Pengucapan Awam Dari Kacamata Islam (Public Speaking)




  • Print Friendly

    Pendahuluan

    Assalamualaikum tuan puan yang saya muliakan sekalian. Apa khabar? Semoga semuanya baik-baik sahaja di bawah lindungan rahmat dan kasih sayang Allah.

    Pada hari yang berbahagia ini saya ingin berkongsi tentang pengucapan awam. Sepanjang perjalanan hidup tuan/puan pasti ada seseorang tokoh pengucap yang menjadi kesukaan tuan/puan bukan?

    Mengapa tuan/puan suka mendengarkan kata-katanya? Adakah ucapannya itu mampu menyuntik motivasi, inspirasi, mencolek hati atau dia itu kacak dan lawa?

    Bagaimana kalau tuan/puan pula diminta untuk berucap di khalayak ramai? Bersediakah atau menggigilkah? Hehehe…….. menonton atau menjadi pendengar memang seronok. Macam-macam kita boleh komen orang yang berdiri di hadapan itu bukan?

    “Kau nampak tak, jari dia menggigil…… jelas kelihatan di slaid…… Eh, pembentang yang kedua tu boringlah, ada ke dia baca nota dari awal sambil ke sudah. Aku pun boleh baca sendiri, tak payah datang sini pun tak apa….. nasib baiklah muka dia kacak!”

    Haish, bukan senang hendak bercakap di hadapan orang ramai! Bayangkanlah satu dewan kesemua mata mencorong memandang kita dari atas ke bawah.

    Itu tidak termasuk yang berbual-bual sesama sendiri. Langsung tidak menghormati kita yang terpacak berdiri di pentas. Kalau tidak kuat semangat, mahu menangis dan berlari pulang ke rumah dibuatnya!

    Pengucapan Awam

    Pengucapan Awam

    Kisah Sebenar Pengucapan Awam

    Ustazah Norhafizah Musa seorang penalis dalam rancangan Usrati di Radio IKIM.fm pernah berkongsi kisah dirinya. Semasa kecil dia sering digesa oleh ibu bapanya untuk memasuki pelbagai pertandingan di sekolah.

    Pertama kali memasuki pertandingan tilawah al-Quran semasa darjah satu dia merasa sangat gemuruh. Dia membaca ayat al-Quran berhelai-helai sehingga hilang suara. Dia hanya memberhentikan bacaan apabila penjaga masa datang dan memberitahu supaya berhentikan bacaan kerana masa sudah lama habis.

    Loceng (sudu yang diketuk pada cawan) telah dibunyikan berkali-kali tetapi Ustazah Norhafizah tidak mendengar. Hampir sumbing cawan tersebut diketuk-ketuk oleh penjaga masa.

    Tentu sahaja kita tidak akan mendengar bunyi dari luar diri seandainya bunyi degupan jantung sendiri sangat jelas pada pendengaran kita…… Hah…… cuba kita bayangkan perasaanya saat itu………

    Syukur alhamdulillah, kini beliau memahami mengapa ibu bapanya mendidik beliau sedemikian. Jadilah beliau sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Syukur alhamdulillah kita mendapat nikmat ilmu agama berkat kemampuan beliau berani berbicara di hadapan khalayak.

     

    Kursus Pengucapan Awam

    Dalam dunia ini memang ada manusia istimewa yang dianugerahi Allah kemampuan berbicara di khalayak awam. Bagaimana pula dengan individu yang berdarah gemuruh?

    Situasi bertambah parah apabila tuntutan tugasnya memerlukan dia mempunyai kemahiran pengucapan awam.

    Ah, boleh stres jadinya…… ibarat makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah, buang air besar pun tidak lawas. Ianya boleh mengundang masalah kesihatan yang lain pula.

    Bagaimana sekiranya kita sudah lanjut umur serta sudah berkerjaya, masihkah ada esok bagiku? Esok untuk siapa?

    Jangan risau tuan/puan sekalian, kebesaran seseorang bukanlah terletak di mana dia berada tetapi ke arah mana pergerakannya. Hendak seribu cara, tidak hendak satu dalih pun mencukupi.

