HADITH / HADIS / الحديث النبوي

Hadith Akhir Zaman, Muntakhab Ahadith, Ramadhan, Riadhus Solihin, dan lain-lain.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 11. Rasuah Berleluasa

11. Rasuah Berleluasa

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman: 11. Rasuah Berleluasa
40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman: 11. Rasuah Berleluasa

عن معاذ بن جبل رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: خذوا العطاء ما دام عطاءا
فإذا صار رشوة فى الدين فلا تأخذوه ولستم بتاركيه يمنعكم الفقر والحاجة

Ertinya:

Daripada Muaz Bin Jabal r.a. berkata, aku telah mendengar Rasullullah saw. bersabda:

“Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya.

Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut menjadi fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya.”

Hadis riwayat at-Tabrani dan Abu Nuaim

Mu’adh bin Jabal r.a. said, I heard the Messenger of Allah peace be upon him says:

“Take the gift is for it remains as a gift. But when it has become corrupt in the eyes of religion, then do not you take it.

But the fact you will not be able to leave the bribe because you are afraid of becoming poor and you have need for it. ”

Hadith narrated by at-Tabarani and Abu Nuaim

Keterangan:

Pada akhir zaman, rasuah akan menjadi-jadi di kalangan masyarakat dan wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan. Wang juga diperlukan untuk mendapatkan kemudahan dan bantuan daripada pihak yang berpangkat dan berkuasa.

Wang telah menjadi Tuhan yang di sembah oleh setiap orang yang tamak dan rakus. Di dalam keadaan yang sebegini rupa, individu tersebut sudah tidak mempedulikan sesiapa. Maka musnahlah akhlak dan runtuhlah budi. Apa yang tinggal hanyalah kezaliman dan penindasan daripada segolongan lapisan masyarakat terhadap golongan yang benar-benar memerlukan.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 33-34
Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 10. Bahaya Kemewahan

10. Bahaya Kemewahan

Hadith Akhir Zaman: 10. Bahaya Kemewahan

Ertinya:

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., “Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Makkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya).

Selain daripada itu Baginda sedih kerana memandangkan nasib Mus’ab sekarang. Ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin, Mus’ab r.a terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaannya.

Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi pada waktu pagi dengan sehelai pakaian, dan pergi pada waktu petang dengan pakaian yang lain pula.

Apabila diangkatkan satu hidangan, diletakan pula satu hidangan yang lain. Kamu juga menutupi (menghias) rumah kamu sepertimana kamu memasang kelambu Ka’bah?”.

Maka jawab sahabat, “Wahai Rasulullah, tentunya pada waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”.

Lalu Nabi saw. bersabda, “Tidak! Keadaan kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu pada hari itu”.

(Hadis riwayat at-Turmuzi)

Keterangan:

Dalam hadis ini Nabi kita Muhammad saw. menerangkan bahawa umatnya pada suatu masa kelak akan mendapat kekayaan dan kelapangan di dalam kehidupan. Pagi petang pakaian silih berganti. Hidangan makanan tidak putus-putus. Rumah-rumah mereka tersergam indah dan dihias dengan bermacam-macam perhiasan.

Dalam keadaan demikian kita juga mungkin akan berkata seperti perkataan sahabat. Kalau semuanya sudah ada, maka senanglah hendak membuat ibadat.

Tetapi Nabi kita Muhammad saw. mengatakan, “Keadaan serba kekurangan itu adalah lebih baik untuk kita”, ertinya lebih memungkinkan kita untuk beribadat.

Kemewahan hidup banyak menghalang seseorang daripada berbuat ibadat kepada Allah swt., sepertimana yang berlaku pada hari ini. Segala yang kita miliki walaupun tidak melebihi keperluan, namun ianya sudah mencukupi.

Namun begitu, apabila dibandingkan dengan kehidupan para sahabat, kita jauh lebih mewah daripada mereka, sedangkan ibadat kita pula sangat jauh ketinggalan.

Kekayaan dan kemewahan yang ada, selalu menyibukkan kita dan menghalang daripada berbuat ibadah.

Kita sibuk menghimpun harta dan juga sibuk menjaganya serta sibuk untuk menambah lebih banyak lagi. Tidak ubah seperti apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah saw., “Seandainya seorang anak Adam itu telah mempunyai satu jurang emas, dia berhasrat untuk mencari jurang yang kedua, sehinggalah ia dimasukkan ke dalam tanah (menemui kematian)”.

Begitulah gambaran yang sebenar terhadap kehaloban manusia dalam menghimpun harta kekayaan. Dia sentiasa mencari dan menambah, sehinggalah ia menemui kematian.

