Al-Quran – القرءان

Ayat-ayat Al-Qur’an – القرءان

Majlis Agama Islam Negeri Johor

Program Penilaian Semula Hafiz Hafizah Al-Quran Negeri Johor

Cuti Persekolahan

Assalamualaikum wrt. wbt.

Kini cuti persekolahan sudahpun seminggu berlalu. Namun tahukah tuan/puan sekalian bahawa pelajar-pelajar sekolah tahfiz tidak bercuti? Sepanjang tahun hanya ada dua musim cuti persekolahan yang panjang bagi mereka.

Pertama cuti Hari Raya Eidul Fitri dan kedua cuti Hari Raya Eidul Adha. Itupun hanyalah selama sepuluh hari setiap kali.

Sesi pengajaran dan pembelajaran pula dimulakan sejurus selepas solat fardu subuh. Sudah pasti mereka telah bangkit awal untuk mandi, berpakaian sempurna dan bersolat tahajud terlebih dahulu.

Cuti mingguan hanya bermula pada waktu zuhur hari Sabtu sehinggalah penghujung asar hari Ahad.
Kira-kira sejam sebelum maghrib hari Ahad malam Isnin kelas telah dimulakan kembali. Setiap hari kelas hanya berakhir selepas Isya’.

Demikianlah padatnya sesi pembelajaran bakal hufaz. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan jika terdapat segelintir pelajar yang tidak mampu menghabiskan sehingga khatam tiga puluh juzuk.

Sudah menjadi kebiasaan sekiranya kita mendapati kaki-kaki mereka berkematu lantaran lamanya duduk sopan bertimpuh menghadap guru.

Betapa hati ini mencemburui darjat mereka yang khas di sisi Allah Robbul ‘Alamin.

Sabda Nabi SAW:

Hadis Orang Istimewa Allah
Hadis Orang Istimewa Allah

Sayyidina Anas r. anhu berkata Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya bagi Allah SWT ada hamba-hamba-Nya yang istimewa sebagaimana sesebuah rumah ada ahlinya yang istimewa.”

Para sahabat r.anhum bertanya, “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?”

Baginda SAW menjawab, “Mereka ialah ahli al-Quran, mereka ialah orang istimewa Allah SWT.”

(Mustadrak Hakim)(1)

Kita dituntut agar memuliakan golongan ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

Hadis Anjuran Memuliakan Tiga Golongan
Hadis Anjuran Memuliakan Tiga Golongan

Sayyidina Abu Musa Asy’ari r.anhu berkata Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya memuliakan tiga jenis orang ialah termasuk dalam memuliakan Allah SWT:

1. Seorang muslim yang tua.
2. Hafiz al-Quran yang tidak menambah dan mengurangkan.
3. Pemerintah yang adil.

(Abu Daud)(2)

Keterangan: Maksud daripada ‘tidak menambah dan mengurangkan’ ialah dia mengambil berat untuk membaca al-Quran dan tidak melampaui had tajwid dan huruf-huruf sebagaimana ahli riyak. (Bazlul Majhud)

Sehubungan dengan itu pihak Jabatan Agama telah lama mengambil inisiatif memperuntukkan sejumlah elaun kepada mereka. Walau bagaimanapun, kini ada beberapa peraturan yang diperketatkan bagi menjaga kualiti para hufaz tersebut.

Peraturan sedemikian telahpun dilaksanakan di negeri-negeri lain sedangkan di Johor ianya baru dikuatkuasakan.

Program Penilaian Semula/ Pemantauan/ Isbat

Ustazah bersama para pelajar
Ustazah bersama para pelajar

Alhamdulillah, pada bulan September yang lalu dengan izin Allah SWT saya berkesempatan menyertai sekumpulan tiga belas orang hafizah dari sebuah madrasah tahfiz menjalani ‘Pemantauan’ di Masjid Bandar Daerah Kluang Johor.

Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 11.30 pagi. Seramai lapan orang menjalani ujian serentak. Para pemeriksa telah didatangkan dari Majlis Agama Islam daerah-daerah lain.

Majlis Agama Islam Negeri Johor
Majlis Agama Islam Negeri Johor

Menurut maklumat yang diterima, saya hampir pasti bahawa para pemeriksa yang kesemuanya lelaki itu adalah hafiz al-Quran juga.

Walau bagaimanapun, sewaktu mengiringi pelajar menjalani ujian serupa di Masjid Sultan Abu Bakar Johor Bahru, saya mendapati pemeriksa bagi pelajar perempuan adalah perempuan.

‘Pemantauan’ atau istilah terbarunya ‘Penilaian Semula’ diwajibkan bagi semua kategori;
• Kategori 10 juzuk
• Kategori 20 juzuk
• Kategori 30 juzuk

‘Pemantauan’ dikenali juga di kalangan para hufaz sebagai isbat. Dalam setahun, penilaian semula diadakan sebanyak dua kali. Bagi kategori 30 juzuk penilaian semula dijalankan pada bulan Mei dan November di Pejabat Agama Daerah Johor Bahru.

Bagi kategori 10 dan 20 juzuk pula, penilaian dijalankan mengikut takwim jabatan agama daerah masing-masing.

Markah lulus adalah 70 peratus, sekiranya markah yang diperolehi kurang daripada 70 peratus, calon dianggap gagal.