    Kemahiran pengucapan awam memang perlu bagi sesetengah individu. Berita baiknya pula ialah ia suatu kemahiran yang boleh diasah dan dipelajari serta dikuasai.

    Kelab Pidato perdana menyediakan ruang untuk sesiapa yang mahu memajukan diri. Testimoni daripada rakan-rakan kita yang sudah menyertainya juga menggalakkan. Silalah baca di bawah ini:

    Bersesuaian dengan tema blog saya yang membicarakan isu-isu berkaitan Islam, rasanya moleklah di sini saya kongsikan tiga belas rukun komunikasi dalam Islam.

    Ia adalah prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi bagi merealisasikan impian menjadi pengucap awam yang berkesan.

    Tiga Belas Rukun Pengucapan Awam Berkesan Dari Kacamata Islam

    Rukun Pengucapan Awam Islam

    Tiga Belas Rukun Pengucapan Awam Berkesan

    1. Rancang Idea Sebelum Bercakap

    Pengucapan awam yang berkesan ibarat projek besar yang kompleks yang memerlukan perancangan rapi. Kaedah pengucapan yang dirancang dengan baik dan sistematik melambangkan kebijaksanaan pengucap.

    Rukun yang pertama ini sangat penting. Saya sendiri walaupun sudah biasa bercakap di hadapan khalayak, tetap akan meluangkan masa untuk menyusun idea dan mencari bahan secukupnya.

    Saya akan ulang-ulang dari awal hingga akhir paling kurang tiga kali di samping membuat catatan ringkas di atas sehelai kertas yang muat di telapak tangan.

    Firman Allah Taala:

    an-Nahl ayat 125

    2. Analisis Audien (Pendengar)

    Cuba kenali mereka yang akan menjadi audien kita dari segi pengetahuan sedia ada serta sikap mereka terhadap subjek yang akan kita sampaikan. Maklumat-maklumat ini amat mustahak diambil kira ketika merancang isi ucapan atau mesej kepada pendengar.

    Ianya demikian kerana setiap manusia adalah unik dan mempunyai keupayaan yang berbeza dalam memahami mesej yang diterima.

    Perolehi seberapa banyak maklumat tentang audien seperti ; bilangan, lingkungan umur, jantina, taraf perkahwinan, bangsa, latarbelakang sosial dan budaya, taraf pendidikan, bahasa, kerjaya dan minat

    Sabda Rasulullah SAW:

    “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing.” (Riwayat Muslim)

    3. Pastikan Isi Ucapan Adalah Benar

    Jika perlu membuat rujukan, rujuklah kepada sumber yang berautoriti dan berkredibiliti. Kebenaran dan kesahihan bicara memang dititikberatkan oleh Islam serta pakar-pakar komunikasi moden.

    Kata-kata yang ditunjangi kepalsuan hanya membawa kepada kebinasaan. Selain dari itu, ia juga akan memusnahkan kredibiliti kita, organisasi yang kita wakili serta fahaman yang menjadi anutan kita.

    Firman Allah Taala:

    al-Ahzab ayat 70

    Sabda Rasulullah SAW:

    Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Busuknya Pembohongan

    Hadis Busuknya Pembohongan

    Sayyidina Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda, “Apabila seseorang hamba bercakap dusta, maka malaikat akan menjauhkan diri daripadanya sejauh sebatu kerana busuk pendustaannya itu.” (At-Tirmizi)(1)

    4. Gaya Bahasa Hendaklah Bersesuaian dan Baik

    Bahasa melambangkan bangsa. Allah mencipta semua bahasa dengan keindahannya masing-masing.

    Manusialah yang mencemari keindahan bahasa itu dengan memilih untuk menggunakan perkataan yang kotor lagi keji.

