Day: October 23, 2013

Pengucapan Awam Dari Kacamata Islam (Public Speaking)

Pendahuluan

Assalamualaikum tuan puan yang saya muliakan sekalian. Apa khabar? Semoga semuanya baik-baik sahaja di bawah lindungan rahmat dan kasih sayang Allah.

Pada hari yang berbahagia ini saya ingin berkongsi tentang pengucapan awam. Sepanjang perjalanan hidup tuan/puan pasti ada seseorang tokoh pengucap yang menjadi kesukaan tuan/puan bukan?

Mengapa tuan/puan suka mendengarkan kata-katanya? Adakah ucapannya itu mampu menyuntik motivasi, inspirasi, mencolek hati atau dia itu kacak dan lawa?

Bagaimana kalau tuan/puan pula diminta untuk berucap di khalayak ramai? Bersediakah atau menggigilkah? Hehehe…….. menonton atau menjadi pendengar memang seronok. Macam-macam kita boleh komen orang yang berdiri di hadapan itu bukan?

“Kau nampak tak, jari dia menggigil…… jelas kelihatan di slaid…… Eh, pembentang yang kedua tu boringlah, ada ke dia baca nota dari awal sambil ke sudah. Aku pun boleh baca sendiri, tak payah datang sini pun tak apa….. nasib baiklah muka dia kacak!”

Haish, bukan senang hendak bercakap di hadapan orang ramai! Bayangkanlah satu dewan kesemua mata mencorong memandang kita dari atas ke bawah.

Itu tidak termasuk yang berbual-bual sesama sendiri. Langsung tidak menghormati kita yang terpacak berdiri di pentas. Kalau tidak kuat semangat, mahu menangis dan berlari pulang ke rumah dibuatnya!

Pengucapan Awam
Pengucapan Awam

Kisah Sebenar Pengucapan Awam

Ustazah Norhafizah Musa seorang penalis dalam rancangan Usrati di Radio IKIM.fm pernah berkongsi kisah dirinya. Semasa kecil dia sering digesa oleh ibu bapanya untuk memasuki pelbagai pertandingan di sekolah.

Pertama kali memasuki pertandingan tilawah al-Quran semasa darjah satu dia merasa sangat gemuruh. Dia membaca ayat al-Quran berhelai-helai sehingga hilang suara. Dia hanya memberhentikan bacaan apabila penjaga masa datang dan memberitahu supaya berhentikan bacaan kerana masa sudah lama habis.

Loceng (sudu yang diketuk pada cawan) telah dibunyikan berkali-kali tetapi Ustazah Norhafizah tidak mendengar. Hampir sumbing cawan tersebut diketuk-ketuk oleh penjaga masa.

Tentu sahaja kita tidak akan mendengar bunyi dari luar diri seandainya bunyi degupan jantung sendiri sangat jelas pada pendengaran kita…… Hah…… cuba kita bayangkan perasaanya saat itu………

Syukur alhamdulillah, kini beliau memahami mengapa ibu bapanya mendidik beliau sedemikian. Jadilah beliau sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Syukur alhamdulillah kita mendapat nikmat ilmu agama berkat kemampuan beliau berani berbicara di hadapan khalayak.

 

Kursus Pengucapan Awam

Dalam dunia ini memang ada manusia istimewa yang dianugerahi Allah kemampuan berbicara di khalayak awam. Bagaimana pula dengan individu yang berdarah gemuruh?

Situasi bertambah parah apabila tuntutan tugasnya memerlukan dia mempunyai kemahiran pengucapan awam.

Ah, boleh stres jadinya…… ibarat makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah, buang air besar pun tidak lawas. Ianya boleh mengundang masalah kesihatan yang lain pula.

Bagaimana sekiranya kita sudah lanjut umur serta sudah berkerjaya, masihkah ada esok bagiku? Esok untuk siapa?

Jangan risau tuan/puan sekalian, kebesaran seseorang bukanlah terletak di mana dia berada tetapi ke arah mana pergerakannya. Hendak seribu cara, tidak hendak satu dalih pun mencukupi.

Kemahiran pengucapan awam memang perlu bagi sesetengah individu. Berita baiknya pula ialah ia suatu kemahiran yang boleh diasah dan dipelajari serta dikuasai.

Kelab Pidato perdana menyediakan ruang untuk sesiapa yang mahu memajukan diri. Testimoni daripada rakan-rakan kita yang sudah menyertainya juga menggalakkan. Silalah baca di bawah ini:

Bersesuaian dengan tema blog saya yang membicarakan isu-isu berkaitan Islam, rasanya moleklah di sini saya kongsikan tiga belas rukun komunikasi dalam Islam.

Ia adalah prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi bagi merealisasikan impian menjadi pengucap awam yang berkesan.