Borang Pemarkahan Program Penilaian Semula
Borang Pemarkahan

Nota: Sila klik gambar borang pemarkahan di atas untuk memuat turun borang. (Dengan izin Ustaz Mohd Izudin bin Haji Hasan al-Hafiz)

Bagi pelajar tahfiz, biasanya mereka akan menjalani penilaian sepuluh juzuk demi sepuluh juzuk.
Penilaian kali pertama: Dinilai hafazan juzuk satu hingga sepuluh.
Penilaian kali kedua: Dinilai hafazan juzuk sebelas hingga dua puluh.
Penilaian kali ketiga: Dinilai hafazan juzuk dua puluh satu hingga tiga puluh.

Sebagai contoh; Juzuk 11 hingga 20 mesti lulus barulah boleh mengambil ujian penilaian untuk juzuk 21 hingga 30.

Program penilaian semula. Fail Hafiz Hafizah di Jabatan Agama
Fail Hafiz Hafizah di Jabatan Agama

Urusan berhubung penilaian semula ini boleh diurus oleh pelajar atau ibu bapa pelajar sendiri kerana program ini adalah program untuk orang awam. Asal saja seseorang itu lancar dan bersedia, silalah pergi ke jabatan agama daerah yang terdekat untuk mengisi borang. Jabatan Agama akan menghubungi lewat surat untuk memaklumkan tarikh menjalani ujian.

Penilaian Semula sedang dijalankan
Penilaian Semula sedang dijalankan

Sekiranya gagal di dalam penilaian semula (pemantauan) calon tidak akan mendapat elaun selama 6 bulan. Elaun akan disambung semula sekiranya lulus didalam penilaian yang berikutnya.

Jika tidak dapat hadir sila beri kenyataan seperti; uzur (kedatangan haid), surat tidak sampai dan sebagainya.

Jika tidak hadir JANGAN berdiam diri. Tindakan sedemikian akan menyebabkan calon dianggap tidak memberi komitmen dengan program MAIJ dan tiada alasan yang munasabah. Kesannya calon akan dibuang terus daripada program penilaian semula.

Satu-satunya calon lelaki, dia sedang menuntut di Madrasah Sri Petaling
Satu-satunya calon lelaki (dari madrasah lain – kini belajar alim di Sri Petaling)

Seterusnya ikuti temubual saya dengan Ustaz Mohd Izudin bin Haji Hasan. Penyelaras Program Penilaian Semula Negeri Johor. Dahulu, beliau pernah menuntut di Madrasah Kubang Bujuk seawal usia 13 tahun dan hanya dua tahun beliau berjaya mengkhatamkan hafalan 30 juzuk.

Soal: Berapakah madrasah yang terlibat di dalam program ini?

Jawab: Tiada jumlah yang tertentu melibatkan madrasah kerana ini adalah program penilaian semula awam (terbuka kepada semua orang). Asalkan lancar dan bersedia, datanglah ke Jabatan Agama Daerah untuk mengisi borang.

Pada hari ini kita mengadakannya di masjid sebab ramai calon yang terlibat. Jika sedikit, ujian hanya dibuat di pejabat agama sahaja.

Bagi daerah Kluang, penyelarasnya adalah Imam Mohd Nazri bin Muda. Manakala di seluruh negeri Johor ada seramai 86 orang hafiz hafizah.

Imam Mohd Nazri bin Muda
Imam Mohd Nazri bin Muda

Soal: Bagaimanakah cara kekal istiqamah menghafal al-Qur’an?

Jawab: Peruntukkan waktu yang khusus untuk mengulang hafalan seperti setiap kali selepas Maghrib dan Subuh.

Sebagai contoh; seorang hafiz dapat mengekalkan hafazan 30 juzuknya dengan baik sekali sedangkan beliau bekerja sebagai buruh binaan di Kuala Lumpur. Tiada alasan untuk tidak menghafal al-Qur’an.

Walau bagaimanapun kebanyakan mereka menghafal al-Quran semasa belajar di sekolah tahfiz.

Soal: Ke manakah hala tuju pelajar sekolah tahfiz?

Jawab: Terpulang kepada diri masing-masing. Contohnya beliau sendiri selepas selesai menghafal al-Qur’an beliau mengambil peperiksaan SPM. Seterusnya mengambil diploma, ijazah dan kini sedang menyambung pelajaran ke peringkat Master.

Soal: Boleh ustaz kongsikan tips menghafal al-Quran secara pantas?

Jawab: Saya tidak menggalakkan menghafal cepat. Guru saya berpesan, “SEMAKIN BANYAK HAFALAN, MENGULANG HAFALAN JUGA MESTILAH BANYAK JUGA.”

Contoh;
Setelah menghafal sebanyak 10 juzuk, paling kurang kita mesti mengulang hafalan sebanyak 4 juzuk sehari. Selagi tidak mampu mngulang hafalan sebanyak itu, penambahan hafalan ke juzuk 11 dan seterusnya tidak akan dibuat.

Setelah menghafal 29 juzuk pun (sudah sangat hampir khatam), pengulangan sebanyak 9 hingga 10 juzuk sehari tetap MESTI dilakukan.

Kelancaran hafalan penting dijaga sejak awal. Jadi, untuk menghadapi syahadah iaitu peperiksaan 30 juzuk yang mengesahkan seseorang itu adalah seorang hafiz 30 juzuk adalah mudah sahaja.