    Firman Allah Taala:

    al-isra' ayat 53

    Firman Allah Taala:

    al-Baqarah ayat 83

    Firman Allah Taala:

    an-Nisa' ayat 8

    Sabda Rasulullah SAW:

    Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Bercakap Yang Baik-baik Atau Diam Saja

    Hadis Bercakap Yang Baik-baik Atau Diam Saja

    Sayyidina Abu Hurairah r.anhu berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT. dan hari akhirat hendaklah dia memperkatakan perkara yang baik ataupun dia diam.” (Bukhari)(2)

    5. Nada Percakapan Hendaklah Terkawal dan Bersesuaian

    Lontaran suara yang yang lunak serta tuturkata yang lemah lembut merupakan ciri penting dalam usaha-usaha membujuk dan mempengaruhi.

    Kelunakan suara mampu menghunjam ke dasar kalbu lantas memadamkan api pertentangan. Nada suara tuan/puan perlu ada variasi, bukannya mendatar.

    Pastikan kelantangan suara kita sesuai dengan suasana sekitar, saiz dan tahap kebisingan. Jika terlalu kuat, kita akan kelihatan seperti menjerit. Pendengar pastinya tidak selesa diperlakukan sedemikian.

    Sebaliknya jika terlalu perlahan butir bicara kita tidak dapat difahami.

    Nada suara pula tinggikan atau rendahkan mengikut keperluan.

    Kelajuan percakapan suara boleh dipelbagaikan mengikut tempat dan komposisi audien sama ada sedikit atau ramai. Bercakaplah lambat-lambat untuk menerangkan perkara yang kompleks dan sukar difahami.

    Bercakaplah sepatah demi sepatah jika berucap di tempat terbuka seperti di padang atau di masjid yang bertujuan untuk didengari dan diambil perhatian oleh penduduk sekitar. Bercakap lambat-lambat perlu kerana kawasan ini menyebabkan suara kita boleh melantun semula.

    Suasana akan menjadi hingar-bingar dan tidak dapat difahami mesej yang hendak disampaikan jika bercakap laju-laju di tempat seperti di atas.

    Cuba dengarkan pengacara majlis pertandingan kawad ini bertutur. Dia bercakap sepatah demi sepatah pada durasi 10:44 hingga 11:20.

    Tentukan juga bilakah masa untuk berhenti, meneruskan ucapan, menarik dan menghembus nafas. (tolong jangan bernafas di mikrofon ye, tak rela I mendengarkannya……).

    Elakkan juga bunyi-bunyi yang tidak berkenaan seperti; ’emm… uh… er..eeee’.. a… aaaa….” Kemahiran yang kelihatannya remeh temeh ini memerlukan latihan berterusan.

    Firman Allah Taala:

    Taha ayat 43-44

    Firman Allah Taala:

    Luqman ayat 19

    Sabda Rasulullah SAW:

    Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Tentang Lemah-lembut dan Bertolak-ansur

    Hadis Tentang Lemah-lembut dan Bertolak-ansur

    Sayyidina ‘Abdullah bin Mas’ud r.anhu berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Tidakkah saya memberitahu kamu mengenai seseorang yang api neraka haram ke atasnya dan dia haram ke atas api neraka? Dia ialah orang yang hampir kepada semua orang lain dan berkeperibadian lembut serta mudah dalam berurusan dengan orang lain.” (Tirmizi)(3)

    6. Susunan Maklumat Jelas dan Berstruktur

    Mesej yang tersusun dan jelas membantu audien memahami dengan mudah. Selain dari itu ia juga menampakkan persediaan dan kebijaksanaan pada pihak pengucap.

    Sebaliknya mesej yang kabur dan bercelaru bakal mengelirukan dan berpotensi menimbulkan pertentangan.

    Firman Allah Taala:

    an-Nur ayat 54

    7. Bahasa Badan Perlu Menyokong Lisan

    Becakaplah dari lubuk hati yang paling dalam dan bersemangat. Ia akan menjangkit kepada audien atau pendengar untuk bersama menghayati ucapan dan butir bicara yang kita sampaikan. Elakkan berucap seperti membaca warta berita.

