Artikel

Artikel berbahasa Melayu

Amalan-amalan Wajib Bagi Pesakit Gangguan Jin

Sakit ‘gangguan jin’ memang memeritkan. Datangnya tidak menentu. Namun, jika diamat-amati ternyata penyebabnya ialah nipisnya ‘benteng’ diri pesakit (walaupun bukan semua pesakit – maaf). Seandainya pesakit sudah disahkan sembuh, amalan-amalan kerohanian seumpama amalan fardu dan sunat (sunnah) amat perlu dititik-beratkan.

Jika anda leka dan bermalas-malasan, maka bersiap siagalah dengan gangguan-gangguan mereka. Anda harus akur bahawa tubuh badan anda sudah bukan seperti insan normal lainnya. Di dalam badan anda sudah ada highway laluan mereka. Tutupi jalan-jalan tersebut dengan amalan-amalan agama.

Yakinlah bahawa sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى amat mengasihi anda. Dia memberi ujian tersebut kerana hakikatnya Dia mahu memberi anda amalan tambahan agar anda lebih dekat kepadaNya.

Menurut sepotong hadith, (mafhumnya lebih kurang); Allah سبحانه وتعالى telah menetapkan kedudukan seseorang pada suatu darjat tertentu. Namun apabila Allah mendapati orang tersebut belum juga dapat mencapai tahap yang telah Dia tetapkan melalui amalannya, maka Allah سبحانه وتعالى menurunkan ujian berupa sakit dan sebagainya.

Semuanya adalah agar dengan pahala penanggungan sakit dan lain-lain ujian itu, hamba tersebut akan sampai ke darjat tersebut. Oh, betapa Maha Pengasihnya Allah……..

Nota di bawah ini saya petik daripada: Forum Rawatan Sihir

Di sini saya perturunkan beberapa amalan yang perlu dilakukan oleh pesakit gangguan makhluk halus atau sihir yang disyorkan oleh ustaz Haji Abdul Malik Bin Haji Ladzim, iaitu anak murid Ustaz Walid Salam Bali, Mesir. Amalan-amalan ini bolehlah ditokok tambah atau disesuaikan dengan beberapa amalan yang pernah disyorkan di dalam forum ini.

AMALAN WAJIB PESAKIT:


1. Solat berjemaah di masjid atau surau (tempat di mana azan dilaungkan).
2. Sentiasa berwudhuk.
3. Baca بـِسـْــم ِ اللهِ الرَّحـْــمـَـٰــن ِ الرَّحِــيم ِ dalam semua perbuatan dan pekerjaan.
4. Amalkan selepas solat subuh 100 kali.

لاَ إ ِلـَـٰــهَ إ ِلاَّ اللـَّـهُ وَحـْــدَهُ لاَ شـَــر ِيــكَ لـَـهُ، لـَـهُ الـْـمُـلـْـكُ

وَلـَـهُ الـْحـَمـْــدُ يُحـْــيـِي وَيُـمـِــيتُ وَهُــوَ عـَــلـَى كـُلّ ِشـَــيْءٍ قـَــدِيـرٌ


Nota: Perkataan يُحـْــيـِي وَيُـمـِــيتُ boleh disebut atau tidak, terpulang kepada anda.

5. Amalkan membaca al-Quran
– PAGI Surah as-Soffat atau Yassin
– PETANG Surah ad-Dhukan atau al-Jin
6. Denar CD Ruqyah Syariah sehari 3 kali (Wajib dengar dengan khusyuk).
7. Bergaul dengan orang-orang yang soleh.
8. Jangan sesekali mendengar muzik yang diharamkan syariat.
9. Sentiasa menutup aurat dengan sempurna.
10. Perbanyakkan ucapan istighfar 100 kali sehari atau lebih.
11. Jangan berburuk sangka dengan Allah سبحانه وتعالى dan sesama manusia.
12. Baca ayat-ayat berikut ketika hendak tidur.
– Surah al-Fatihah
– Ayat al-Kursi
– Subhanallah 33 kali.
– Alhamdulillah 33 kali.
– Allahu Akbar 33 kali.
– Baca khawatim (penutup) surah al-Baqarah iaitu ayat 285-286 seperti di bawah:


(285) Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya.

(Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

(286) Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

13. Baca surah-surah berikut ketika hendak tidur dan ulangi sebanyak tiga kali:
– al-Ikhlas sekali.
– al-Falaq sekali.
– an-Nas sekali.
– KEMUDIAN DOA: “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada kejahatan JIN dan Manusia”. Hembus atau isyarat meludah ke tapak tangan dan sapukan ke seluruh tubuh yang tercapai oleh tangan tanpa pengecualian.
14. Amalkan bacaan surah al-Baqarah (seluruhnya) setiap 3 hari sekali.
15. Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم sekurang-kurangnya 100 kali sehari.

Himpunan amalan berikut adalah yang termudah dan paling pantas untuk melindungi diri dan rumah kita dari gangguan jin atau syaitan.

Amalan berikut ini ada dalilnya.
Sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir Jilid 1 versi Bahasa Arab terbitan Darul Fikr, halaman 59 – athar daripada Abdullah ibn Mas’ud berkenaan amalan 10 ayat Surah al-Baqarah.

Sepuluh ayat itu ialah 4 ayat pada awal Surah al-Baqarah, ayat al-Kursi (255), 2 ayat selepas ayat al-Kursi (256 – 257) dan 3 ayat terakhir Surah Al-Baqarah.
Kelebihannya: Jika dibaca di dalam rumah pada waktu malam, syaitan tidak akan masuk ke dalam rumah itu pada malam tersebut.
Riwayat lain: Jika dibaca, maka syaitan dan segala sesuatu yang tidak menyenangkan tidak akan mendekatinya dan ahli keluarganya pada hari itu. Jika dibaca kepada orang yang gila maka akan sembuh penyakitnya itu.

Begitu juga amalan Tasbih Nabi Yunus, ada hadith yang berkaitan.

Diamalkan SETIAP PAGI dan SETIAP SELEPAS ASAR (hendak amal lebih, lagi bagus):


1. Al-Baqarah ayat 1-4, 255-257, 284-286 (Sila rujuk di ***1 di bawah, halaman 3 dan 4).
( anggaran 3 minit )
2. Selawat 50 kali – Selawat yang paling pendek ialah “ALLAH humma sali ‘ala Muhammad”

اللـَّــهـُــمَّ صـَــلّ ِ عـَــلـَــى مـُــحـَــمـّـَــدٍ


( anggaran 5 minit )
3. Tasbih Nabi Yunus (doa taubat Nabi Yunus di dalam perut ikan nun) 100 kali – sila rujuk Surah al-Anbiya 87 untuk Arabnya; sebutannya “LA ILAA HA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ ZOOLIMIIIIIIN”

لاَ إ ِلـَـٰــهَ إ ِلاَّ أ َنـْــت َ سـُــبـْــحَــانـَــكَ إ ِنـِّـى كـُــنـْــت ُ مـِــن َ الظـّـَالـِــمـِــيــن



( anggaran 10 minit )

InsyaAllah dengan melaburkan masa 20 minit setiap pagi atau setiap petang, kita akan merasa lebih tenang. Konsentrasi kita kepada kerja dan amal juga dapat ditingkatkan.

Amalan tersebut insyaAllah dapat melindungi diri daripada dimasuki jin, sama ada jin sihir atau jin tanam anggur.

Sekiranya jin memasuki tubuh badan kita, kita akan:
1. Rasa takut melihat cermin di waktu malam (sebab akan nampak satu muka lain yang gelap dan menakutkan).
2. Rasa malas lakukan kerja atau solat.
3. Rasa lenguh berat di leher atau di bahu.
4. Membuat kita rasa pening, migrain atau susah berfikir.
5. Rasa sakit tetapi doktor pun tidak tahu apa puncanya walhal macam-macam pemeriksaan darah, X-ray, MRI, CT-scan sudah dilakukan.

Selain itu, amalan diatas insyaAllah dapat menghalang jin dan syaitan daripada memasuki rumah kediaman kita:

Sekiranya jin dan syaitan dapat masuk, mereka akan:
1. Menyebabkan anak kecil menjerit malam-malam buta, selain takut melihat sesuatu yang kita tidak Nampak.
2. Menganggu rehat tidur kita kerana dada atau kepala kita akan rasa ditindih benda berat.
3. Duduk atau berdiri berdekatan kita menyebabkan kita rasa rimas seolah-olah ada sesuatu yang menakutkan berdekatan kita.
4. Membuat bising di rumah seperti; mengetuk pintu, bumbung, mengalih kerusi meja dan lain-lain.