Makhraj huruf dan tajwid perlu ditekankan dan dibaiki sewaktu menghafal juzuk-juzuk awal. Jika sudah terlanjur menghafal juzuk yang banyak tanpa menekankan aspek di atas, masalah tersebut sukar dibaiki lagi.

Menunggu giliran untuk penilaian semula (pemantauan / isbat)
Menunggu giliran

Soal: Menyentuh berkenaan imam solat tarawih. Saya perhatikan ada hafiz yang bacaannya sedap dan mampu bertaranum, ada pula hafiz yang bacaannya laju tanpa taranum. Apa pandangan ustaz?

Jawab: Itu adalah kelebihan masing-masing. Ada hafiz yang hafal 30 juzuk dan bersuara sedap. Ada hafiz yang suaranya kurang sedap tetapi akhlaknya baik. Suara sedap bukanlah kayu ukur bahawa seseorang hafiz itulah yang paling baik. Semua itu ada hukmahnya.

Soal: Apakah peranan yang sepatutnya dimainkan oleh ibu bapa kepada pelajar tahfiz?

Jawab: Beri rangsangan dan mengambil berat. Contohnya; pelajar tahfiz itu solatnya bukan di rumah sebaliknya berjamaah di masjid. Jadi, peringatkanlah hal tersebut sewaktu anak berada di rumah.

Jaga hubungan kita dengan Allah. Ingatlah bahawa rezeki hafalan ini daripada Allah jua.

Soal: Manakah yang lebih baik. Menghafal al-quran dahulu baru belajar agama atau belajar agama (alim) baru hafal al-Quran?

Jawab: Terpulanglah kepada kecenderungan masing-masing. Al-Quran adalah nur. Menghafal saat kita sudah remaja atau dewasa mungkin agak sukar kerana kita sudah mulai mempunyai tanggungjawab. Ujian bagi remaja juga tidak kurang hebatnya berbanding jika masih kanak-kanak.

Soal: Apa pendapat ustaz sekiranya pelajar tahfiz yang pulang bercuti asyik menonton televisyen dan seumpamanya. Adakah aktiviti itu akan menjejaskan hafalan mereka?

Jawab: Apa yang penting adalah pembahagian masa. Waktu murajaah, murajaah. Waktu rehat bolehlah menonton televisyen. Gunakanlah kebijaksanaan kita untuk memilih rancangan yang baik-baik. Tahap hafalan itu hanya tuan punya badan yang mengetahui…….

Madrasah Manar el-Hikmah
Madrasah Manar el-Hikmah, Layang-layang, Johor

Suci Dalam Debu

Erk, apa kena mengena lagu ini?…………… :Happy-Grin:

Saya mempunyai kenalan dan saudara yang saya yakin masih menjaga hafalan al-Quran mereka dengan baik.

Apabila saya mengutarakan isu elaun ini, salah seorang menjawab, “Seganlah, kalau kita ini masih budak-budak tidak mengapalah. Sekarang sudah tua, seperti hendak meminta-minta pula rasanya.

Kalau budak-budak, ustaz ustazah atau ibu-bapa yang menguruskan dengan Jabatan Agama lainlah ceritanya……………….”

Seorang lagi pula berkata, “Ada juga guru saya di kampung suruh balik ambil ujian untuk diberi elaun. (Dia seorang guru tahfiz yang berasal dari negeri lain – bukan Johor)

Cubalah bayangkan, Anak sudah tujuh orang. Duit minyak, duit tol lagi. Macam tidak logik pula susah-susah balik untuk menuntut elaun. Tidak mengapalah, rezeki ada di mana-mana……….. Kalau lulus ok juga. Kalau gagal ke, hari ujian itu kebetulan uzur ke?………..”

Hemmm…… “Betul betul betul.” Sampuk Upin dan Ipin. Eh, dari mana kamu datang?…….. :Who-s-the-man:

Baiklah, dua kes di atas saya tinggalkan untuk difikir-fikirkan………

Penyudah Kalamku

Manusia dicipta untuk mengimarahkan bumi. Manual penciptaan kita juga sudah pencipta kita iaitu Allah SWT bekalkan. Ia tidak lain tidak bukan adalah al-Quran yang sesuai untuk segala zaman.

Ayuhlah kita baca, hafal, pelajari kehendak-kehendaknya dan menuruti semua anjurannya. Semoga kelak ia akan menjadi pembela kita di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW:

program penilaian semula hafiz al-quran johor
Hadis al-Quran Pemberi Syafaat

Sayyidina Jabir r.anhu meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Al-Quran ialah pemberi syafaat yang syafaatnya diterima dam pembela yang pembelaannya diterima.

Sesiapa yang meletakkan al-Quran di hadapannya (dengan beramal dengannya) maka al-Quran akan memimpin orang itu ke dalam syurga sementara sesiapa yang meletakkannya di belakang (yakni tidak beramal dengannya) maka al-Quran akan menolaknya ke dalam neraka.”

(Ibnu Hibban)(3)

Keterangan: Maksud ‘al-Quran ialah pembela yang pembelaannya diterima’ ialah al-Quran akan berhujah member pembelaan untuk orang-orang yang membaca dan beramal dengannya supaya darjat mereka ditinggikan.

Sementara terhadap orang-orang yang tidak menghiraukan hak-haknya maka al-Quran akan menuntut, “Kenapa kamu tidak menunaikan hakku?”

