Demam Periksa




  • Print Friendly, PDF & Email

    Assalamualaikum dan salam sejahtera.
    demam periksa

    Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

    Tuan, puan, saudara dan saudari yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu sepuluh jari kami susun memohon kemaafan kerana artikel kali ini tiada kaitan dengan pelajaran Bahasa Arab.. Bagi mengelakkan salah sangka, biarlah kami berterus-terang.

    Sedari mula menjadi blogger iaitu sejak Mei 2008 memang inilah dilema yang kami alami setiap kali anak-anak menghadapi peperiksaan. Iaitu di antara mematuhi jadual belajar di blog sendiri dengan meraikan juga menyelami jerih payah anak-anak yang sedang bergelut dengan peperiksaan.

    Anak-anak kami bukanlah menghadapi peperiksaan besar pun, Cuma sejak tahun 2000 lagi iaitu anak sulung memasuki tadika memang inilah amalan kami.

    Seminggu dua sebelum tarikh peperiksaan dijangka menjelang, kami telah merangka dan melaksanakan jadual ulangkaji. Teachher Nash mengambil bahagian dalam mata pelajaran English, Science dan Mathematics dan saya sendiri membimbing anak-anak dalam mata pelajaran Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan Pendidikan Agama Islam sehinggalah peperiksaan tamat.

    Sepanjang tempoh itu, TV, radio dan komputer juga aktiviti luar rumah kami hadkan untuk keselesaan dan memotivasikan mereka.

    Apabila anak-anak mula memasuki sekolah rendah, tempoh tersebut bertambah panjang kerana ditambah dengan peperiksaan sekolah agama kerajaan Johor. Saat draf artikel ini ditulis, anak kami sedang menjawab soalan peperiksaan Bahasa Arab dan Jawi di sekolah agama.

    Pada tahun 2008 dan awal 2009, oleh kerana ghairah dan asyik dengan aktiviti blogging, saya agak cuai dengan tanggungjawab ini. Dan hasilnya dua orang anak terakhir kami dimasukkan ke kelas G dan M jauh berbeza dengan abang dan kakak mereka yang konsisten di kelas A atau B.

    Setelah memuhasabah diri, pada akhir tahun lalu saya memulai kembali amalan kami pada tahun-tahun 2000 hingga 2007. Ternyata anak ketiga yang selalu kami labelkan sebagai ‘lembab’ berjaya mendapat tempat ketiga di sekolah agama dan nombornya naik sepuluh tangga daripada kedudukannya pada peperiksaan setengah tahun. Manakala anak bongsu pula, alhamdulillah dapat mengecapi nikmat nombor satu di sekolah kebangsaan dan agama.

    Mungkin dia mendapat nombor satu sebab berada di kelas yang agak corot tetapi syukur dia berjaya memperolehi gred A dalam kesemua matapelajaran teras.

    Kami bukanlah ibu bapa yang terlalu mementingkan peperiksaan, tetapi kami berpendapat bahawa anak-anak memang berhak mendapat sokongan terbaik daripada ibu bapa mereka. Pada hari-hari biasa pula jika ditanya, “Sayang, kerja sekolah dah siap belum?” “Sudah, boleh tengok TV?” “Kalau sudah, boleh tonton TV sejam.” “Terima kasih ibu, terima kasih ayah.” ……. Berbudi bahasanya anak ini…..

    Diam-diam cubalah belek semua buku latihan dan aktivitinya, wah, pada kebiasaanya saya akan mendapati lima atau enam buah buku yang tidak sempurna kerjanya!….. tidak mengapa, beri dia peluang menonton TV dahulu, kelak saya akan duduk di sisinya hingga siap kesemua kerja.

    Sekiranya diarahkan kepada anak-anak, “Baca buku, siapkan kerja sekolah!” “Hei, ayat itu tidak ada makna mak, bapak……” meminjam kata-kata pakar motivasi Dato’ Doktor Haji Mohd. Fadzilah Kamsah dalam kasetnya yang entah sudah berapa puluh kali kami ulang-ulangi.