Untuk mereka yang ada masa, cuba juga tambahkan amalan seperti membaca Surah al-Baqarah sekali atau Surah Yasin sekali atau tiga kali setiap hari.

Secebis kisah masyarakat……………

“Sepulangnya dari berubat, badan saya terasa amat ringan dan boleh duduk tegak di atas kerusi sebelah pemandu. Selama ini masuk saja ke dalam kereta, sudah pasti kerusi itu terus saya baringkan.

Kalau memandu pun saya memandu dalam keadaan kerusi pemandu yang hampir terbaring, tapi mesti kereta auto dan power stering. Kalau tidak, balik rumah tidurlah tak bangun-bangun sampai esok. Sampai rumah apa lagi, saya pun mengemaslah rumah yang macam sarang jin itu.

Selama ini saya memang tidak pernah menjemput orang datang ke rumah kerana malu dengan keadaan rumah yang bersepah. Tetapi malangnya hanya dua hari sahaja saya sihat. Selama dua hari itu pula suami saya terganggu-ganggu tidurnya. Ada yang mencakar kaki dan menghempapnya.

Ketika ini saya merasakan badan saya amat sensitif kepada persekitaran. Dekat dengan pinggan mangkuk kotor sakit, dekat dengan kain baju berlonggok tidak berlipat sakit, dekat dengan benda yang berpalang atau bergantung sakit, dekat dengan sampah sakit, keluar rumah, sakit. Lihat suami, sakit. Tengok tv, sakit. Dengar radio pun sakit. Membuang sampah di belakang rumah lagilah sakit.

Apabila sakit masih berterusan, seorang lagi kawan mengajak kami ke rumah seorang ustaz. Berubat tiga kali belum sembuh juga. Ustaz itu menyuruh saya membaca doa manzil berterusan, bersedekah, berpuasa dan solat sunat taubat. Badan saya di’alin’ dengan tujuh biji telur ayam kampung sebanyak dua sesi. Malangnya tiada apa-apa yang ditemui di dalam telur itu.

Beliau mengatakan bahawa kalau orang ‘memberi’ samada separuh jin di badannya berpindah kepada orang yang diberi atau dia sudah tidak tahan hendak membelanya. Badan saya kesakitan kerana ‘mereka’ tidak serasi dengan saya (tidak diamalkan, lalu mereka tidak mendapat ‘upah’).

Dia juga memberitahu bahawa badan saya sudah menjadi seperti magnet. Apabila berpapasan dengan mana-mana jin, kesemua mereka akan memasuki badan saya. Jika berdekatan dengan orang yang membuat pemujaan, jin akan datang tetapi bukan ke arah mereka sebaliknya kepada saya…….ya Allah………saya sentiasa ketakutan di dalam rumah.

Pintu dan tingkap bertutup rapat sebab kadangkala sedang saya membaca surah Al-Baqarah pun (saya baca tiga hari sekali sejak berubat) badan tetap terasa sakit, bila diperiksa rupanya ada satu tingkap yang terbuka.

Penunjuk bahawa saya ini sihat ialah kemampuan saya untuk bersolat sambil berdiri. Tetapi yang sedihnya sedang saya elok solat berdiri, andai kedengaran loceng jiran India depan rumah saya bersembahyang, tidak semena-mena terjelepuk saya terduduk di dalam solat itu. Sedang molek membasuh pinggan, tiba-tiba nak terduduk bila kedengaran loceng India belakang rumah bersembahyang ‘dhuha’.

Pergi ke kedai orang Melayu (laris kedai ini), tetapi semasa hendak membayar di kaunter, kepala saya seperti disambar elektrik. Cepat-cepat saya ke belakang, lega sedikit. Pergi lagi ke kaunter tempat tuan kedai tu berdiri, sekali lagi kepala saya zzzzzrrrrt….aduhai, kenapakah ini?……

Makan di kedai pun masalah juga, saya terpaksa pastikan bahawa tuan punya kedai tidak menggunakan pelaris ‘jin’. Jika tidak, walaupun makanan itu ditempah oleh seseorang dan diletakkan di surau untuk diagih-agihkan kepada ahli jemaah, lalu ‘orang berpenyakit’ seperti saya memakannya…..jawablah…..menungging……..ini bukan kasyaf tetapi penyakit….

