Rumahtangga Bahagia: Peranan Ibu Bapa Menjelang Peperiksaan

Print Friendly


Setiap kali menjelang peperiksaan, ibu bapa biasanya lebih bimbang berbanding anak-anak. Kebimbangan ini lebih ketara di pihak ibu berbanding bapa. Isterilah yang lebih gemuruh dan risau, suami biasanya lebih tenang dan terkawal perasaannya.

Jangan pula kerana tekanan yang kita rasakan dan harapan yang kita letakkan pada seorang anak, membuatkan kita kelam kabut hingga lupa apa yang patut dilakukan di saat menjelang peperiksaan. Salah pendekatan kita maka anak yang menerima akibatnya kelak hingga tanpa disedari menjejaskan prestasi peperiksaannya.

Saya teringat bagaimana beberapa tahun lepas seorang pelajar motivasi saya menelefon dan menangis sedangkan PMR hanya tinggal dua minggu sahaja lagi. Selepas ditenangkan, maka dia beritahu saya betapa tertekan dia apabila ibu bapa terus mengherdik, menekan dan memarahinya kerana dia hanya memperoleh 3A sahaja dalam peperiksaan percubaannya.

Dia rasa dia sudah gagal sebagai seorang anak dan tidak yakin berhadapan dengan peperiksaan PMR yang sebenar. Nasib baiklah pelajar ini sempat mengadu dan meminta bantuan. Bagaimana pula dengan nasib ribuan pelajar lain yang tidak tahu tempat mengadu? Sebab itulah, kita sebagai ibu bapa mesti tahu persediaan yang perlu dilakukan bagi membantu kecemerlangan anak-anak menjelang peperiksaan.

1. Fahami Tekanan yang Dihadapi oleh Anak

Bukan sahaja ibu bapa yang bimbang, anak-anak juga sebenarnya bimbang. Mungkin ada di antara mereka tidak menunjukkan kebimbangan tetapi ia dapat dilihat daripada segi perubahan sikap dan tingkah laku mereka.

Ada anak-anak yang runsing lalu tidak berselera makan tetapi ada pula yang menjadi terlalu kuat makan. Ada yang tidak boleh tidur tetapi ada pula yang semakin kuat tidurnya. Ada yang murung, marah-marah, sensitif dan sebagainya. Sememangnya perasaan bimbang menyebabkan berlakunya perubahan sikap dan tingkah laku ini.

Sebagai ibu bapa, kita mesti peka terhadap perubahan ini dan cuba sedaya upaya mengurangkan tekanan itu dengan lebih memahami mereka. Nyatakan kepada mereka dengan jelas, apa yang kita harapkan daripada mereka hanyalah melakukan yang terbaik mengikut kemampuan diri mereka.

Nyatakan juga kepada mereka, kecemerlangan akademik bukan hanya satu-satunya syarat bagi mereka hidup cemerlang di dunia Allah ini. Ramai mereka yang gagal dalam pelajaran tetapi dapat hidup senang dan berjaya dalam bidang sukan, nyanyian, muzik, seni, lakonan, perniagaan dan Iain-lain.

Apabila tinggal beberapa hari lagi menjelang peperiksaan, elakkan daripada menyuruh mereka menjawab terlalu banyak soalan-soalan yang tidak diketahui penyelesaiannya kerana ini dapat membuatkan mereka rasa tidak bersedia. Keyakinan diri tergugat dan ini menjejaskan prestasi ketika menjawab soalan-soalan yang mereka sedia ketahui.

Adalah lebih baik, ibu bapa diam tanpa memberikan sebarang komen apabila didapati perasaan anak terlalu tertekan hingga ada ketikanya dia memberontak lalu meluahkan perasaan dengan mengatakan yang dia pasti gagal.

Perhatikan sahaja gelagat anak kerana biasanya luahan perasaan itu bukanlah luahan yang sebenar. Dia tidak maksudkan apa-apa dengan kata-katanya itu. la sekadar melepaskan perasaan, itu sahaja. Oleh itu biarkanlah anak itu seketika.

Selepas itu, ajak anak melakukan aktiviti yang menyeronokkan tanpa perlu keluar dari rumah. Misalnya, adakan masa menonton cerita jenaka seketika. Berhibur dan gelak ketawalah sekeluarga. Ini dapat mengendurkan perasaan tegang dalam diri anak dan dia kini bersedia belajar semula.