Maka ketika itu, barulah ia sedarkan dirinya dengan seribu satu penyesalan. Tetapi pada saat itu sudah tidak berguna lagi penyesalan.

Oleh kerana itu janganlah kita lupa daratan dalam mencari harta kekayaan. Tidak kira halal atau haram, yang penting dapat harta. Tidak kira waktu sembahyang, bahkan semua waktu digunakan untuk menimbun kekayaan. Biarlah kita mencari mata benda dunia pada batas-batas keperluan.

Kalau berlebihan bolehlah digunakan untuk menolong orang lain yang kurang bernasib baik, suka menderma dan suka bersedekah, sebagai simpanan untuk hari akhirat kelak.

Orang yang bijak adalah orang yang mempunyai perhitungan untuk masa akhiratnya dan dia menjadikan dunia ini tempat bertanam dan akhirat tempat memetik buahnya.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 30-32
Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 9. Islam Kembali Dagang

9. Islam Kembali Dagang

Islam Kembali Dagang
Hadith Akhir Zaman: 9. Islam Kembali Dagang

Ertinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing itu.”

(H.R. Muslim)

Keterangan:

Islam mulai tersebar di Makkah dengan keadaan yang sangat asing dan dagang. Sangat sedikit penganut dan pendukungnya berbanding penentangnya. Kemudian setelah itu Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga dianuti oleh dua pertiga penduduk dunia. Kemudian Islam kembali asing dan dirasa ganjil dari pandangan dunia, bahkan pada pandangan orang Islam sendiri.

Sebahagian daripada orang Islam merasa ganjil dan pelik bila melihat orang Islam yang iltizam (komitmen) dengan Islam dan cuba mengamalkan tuntutan Islam yang sebenar. Seorang yang iltizam dengan Islam dipandang sepi oleh masyarakat dan terlalu susah untuk diterima sebagai individu yang sihat.

Contohnya; Kalau ada sesuatu program kemasyarakatan kemudian masuk waktu sembahyang, tiba-tiba ada seorang yang meminta diri untuk menunaikan sembahyang. Tindakan dia ini dianggap tidak sopan dan kurang wajar. Sedangkan orang yang tidak bersembahyang sambil bergurau senda ketika orang lain bersembahyang tidak dianggap sebagai perbuatan yang salah dan terkutuk

Begitulah seterusnya nasib lslam pada akhir zaman. Ia akan terasing dan tersisih dari masyarakat, bahkan tersisih dari pandangan orang Islam sendiri yang mengaku sebagai umat Islam dan marah apabila dikatakan yang dia bukan orang Islam.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 28-29

Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Doa Memasuki Pasar

Doa memasuki kedai atau pasar yang diajarkan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. Saya memang mengamalkan doa-doa ini. Alhamdulillah, biasa juga mendapat potongan harga tanpa dijangka dan insyaAllah dilindungi daripada segala keburukan. Jom kita amalkan dengan istiqamah………

1) Diriwayatkan di dalam kitab at-Tirmizi dan selainnya daripada saidina Umar bin Khattab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

doa masuk kedai
hadis tentang doa masuk kedai/pasar

Ertinya:

Siapa yang memasuki pasar kemudian mengucapkan:

doa memasuki kedai/pasar
doa ketika memasuki kedai/pasar (1)

‘(La ilaha illallah wahdahu la syarika lahu lahul-mulku wa lahul-hamdu yuhyi wa yumitu wahuwahayyun layamut biyadihil-khairu wahuwa ‘alakulli syai in qadir).’

Maknanya:

”(Tiada Tuhan yang patut disembah selain Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya seluruh kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia Maha menghidupkan lagi Maha mematikan. Dia Maha hidup dan tidak akan pernah mati. Di tangan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha kuasa atas segala sesuatu.)”

Maka akan ditetapkan baginya satu juta pahala, akan dihapuskan daripadanya satu juta dosa dan akan diangkat darjatnya satu juta tingkat.

Diriwayatkan oleh al-Hakim Abu Abdillah dalam kitab al-Mustadrak ‘alash-Sahihain dari banyak jalur. Pada sebahagian jalurnya ada tambahan: “Dan didirikan baginya rumah di syurga. ”

2) Daripada Buraidah r.a, dia berkata: ”Apabila Rasulullah s.a.w. memasuki pasar, baginda mengucapkan:

doa ketika memasuki kedai/pasar
doa memasuki kedai/pasar (2)

Ertinya:

“Dengan nama Allah. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan pasar ini dan kebaikan apa yang terdapat di dalamnya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan pasar ini dan kejahatan apa yang ada di dalamnya. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada aku terkena sumpah palsu dan hasil yang rugi. “

Testimoni Terkini
Post ini sebenarnya saya keluarkan daripada artikel yang bertajuk Panduan Memilih Mekanik Dan Bengkel. Ketika itu bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Selepas menyiapkan artikel itu dan menetapkan hari dan masa untuk disiarkan (biasanya saya menetapkan artikel saya tersiar pada Hari Isnin jam 14.45), saya pun bersiap-siap untuk ke Madrasah Manarul Hikmah Lil-Banat, Layang-Layang untuk mengambil anak-anak perempuan saya pulang bercuti sempena Idul Fitri.