Paling menyakitkan dan taubat kalau bersebelahan dengan orang yang berpenyakit sama dengan saya. Waduh…….nggak tahan……sakitnya pak……Susah jadinya….. yang senang duduk dalam rumah diam-diam. Sejak berubat juga barulah insan jahil seperti saya ini mengetahui bahawa untuk membuat air doa ialah dengan menggunakan air yang belum dipanaskan di atas api seperti air zam-zam, air hujan atau air mineral (yang bertutup biru bukan putih).

Pernah sekali suami saya mengadu dalam tidurnya dia dikacau oleh makhluk seperti manusia tetapi bersirip seperti ikan. Setelah beliau ucapkan kepadanya, “la haula walaa quwwata illa billaah”

“لاَ حـَــوْلَ وَلاَ قـُــوَّة َإ ِلاَّ بـِــاللهِ”

makhluk itu terus mengecil dan lenyap.

Lantas saya pun teringat dahulu semasa menjadi anak angkat Pak Abu. Hairan juga, keluarga-keluarga angkat peserta kursus yang lain dihidangkan dengan lauk ikan yang besar-besar dan dimasak dengan pelbagai cara, tapi keluarga angkat saya pula tidak menyediakan lauk ikan walau seekor pun. Mengapa ye?……..

Malam nak tidur jangan ceritalah, baca ayat macam-macam; awal surah A-Baqarah, ayat Kursi, dua ayat selepas ayat Kursi, tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah, Tiga Kul (isyarat meludah lalu sapu ke seluruh badan), tasbih fatimah, dua tiga macam doa tidur, 5 ayat terakhir Surah Al-Kahf. Lelapkan mata, eh, mereka datang!

Macam-macam rupa….macam rupa hantu-hantu yang dalam tv tu lah, mula-mula takut, lama-lama senyum jelah kat dia orang. Alamak, takleh tido……..camner ni……..

Alhamdulillah suatu pagi tu dengan kehendak Allah saya terdengar doa elak gangguan semasa tidur dari radio. “Auuzu bikalimaatillahit taaaaaammati min ghodhobihi wa’iqobihii wasyarri ‘ibaadihii wa min hamazaatisy syayatiini waany yahdhuruuuun”

أ َعـُــوذ ُ بـِــكـَــلـِــمـَــاتِ اللهِ التـّـَـآمـّـَـاتِ مـِــن ْ غـَــضـَــبـِــهِ

وَعِــقـَــابـِــه وَشـَــرّ ِعـِــبـَــادِهِ وَمـِــن ْ هـَــمَــز َاتِ الشـّـَــيـَــاطِــيــن

وَأ َن يـَــحـْــضـُــرُون

Sebelum tidur, kalau teringat, saya baca awal-awal. Kalau terlupa, dia datang…..nak buat tak tahu?……hemph, tak tidur sampai pagi nanti! bacakan sekali, dua kali….hilang terus rupa makhluk tu. Benarlah, Allah Maha kuasa, makhluk langsung tiada kuasa, kita minta perlindungan daripada Allah kalau mereka mengganggu.

Pesanku kepada pembaca budiman. Jangan ambil mudah perkara ini. Jangan mudah percaya kepada orang lain. Sekiranya anda diberi ilmu seperti ini, tolonglah jangan amalkan tetapi jangan pula anda membiarkannya begitu sahaja, kelak akan menjadi seperti saya. Sebaliknya pulangkan semula kepadanya secara baik.

Jika anda ternampak mentera-mentera berbahasa Melayu di mana-mana walaupun diakhiri dengan ‘dengan berkat kalimah la ilaha illallah’, tolonglah….jangan dibaca langsung. Once (sekali) anda membacanya, khadam ayat itu akan datang dan tidak bakal pergi kecuali di’buangkan’ oleh mereka yang mahir.

Jin dan syaitan memang menunggu-nunggu peluang untuk menjadikan anda syirik kepada Allah. Setiap kerja yang mereka lakukan, pasti berkehendakan upah sehingga akhirnya anda terpaksa mensyirikkan Allah barulah mereka akan menjalankan kerja yang anda pinta. Sama ada untuk; kelihatan hebat, disayangi orang, penjaga harta, kelihatan cantik, menjarangkan anak dan sebagainya.