Wallahu’lam.

Rujukan:

Maulana Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi. الأحاديث المنتحبة Muntakhab Ahadis – Hadis-hadis Pilihan. 2012. Kuala Lumpur: Maktabah Ilmiah Sdn. Bhd. halaman:(1) 270, (2) 432, (3) 261.

Pengucapan Awam Dari Kacamata Islam (Public Speaking)

Pendahuluan

Assalamualaikum tuan puan yang saya muliakan sekalian. Apa khabar? Semoga semuanya baik-baik sahaja di bawah lindungan rahmat dan kasih sayang Allah.

Pada hari yang berbahagia ini saya ingin berkongsi tentang pengucapan awam. Sepanjang perjalanan hidup tuan/puan pasti ada seseorang tokoh pengucap yang menjadi kesukaan tuan/puan bukan?

Mengapa tuan/puan suka mendengarkan kata-katanya? Adakah ucapannya itu mampu menyuntik motivasi, inspirasi, mencolek hati atau dia itu kacak dan lawa?

Bagaimana kalau tuan/puan pula diminta untuk berucap di khalayak ramai? Bersediakah atau menggigilkah? Hehehe…….. menonton atau menjadi pendengar memang seronok. Macam-macam kita boleh komen orang yang berdiri di hadapan itu bukan?

“Kau nampak tak, jari dia menggigil…… jelas kelihatan di slaid…… Eh, pembentang yang kedua tu boringlah, ada ke dia baca nota dari awal sambil ke sudah. Aku pun boleh baca sendiri, tak payah datang sini pun tak apa….. nasib baiklah muka dia kacak!”

Haish, bukan senang hendak bercakap di hadapan orang ramai! Bayangkanlah satu dewan kesemua mata mencorong memandang kita dari atas ke bawah.

Itu tidak termasuk yang berbual-bual sesama sendiri. Langsung tidak menghormati kita yang terpacak berdiri di pentas. Kalau tidak kuat semangat, mahu menangis dan berlari pulang ke rumah dibuatnya!

Pengucapan Awam
Pengucapan Awam

Kisah Sebenar Pengucapan Awam

Ustazah Norhafizah Musa seorang penalis dalam rancangan Usrati di Radio IKIM.fm pernah berkongsi kisah dirinya. Semasa kecil dia sering digesa oleh ibu bapanya untuk memasuki pelbagai pertandingan di sekolah.

Pertama kali memasuki pertandingan tilawah al-Quran semasa darjah satu dia merasa sangat gemuruh. Dia membaca ayat al-Quran berhelai-helai sehingga hilang suara. Dia hanya memberhentikan bacaan apabila penjaga masa datang dan memberitahu supaya berhentikan bacaan kerana masa sudah lama habis.

Loceng (sudu yang diketuk pada cawan) telah dibunyikan berkali-kali tetapi Ustazah Norhafizah tidak mendengar. Hampir sumbing cawan tersebut diketuk-ketuk oleh penjaga masa.

Tentu sahaja kita tidak akan mendengar bunyi dari luar diri seandainya bunyi degupan jantung sendiri sangat jelas pada pendengaran kita…… Hah…… cuba kita bayangkan perasaanya saat itu………

Syukur alhamdulillah, kini beliau memahami mengapa ibu bapanya mendidik beliau sedemikian. Jadilah beliau sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Syukur alhamdulillah kita mendapat nikmat ilmu agama berkat kemampuan beliau berani berbicara di hadapan khalayak.

 

Kursus Pengucapan Awam

Dalam dunia ini memang ada manusia istimewa yang dianugerahi Allah kemampuan berbicara di khalayak awam. Bagaimana pula dengan individu yang berdarah gemuruh?

Situasi bertambah parah apabila tuntutan tugasnya memerlukan dia mempunyai kemahiran pengucapan awam.

Ah, boleh stres jadinya…… ibarat makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah, buang air besar pun tidak lawas. Ianya boleh mengundang masalah kesihatan yang lain pula.

Bagaimana sekiranya kita sudah lanjut umur serta sudah berkerjaya, masihkah ada esok bagiku? Esok untuk siapa?

Jangan risau tuan/puan sekalian, kebesaran seseorang bukanlah terletak di mana dia berada tetapi ke arah mana pergerakannya. Hendak seribu cara, tidak hendak satu dalih pun mencukupi.

Kemahiran pengucapan awam memang perlu bagi sesetengah individu. Berita baiknya pula ialah ia suatu kemahiran yang boleh diasah dan dipelajari serta dikuasai.

Kelab Pidato perdana menyediakan ruang untuk sesiapa yang mahu memajukan diri. Testimoni daripada rakan-rakan kita yang sudah menyertainya juga menggalakkan. Silalah baca di bawah ini:

Bersesuaian dengan tema blog saya yang membicarakan isu-isu berkaitan Islam, rasanya moleklah di sini saya kongsikan tiga belas rukun komunikasi dalam Islam.

Ia adalah prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi bagi merealisasikan impian menjadi pengucap awam yang berkesan.

Tiga Belas Rukun Pengucapan Awam Berkesan Dari Kacamata Islam

Rukun Pengucapan Awam Islam
Tiga Belas Rukun Pengucapan Awam Berkesan

1. Rancang Idea Sebelum Bercakap

Pengucapan awam yang berkesan ibarat projek besar yang kompleks yang memerlukan perancangan rapi. Kaedah pengucapan yang dirancang dengan baik dan sistematik melambangkan kebijaksanaan pengucap.