Tiga Belas Rukun Pengucapan Awam Berkesan Dari Kacamata Islam

Rukun Pengucapan Awam Islam
Tiga Belas Rukun Pengucapan Awam Berkesan

1. Rancang Idea Sebelum Bercakap

Pengucapan awam yang berkesan ibarat projek besar yang kompleks yang memerlukan perancangan rapi. Kaedah pengucapan yang dirancang dengan baik dan sistematik melambangkan kebijaksanaan pengucap.

Rukun yang pertama ini sangat penting. Saya sendiri walaupun sudah biasa bercakap di hadapan khalayak, tetap akan meluangkan masa untuk menyusun idea dan mencari bahan secukupnya.

Saya akan ulang-ulang dari awal hingga akhir paling kurang tiga kali di samping membuat catatan ringkas di atas sehelai kertas yang muat di telapak tangan.

Firman Allah Taala:

an-Nahl ayat 125

2. Analisis Audien (Pendengar)

Cuba kenali mereka yang akan menjadi audien kita dari segi pengetahuan sedia ada serta sikap mereka terhadap subjek yang akan kita sampaikan. Maklumat-maklumat ini amat mustahak diambil kira ketika merancang isi ucapan atau mesej kepada pendengar.

Ianya demikian kerana setiap manusia adalah unik dan mempunyai keupayaan yang berbeza dalam memahami mesej yang diterima.

Perolehi seberapa banyak maklumat tentang audien seperti ; bilangan, lingkungan umur, jantina, taraf perkahwinan, bangsa, latarbelakang sosial dan budaya, taraf pendidikan, bahasa, kerjaya dan minat

Sabda Rasulullah SAW:

“Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing.” (Riwayat Muslim)

3. Pastikan Isi Ucapan Adalah Benar

Jika perlu membuat rujukan, rujuklah kepada sumber yang berautoriti dan berkredibiliti. Kebenaran dan kesahihan bicara memang dititikberatkan oleh Islam serta pakar-pakar komunikasi moden.

Kata-kata yang ditunjangi kepalsuan hanya membawa kepada kebinasaan. Selain dari itu, ia juga akan memusnahkan kredibiliti kita, organisasi yang kita wakili serta fahaman yang menjadi anutan kita.

Firman Allah Taala:

al-Ahzab ayat 70

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Busuknya Pembohongan
Hadis Busuknya Pembohongan

Sayyidina Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda, “Apabila seseorang hamba bercakap dusta, maka malaikat akan menjauhkan diri daripadanya sejauh sebatu kerana busuk pendustaannya itu.” (At-Tirmizi)(1)

4. Gaya Bahasa Hendaklah Bersesuaian dan Baik

Bahasa melambangkan bangsa. Allah mencipta semua bahasa dengan keindahannya masing-masing.

Manusialah yang mencemari keindahan bahasa itu dengan memilih untuk menggunakan perkataan yang kotor lagi keji.

Firman Allah Taala:

al-isra' ayat 53

Firman Allah Taala:

al-Baqarah ayat 83

Firman Allah Taala:

an-Nisa' ayat 8

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Bercakap Yang Baik-baik Atau Diam Saja
Hadis Bercakap Yang Baik-baik Atau Diam Saja

Sayyidina Abu Hurairah r.anhu berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT. dan hari akhirat hendaklah dia memperkatakan perkara yang baik ataupun dia diam.” (Bukhari)(2)

5. Nada Percakapan Hendaklah Terkawal dan Bersesuaian

Lontaran suara yang yang lunak serta tuturkata yang lemah lembut merupakan ciri penting dalam usaha-usaha membujuk dan mempengaruhi.

Kelunakan suara mampu menghunjam ke dasar kalbu lantas memadamkan api pertentangan. Nada suara tuan/puan perlu ada variasi, bukannya mendatar.

Pastikan kelantangan suara kita sesuai dengan suasana sekitar, saiz dan tahap kebisingan. Jika terlalu kuat, kita akan kelihatan seperti menjerit. Pendengar pastinya tidak selesa diperlakukan sedemikian.

Sebaliknya jika terlalu perlahan butir bicara kita tidak dapat difahami.

Nada suara pula tinggikan atau rendahkan mengikut keperluan.

Kelajuan percakapan suara boleh dipelbagaikan mengikut tempat dan komposisi audien sama ada sedikit atau ramai. Bercakaplah lambat-lambat untuk menerangkan perkara yang kompleks dan sukar difahami.

Bercakaplah sepatah demi sepatah jika berucap di tempat terbuka seperti di padang atau di masjid yang bertujuan untuk didengari dan diambil perhatian oleh penduduk sekitar. Bercakap lambat-lambat perlu kerana kawasan ini menyebabkan suara kita boleh melantun semula.

Suasana akan menjadi hingar-bingar dan tidak dapat difahami mesej yang hendak disampaikan jika bercakap laju-laju di tempat seperti di atas.

