40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 11. Rasuah Berleluasa

11. Rasuah Berleluasa

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman: 11. Rasuah Berleluasa
40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman: 11. Rasuah Berleluasa

عن معاذ بن جبل رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: خذوا العطاء ما دام عطاءا
فإذا صار رشوة فى الدين فلا تأخذوه ولستم بتاركيه يمنعكم الفقر والحاجة

Ertinya:

Daripada Muaz Bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasullullah saw. bersabda:

“Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya.

Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut menjadi fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya.”

Hadis riwayat at-Tabrani dan Abu Nuaim

Mu’adh bin Jabal r.a. said, I heard the Messenger of Allah peace be upon him says:

“Take the gift is for it remains as a gift. But when it has become corrupt in the eyes of religion, then do not you take it.

But the fact you will not be able to leave the bribe because you are afraid of becoming poor and you have need for it. ”

Hadith narrated by at-Tabarani and Abu Nuaim

Keterangan:

Pada akhir zaman, rasuah akan menjadi-jadi di kalangan masyarakat dan wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan. Wang juga diperlukan untuk mendapatkan kemudahan dan bantuan daripada pihak yang berpangkat dan berkuasa.

Wang telah menjadi Tuhan yang di sembah oleh setiap orang yang tamak dan rakus. Di dalam keadaan yang sebegini rupa, individu tersebut sudah tidak mempedulikan sesiapa. Maka musnahlah akhlak dan runtuhlah budi. Apa yang tinggal hanyalah kezaliman dan penindasan daripada segolongan lapisan masyarakat terhadap golongan yang benar-benar memerlukan.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 33-34
Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 10. Bahaya Kemewahan

10. Bahaya Kemewahan

Hadith Akhir Zaman: 10. Bahaya Kemewahan

Ertinya:

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Makkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya).

Selain daripada itu Baginda sedih kerana memandangkan nasib Mus’ab sekarang. Ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin, Mus’ab r.a terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaannya.

Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan sehelai pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula.

Apabila diangkatkan satu hidangan, diletakan pula satu hidangan yang lain. Kamu juga menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka’bah?”.

Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”.

Lalu Nabi saw. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”.

(Hadis riwayat at-Turmuzi)

Keterangan:

Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan di dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan.

Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat.

Tetapi Nabi kita Muhammad saw. mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada berbuat ibadat kepada Allah swt., sepertimana yang berlaku pada hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi.

Namun begitu, apabila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita pula sangat jauh ketinggalan.

Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah.

Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., “Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)”.

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Dia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian.

Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi pada saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

Oleh kerana itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan.

Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak.

Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan dia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 30-32
Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 9. Islam Kembali Dagang

9. Islam Kembali Dagang

Islam Kembali Dagang
Hadith Akhir Zaman: 9. Islam Kembali Dagang

Ertinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing itu.”

(H.R. Muslim)

Keterangan:

Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya berbanding penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh dua pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri.

Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat.

Contohnya; Kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang. Tindakan dia ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bergurau senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk

Begitulah seterusnya nasib lslam pada akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 28-29

Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 8. Penyakit Umat-Umat Dahulu

8. Penyakit Umat-Umat Dahulu

hadis akhir zaman, penyakit umat-umat dahulu

Ertinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”.

Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?”

Nabi saw. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah;

1. Terlalu banyak seronok,

2. Terlalu mewah,

3. Menghimpun harta sebanyak mungkin,

4. Tipu menipu dalam merebut harta-benda dunia,

5. Saling memarahi,

6. Hasud menghasud sehingga jadi zalim menzalimi”.

Hadis riwayat al-Hakim

Keterangan:

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah saw. tadi telah banyak kita lihat
di kalangan kaum muslimin pada hari ini.

Di sana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing.

Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa-nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah.

Pada ketika itu, hilanglah nilai-nilai akhlak. Senario yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya.

Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 26-27

Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 7. Golongan yang Sentiasa Menang

7. Golongan Yang Sentiasa Menang

Hadith Akhir Zaman: 7. Golongan yang Sentiasa Menang
Hadith Akhir Zaman: 7. Golongan yang Sentiasa Menang

Ertinya:

Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata, “Rasulullah saw. bersabda, “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga tiba suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya”.

(H.R. Bukhari)

Keterangan:

Allah swt. telah menjadikan umat Muhammad ini umat yang terakhir sekali. Oleh itu Allah swt. berjanji akan memelihara kitabnya (al-Quran) dan memastikan lahirnya generasi demi generasi yang akan memikul tugas dakwah hingga tetap wujud golongan mukminin dipermukaan bumi ini.

Kalau kita meneliti sejarah umat Islam mulai zaman permulaan penyebarannya hingga ke hari ini, kita akan mendapati bahawa umat Islam telah teruji sepanjang sejarah dengan ujian yang berat-berat.

Ujian itu bermula dari golongan musyrikin di Mekah dan munafiqin, Yahudi dan Nasrani di Madinah seterusnya gerakan riddah, Majusi yang berselimutkan Islam, golongan Bathiniyah, pengaruh falsafah dan pemikiran Yunani.

Tidak ketinggalan serangan bangsa Moghul dan bangsa Tatar yang menghancurkan tamdun Baghdad pada pertengahan abad keenam Hijrah. Begitu pula halnya dengan penyembelihan beramai-ramai kaum Muslimin ketika berlakunya kejatuhan kerajaan Islam di Andalus (Sepanyol).

Seterusnya disambung dengan pengaruh-pengaruh imperialis Barat terhadap dunia Islam, gerakan Zionis Yahudi dan missionary Nasrani yang mempunyai alatan dan kemudahan yang banyak.

Selanjutnya serangan dari segi pemikiran dan kebudayaan dan sebagainya terus menerus tanpa kesudahan. Walaupun ujian yang sangat dahsyat melanda umat Islam di sepanjang sejarah namun mereka masih wujud dan masih lagi mempunyai identiti dan peranan yang hebat di dalam peta dunia pada hari ini.

Walaupun pada hari ini ada di kalangan umat Islam yang tidak mengambil berat tentang agama mereka tetapi dalam masa yang sama masih ada golongan yang bersungguh-sungguh untuk mempelajari agama dan memperjuangkannya.

Walaupun ramai di kalangan umat Islam yang telah hancur moral dan akhlaknya tetapi masih ada lagi golongan yang berakhlak tinggi dan berpekerti luhur. Walaupun syiar-syiar Islam diinjak-injak di beberapa tempat tetapi di kawasan lain syiar-syiar Islam masih lagi gagah dan teguh.

Meskipun aktivis-aktivis Islam ditindas dan diseksa di suatu lokasi, namun di tempat lain mereka akan disanjung dan dihormati. Begitulah seterusnya umat Islam tidak akan lenyap dari permukaan bumi ini hinggalah sampai masa yang dikehendaki oleh Allah swt.

Maka pada masa itu Allah swt. akan mematikan semua orang Islam dengan tiupan angin yang mematikan setiap jiwa yang beriman dan yang tinggal selepas itu hanyalah orang-orang yang jahat atau orang kafir, lalu pada saat itulah akan berlakunya hari kiamat.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 24-25

Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Scroll to Top