Rukun yang pertama ini sangat penting. Saya sendiri walaupun sudah biasa bercakap di hadapan khalayak, tetap akan meluangkan masa untuk menyusun idea dan mencari bahan secukupnya.

Saya akan ulang-ulang dari awal hingga akhir paling kurang tiga kali di samping membuat catatan ringkas di atas sehelai kertas yang muat di telapak tangan.

Firman Allah Taala:

an-Nahl ayat 125

2. Analisis Audien (Pendengar)

Cuba kenali mereka yang akan menjadi audien kita dari segi pengetahuan sedia ada serta sikap mereka terhadap subjek yang akan kita sampaikan. Maklumat-maklumat ini amat mustahak diambil kira ketika merancang isi ucapan atau mesej kepada pendengar.

Ianya demikian kerana setiap manusia adalah unik dan mempunyai keupayaan yang berbeza dalam memahami mesej yang diterima.

Perolehi seberapa banyak maklumat tentang audien seperti ; bilangan, lingkungan umur, jantina, taraf perkahwinan, bangsa, latarbelakang sosial dan budaya, taraf pendidikan, bahasa, kerjaya dan minat

Sabda Rasulullah SAW:

“Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing.” (Riwayat Muslim)

3. Pastikan Isi Ucapan Adalah Benar

Jika perlu membuat rujukan, rujuklah kepada sumber yang berautoriti dan berkredibiliti. Kebenaran dan kesahihan bicara memang dititikberatkan oleh Islam serta pakar-pakar komunikasi moden.

Kata-kata yang ditunjangi kepalsuan hanya membawa kepada kebinasaan. Selain dari itu, ia juga akan memusnahkan kredibiliti kita, organisasi yang kita wakili serta fahaman yang menjadi anutan kita.

Firman Allah Taala:

al-Ahzab ayat 70

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Busuknya Pembohongan
Hadis Busuknya Pembohongan

Sayyidina Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda, “Apabila seseorang hamba bercakap dusta, maka malaikat akan menjauhkan diri daripadanya sejauh sebatu kerana busuk pendustaannya itu.” (At-Tirmizi)(1)

4. Gaya Bahasa Hendaklah Bersesuaian dan Baik

Bahasa melambangkan bangsa. Allah mencipta semua bahasa dengan keindahannya masing-masing.

Manusialah yang mencemari keindahan bahasa itu dengan memilih untuk menggunakan perkataan yang kotor lagi keji.

Firman Allah Taala:

al-isra' ayat 53

Firman Allah Taala:

al-Baqarah ayat 83

Firman Allah Taala:

an-Nisa' ayat 8

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Bercakap Yang Baik-baik Atau Diam Saja
Hadis Bercakap Yang Baik-baik Atau Diam Saja

Sayyidina Abu Hurairah r.anhu berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT. dan hari akhirat hendaklah dia memperkatakan perkara yang baik ataupun dia diam.” (Bukhari)(2)

5. Nada Percakapan Hendaklah Terkawal dan Bersesuaian

Lontaran suara yang yang lunak serta tuturkata yang lemah lembut merupakan ciri penting dalam usaha-usaha membujuk dan mempengaruhi.

Kelunakan suara mampu menghunjam ke dasar kalbu lantas memadamkan api pertentangan. Nada suara tuan/puan perlu ada variasi, bukannya mendatar.

Pastikan kelantangan suara kita sesuai dengan suasana sekitar, saiz dan tahap kebisingan. Jika terlalu kuat, kita akan kelihatan seperti menjerit. Pendengar pastinya tidak selesa diperlakukan sedemikian.

Sebaliknya jika terlalu perlahan butir bicara kita tidak dapat difahami.

Nada suara pula tinggikan atau rendahkan mengikut keperluan.

Kelajuan percakapan suara boleh dipelbagaikan mengikut tempat dan komposisi audien sama ada sedikit atau ramai. Bercakaplah lambat-lambat untuk menerangkan perkara yang kompleks dan sukar difahami.

Bercakaplah sepatah demi sepatah jika berucap di tempat terbuka seperti di padang atau di masjid yang bertujuan untuk didengari dan diambil perhatian oleh penduduk sekitar. Bercakap lambat-lambat perlu kerana kawasan ini menyebabkan suara kita boleh melantun semula.

Suasana akan menjadi hingar-bingar dan tidak dapat difahami mesej yang hendak disampaikan jika bercakap laju-laju di tempat seperti di atas.

Cuba dengarkan pengacara majlis pertandingan kawad ini bertutur. Dia bercakap sepatah demi sepatah pada durasi 10:44 hingga 11:20.

Tentukan juga bilakah masa untuk berhenti, meneruskan ucapan, menarik dan menghembus nafas. (tolong jangan bernafas di mikrofon ye, tak rela I mendengarkannya……).

Elakkan juga bunyi-bunyi yang tidak berkenaan seperti; ’emm… uh… er..eeee’.. a… aaaa….” Kemahiran yang kelihatannya remeh temeh ini memerlukan latihan berterusan.