Cuba dengarkan pengacara majlis pertandingan kawad ini bertutur. Dia bercakap sepatah demi sepatah pada durasi 10:44 hingga 11:20.

Tentukan juga bilakah masa untuk berhenti, meneruskan ucapan, menarik dan menghembus nafas. (tolong jangan bernafas di mikrofon ye, tak rela I mendengarkannya……).

Elakkan juga bunyi-bunyi yang tidak berkenaan seperti; ’emm… uh… er..eeee’.. a… aaaa….” Kemahiran yang kelihatannya remeh temeh ini memerlukan latihan berterusan.

Firman Allah Taala:

Taha ayat 43-44

Firman Allah Taala:

Luqman ayat 19

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Tentang Lemah-lembut dan Bertolak-ansur
Hadis Tentang Lemah-lembut dan Bertolak-ansur

Sayyidina ‘Abdullah bin Mas’ud r.anhu berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Tidakkah saya memberitahu kamu mengenai seseorang yang api neraka haram ke atasnya dan dia haram ke atas api neraka? Dia ialah orang yang hampir kepada semua orang lain dan berkeperibadian lembut serta mudah dalam berurusan dengan orang lain.” (Tirmizi)(3)

6. Susunan Maklumat Jelas dan Berstruktur

Mesej yang tersusun dan jelas membantu audien memahami dengan mudah. Selain dari itu ia juga menampakkan persediaan dan kebijaksanaan pada pihak pengucap.

Sebaliknya mesej yang kabur dan bercelaru bakal mengelirukan dan berpotensi menimbulkan pertentangan.

Firman Allah Taala:

an-Nur ayat 54

7. Bahasa Badan Perlu Menyokong Lisan

Becakaplah dari lubuk hati yang paling dalam dan bersemangat. Ia akan menjangkit kepada audien atau pendengar untuk bersama menghayati ucapan dan butir bicara yang kita sampaikan. Elakkan berucap seperti membaca warta berita.

Imam Muslim dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan:

“Apabila Rasulullah s.a.w berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya lantang (nyaring) dan semangatnya bangkit bagai seorang Panglima perang yang memperingatkan tentang kedatangan musuh yang ingin memerangi umat Islam pada ketika pagi atau petangnya.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

8. Berhujah Dengan Waras

Jika ditakdirkan kita perlu berhujah di dalam ucapan yang cuba kita sampaikan, maka berhujahlah dengan hujah yang rasional dan waras.

Berbalas hujah hanya bersenjatakan emosi semata kelak hanya menonjolkan ketidakmatangan kita sebagai pengucap.

Firman Allah Taala:

an-Nahl ayat 125

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Anjuran Berakhlak Mulia
Hadis Anjuran Berakhlak Mulia

Sayyidina Umamah r.anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda, “Saya menjamin (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di pinggir syurga bagi seseorang yang tidak ingin bertengkar walaupun dia di pihak yang benar,

dan (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di tengah syurga bagi seseorang yang tidak berbohong walaupun semasa dia bergurau

dan (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di darjat yang tertinggi daripada syurga bagi seseorang yang memperelokkan akhlaknya.” (Abu Daud)(4)

9. Ambil Kira Pendapat Orang Lain

Betapa hebatpun keilmuan seseorang, ia hanyalah setitik daripada selautan ilmu Allah. Allah juga tidak memberi semua ilmu kepada seseorang.

Oleh yang demikian, adalah lumrah sekiranya didapati sipolan mahir dalam bidang ini tetapi naïf pula dalam bidang itu. Oleh yang demikian berlapang dada dan bersedia menerima pandangan pihak lain adalah suatu sikap yang terpuji.

Bak kata pepatah, ‘Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.’

Firman Allah Taala:

(9.1)aliimran159

Firman Allah Taala:

asy-Syura ayat 38

10. Amalkan Apa Yang Diucapkan

Kepimpinan melalui teladan. Dakwah bil hal iaitu menyampaikan mesej melalui tabiat atau akhlak yang baik adalah lebih berkesan daripada semata-mata dakwah bil lisan iaitu bercakap atau berceramah.

Kita sendiri dapat merasakan kadang kala seorang penceramah itu suaranya tidaklah sesedap mana. Bercakap pula dengan pelat kedaerahan beliau tetapi bicaranya itu menusuk ke hati dan mudah kita ingati seterusnya mengamalkan apa yang beliau sarankan.

Sebaliknya ada pula penceramah yang kelihatan hebat, lengkap dengan alat bantu yang mampu mengekalkan perhatian pendengar sehingga ke ayat terakhir. Namun, ianya hanya berakhir di dewan itu sahaja. Hanya sampai ke daun telinga buat halwa pendengaran sahaja.

Scroll to Top