Waktu ini, tanamkan keyakinan dalam diri mereka semula. Rancang bersama jadual ulang kaji mereka dan cuba mudah-mudahkan setiap langkah yang mahu diambil.

2. Tingkatkan Keyakinan Diri Anak

Keyakinan diri yang tidak mantap sering menghantui jiwa anak-anak. Ada di antara mereka yang memang sudah membuat ulang kaji sejak awal lagi tetapi tetap tiada keyakinan diri.

Sebagai ibu bapa, kita perlu tahu keyakinan itu datangnya daripada persediaan. Semakin bersedia anak kita maka semakin yakinlah dia. Per¬sediaan ini pula bukan sekadar membaca, menghafal dan menyediakan nota semata-mata.

Persediaan ini mestilah merangkumi aspek menerima (input) dan mengeluarkan (output) maklumat. Ibu bapa boleh dapatkan buku Motivasi Alihan Pelajar yang ditulis oleh saya sebagai bahan bacaan yang berguna bagi anak-anak dalam meningkatkan keyakinan dirinya.

Proses mendapat maklumat termasuklah membaca, membuat nota ringkas, menghafal, bertanya, dan mengetahui teknik menjawab soalan-soalan. Proses mengeluarkan maklumat pula adalah menjawab soalan-soalan seperti membuat latihan, latih tubi dan simulasi dengan menggunakan segala pengetahuan yang di-peroleh dalam proses mendapat maklumat itu tadi.

Galakkan anak menjawab sebanyak mungkin soalan agar mendapat pengalaman. Lebihkan proses latih tubi bagi mana-mana topik yang agak lemah ataupun bentuk soalan yang kurang dikuasai. Seterusnya, perhebatkan simulasi dengan menjawab soalan-soalan tahun lepas serta soalan-soalan ramalan mengikut masa yang di-tetapkan.

Lakukan proses simulasi ini seolah-olah dia benar-benar berada dalam dewan peperiksaan yang sebenar.

3. Dorong Anak Secara Positif

Ibu bapa perlu selalu memberikan harapan kepada anak dengan melontarkan kata-kata yang positif. Apakah kata-kata positif? Kata-kata positif adalah kata-kata yang apabila diucapkan menghasilkan gambaran minda yang juga positif. Misalnya:

* Bukan “Jangan buang masa” tefapi ucapkan, “Manfaatkan masa.”

* Bukan “Jangan berputus asa” tetapi ucapkan, “Berusahalah dengan lebih gigih lagi” ataupun “Mak percaya adik pasti BOLEH!”

* Bukan “Jangan kelam kabut” tetapi ucapkan, “Bawa bertenang.”

* Bukan “Elakkan kecuaian” tetapi ucapkan, “Tingkatkan ketelitian dan lebih berhati-hati.”

Malah banyak lagi contoh-contoh yang dapat diberikan.

4. Kerjasama Sepenuhnya

Apabila seorang anak akan menduduki peperiksaan penting, maka keseluruhan ahli keluarga yang ada dalam rumah perlu memberikan kerjasama sepenuhnya. Antaranya, hormati waktu ulang kaji anak itu dengan setiap ahli keluarga menjadikan waktu itu sebagai waktu belajar.

Misalnya, ibu bapa dapat manfaatkan waktu itu bagi membaca bahan-bahan yang berfaedah. Adik kecil pula diberikan kertas dan pensel bagi menconteng. Datuk dan nenek, jika tinggal di rumah yang sama, gunakanlah waktu itu bagi membaca al-Quran. Begitulah juga dengan yang Iain-lain.

Pastikan tidak seorang pun daripada ahli keluarga yang menonton TV, mendengar radio, sembang-sembang kosong, bermain-main dan sebagainya sedangkan ada anak yang sedang bertungkus lumus menghadapi pelajarannya. Dengan cara ini anak dapat rasakan perjuangannya dihargai.

5. Kurangkan Aktiviti Luar

Elakkanlah daripada terlalu banyak membuang masa dengan aktiviti di luar seperti keluar membeli-belah, makan di luar, balik kampung, menziarahi saudara mara dan sebagainya. Ingatlah, setiap minit itu berharga bagi anak.

Oleh itu, pastikanlah setiap aktiviti yang dirancang menyumbang kepada persediaannya menghadapi peperiksaan sama ada persediaan mental, emosi, fizikal ataupun rohani anak-anak. Tambahan pula, kekerapan berada di luar rumah hanya mendedahkan mereka pada perkara yang tidak diingini sama ada daripada segi kesihatan ataupun keselamatan.