Firman Allah Taala:

Taha ayat 43-44

Firman Allah Taala:

Luqman ayat 19

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Tentang Lemah-lembut dan Bertolak-ansur
Hadis Tentang Lemah-lembut dan Bertolak-ansur

Sayyidina ‘Abdullah bin Mas’ud r.anhu berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Tidakkah saya memberitahu kamu mengenai seseorang yang api neraka haram ke atasnya dan dia haram ke atas api neraka? Dia ialah orang yang hampir kepada semua orang lain dan berkeperibadian lembut serta mudah dalam berurusan dengan orang lain.” (Tirmizi)(3)

6. Susunan Maklumat Jelas dan Berstruktur

Mesej yang tersusun dan jelas membantu audien memahami dengan mudah. Selain dari itu ia juga menampakkan persediaan dan kebijaksanaan pada pihak pengucap.

Sebaliknya mesej yang kabur dan bercelaru bakal mengelirukan dan berpotensi menimbulkan pertentangan.

Firman Allah Taala:

an-Nur ayat 54

7. Bahasa Badan Perlu Menyokong Lisan

Becakaplah dari lubuk hati yang paling dalam dan bersemangat. Ia akan menjangkit kepada audien atau pendengar untuk bersama menghayati ucapan dan butir bicara yang kita sampaikan. Elakkan berucap seperti membaca warta berita.

Imam Muslim dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan:

“Apabila Rasulullah s.a.w berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya lantang (nyaring) dan semangatnya bangkit bagai seorang Panglima perang yang memperingatkan tentang kedatangan musuh yang ingin memerangi umat Islam pada ketika pagi atau petangnya.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

8. Berhujah Dengan Waras

Jika ditakdirkan kita perlu berhujah di dalam ucapan yang cuba kita sampaikan, maka berhujahlah dengan hujah yang rasional dan waras.

Berbalas hujah hanya bersenjatakan emosi semata kelak hanya menonjolkan ketidakmatangan kita sebagai pengucap.

Firman Allah Taala:

an-Nahl ayat 125

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Anjuran Berakhlak Mulia
Hadis Anjuran Berakhlak Mulia

Sayyidina Umamah r.anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda, “Saya menjamin (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di pinggir syurga bagi seseorang yang tidak ingin bertengkar walaupun dia di pihak yang benar,

dan (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di tengah syurga bagi seseorang yang tidak berbohong walaupun semasa dia bergurau

dan (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di darjat yang tertinggi daripada syurga bagi seseorang yang memperelokkan akhlaknya.” (Abu Daud)(4)

9. Ambil Kira Pendapat Orang Lain

Betapa hebatpun keilmuan seseorang, ia hanyalah setitik daripada selautan ilmu Allah. Allah juga tidak memberi semua ilmu kepada seseorang.

Oleh yang demikian, adalah lumrah sekiranya didapati sipolan mahir dalam bidang ini tetapi naïf pula dalam bidang itu. Oleh yang demikian berlapang dada dan bersedia menerima pandangan pihak lain adalah suatu sikap yang terpuji.

Bak kata pepatah, ‘Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.’

Firman Allah Taala:

(9.1)aliimran159

Firman Allah Taala:

asy-Syura ayat 38

10. Amalkan Apa Yang Diucapkan

Kepimpinan melalui teladan. Dakwah bil hal iaitu menyampaikan mesej melalui tabiat atau akhlak yang baik adalah lebih berkesan daripada semata-mata dakwah bil lisan iaitu bercakap atau berceramah.

Kita sendiri dapat merasakan kadang kala seorang penceramah itu suaranya tidaklah sesedap mana. Bercakap pula dengan pelat kedaerahan beliau tetapi bicaranya itu menusuk ke hati dan mudah kita ingati seterusnya mengamalkan apa yang beliau sarankan.

Sebaliknya ada pula penceramah yang kelihatan hebat, lengkap dengan alat bantu yang mampu mengekalkan perhatian pendengar sehingga ke ayat terakhir. Namun, ianya hanya berakhir di dewan itu sahaja. Hanya sampai ke daun telinga buat halwa pendengaran sahaja.

Khutbah Jumaat: Menentang Penghinaan Nabi SAW Melalui Video Dan Karikatur Anti Islam Di dalam Majalah Perancis

Baca sepenuhnya di blog: Ustaz Norazamudin Umar
Kredit gambar: www.jakim.tv

khutbah jumaat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Di saat kita umat Islam memprotes musuh-musuh Islam yang memang kerja mereka memberi gambaran yang salah berhubung Islam, sejauh mana kesungguhan kita umat Islam untuk melaksanakan sunnah yang ditinggalkan oleh Rasul (s.a.w).

Ada orang Islam yang tidak menghormati masjid yang merupakan baitullah. Apabila pelancong asing datang ke masjid, kita meminta mereka memakai pakaian yang menutup aurat.

Sebaliknya apabila wanita Islam sendiri masuk ke masjid mereka masuk ke rumah Allah (s.w.t) dalam keadaan aurat mereka terdedah tanpa ada sebarang perasaan segan dan malu.

Sejauh manakah cinta kita terhadap Nabi (s.a.w) dalam keadaan ramai umat Islam tidak cukup solat lima waktunya. Sejauh manakah cinta kita terhadap Nabi (s.a.w) dalam keadaan orang Islam yang datang solat subuh dengan bilangan yang boleh dikira dengan jari?