    Imam Muslim dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan:

    “Apabila Rasulullah s.a.w berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya lantang (nyaring) dan semangatnya bangkit bagai seorang Panglima perang yang memperingatkan tentang kedatangan musuh yang ingin memerangi umat Islam pada ketika pagi atau petangnya.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

    8. Berhujah Dengan Waras

    Jika ditakdirkan kita perlu berhujah di dalam ucapan yang cuba kita sampaikan, maka berhujahlah dengan hujah yang rasional dan waras.

    Berbalas hujah hanya bersenjatakan emosi semata kelak hanya menonjolkan ketidakmatangan kita sebagai pengucap.

    Firman Allah Taala:

    an-Nahl ayat 125

    Sabda Rasulullah SAW:

    Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Anjuran Berakhlak Mulia

    Hadis Anjuran Berakhlak Mulia

    Sayyidina Umamah r.anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda, “Saya menjamin (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di pinggir syurga bagi seseorang yang tidak ingin bertengkar walaupun dia di pihak yang benar,

    dan (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di tengah syurga bagi seseorang yang tidak berbohong walaupun semasa dia bergurau

    dan (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di darjat yang tertinggi daripada syurga bagi seseorang yang memperelokkan akhlaknya.” (Abu Daud)(4)

    9. Ambil Kira Pendapat Orang Lain

    Betapa hebatpun keilmuan seseorang, ia hanyalah setitik daripada selautan ilmu Allah. Allah juga tidak memberi semua ilmu kepada seseorang.

    Oleh yang demikian, adalah lumrah sekiranya didapati sipolan mahir dalam bidang ini tetapi naïf pula dalam bidang itu. Oleh yang demikian berlapang dada dan bersedia menerima pandangan pihak lain adalah suatu sikap yang terpuji.

    Bak kata pepatah, ‘Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.’

    Firman Allah Taala:

    (9.1)aliimran159

    Firman Allah Taala:

    asy-Syura ayat 38

    10. Amalkan Apa Yang Diucapkan

    Kepimpinan melalui teladan. Dakwah bil hal iaitu menyampaikan mesej melalui tabiat atau akhlak yang baik adalah lebih berkesan daripada semata-mata dakwah bil lisan iaitu bercakap atau berceramah.

    Kita sendiri dapat merasakan kadang kala seorang penceramah itu suaranya tidaklah sesedap mana. Bercakap pula dengan pelat kedaerahan beliau tetapi bicaranya itu menusuk ke hati dan mudah kita ingati seterusnya mengamalkan apa yang beliau sarankan.

    Sebaliknya ada pula penceramah yang kelihatan hebat, lengkap dengan alat bantu yang mampu mengekalkan perhatian pendengar sehingga ke ayat terakhir. Namun, ianya hanya berakhir di dewan itu sahaja. Hanya sampai ke daun telinga buat halwa pendengaran sahaja.

    (Contoh alat bantu pengucapan awam)

    Mungkin inilah yang dikatakan sebagai barakah dan hidayah. Oleh itu, selaraskanlah apa yang kita bicarakan dengan apa yang kita praktikkan.

    Firman Allah Taala:

    Saff ayat 2-3

    Sabda Rasulullah SAW:

    Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Akibat Cakap Tidak Serupa Bikin

    Hadis Akibat Cakap Tidak Serupa Bikin

    Sayyidina Usamah bin Zaid r.anhuma mariwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW., “Pada hari kiamat akan dibawa seorang lelaki lalu dia dicampakkan ke dalam neraka sehingga tali-tali perutnya akan terburai keluar.

    Lelaki itu akan berpusing-pusing di sekeliling tali perutnya itu seperti keldai-keldai mengelilingi pengisar gandum. (Iaitu sebagaimana haiwan yang digunakan untuk mengisar gandum secara tradisional berputar mengelilingi pengisar demikianlah lelaki itu akan berputar mengelilingi tali perutnya sendiri.)

    Ahli-ahli neraka akan datang berhimpun di sisinya lalu mereka bertanya kepadanya, “Wahai polan, mengapa dengan kamu? Tidakkah kamu mengajak kami melakukan kebaikan dan mencegah kami daripada kemungkaran?”