    Anak-anak di peringkat sekolah rendah nalurinya tetaplah mahu bermain dan menonton TV sepanjang masa. Kadangkala memang mencabar kesabaran kerenah mereka ini.

    Saya terkenang sewaktu menjalani praktikum di SK. Telok Bahang, Pulau Pinang. Ada seorang murid tahun satu yang kerjanya sangat memuaskan hati, tulisannya teratur dan mewarna dengan cantik dan kemas. Kagum sungguh saya akan dia.

    Ditakdirkan Allah, dua bulan selepas itu saya berpeluang menyewa rumah yang bersebelahan benar dengan rumahnya. Oleh kerana rumah kami diperbuat daripada papan, maka saya dapat mendengar biji butir perbualan orang sebelah dengan jelas sekali.

    Oh, tak sangka sungguh! Anak ini rupa-rupanya saling tak tumpah seperti anak-anak lain juga yang suka bermain dan tidak boleh berlama-lamaan menghadap buku. Hai, rupa-rupanya ibunyalah yang bersungguh-sungguh menemani dan mengingatkannya berulang-ulang tanpa jemu tentang pelajarannya.

    “Tulis macam ini, ha…. Senget tu, betulkan……. Ya Allah, warna betul-betul dalam garisan……. Macam ni…….” Ditinggal sebentar, sepantas kilat si anak meloncat keluar untuk menyertai kawan-kawan yang sedang bermain…. (Kawan-kawan pun satu, mainlah jauh sikit…… cubaan, cubaan….)

    ”Aina, pergi mana? Kerja belum siap lagi ni…..” Terkeseng-kesenglah si Aina datang……. Huh, kini kami berada pada situasi tersebut……..

    Insaf akan anak-anaklah aset paling berharga buat kehidupan kami dunia dan akhirat, maka mulai tahun 2010 ini aktiviti blogging dan apa jua aktiviti di alam siber, kami tangguhkan pada masa ‘demam peperiksaan’ semampunya………

    Kami tidak mahu terlalu asyik dengan hobi sendiri, lalu tiba-tiba terkejut dan tersedar tatkala segalanya sudah terlewat dan saat penting ini tidak bisa dikembalikan lagi.

    Setelah berusaha semaksimum mungkin, barulah rasa ‘kurang malu’ untuk menadah tangan memohon pertolongan Allah menjelang dinihari. Saat berdoa eloklah juga diluaskan kepada anak kawan-kawan, guru mereka dan seluruh umat.

    Amatlah malang seandainya hanya anak kita yang cemerlang sedangkan rakan-rakan mereka tidak kerana bimbang nanti anak kita akan dikelilingi oleh rakan-rakan yang akhirnya akan mempengaruhinya. Selama manakah dapat kita mengekori langkah anak-anak……

    Pun begitu kami akur yang kami dulu, kini dan selamanya berstatus HAMBA yang sentiasa layak diuji dan diperlakukan apa sahaja oleh ‘Pemilik’ kita dengan selautan hikmahNya.

    Pada masa cuti persekolahan pula juga memang sudah lama kami jadikan waktu ‘rehat’ kerana ketika ini anak-anak di asrama akan pulang. Waktu keemasan begitu,amat sayang untuk kami abaikan dan biarkan berlalu dengan masing-masing hanyut di alam sendiri…….. sebumbung tetapi tidak bersama…..

    oh, ruginya! Kalian tentu mengerti, apabila sudah online, jam-jam yang berlalu bagai tidak terasa bukan?

    InsyaAllah kita akan bertemu lagi selepas cuti sekolah pertengahan tahun nanti. Mohon maaf atas segala kesilapan, halalkanlah apa juga yang terkurang. Semoga kita sentiasa dalam reda dan taufik hidayah Allah. Allahumma aamiiiiiin.

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam.
    Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On
    Share/Save
    Share/Save