Adakah kita cinta kepada Allah (s.w.t) dan nabinya (s.a.w) dalam keadaan kita menggantungkan ayat al-Kursi atau ayat seribu dinar di atas televisyen kita.

Kita menonton rancangan-rancangan yang tidak diredhai Allah (s.w.t) dan Rasulnya pada masa yang sama kita menggantungkan ayat-ayat Allah di atasnya.

Berapa banyak hadith nabi (s.a.w) yang kita baca atau kita dengar setiap hari? Berapa kali kita sudah menamatkan bacaan buku-buku berkaitan sirah dan sejarah hidup Nabi kita Muhammad (s.a,w) berbanding novel-novel atau majalah hiburan yang kita baca?

Berapa ramai di kalangan kita yang menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid? Berapa ramai di kalangan kita yang tidur semasa mendengar ceramah agama atau semasa khutbah Jumaat disampaikan berbanding mereka yang sanggup menahan mata untuk menyaksikan perlawanan bola sepak atau menonton filem yang diminati?

Mengapakah masih ada yang membaca ipad atau bermain dengan telefon bimbit semasa khutbah di sampaikan? Mengapa masih ada yang bercakap-cakap semasa khutbah disampaikan?

Dimanakah pemuda dan pemudi Islam pada malam hujung minggu? Ini antara beberapa persoalan yang perlu kita fikirkan bersama.


باَرَكَ اللّهُ لِى وَلَكُم فِي القرآنِ الْعَظِيم ، وَنَفَعَنِي وَإيَّاكُم بِالآيَاتِ والذِّكْرِ الْحَكِيم


وَتَقَبَّل مِنِّي وَمِنْكُم تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيم ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ


الْعَظِيمَ لِي وَلَكُم وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَات والْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَات فَاسْتَغْفِرُوه


إِنَّهُ هُوَ الْغًفُورُ الرَّحيم

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Apabila kita membaca maklumat berhubung pengarah filem Innocence of Muslims bahawa dia berketurunan Israel Amerika, maka ia bukanlah suatu yang menghairankan kerana datuk neneknya dahulu telah menyakiti Nabi Musa (a.s). Firman Allah (s.w.t):

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah (s.w.t)

Filem yang menghina Rasul (s.a.w) bukan sahaja mendapat bantahan umat Islam seluruh dunia bahkan mendapat bantahan di kalangan orang bukan Islam termasuklah pemimpin-pemimpin di kalangan Yahudi dan kristian.

Oleh yang demikian, bagaimana dengan orang Islam yang tidur dan makan tetapi tidak mengambil tahu hal-hal yang berlaku disekitarnya seperti filem yang menghina Nabi (s.a.w) sekalipun dia solat, mengerjakan haji dan umrah tetapi tidak merasa sedikit pun di dalam dirinya apa-apa perasaan.

Marilah kita menjadi umat Islam yang sebenarnya yang mencintai Nabi (s.a.w) dan benci kepada sebarang bentuk penghinaan ke atas Nabi (s.a.w)

Mari kita berdoa supaya Allah (s.w.t) menghukum mereka yang menghina Rasulullah (s.a.w) di dalam filem Innocence of Muslims dan karikatur karikatur anti-Islam di sebuah majalah di Perancis.

Sejarah Dan Hukum Menyambut Valentine’s Day

Sejarah Dan Hukum Menyambut Valentine's Day
Sejarah Dan Hukum Menyambut Valentine's Day

Dapatkan mesej bergambar tuan/puan di sini

PENDAHULUAN SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Terdapat beberapa peristiwa sejarah berkenaan tarikh 14 Februari

PERTAMA

Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol pada 14 Februari 1492. St. Valentino merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan tersebut, St. Valentino dianggap sebagai kekasih rakyat.

KEDUA

Sambutan ini mengaitkan dengan kematian paderi St. Valentino ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentino ini.

VERSI PERTAMA

Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa.

St. Valentino sebagai seorang yang kuat berpegang dengan ajaran Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Claudius II.

St. Valentino diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorbanan yang dilakukan oleh St. Valentino ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya.

Malah St. Valentino disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, dia telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu).

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka iaitu St. Valentino.

VERSI KEDUA

Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin.

Justeru itu, Claudius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St. Valentino menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terharap para pemuda-pemuda Rom secara sulit.

Aktiviti St. Valentino ini akhirnya dapat diketahui oleh Claudius II lalu beliau mengarahkan St. Valentino ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

KETIGA

Valentine’s Day berkaitan dengan pesta sambutan kaum Rom Kuno sebelum kedatangan agama Kristian dinamakan Lupercalia.

Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.

Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom Kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari berikutnya mereka akan melakukan upacara penyembahan dan membuat perarakan secara besar-besaran terhadap dewi cinta mereka.

KEEMPAT

Ada pandangan sejarah juga menyatakan sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung pada musim mengawan yang jatuh pada 14 Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

DALIL DAN HUKUM MERAYAKAN HARI VALENTINE

Allah S.W.T telah berfirman:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَہُودَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَ‌ۘ بَعۡضُہُمۡ

أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬‌ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُ ۥ مِنۡہُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat

kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya,

maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (al-Maidah 5: ayat 51)

Allah S.W.T telah berfirman lagi:

لَّا تَجِدُ قَوۡمً۬ا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya (al-Mujadilah 58: ayat 22)

Begitu juga melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:

وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِہِمَا رَأۡفَةٌ۬ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ

Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat (an-Nur 24: ayat 2)

Rasulullah S.A.W telah melarang untuk mengikuti tatacara ibadat selain Islam:

“Barangsiapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk dari kaum tersebut.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Bila merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali Valentine, maka tidak disangsikan lagi bahawa seseorang itu telah kafir, sekiranya dia tidak bermaksud demikian maka dia telah melakukan suatu kemungkaran yang besar.