Hidup di dunia hanya sementara, akhirat jua tempat yang kekal abadi. Meminta hanya kepada Allah dan bukan yang selainNya. Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah sedaging tetapi kepada sesiapa sahaja malah mungkin tanpa disedari penerimanya.

Ambil tahu kegiatan anak-anak anda, sebab mereka memang suka mencuba. Mudah-mudahan iman kita terpelihara sehingga kita selamat bertemuNya……..aamiiiiiin. Wallaahua’lam.”

Tajuk berkaitan:
1. Doa: Zikir agar hati tidak mati
2. DOA: Qunut Nazilah
3. Doa memudahkan tidur
4. Doa ketika ditimpa musibah
5. Doa: Sabda Nabi SAW: “Doa saudaraku Yunus amat menakjubkan…”
6. Cara Mendapat Kasih Sayang Allah سبحانه وتعالى
7. VIDEO: Rawatan Gangguan Jin
8. VIDEO: Zikir ( amalan setiap hari Jumaat ) oleh Tuan Guru Nik Aziz
9. Khadam
10. Bacaan Ruqyah Syariah 1,
11. Waktu Senja: Apa Yang Patut Kita Buat?

Rujukan:
***1. Doa Manzil (Sila belajar secara bertalaqqi -menghadap- guru al-Qur’an bagi mempastikan bacaan anda benar sebelum mengamalkannya)
manzil
2. Forum Rawatan Sihir
3. Majalah ASUH GALERI ILMU SDN. BHD.
4. Virtual Friends.net

Benarkah Allah yang Kamu Sembah?

Md. Asham B. Ahmad
Fellow

11/01/2010 | Artikel Bahasa Malaysia

Muqaddimah

Setiap orang tahu ‘Allah’ bukan perkataan Melayu, akan tetapi tiada siapapun akan mempersoalkan seorang Melayu menggunakan kalimah itu bagi merujuk kepada Tuhan yang disembahnya kerana orang-orang Melayu adalah Muslim, dan semua Muslim dari segala bangsa memanggilNya dengan nama itu kerana itulah nama yang Dia Tanzilkan, dan dengan nama itulah Dia diseru oleh hamba-hambaNya.

Kita sebenarnya bercakap tentang ‘menamakan’ Tuhan; kita tidak boleh memberikannya nama yang salah. Manusia biasa sekalipun akan marah sekiranya nama mereka atau gelaran yang diberikan tidak disebut dengan betul apatah lagi sekiranya ia salah sama sekali.

Akan tetapi kenapa pula perlu kita memberikan nama kepadaNya? Bukankah sepatutnya, sekiranya Dia pernah mentanzilkan apa-apa, namaNya, itulah yang sepatutnya diketahui dengan jelas dan pasti? Sekiranya ada sesuatu kitab yang layak dinamakan Kalam Allah, namaNya tidak sepatutnya tidak diketahui. Bagaimana mungkin Dia dikenali sekiranya namaNya pun tidak diketahui?

Kaum Muslimin tidak mencipta nama untuk Tuhan yang mereka sembah apatah lagi meminjam nama-nama dari mana-mana bahasa bagi merujuk kepada Tuhan. Mereka tidak biasa berbuat demikian kerana nama agama yang mereka anuti itupun,(yakni Islam) dan nama orang-orang yang menyerah diri kepada Allah dengan mengikuti agama itu (Muslim/Muslimun) diberikan oleh Allah sendiri, bukan mereka yang menciptanya, apatah lagi diberikan oleh orang luar. Justeru, mereka tidak boleh menerima gelaran ‘Mohemmadans’, dan agama Islam sebagai ‘Mohemmadanism’. Sebab-sebabnya ialah: pertama, Muhammad bukanlah sebagaimana Jesus Christ pada tanggapan penganut Kristian; Muslim tidak menyembah Muhammad. Kedua, Islam bukan suatu ideologi atau falsafah yang dicipta oleh Muhammad justeru boleh digelar Mohemmadanism. Sebab ketiga ialah Kaum Muslimin sudah kenal siapa diri mereka sejak dari awal lagi. Mereka tidak memanggil diri mereka Muslimin kerana itulah nama yang diberikan oleh orang, tidak seperti penganut Kristian yang memperolehi nama itu dari musuh mereka yakni orang-orang Rom.

