah, tumpulnya tajam yang kuat, terhentinya kehalobaan dan sampainya ke kemuncak cita-cita. Dan daripadanya jugalah berhubungnya kasih-sayang, tertegahnya perdendaman, datangnya rindu, tumbuhnya cinta, sebatinya anasir dan bertautnya segala yang putus. Seterusnya melahirkan aman, sentosa, berjalannya keadilan, terbasminya kezaliman dan terpulangnya sesuatu ke tangan yang empunya. Inilah dia batu-batu permata yang paling gemerlap, terkarang di tajuk mahkota umat, semahal-mahal lo’lo’ di atas kepala lelaki dan sebesar-besar bintang tersisip di dada pahlawan-pahlawan kesatria. Hiaslah anakmu dengan ini, sediakanlah itu untuknya, dan usahakanlah terus menerus supaya dia dapat mencapainya.


    Tak kan dapat anakmu memperolehi semuanya itu secukupnya kalau tidak dijadikan seorang yang mulia, tahan hati, bukan bacul, tidak sombong, jauh dari kecemaran, tak celupar mulut, suci dirinya, tidak menyembunyikan perbuatan busuk, elok perangainya, merendah diri, tidak pemarah, jauh dari kesasaran, berani menampilkan diri, besar keinginan dan tinggi cita-cita.


    Kaulah sendiri oh ibu, yang bertanggungjawab, kerana kaulah yang dikatakan oleh penyair Mesir: ‘sekolah’ – diharumi Allah pusaranya -.


    Biasakanlah dia menjadi lelaki yang sopan, tidak menganiaya dan tidak dianiaya, tidak melampaui dan tidak dilampaui. Berilah perhatian terhadap segala haknya supaya dia tidak mempersia-siakannya dan melewati batasnya ke sempadan yang lain, menolak yang salah dengan yang benar, membela yang benar dengan keadilan, tidak terpengaruh oleh rasa belas kasihan, tidak takut berterus terang pada yang hak baik di hadapan orang besar mahupun bersama yang kecil, biar dipuji atau dicela, tak gentar menentang hakim, berupa hebat angkat kepala, memberikan hak kepada yang empunya, menghormati yang besar bukannya tunduk, mengasihi yang kecil tidak menindas, seterunya takut terhadap Allah masuk bilangan para solihin.


    Ayuhai ibu! Sejarah itu bapa pengajaran. Sebagaimana yang telah saya katakan tidak ada di sana sejarah yang lebih besar daripada sejarah nabi kita s.a.w. Oleh itu hendaklah kau gunakan kesempatan maulidur Rasul s.a.w. untuk menghadiahkan kepada anakmu riwayat hidup baginda yang suci itu, yang lebih manis dari halwa, lebih bagus dari segala barang yang disediakan orang, juga dari segala tempat menari, tempat melancong, wayang gambar, dan berbagai-bagai tempat kotor ke mana biasanya orang-orang membawa anak-anak mereka bersuka-suka.


    Nah ibu! Kau sudah kuberi pertolongan, kuberi bantuan dan kuperingatkan. Kaulah orang yang mula-mula mendengar dan lebih mengetahui bahawa aku telah menunaikan kewajipanku. Sekarang kau tunaikan pulalah kewajipanmu. Bukanlah ajaran itu terhadap anak lelakimu sahaja tetapi juga untuk sekalian anak-anakmu lelaki dan perempuan, malahan perempuanlah yang lebih utama dan lebih berhak mendapat pendidikan. Perbuatan hina sudah berkembangan mengatasi kesopanan, pemudi sudah bebas sebebas-bebasnya, mutunya sudah jatuh dan harganya sudah turun. Berhubung perkara ini hendaklah kau kembali ke riwayat ibu besar ‘Khadijah Al-Kubro’ puteri gemilang ‘Fatimah Az-Zahra’’ ‘Aisyah Ummul Mukminin’ dan banyak lagi perempuan kaum muslimah selain mereka. Ajarilah puterimu riwayat hidup mereka yang cemerlang, bagaimana mereka beradab sopan, tetap pendirian, suci mulia, menjaga maruah diri, banyak ilmu dan luas pengalaman.


    Berilah pengertian terhadap puterimu bahawa kesucian diri, keharuman nama dan menjaga maruah itulah mahkota gadis-gadis. Kalau semuanya ini dipeliharanya, dia akan hidup megah dan segak, tetapi jika itu disia-siakannya, dia akan jatuh menjerembab, tersungkur yang tak akan mungkin bangun lagi, dan kesannya tinggal ke anak cucu, jangan diharap akan terlipur oleh jejak-jejak peredaran tahun.


    Ajarilah puterimu segala kewajipannya terhadap agama, terhadap ibu bapa, saudara maranya, suaminya, anak-anaknya dan terhadap manusia amnya. Kerana di dalam soal ini lebih besar tanggung jawabnya berbanding anak lelaki.


    Apabila kau sudah mengerti wahai ibu bahawa inilah kewajipanmu, tanggungjawabmu dan amanah yang dipikulkan ke tengkukmu, saya percaya cukuplah sekadar itu untuk dikerjakan dan mempergunakan segala kesempatan. Sesudah kau tunaikan kewajipanmu itu maka hasilnya kelak Allah Taala akan memperbaiki keadaanmu. Dari itu janganlah kau tinggalkan sahaja anak-anakmu pada aliran takdir.

    Dipetik daripada:


    As’ad Lutfi Hasan. 1372H=1953M. Perkahwinan Dalam Islam. (kitab kuning – jawi). Penang : Persama Press. m.s 58 – 68

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On