Hajiku 1435H / 2014, Insya-Allah




  • Print Friendly

    Assalamualaikum wrt wbt. Rindunya hendak menulis di blog ini. Kalau benar rindu mengapa membisu? Ini saya hendak ceritalah ni. Ok, tepuk tangan dulu…

    Inilah sebabnya saya lama menyepi di samping adalah satu sebab lagi. Takkanlah semua hendak diceritakan bukan?

    Mula-mula kita dengar nasyid dulu boleh? Jom…

    Pendahuluan

    Sebelum ini saya pernah berceloteh mengenai Haji di pautan Haji Menuju ALLAH – Raihan. Di dalam artikel itu saya ada memberitahu bahawa tarikh pemergian haji yang Tabung Haji peruntukkan kepada saya adalah pada tahun 2022. Suami saya yang mendaftar setahun lebih awal pula diberikan tarikh 2016.

    Alhamdulillah, dengan rahmat kasih-sayang Allah SWT serta doa-doa mereka yang makbul di sisi-Nya, rayuan saya untuk mengerjakan haji bersama suami diluluskan.

    Berita gembira tersebut saya terima melalui panggilan telefon daripada pejabat Tabung Haji daerah Kulaijaya pada 14.7.14 bersamaan 15 Ramadan 1435H.

    Jumlah jemaah haji Malaysia pada tahun ini adalah seramai 22,320 orang. Pada kebiasaannya, musim haji akan mengumpulkan seramai 4 juta umat Islam di Tanah Suci.

    Pada tahun ini, jumlah perbelanjaan haji bagi bakal haji yang baru pertama kali menunaikannya adalah RM9,980.00 daripada jumlah sebenar RM16,155.00. Mereka yang menunaikan haji buat kali kedua akan dikenakan bayaran sebenar iaitu RM16,155.00

    Pada awal tahun 2014, suami saya menerima surat tawaran mengerjakan haji. Tunggu punya tunggu, surat untuk saya tidak juga kunjung tiba. Sayunya hati bukan kepalang…

    Rupa-rupanya di dalam surat tawaran tersebut dikepilkan sekali borang untuk diisi nama-nama sesiapa (ahli keluarga khususnya) yang cadangkan untuk dibawa bersama. Setelah suami berbincang dengan bapanya, maka keputusan dibuat untuk dituliskan nama saya… alhamdulillah.

    Kursus Asas Haji

    Sejak itu, berulang-aliklah kami ke Masjid Bandar Baru Uda untuk mengikuti Kursus Asas Haji. Waktu kursus adalah pada setiap hari Rabu jam 9.00 malam hingga 11.00 malam. Agak mujahadah untuk ke sana kerana saya hanya boleh bertolak ke BBU selepas maghrib kerana membawa satu-satunya anak yang masih ada di rumah. Dia bersekolah agama dan sampai ke rumah lebih kurang jam 6.50 petang.

    Tahun ini dia bakal menduduki UPSR. Kerja sekolah tentunya banyak, ditambah dengan sekolah agama petang. Dia selalu meragam tatkala dibawa bersama. Namun, saya gagahkan menghadapi apa jua kerenahnya.

    Saya pergi ke Masjid Bandar Baru Uda dari Kulaijaya dengan menaiki kereta sedangkan suami dari tempat kerjanya di Tanjung Langsat (nun di penghujung Pasir Gudang) dengan menunggang motorsikal. Waktu balik ke rumah kami kejar-mengejar di jalanan yang memakan masa selama setengah jam. Seronok pula, tidak sabar menunggu Rabu minggu hadapan untuk main kejar-kejar tengah-tengah malam…

    Hal ini tidak berani saya kongsikan di laman sosial. Bimbang pula ada yang mengambil kesempatan. Maklumlah sewaktu pulang dari kursus biasanya suasana sekitar perumahan kami sudah sunyi sepi. Bahaya…

    Kursus Asas di masjid berdekatan bukannya tiada tetapi waktu kursus adalah pada hujung minggu dan kami ada komitmen lain pada waktu tersebut. Kursus ini diadakan sebanyak 15 siri iaitu bersamaan 15 minggu. Ianya sangat bermanfaat dan pada hemat saya ia adalah ‘WAJIB’ dihadiri oleh sesiapa juga yang ingin mengerjakan haji.

    Kursus Asas Haji terbuka kepada umum, sesiapa juga boleh mengikutinya dan ianya percuma.

    Pada hari terakhir kursus, suami saya ada merakam pengajaran Ustaz Abu Bakar bin Watak, pembimbing kursus asas haji di masjid tersebut. Setiap malam Rabu kehadiran memang penuh dan tempat parkir keretalah yang selalunya agak menyusahkan saya sebagai orang perempuan. Ah, hendak seribu daya, tidak hendak satu dalih pun cukup.

    Pengajaran Ustaz Abu Bakar jelas dan menarik. Masya-Allah, saya agak merasa kagum dengan kebolehannya berdiri dan berjalan ke bahagian lelaki dan wanita sewaktu mengajar. Ianya membantu kami yang sudah berusia ini untuk kekal memberikan fokus kepada pelajaran. Tidak sempat hendak tidur

    Ini adalah video rakaman tersebut. Pada minit-minit awal, kepala tuan/ puan perlu ditelengkan sedikit. Mohon maaf ye.

    Kursus Intensif Haji

    Pada 23 dan 24 Mei pula kami mengikuti Kursus Intensif Haji di UTM Skudai. Di dalam kursus ini ada ujian bertulis. Sesiapa yang ‘berkeperluan’ akan ditambah dengan Kursus Khas Haji.