6. Elakkan Anak daripada Tidur Lewat

Ada anak yang suka belajar sehingga lewat malam bagi menghabiskan ulang kaji mereka. Jangan biarkan keadaan seperti ini berlarutan. Pastikan anak masuk tidur awal dan bangun awal. Galakan mereka membuat sedikit ulang kaji pada waktu awal pagi walaupun hanya 20 ataupun 30 minit.

Pada waktu ini, fikiran mereka tenang, emosi belum terganggu dan suasana pula nyaman. Banyak maklumat yang dibaca ketika ini mudah diingati bagi tempoh masa yang lebih lama.

7. Berikan Anak Pelepasan Tugas Harian

Berikanlah anak layanan istimewa setiap kali menjelangnya peperiksaan. Bebaskan dia daripada me-lakukan tugas harian yang sememangnya menjadi rutin seperti mengemas bilik, menolong emak di dapur, membersih halaman rumah, mencuci pakaian dan sebagainya.

Agihkan sementara tugas-tugas ini kepada orang lain seperti kakak, abang, adik ataupun ibu bapa sendiri. Dengan cara ini, anak yang akan menduduki peperiksaan dapat merasakan, seluruh ahli keluarga benar-benar mahu melihat dia cemerlang.

Dia timbul rasa bersalah sekiranya waktu yang diperuntukkan untuk belajar tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya sedangkan semua orang memberikan kerjasama. Dia juga sentiasa mengharapkan suasana peperiksaan seperti ini datang lagi kerana seronok mendapat pelepasan tugas. Anak-anak yang lain pula tidak ada sebab untuk cemburu kerana apabila tiba masa mereka, maka mereka juga dilayan dengan cara yang serupa.

8. Nyatakan Ganjaran Dengan Jelas

Jangan biarkan anak anda berteka teki mengenai ganjaran yang bakal dia terima sekiranya dia mem-peroleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Nyatakan dengan jelas bentuk ganjaran yang mahu diberikan kepadanya.

Jika ia berbentuk kebendaan maka nyatakan dengan jelas apakah bendanya itu. Tunjukkan gambar mengenai apa yang mahu diberikan kepadanya. Jika ia suatu bentuk percutian, beritahu destinasi yang ingin dilawati nanti. Dapatkan juga risalah, cerita, serta gambar-gambar mengenai destinasi itu dan tunjukkan padanya. Jika ia dalam bentuk duit nyatakan dengan jelas mengenai jumlahnya.

Namun, dalam soal duit ini ibu bapa perlu bertindak bijak. Sebabnya, jika kita beritahu kepada anak, “Kakak, setiap A yang kakak peroleh dalam PMR nanti ayah akan berikan RM50,” maka ia mungkin memerangkap kita kembali.

Apabila anak tahu dia lemah dalam subjek bahasa Inggeris maka dia tidak meletakkan kesungguhan bagi mendapat A kerana dia berfikir, jika dia dapat 7A pun jumlahnya adalah RM350. Masih banyak lagi.

Oleh itu, kita perlu meletakkan syarat dengan jelas dengan berkata,

“Kakak, jika kakak dapat 8A dalam PMR maka setiap A itu ayah berikan RM50. Tetapi jika bukan 8A maka setiap A itu nilainya ayah berikan RM30 sahaja.”

Dengan cara ini, anak-anak dapat menghitung sendiri, jika dapat 7A nilainya hanya RM210 sahaja berbanding RM400 bagi 8A. Perbezaan yang ketara ini secara tidak langsung mendorong anak berusaha mendapat 8A.

Ganjaran yang kabur ataupun samar-samar tidak dapat merangsang jiwa. Misalnya, elakkan daripada berkata, “Jika abang cemerlang dalam SPM, maka emak bawa abang melancong,” sebaliknya kita perlu berkata, “Jika abang cemerlang dalam SPM, emak pasti bawa abang ke Langkawi.”

Pastikan, apa jua ganjaran yang mahu diberikan mampu anda tunaikan. Jika tidak, anak mungkin hilang kepercayaan kepada kita sebagai ibu bapa dan selepas itu, janji kita tidak dipercayai lagi.

Berikan juga ganjaran kepada usahanya, bukan sekadar hasil ataupun pencapaiannya. Jika kita tahu anak sudah berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan namun keputusan peperiksaan tidak seperti yang dijangkakan, maka berikanlah dia sesuatu bagi menghargai penat lelahnya itu.

