HADITH / HADIS / الحديث النبوي

Hadith Akhir Zaman, Muntakhab Ahadith, Ramadhan, Riadhus Solihin, dan lain-lain.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 3. Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

3. Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

Wahan
Hadis Akhir Zaman: Hadis 2

Ertinya:

Daripada Thauban رضي الله عـنه berkata, “Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.”

Maka salah seorang sahabat bertanya, “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?”

Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. ”

Seorang sahabat bertanya: ”Apakah ’wahan’ itu hai Rasulullah?”

Baginda menjawab: ”Cinta dunia dan takut mati.”

(Hadith riwayat Abu Daud)

Keterangan:

Keadaan umat Islam pada hari ini, menggambarkan kebenaran sabdaan
Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Walaupun bilangan umat Islam ramai iaitu kira-kira 1/5 jumlah penduduk dunia, mereka selalu dipersendakan dan menjadi alat permainan bangsa-bangsa lain.

Mereka ditindas, diinjak ,disakiti, dibunuh dan sebagainya. Walaupun bangsa dari seluruh dunia berbeza-beza agama tetapi mereka bersatu untuk melawan dan melumpuhkan kekuatan Islam.

Sebenarnya, segala kekalahan kaum muslimin adalah berpunca dari sikap orang Islam itu sendiri. Ianya demikian kerana Orang Islam mempunyai penyakit ’wahan’ iaitu penyakit campuran dari dua unsur yang selalu wujud dalam bentuk kembar dua. Penyakit itu adalah ’cinta dunia’ dan ’takut mati’.

Kedua-dua penyakit ini tidak dapat dipisahkan.’Cinta dunia’ bermaksud tamak, rakus, bakhil dan tidak mahu mendermakan harta di jalan Allah سبحانه وتعالى.

‘Takut mati’ pula bermakna leka dengan kehidupan dunia dan tidak membuat persiapan untuk menghadapi negeri akhirat dan tiada kemahuan untuk berkorban dengan diri dan jiwa serta harta dalam memperjuangkan agama Allah سبحانه وتعالى.

"Kitab hadis akhir zaman"
Rujukan:
ابو على البنجري الندوي (احمد فهمى زمزم). ١٩٩٩.امڤت ڤولوه حديث تنتڠ ڤريستيوا أخير زمان. قدح دارالأمان: الخزانة البنجرية. موك سورة: 18-19

Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada anak murid Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 2. Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?

2. Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?

Hadis Akhir Zaman: Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?
Hadis Akhir Zaman: Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Pemusnahan?

Ertinya:

Daripada Ummul Mukminin Zainab binti Jahsy isteri Rasulullah صلى الله عليه وسلم, beliau berkata,

“(Pada suatu hari) Rasulullah صلى الله عليه وسلم masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan cemas sambil bersabda, La ilaha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab daripada kejahatan (mala petaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Ya’juj dan Ma’juj seperti ini.”

Baginda menemukan hujung ibu jari dengan hujung jari yang di sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan.

Saya (Zainab binti Jahsy) bertanya, “Ya Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?” Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda, “Ya, jikalau kejahatan terlalu banyak.”

(Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Keterangan:

Hadith di atas menerangkan bahawa apabila di suatu tempat atau negeri sudah terlampau banyak kejahatan, kemungkaran dan kefasikan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat tersebut. Ia tidak menimpa hanya ke atas orang jahat sahaja, bahkan orang-orang yang soleh juga akan dibinasakan.

Walau bagaimanapun pada hari kiamat kelak semua makhluk akan diperhitungkan mengikut amalan yang telah mereka dilakukan semasa hidup di dunia.

Oleh kerana itu, segala macam kemungkaran dan kefasikan hendaklah segera dibasmi dan segala kemaksiatan hendaklah segera dimusnahkan. Tindakan ini adalah perlu agar tidak terjadi mala petaka yang bukan sahaja bakal menimpa orang-orang yang melakukan kemungkaran dan kejahatan tersebut, malahan juga semua orang yang berada di tempat itu.

Dalam hadith di atas, walaupun khusus disebutkan bangsa Arab, tetapi ianya adalah meliputi keseluruhan bangsa yang ada di dunia ini. Tujuan disebutkan bangsa Arab secara khusus adalah kerana Nabi kita صلى الله عليه وسلم sendiri adalah daripada kalangan mereka.

Selain daripada itu, kebanyakan penganut agama Islam pada zaman permulaan penyebarannya adalah terdiri daripada bangsa Arab dan hanya sedikit daripada bangsa yang lain. Begitu juga halnya dalam masalah yang berkaitan dengan maju mundurnya umat Islam adalah banyak bergantung kepada maju mundurnya bangsa Arab itu sendiri. Bahasa rasmi agama Islam juga adalah Bahasa Arab.

Ya’juj dan Ma’juj pula adalah dua bangsa daripada keturunan Nabi Adam عليه السلام yang dahulunya banyak membuat kerosakan di muka bumi ini. Batas daerah kediaman mereka telah ditutup oleh Iskandar Zulkarnain dan pengikut-pengikutnya dengan campuran besi dan tembaga. Oleh yang demikian mereka tidak dapat keluar sehinggalah hampir tiba hari kiamat.