    Maka lelaki itu menjawab, “Sememangnya aku mengajak kamu kepada kebaikan tetapi aku sendiri tidak beramal dengannya, aku mencegah kamu daripada kemungkaran tetapi aku sendiri melakukannya.” (Bukhari)(5)

    11. Tidak Mencela dan Mengumpat

    Menceritakan keburukan individu lain hanya akan mendedahkan kejelekan keperibadian sipengumpat itu sendiri. Kredibiliti seseorang juga akan musnah jika mempunyai sikap sedemikian.

    Kita tentu pernah mendengar ungkapan ‘Sekiranya ada seseorang menceritakan keaiban seseorang kepadamu, percayalah bahawa dialah juga yang suatu masa nanti akan menyebarkan keaibanmu kepada orang yang lain pula.’

    Oleh itu, berfikirlah banyak kali sebelum terlanjur bicara.

    Firman Allah Taala:

    al-Humazah ayat 1

    Sabda Rasulullah SAW:

    “Orang mukmin itu bukanlah jenis orang yang suka mengutuk.” (riwayat At-Tirmizi)

    “Janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam dan meneliti cela-cela mereka.” (Riwayat Abu Daud)

    “Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah.” (Riwayat Al-Bukhari)

    12. Tidak Bersangka Buruk

    Professor Doktor Muhaya Haji Muhammad selalu menyebut rangkaikata ‘Ada – Beri – Dapat’. Apakah maksudnya? Maksudnya ialah kita hendaklah hidup dari dalam ke luar.

    Apa yang wujud dalam diri kita akan membentuk aura yang dapat dirasai oleh orang sekeliling atau sesiapa juga yang sedang berkomunikasi dengan kita.

    Aura diri kita yang positif (baik) akan menarik aura orang yang sama juga. Ianya seperti arus elektrik, tidak terlihat oleh mata, namun boleh dirasa.

    Sikap insan yang ingin kita temui, catat dan senaraikanlah. Seterusnya berusahalah menjadi seperti apa yang kita senaraikan itu. Aura diri kita akan menarik manusia yang sama dengan kita. In shaa Allah.

    Seandainya kita menghadapi audien dengan rasa muhibah dan ceria, mereka juga dapat merasakan dan memberi tindak balas yang serupa. Demikian juga jika sebaliknya.

    Firman Allah Taala:

    al-Hujurat ayat 12

    Sabda Rasulullah SAW:

    Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Siapa Mengasihi Akan Dikasihi

    Hadis Siapa Mengasihi Akan Dikasihi

    Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Amr r.anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. bersabda, “Tuhan ar-Rahman mengasihi hamba-hamba yang mengasihi orang lain. Kamu kasihilah penduduk bumi maka ahli langit akan mengasihi kamu.” (Abu Daud)(6)

    13. Mendengar Dengan Berkesan

    Sewaktu sesi pengucapan awam, biasanya ada sesi soal jawab pada pertengahan atau akhir perhimpunan itu. Komunikasi bukanlah hanya tertumpu kepada mulut yang bercakap bahkan kepada sepasang telinga yang mendengar.

    Kemahiran mendengar dengan berkesan dan baik perlu dipupuk dan dipelajari jika kita mahu menjadi seorang pengucap awam berwibawa.

    Ianya adalah kerana memahami soalan adalah separuh jawapan. Masakan kita dapat memberi maklum balas yang baik kalau kita tidak jelas akan soalan audien? Masakan kita kita dapat memahami seterusnya merasa empati seandainya gagal mendengar dengan baik.

    Rahsia Saya Tenang Berbicara di Hadapan Orang Ramai

    Sebelum mendedahkannya, terlebih dahulu kemaafan saya pohonkan sekiranya apa yang saya kongsikan ini kelihatan agak berat. Namun hakikatnya inilah rahsia yang saya pegang dan paksa diri untuk menggenggamnya.