Pada pandangan seorang Muslim, amatlah tidak wajar bagi suatu agama yang mendakwa agama yang benar dan ditanzilkan tetapi tidak mempunyai nama bagi Tuhan yang mereka seru manusia untuk menyembahnya. Lebih memalukan lagi sekiranya agama itu meminjam nama itu dari agama lain lebih-lebih lagi pula apabila agama itu dianggap sesat dan menyeleweng!

Isu Kalimah Allah: Kenapa Melayu Menentang

Apabila sesetengah pemuka agama Kristian menuntut ‘hak’ menggunakan Kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian dalam Bahasa Melayu sudah pasti umat Islam akan membantah. Ini tidak sama sekali bermakna mereka mahu ‘memonopoli’ kalimah itu. Sebaliknya mereka hanya menuntut supaya makna sesuatu kalimah tidak dipermainkan sesuka hati. Kalimah yang tepat mesti digunakan bagi merujuk kepada makna yang dimaksudkan. Secara praktikalnya orang Melayu tidak berupaya menghalang mana golongan Kristian yang mahu memanggil Tuhan mereka dengan sebarang nama termasuklah ‘Allah’ bahkan ‘Mickey Mouse’ sekalipun.

Walaubagaimanapun mereka terpaksa menentang kerana isunya kini adalah isu Bahasa Melayu, dan Kalimah Allah seperti yang difahami dalam Bahasa Melayu tidak pernah merujuk kepada tuhan sembahan orang Kristian. Kalimah ‘Tuhan’ sebenarnya sudah memadai untuk tujuan itu, dan kedegilan mahu menggunakan kalimah ‘Allah’ dilihat sebagi penzahiran permusuhan melalui serangan terhadap keutuhan Bahasa Melayu itu sendiri.

Hujah dan Hujah Balas

Segolongan pemuka agama Kristian berhujah bahawa ‘Allah’ juga bermakna tuhan agama Kristian kerana menurut mereka kalimah itu telah digunakan lama dahulu dalam terjemahan Injil Melayu dan buku-buku sembahyang mereka. Mereka juga berhujah bahawa kalimah ‘Allah’ telah lama digunakan oleh masyarakat Kristian-Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Andaikan mereka dapat buktikan kewujudan dokumen-dokumen di atas di mana kalimah Allah boleh ditemui digunakan. Kita boleh membalas bahawa, ia tidak sama sekali membuktikan bahawa ‘Allah’ di dalam Bahasa Melayu juga bererti tuhan Kristian. Ia hanya menunjukkan bahawa percubaan pendakwah-pendakwah Kristian untuk memaksakan maksud mereka terhadap kalimah berkenaan sudah lama berlaku. Sama ada dokumen itu baru atau lama bukanlan soalnya di sini. Apa yang penting ialah bangsa Melayu tidak pernah menggunakan Kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian sebaliknya sesetengah puak Kristianlah, dahulu dan sekarang yang telah bertungkus-lumus berusaha membuat mereka menerima makna tersebut. Kalaulah kalimah Allah itu sememangnya bererti tuhan sepertimana difahami orang Kristian apakah gunanya lagi usaha mengkristiankan bangsa Melayu kerana mereka telahpun Kristian pada hakikatnya!

Kaum Muslimin dan Kristian masing-masing mendakwa agama mereka berasaskan wahyu yang ditanzilkan oleh Tuhan. Kitab pegangan Kaum Muslimin, al-Qur’an, yang ditanzilkan dalam bahasa Arab dengan jelas menyatakan bahawa Allah ialah nama Tuhan yang disembah oleh setiap Muslim tidak kira bangsa atau tanahairnya.

Apa yang kita tahu ialah Kalimah Allah tidak pernah digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek ataupun Latin Kitab Perjanjian Baru dan Lama, dan tiada bukti yang boleh dipercayai tentang kewujudan terjemahan Injil dalam bahasa Arab sebelum Islam. Terjemahan Arab yang pertama dan yang terpenting yang menjadi rujukan utama Kaum Yahudi di negara-negara Islam telah dilakukan oleh Sa’adia ben Joseph (892-942). Beberapa terjemahan Arab moden oleh puak Katolik dan Protestant telah dibuat pada kurun-kurun ke 19 dan 20 Masihi. Ada kemungkinan bahawa kalimah Allah digunakan bagi merujuk kepada Tuhan Kristian dalam terjemahan-terjemahan ini. Namun persoalannya kenapa ‘Allah’, dan bukan istilah-istilah yang digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek dan Latin?