Pada masa itu, dinding yang kuat tadi akan hancur lalu keluarlah kedua-dua bangsa tersebut dari kediaman mereka lantas membuat kerosakan di muka bumi ini kembali. Apabila ini telah terjadi, ia menandakan bahawa hari kiamat sudah dekat sekali tiba saatnya……

"Kitab hadis akhir zaman"
Rujukan:
ابو على البنجري الندوي (احمد فهمى زمزم). ١٩٩٩.امڤت ڤولوه حديث تنتڠ ڤريستيوا أخير زمان. قدح دارالأمان: الخزانة البنجرية. موك سورة: 15

Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada anak murid Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

علامات الساعة Hadith Akhir Zaman: 1. Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Pada Akhir Zaman

1. Takwa Dan Perpaduan Asas Keselamatan Pada Akhir Zaman

Taqwa dan perpaduan asas keselamatan pada akhir zaman
Hadith Akhir Zaman: Hadith 1

Ertinya:
Daripada Abi Najih al-`Irbadh bin Sariah رضي الله عنه berkata: “Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menasihati kami dengan suatu nasihat yang menggeletarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya.

Lalu kami berkata, “Ya Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seolah-olahnya ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka berikanlah pesanan kepada kami.”

Baginda bersabda, “Aku mewasiatkan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat kepada pemimpin sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya di kalangan kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak.

Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar).

Gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Keterangan:
Hadis di atas mengandungi pesanan-pesanan yang sangat berharga daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada umatnya. Terutamanya apabila mereka berhadapan dengan zaman yang penuh dengan kacau bilau dan perselisihan, iaitulah seperti zaman yang sedang kita hadapi sekarang ini. Oleh kerana itu, sesiapa yang mahu selamat, maka hendaklah dia mengikuti tunjuk ajar yang telah disabdakan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم dalam hadis ini:

1. Hendaklah dia istiqamah bertakwa kepada Allah dalam keadaan apa jua dengan mengerjakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya.

2. Mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum muslimin walaupun seandainya mereka terdiri daripada golongan hamba selagi mereka berpegang dengan al-Qur’an dan sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم dan sunnah-sunnah khulafa’ al-Rashidin. Patuh kepada penguasa yang mempunyai sifat-sifat ini bererti patuh kepada al-Qur’an dan hadis Nabi صلى الله عليه وسلم.

3. Berpegang teguh kepada sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم dan sunnah para khulafa’ al-Rashidin al-Mahdiyyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali رضي الله عنهم) kerana mereka telah mendapat petunjuk daripada Allah سبحانه وتعالى iaitu berpegang kepada fahaman dan amalan Ahli Sunnah wal-Jamaah yang mendapat jaminan selamat daripada api neraka dan bertuah mendapat syurga pada hari kiamat nanti.

4. Menjauhi perkara-perkara bid’ah dholalah iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambahkan kepada Agama Islam yang sempurna ini, sedangkan tiada dalil atau asal dan contoh daripada agama. Sekiranya ada asal atau dalil, maka tidaklah perkara-perkara yang baharu itu dikatakan bid’ah menurut pengertian syara’ (bukan bid’ah dholalah) tetapi hanya dinamakan bid’ah menurut pengertian lughah atau bahasa sahaja (bid’ah hasanah).

"Kitab hadis akhir zaman"
Rujukan:
ابو على البنجري الندوي (احمد فهمى زمزم). ١٩٩٩.امڤت ڤولوه حديث تنتڠ ڤريستيوا أخير زمان. قدح دارالأمان: الخزانة البنجرية. موك سورة: 12 – 14

Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada anak murid Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

IKTIKAF: Amalan Yang Lebih Baik Daripada Sepuluh Tahun Iktikaf

Ikramul Muslimin: Hak-hak Orang Islam: Hadith 968/155

(155) Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, daripada Nabi صلى الله عليه وسلم baginda bersabda, “Barangsiapa berjalan untuk menunaikan suatu keperluan (hajat) saudaranya, maka hal itu lebih baik daripada sepuluh tahun i’tikaf.

Barangsiapa yang beri’tikaf sehari kerana Allah, maka Allah menjadikan (menjauhkan) antara dia dan neraka (sejauh) tiga parit, yang satu paritnya lebih jauh daripada jarak antara bumi dan langit.”

(Hr. Thabrani dalam al-Awsath, dan isnadnya jayyid – Majma’uz Zawaa’id VIII/351)

Rujukan:

1. فضيلة الشيخ محمد يوسف الكاندهلوى حفـظه لله تعالى. ١٤١٨ه. الأحاديث المنتحبة فى الصفات الست للدعوة إلى الله تعالى. نظام الدين دلهى الجديدة (الهند). مكتبة فيض عام. صفحة: ٢٩٤

2. Penghimpun: Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi. Penyusun: Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi. MUNTAKHAB AHADITH (Terjemahan Muhammad Qosim at-Timori). 2004. Johor Bahru: JAMI’ATUL ULUM AR-RAHMAN YPI ASH SHODIQEEN & PERNIAGAAN JAHABERSA. m.s. 542

RIADHUS SHALIHIN (1) : Taubat – Hadith 11

Riadhus Solihin: Taubat (Hadith 11)

Abdullah bin ‘Abbas dan Anas bin Malik رضي الله عنهم mereka telah berkata: Bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Sendainya seorang anak Adam (manusia) mempunyai suatu lembah emas, pasti dia ingin mempunyai dua lembah. Tiada yang dapat menutup mulutnya (tidak ada yang dapat menghentikan kerakusannya kepada dunia) kecuali tanah (maut) dan Allah berkenan memberi taubat kepada sesiapa saja yang bertaubat.”
(Bukhari, Muslim)

Rujukan:
Imam Abu Zakariya Yahya bin Syaraf Annawawy (Terjemahan Salim Bahreisy). 1977. RIADHUS SHALIHIN 1. Bandung: PT ALMA’ARIF m.s 46.

Scroll to Top