    Oleh kerana saya berlatar belakangkan pendidikan agama dan selalu mendapat bantuan Allah saat saya terhimpit dengan amanah kepimpinan pelajar, saya dapat menyimpulkan bahawa untuk menjadi pengucap awam berkesan kita hendaklah bercakap ikhlas kerana Allah.

    Jika niat kita kerana Allah, maka kita akan mendapat kekuatan untuk mendirikan solat hajat dua rakaat sebelum berucap. Malah, sekiranya pada malam sebelum berucap itu kita bersolat tahajud lama-lama pun, ucapan kita keesokan harinya an shaa Allah pasti menghasilkan natijah yang sangat baik.

    Ianya disebut sebagai hikmah. Sesiapa yang dikurniakan lidah hikmah in shaa Allah manusia mudah mengikuti pengajarannya tanpa perlu memaksa-maksa. Ianya demikian kerana lidahnya berkata-kata tetapi Allah yang memandu seluruh pancainderanya.

    Kadangkala kita diminta bercakap tentang kepentingan mendirikan solat fardu pada awal waktu. Semasa bercakap entah mengapa asyik tercakap tentang perlunya isteri mentaati suami. Rupa-rupanya audien di hadapan semuanya rajin solat sehinggakan kadangkala mencalar hati suami kerana lebih mengutamakan solat sunat berbanding khidmat kepada suami.

    Dalam hal ini si isteri telah beramal bukan mengikut keutamaan kerana melayani suami lebih penting daripada solat sunat. Ini adalah salah satu contoh bagaimana jika pancaindera kita dipandu oleh pencipta-Nya. Kita akan bercakap bukan mengikut apa yang kita mahu cakap, tetapi kita bercakap apa yang sepatutnya audien kita dengar. Subhanallah……..

    Selain daripada itu, sebelum bercakap saya pastikan hati saya gembira dan ‘kebal’. Menghadapi manusia yang bermacam perangai memerlukan kita barhati kering tetapi empati dan sayang kepada semua orang.

    Pening kepala untuk memahaminya? Memang payah, tetapi saya ada caranya……… . Saya akan pastikan bacaan selawat tafrijiah sebanyak empat puluh kali telah disempurnakan.

    Ada sesetengah individu berkata, buat apa baca selawat yang ada bermacam-macam namanya sedangkan selawat yang terbaik adalah selawat Ibrahimiah?

    Benar selawat Ibrahimiah selawat yang terbaik, namun selawat yang disusun ulama pun ada fadilat-fadilatnya tersendiri. Dalam hal berkomunikasi, selawat Tafrijiah atau nama lainnya; Kamilah dan Nariah adalah paling membantu.

    Selepas bercakap, berdoalah kepada Allah supaya diampunkan segala kesilapan dan mohon Allah membuka hati pendengar tadi supaya memahami, mengamalkan dan menyampaikan pula kepada yang tiada di dalam majlis.

    Kadang kala sesuatu amalan itu seperti keduniaan tetapi di sisi Allah nilainya adalah akhirat. Kadang kala sesuatu amalan itu kelihatan seperti amalan akhirat malangnya di sisi Allah ia hanyalah amalan keduniaan yang menyebabkan pelakunya menyesal di akhirat.

    Astagfirullahal ‘aziiiiiim. Wallahua’lam.

    Penutup Bicara

    Menurut Professor Doktor Muhaya Haji Muhammad lagi, Komunikasi itu bukanlah apa yang kita cakapkan tetapi apakah kesan percakapan kita.

    Oleh yang demikian, orang yang memahami subjek yang akan dibicarakan serta pasti akan kebenarannya hendaklah pula mengenal pasti orang yang layak mendengar bicaranya.

    Bukan semua orang sesuai dijadikan sasaran. Sehubungan dengan itu, metod ucapan hendaklah diambil kira agar usaha menyampaikan mesej menghasilkan tindak balas yang diharapkan.

    Inilah sebabnya pengucap awam perlu menitik beratkan tiga belas rukun berkomunikasi di atas agar mendapat keberkesanan yang maksimum.