Apa yang nyata kalimah ‘Allah’ hanya digunakan apabila Bible diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Kaum Muslimin, antaranya Bahasa Melayu di mana kalimah itu wujud dan digunakan hasil dari pengislaman bahasa dan akal bangsa Melayu. Kita tidak mungkin menjumpai kalimah Allah dalam Algonquin Bible yang diterjemahkan untuk orang India Amerika pada 1663, apatah lagi dalam versi-versi lain seperti Wycliffe, Tyndale, Douay, King James ataupun Confraternity. Tiada sebab untuk mereka menggunakan Kalimah Allah dalam terjemahan berkenaan bagi merujuk kepada Tuhan Kristian kerana Allah tidak pernah menjadi tuhan orang Indian Amerika ataupun orang Inggeris, justeru kalimah itu tidak wujud dalam bahasa-bahasa mereka.

Amatlah menarik memikirkan kenapa sebahagian pemuka agama Kristian di negara ini begitu bersungguh-sungguh menuntut ‘hak’ menggunakan kalimah Allah dengan berhujah bahawa kalimah itu telah lama digunakan oleh Arab Kristian sebelum kedatangan Islam lagi. Semenjak bila pula orang-orang Arab Kristian dan bahasa mereka menjadi rujukan penting bagi agama Kristian dan masyarakat Kristian secara amnya? Bahasa Arab langsung tidak penting jika dibandingkan dengan bahasa Hebrew, Greek ataupun Latin dalam soal memahami agama Kristian dari sumber-sumber utamanya. Sebaliknya, tiada sesiapapun boleh memahami agama Islam tanpa memahami bahasa Arab.

Yang kita maksudkan dengan bahasa Arab di sini ialah bahasa Arab yang telah diislamkan, bahasa yang telah melalui perubahan menyeluruh dengan penurunan al-Qur’an. Kepentingan bahasa Arab Qur’ani dalam soal pembentukan pemikiran dan pandangan hidup Kaum Muslimin tidak boleh dibandingkan langsung dengan kedudukan bahasa Arab ketimbang agama Kristian.

Apabila puak-puak Kristian di negara kita berhujah kepada kerajaan bahawa orang Arab Kristian sebelum Islam telah lama menggunakan kalimah Allah mereka mengandaikan bangsa Melayu itu seumpama robot yang akan meniru segala apa yang datang dari Tanah Arab. Mereka silap. Apabila bangsa Melayu menggunakan kalimah Allah dalam bahasa mereka yang mereka maksudkan ialah Allah yang dinyatakan dalam al-Qur’an bukan yang dimaksudkan oleh Kaum Arab Jahiliyyah mahupun kaum Kristian. Bangsa Melayu tiada hubungan kebudayaan atau keagamaan dengan Arab Jahiliyyah mahupun Arab Kristian sebelum ataupun selepas Islam. Hubungan mereka dengan bangsa Arab terbina atas satu asas yang dikongsi bersama yakni Islam dan al-Qur’an. Segala kata kunci berserta dengan makna dan pengertiannya yang membentuk pandangan hidup bangsa Melayu diperolehi dari al-Qur’an. Bahkan semua kata kunci ini dikongsi oleh bahasa-bahasa Islami yang lain, bukan sahaja bahasa Melayu.

Kesimpulan

Apa yang jelas adalah percubaan puak-puak Kristian tertentu menyahislamkan (deislamize) bahasa Melayu bagi memudahkan penyebaran dakyah mereka. Sekiranya mereka merasa berhak untuk menyebarkan agama mereka kepada sesiapa sahaja (termasuk bangsa Melayu) tidakkah bangsa kita juga punya hak untuk menyanggah sebarang usaha merendah-rendahkan budaya dan agama kita? Malangnya dari kalangan kitalah muncul pengkhianat budaya dan agama kita. Merekalah yang membenarkan ‘Bahasa Melayu’ dipanggil ‘Bahasa Malaysia’.