Menurut Al-Lajnah Ad-Da’imah Lil Buhuts Al-’Ilmiyah Wal Ifta’ (Lembaga Pengkajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi):

  • Ia merupakan satu dosa kerana dengan begitu nyata telah bertasyabbuh (menyerupai perbuatan orang kafir dan tidak soleh).
  • Merupakan Hari Raya Nasrani
  • Seharusnya meninggalkannya dan menjauhinya sebagai sikap taat terhadap Allah dan Rasul-Nya.
  • Diharamkan atas setiap muslim untuk membantu menjayakan Hari Kekasih, baik berbentuk makanan, minuman, penjualan, pembelian produk, hadiah, surat, iklan dan sebagainya.

(Fatwa tersebut disalin dari buku Al-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram)

Asy Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin (Ulama’ Arab Saudi) telah memberi pandangan bahawa tidak boleh merayakan Hari Kekasih kerana:

  • Ia merupakan hari raya bid’ah yang tidak ada dasar hukumnya di dalam syariat Islam.
  • Ia menyebabkan hati menjadi sifat duniawi dan mengejar keseronokan semata-mata.
  • Tidak halal melakukan ritual hari raya, baik dalam bentuk makan-makan, minum-minum, berpakaian, saling tukar hadiah atau pun lainnya.

Penetapan hukum juga telah dijelaskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006. Mesyuarat ini telah memutuskan bahawa:

“Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”

Peringatan Dan Nasihat:

  • Hendaklah setiap Muslim berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam semua keadaan.
  • Hendaklah setiap Muslim benar-benar berwaspada agar tidak terjerumus dalam kesesatan.
  • Hendaklah setiap Muslim kembali kepada Allah dengan memohon petunjuk-Nya dan keteguhan di dalam petunjuk-Nya.
  • Valentine’s Day adalah suatu kelalaian dan merupakan ritual agama lain.
  • Menyampaikan seruan kebenaran adalah kewajipan bagi setiap Muslim

Benarlah sabda Rasulullah berkenaan peristiwa akhir zaman di bawah ini:

Peristiwa Akhir Zaman, Hadis 5
Hadis Akhir Zaman (5)

Ertinya:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”

Hadith riwayat Muslim.

Keterangan:

Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun gaya hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggakan dalam urusan yang kecil dan perkara yang tidak munasabah. Contohnya; seandainya orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka.

Pada masakini kita dapat menyaksikan sendiri kenyataan sabdaan Rasulullah S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nasrani sama ada secara sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani malah ramai pula di kalangan kita yang menjadi alat dan tali barut mereka.

Ya Allah, selamatkanlah kami daripada mereka! Wallahua’lam.

Sumber

1. IBU PEJABAT PERKIM,
TINGKAT 4 & 6, BANGUNAN PERKIM,
150, JALAN IPOH, 51200 KUALA LUMPUR.
TEL: 03-4042 6224/ 03-4041 2482 FAKS: 03-4042 7403
EMEL: info@perkim.net.my
www.perkim.net.my
2. Ayat al-Quran: http://www.quranexplorer.com/quran/

http://www.box.com/s/ftrhxa6bfv83ucy5s8jy

الأحاديث المنتخبة MUNTAKHAB AHADITH 2: Enam Sifat Para Sahabat رضي الله عنهم

Berikut adalah ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan enam sifat unggul para sahabat Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Mari bersama kita hayati. Jika ada kekeliruan, silalah rujuk kepada para ustaz atau ustazah yang lebih memahami. Semoga Allah memberi kefahaman dan petunjukNya kepada kita semua, insyaAllah.

1. Yakin kepada hakikat kalimah toyyibah لاإله إلا الله، محمد رسول الله


2. Solat khusyuk dan khudu’.


3. Ilmu.


4. Ikramul Muslimin.


5. Ikhlas.


6. Dakwah.


Rujukan:
(1) فضيلة الشيخ محمد يوسف الكاندهلوى حفـظه لله تعالى. ١٤١٨ه. الأحاديث المنتحبة فى الصفات الست للدعوة إلى الله تعالى. نظام الدين دلهى الجديدة (الهند). مكتبة فيض عام. صفحة ١٧، ٩١، ١٦٥، ٢٥٩، ٣٥١، ٣٧١-٣٧٢
(2) Penghimpun: Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi. Penyusun: Maulana Muhammad Sa’ad al-Kandahlawi. MUNTAKHAB AHADITH (Terjemahan Muhammad Qosim at-Timori). 2004. Johor Bahru: JAMI’ATUL ULUM AR-RAHMAN YPI ASH SHODIQEEN & PERNIAGAAN JAHABERSA. m.s 1-4, 143-144, 291-292, 481, 639, 677-678.

(3) http://www.readthequran.org/ONLINE/MALAY1/016.html
(4) http://www.quranexplorer.com/quran/
(5) http://praytime.info/quran.php

Scroll to Top