    Kepada tuan/puan yang sebelum ini tidak berpeluang mengasah bakat dan kemahiran, jemputlah beramai-ramai menyertai Kelab Pidato Perdana.

    Semoga tercapai apa yang tuan/puan cita-citakan. Akhirnya, ingin saya menitipkan pesanan.

    Saat berada di hadapan ingatkanlah kepada diri sentiasa, “Ya Allah, semua mata sedang memandangku namun Engkaulah yang Maha Mengetahui isi hati dan niatku. Bantulah aku untuk bercakap semata-mata untuk mendapatkan keredaan-Mu. Bantulah aku untuk mengajak mereka membesarkan-Mu, aamiiiiiin………”

    Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

    مَنْ سَنّ َ سُـنـّـَة ً حَسَـنـَة ً فـَلـَهُ أ َجْرُهَا وَأ َجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَاإ ِلـَى يَوْم ِالـْقِيَامَةِ

    وَمَنْ سَـنّ َ سُنـّـَة ً سَيِّـِئَة ً فَعَلـَيْهِ و ِزْرُهَا وَو ِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا

    إ ِلـَى يَوْم ِ الـْقِيَامَةِ

    رواه ابن ماجه

    Sesiapa yang menggalakkan satu kebaikan untuk diikuti dan dilaksanakan oleh orang lain, maka orang yang menggalakkan juga mendapat pahala sehingga hari kiamat.

    Dan sesiapa menggalakkan sesuatu kejahatan lalu kejahatan itu diikuti dan dilaksanakan oleh orang lain, maka orang yang menggalakkan juga mendapat dosa sebagaimana orang yang melakukannya sehingga hari kiamat.

    (Hadis riwayat Ibnu Majah)

    Sila kilk gambar di bawah untuk ke laman sesawang Kelab Pidato Perdana.

    Kelab Pidato Perdana

    http://www.pidatoperdana.com

    Artikel ini ditulis untuk Contest – Tulis pasal Pengucapan Awam (Hidup Ringkas.com).

    Alhamdulillah mendapat tempat ke-empat. Keputusan penuh sila baca DI SINI.

    Semoga bermanfaat.

    Rujukan:

    1. eMercuMedik/conversations
    2. Nota kursus
    3. Ayat-ayat al-Quran:
    4. Maulana Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi. الأحاديث المنتحبة Muntakhab Ahadis – Hadis-hadis Pilihan. 2012. Kuala Lumpur: Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd. halaman:(1) 659, (2) 657, (3) 400, (4) 398, (5) 579, (6) 438.
    5. Kredit gambar: intuitive.com

    Comments

    comments

    Author: dusakal thooluut

    Passion terhadap aktiviti blogging. Semoga Islam tersebar ke seluruh alam. Dunia sementara, akhirat kekal.

    Share This Post On

    Trackbacks/Pingbacks

    1. Keputusan contest - Tulis pasal pengucapan awam - […] arabmykrk.com dengan jumlah trafik sebanyak 17 […]
    2. Contest - Tulis pasal Pengucapan Awam - […] http://arabmykrk.com/islam-%D8%A7%D8%B3%D9%84%D8%A7%D9%85/video/pengucapan-awam-dari-kacamata-islam-public-speaking.html […]

    Submit a Comment

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    CommentLuv badge

    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_bye.gif 
    :bye:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_good.gif 
    :good:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_negative.gif 
    :negative:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_scratch.gif 
    :scratch:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_wacko.gif 
    :wacko:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_yahoo.gif 
    :yahoo:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_cool.gif 
    B-)
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_heart.gif 
    :heart:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_rose.gif 
    :rose:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_smile.gif 
    :-)
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_whistle3.gif 
    :whistle:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_yes.gif 
    :yes:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_cry.gif 
    :cry:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_mail.gif 
    :mail:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_sad.gif 
    :-(
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_unsure.gif 
    :unsure:
    http://arabmykrk.com/wp-content/plugins/wp-monalisa/icons/wpml_wink.gif 
    ;-)