Setibanya di kawasan perumahan kami, saya singgah ke sebuah kedai pakaian untuk meninjau harga jubah untuk perempuan sebelum membelinya di sebuah kedai lain yang menarik minat kami sekeluarga. Sedang kami membelek-belek jubah, tuan punya kedai bersuara, “Semua jubah itu harganya RM80.00.” “Ye? RM180.00? Saya mengulangi kata-katanya untuk mendapatkan kepastian. Kebetulan saya sedang membelek jubah yang berharga RM180.00, saya biasa membanding-banding harga jubah sedemikian di facebook. Memang harganya sekitar RM150.00 ke atas.

“Tidak, RM80,00 sahaja.” jawabnya. “Oh, ye ke? MasyaAllah, alhamdulillah, terima kasih” jawab saya. Syukur ………. kami tidak perlu bersusah-susah untuk menawar harga dan akhirnya kami membeli tiga helai jubah di kedai itu sahaja.

Esoknya, sewaktu ke kedai minyak Petronas mata saya tertancap ke suatu permainan. Ianya hanyalah berupa empat ekor itik yang berlainan saiz. Biasanya ia ada di dalam iklan sabun mandian (Tuan/puan cubalah tinjau di kedai Petronas, masih ada lagi). Kebetulan anak kami ada empat orang dan jarang-jarang dapat berkumpul, jadi saya pun mencapainya untuk dibahagi-bahagikan kepada mereka. Harga yang tertera di situ RM12.00. “Mahal ni, tidak mengapalah, sesekali……..” getus saya di dalam hati. Sewaktu hendak membayar, juruwang memberitahu harganya cuma RM6.80………. alhamdulillah lagi dan lagi……..

Nota
Beramallah untuk mendapatkan reda Allah. Kalau kita mengejar akhirat, insyaAllah akhirat dapat dan dunia pun akan datang dengan menghina diri. Kalau diniatkan untuk dunia, akhirat terlepas dan dunia akan menjauh sambil mengejek kita kembali.

Dunia datang dengan menghina diri bermaksud, apa-apa keuntungan dunia yang telah Allah tetapkan untuk menjadi milik kita, pasti dan pasti akan kita perolehi, meskipun kita tidak pernah mengangankannya atau mengingininya. Dunia datang kepada kita dengan perintah Allah.
Ia menjadi hina kerana bak kata pepatah ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.

3 hadis berkaitan klik sini.


Al-Azkar

1. Imam An-Nawawi. Terjemahan Al-Azkar Imam An-Nawawi. 2010. Selangor Darul Ehsan: Al-Hidayah Publication. Halaman 492-493.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 8. Penyakit Umat-Umat Dahulu

8. Penyakit Umat-Umat Dahulu

hadis akhir zaman, penyakit umat-umat dahulu

Ertinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”.

Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?”

Nabi saw. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah;

1. Terlalu banyak seronok,

2. Terlalu mewah,

3. Menghimpun harta sebanyak mungkin,

4. Tipu menipu dalam merebut harta-benda dunia,

5. Saling memarahi,

6. Hasud menghasud sehingga jadi zalim menzalimi”.

Hadis riwayat al-Hakim

Keterangan:

Penyakit-penyakit yang disebutkan oleh Rasulullah saw. tadi telah banyak kita lihat
di kalangan kaum muslimin pada hari ini.

Di sana sini kita melihat penyakit ini merebak dan menjalar dalam masyarakat dengan ganasnya. Dunia Islam dilanda krisis rohani yang sangat tajam dan meruncing.

Dengan kekosongan rohani itulah mereka terpaksa mencari dan menimbun harta benda sebanyak-banyaknya untuk memuaskan hawa-nafsu. Maka apabila hawa nafsu diperturutkan tentunya mereka terpaksa menggunakan segala macam cara dan tipu helah.

Pada ketika itu, hilanglah nilai-nilai akhlak. Senario yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, hasud-menghasud dan sebagainya.

Marilah kita merenung maksud hadis ini, dan marilah kita bermuhasabah.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 26-27

Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Scroll to Top