Ini menunjukkan yang kita memang ambil berat dan prihatin kepadanya. Dengan cara ini, anak menjadi lebih bersemangat untuk berusaha dengan lebih gigih pada masa akan datang.

9. Ambil Cuti

Inilah masanya bagi ibu bapa memberikan dorongan yang tidak berbelah bahagi kepada anak yang akan menduduki peperiksaan. Ambil cuti beberapa hari dan usahakan menghantar sendiri anak ke sekolah pada hari peperiksaan itu. Sepanjang perjalanan, terus berikan kata-kata perangsang dan nasihat kepadanya.

Ingatkan anak sekali lagi, kita tidak pentingkan apa sekalipun hasil yang dia peroleh, yang penting dia memberikan usaha yang terbaik. Apa sahaja keputusannya, kita terima dan bersyukur.

10. Banyak Berdoa dan Solat Hajat

Tidak ada sesuatu yang lebih bermakna bagi seorang anak ketika menduduki peperiksaan selain daripada doa dan restu dari ibu bapanya. Inilah masanya kita luangkan lebih banyak masa berdoa baginya supaya dipermudahkan urusan anak menjawab setiap soalan, diberikan ketenangan dan diterangkan hati.

Berdoalah dengan suara yang jelas supaya didengar oleh anak dan biarlah dia aminkan doa kita itu. Biar anak menyedari yang kita sering membuat solat hajat dan berdoa baginya. Dengan cara ini, mereka lebih menghargainya. Biasanya, apabila menjelang peperiksaan, anak-anak tidur lewat daripada biasa kerana mengulang kaji pelajaran.

Ibu bapa jenguk bilik anak seketika dan maklumkan padanya yang kita mahu solat hajat sekarang. Perasaan anak pasti terharu dan ini memperkuatkan lagi azamnya untuk berjaya.

Tidak lama dahulu di Kuantan, Pahang, ada seorang pelajar lelaki yang sedang menuntut di salah sebuah IPTA mengikuti program ‘Motivasi Alihan Pelajar’ yang dijalankan di sana. Pelajar ini menceritakan pengalamannya belajar sewaktu di tingkatan lima dahulu.

Katanya, ketika itu dia seorang pelajar yang malas sewaktu belajar di tingkatan empat dan lima. Satu hari, lebih kurang tiga bulan lagi menjelang peperiksaan SPM, dia mula mendapat kesedaran untuk belajar tetapi masanya semakin suntuk.

Dia bingung kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan dan di mana mahu dimulakan. Akhirnya dia mengambil keputusan bangun malam dan mendirikan solat hajat dan solat tahajud. Selepas selesai solat, dia terus menelaah pelajaran. Dia lakukan perkara itu setiap malam tanpa.henti.

Pada mulanya, memang banyak yang tidak difahami dan diketahui tetapi dia tidak mempedulikannya. Dia teruskan sahaja belajar sedikit demi sedikit. Katanya semakin hari hatinya menjadi semakin terang. Apa yang dipelajarinya itu, semakin mudah difahami dan apa yang dibacanya pula semakin mudah diingati.

Apa yang menakjubkan lagi, ketika saat begitu hampir dengan peperiksaan hatinya bagaikan mendapat ilham bagi membaca topik-topik tertentu dan membuat latih tubi soalan-soalan tertentu. Apa yang dibaca dan dilatihnya itu keluar pula dalam peperiksaan.

Akhirnya, dia mendapat semua A dalam peperiksaan SPM yang didudukinya. Ada mata pelajaran yang dia peroleh pangkat Al dan ada yang pangkatnya A2. Guru-guru, ibu bapa dan rakan-rakannya tidak percayakan pencapaiannya itu.

Malah dia sendiri tidak mempercayai keputusan yang dilihat di tangannya ketika itu. Tetapi itulah hakikatnya, sesuatu yang dirasakan mustahil bagi kita sebenarnya tidak mustahil bagi Allah. Itulah kesannya apabila kita letakkan kepercayaan kepada Allah. Allah mempermudahkan segala usaha kita.

Untuk lebih banyak petua memotivasikan anak, sila dapatkan buku bermutu ini:
Tengku Asmadi Tengku Mohamad Ph.D. 2009. TEKNIK MEMOTIVASIKAN ANAK CARA POSITIF. Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd.
Kredit gambar: testi.iluvislam.com

If you enjoyed this post, please consider subscribing to the RSS feed to have future articles delivered to your feed reader.


Author: dusakal thooluut

Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

Share This Post On
Web Analytics