    Kursus Perdana Haji

    Pada 15 dan 16 Ogos pula kami mengikuti Kursus Perdana Haji di UTHM, Parit Raja. Terasa seperti sudah berada di Mina pula. Sepulangnya dari kursus, kaki saya bengkak dan sakit. Maklumlah kaki orang manja… Apa tidaknya, kami menjalani praktikal, tawaf, sa’ei dan melontar sebagaimana jarak dan situasi sebenar.

    Berjalan ke tempat jamrah

    Kursus Perdana Haji

    Suspen pula rasa hati, mampukah aku? La haula wala quwwata illa billah…

    Glamour

    Ketika menjalani kursus, saya mendapati jurugambar sangat rajin mengambil gambar. Saya terfikir-fikir juga untuk apakah gambar-gambar itu digunakan?

    Tibalah ke upacara penutup kursus. Rupa-rupanya tujuan gambar diambil adalah untuk kami mengambil pengajaran akan kesalahan-kesalahan kami.

    Contohnya;
    1. Memakai ihram tetapi memakai baju panas di dalam bagi lelaki.
    2. Memakai ihram tetapi berseluar panjang di sebelah dalam bagi lelaki.
    3. Tidak memakai stokin bagi wanita ketika mengerjakan tawaf.

    Aduh, ada ke tidak muka aku? Anak-anak muda kata ‘bengang giler’ lah masa itu. Walau bagaimanapun, pihak penganjur menjelaskan bahawa bukanlah tujuan mereka untuk mengaibkan sesiapa.

    Ketika melakukan latihan sa’ie saya terdengar juga ustaz-ustaz mengingatkan, “Waktu ihram, tidak boleh memakai niqab.” Memang terdapat tiga hingga empat orang wanita berniqab ketika itu. Saya memakai niqab bertopi yang kawan saya pinjamkan.

    Sewaktu berkesempatan mengemukakan kemusykilan kepada ustazah bertugas, saya bertanyakan soalan bagaimanakah kedudukan wanita yang berniqab. Adakah boleh mereka mengenakan niqab?

    Ustazah tersebut menjelaskan, boleh asalkan yang berawning iaitu kain niqab itu tidak mencecah kulit wajah.

    Inilah niqab yang akan saya pakai ketika ihram, insya-Allah. Terima kasih kepada teman yang meminjamkan.

    Niqab haji dan umrah

    Niqab Semasa Ihram

    Masa inilah saya sempat merakam video Kipas Giant di Masjid UTHM .

    Ketika itu hanya beberapa detik sebelum azan subuh. Video dirakam dari tempat solat wanita di bahagian atas. Tempat wuduk juga ada di tingkat atas. Kedudukan tempat wuduk sedemikian amat mesra pengguna. Tahniah UTHM.

    Sumbangan Badan Korporat

    Keperluan Haji

    Sumbangan Badan Korporat

    Di sini ingin saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jazakumullahu khaira al-jaza’ kepada badan-badan korporat yang telah menyumbangkan barangan keperluan kepada semua jemaah haji Malaysia 2014.

    1. Maybank – beg dan sejadah
    2. Pharmaniaga – Kit topeng muka
    3. Yayasan Felda – beg peralatan mandi
    4. Colgate – Berus gigi, ubat gigi
    5. TM – Botol spray wuduk dan lampu suluh
    6. NationWide Express – Uncang kasut dan batu untuk melontar jamrah
    7. CCM – Ubat-ubatan
    8. Bank Rakyat – Mini Spray Water Fan (yang paling saya suka)
    9. Minyak angin hijau cap Lang dan lain-lain ubat
    10. Ubat gigi Safi
    11. Berus gigi Oral B
    12. Sim kad Mobily (sim kad pun ada… masya-Allah!)
    13. Takaful Malaysia – Buku Panduan Ibadat Haji Wanita

    Inilah rupa Mini Spray Water Fan. Pihak Tabung Haji sudah pesan awal-awal supaya sorokkan barang ini daripada cucu-cucu semasa kursus perdana haji tempohari. Kalau hendak juga, tunggu datuk balik haji. Eh, bukan cucu saja yang suka, nenek pun suka juga…

    Semoga Allah SWT memberkati rezeki semua pihak yang bermurah hati, Allahumma aamiiiiiin.

    Pergi Haji…

    Insya-Allah kami akan berangkat ke Mekah pada 18.9.2014 melalui KLIA dengan menaiki pesawat KT48 pada jam 1.30 pagi. Ujian sungguh! Rumah saya hanya 10 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai. Mengapa KLIA? Hai, banyak komenlah pulak! Senyum… syukur…

    Sehubungan dengan itu, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafaan di atas segala salah silap saya sepanjang perkenalan kita sama ada disengajakan atau tidak. Doakan kami dan semua jemaah haji 2014 bersamaan 1435H mendapat haji yang mabrur.

    Assalamualaikum. Ilal liqo’… Insya-Allah.

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On

    Submit a Comment

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge

    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_bye.gif
     
    :bye:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_good.gif
     
    :good:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_negative.gif
     
    :negative:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_scratch.gif
     
    :scratch:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_wacko.gif
     
    :wacko:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_yahoo.gif
     
    :yahoo:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_cool.gif
     
    B-)
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_heart.gif
     
    :heart:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_rose.gif
     
    :rose:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_smile.gif
     
    :-)
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_whistle3.gif
     
    :whistle:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_yes.gif
     
    :yes:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_cry.gif
     
    :cry:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_mail.gif
     
    :mail:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_sad.gif
     
    :-(
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_unsure.gif
     
    :unsure:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_wink.gif
     
    ;-)