Isu yang sama:

1. www.zaharuddin.net
2. IKATAN STUDI ISLAM UKM
3. Kalau dieja ‘Alaha’, bagaimana?
4. Ustaz Abdullah Zaik
5. Implikasi Penggunaan Nama Allah – Halaqah.net
6. Dato’ Seri Syed Hamid Albar
7. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah
8. Orang Kristian Pun Menentang Penggunaan Kalimah “Allah”

Keluhan Remaja

Bagi mempercepatkan proses pembinaan remaja yang utuh dan seimbang, ibu bapa dan penjaga perlu menghayati keluhan remaja seperti berikut:

1. Usahlah manjakan saya, saya sedar perbuatan ini tidak patut. Saya juga tahu tidak semua permintaan saya perlu dilayan. Saya cuma mahu menguji ibu dan bapa sahaja.

2. Usahlah takut bersikap tegas terhadap saya, saya suka ketegasan kerana saya akan berasa lebih selamat.

3. Usah biarkan saya membentuk tabiat buruk. Saya berharap ibu dan bapa dapat mengesan tabiat ini sebelum berlarutan dan berakar umbi.

4. Usah cuba memperkecil-kecilkan saya. Sikap seperti ini hanya menyebabkan saya berlagak seperti orang benar dengan memperlihatkan kebodohan.

5. Usah tunjukkan kesalahan saya di hadapan orang. Saya akan lebih memberi perhatian kalau ibu bapa menasihati saya secara peribadi.

6. Usah buat saya berasa kesalahan saya itu satu dosa. Ini boleh mengelirukan perasaan dan nilai diri saya.

7. Usah lindungi saya daripada perbuatan yang akan mendatangkan mudarat. Kadang-kadang saya perlu belajar melalui pengalaman lalu.

8. Usah bimbang kalau saya katakan, “Saya benci pada ibu dan bapa.” Sebenarnya saya bukan membenci ibu dan bapa, tetapi saya membenci kuasa yang ada pada ibu bapa yang boleh menghalang cita-cita saya.

9. Usah bimbang apabila saya kurang sihat. Ini kadang-kadang membolehkan saya mendapat perhatian yang diperlukan.

10. Usah leteri saya. Kalau ibu dan bapa terus berleter, saya terpaksa memekakkan telinga.

Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.  (Al-Baqarah 2:216)
Allah Maha Mengetahui

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

11. Usah lupa yang saya tidak bijak untuk menyatakan hasrat saya. Itulah sebabnya saya tidak selalu betul.

12. Usah buat janji yang tergesa-tergesa. Ingatlah, saya akan berasa kecewa kalau janji-janji itu tidak ditepati.

13. Usah paksa saya menunjukkan kejujuran. Ini mudah menakutkan saya hingga saya bercakap bohong.

14. Usah selalu bertukar-tukar sikap. Ini membuatkan saya keliru dan kurang yakin terhadap ibu bapa.

15. Usah cuba memperbodoh-bodohkan saya apabila saya takut. Ketakutan saya itu berasas dan saya boleh mendapat keyakinan kalau ibu bapa memahami saya.

16. Usah tolak pertanyaan saya. Jika ini berlaku saya tidak akan bertanya lagi dan akan mencari jawapan daripada punca lain.

17. Usah katakan ibu dan bapa serba sempurna atau tidak ada cacat cela. Ini memeranjatkan saya.

18. Usah berasa hina apabila hendak meminta maaf daripada saya. Saya akan berasa lebih mesra dengan ibu dan bapa apabila mendengar ucapan maaf yang tulus ikhlas.

19. Usah lupa, saya cepat membesar. Memang sukar untuk ibu dan bapa mengikut dan mengesan pertumbuhan saya. Walau bagaimanapun, cubalah berbuat demikian.

20. Usah lupa, saya suka membuat percubaan. Hati saya resah kalau tidak mencuba. Jadi izinkan saya mencuba.

21. Usah lupa, saya memerlukan kasih sayang dan persefahaman untuk membesar dengan baik.

Sumber:
Robiah K.Hamzah,Ph.D. 2006. WAH! PANDAINYA DIA BERKATA-KATA – GAYA KOMUNIKASI BERKESAN BUAT REMAJA. Bentong, Pahang : PTS Millenia Sdn Bhd. (m.s 9-12)

Sunah-sunah Idul Adha dan Idul Fitri

1. Bangun tidur lebih awal dari biasanya.
2. Mengosok gigi (bersiwak).
3. Mandi.
4. Berpakaian yang baik secara Islam.
Memakai pakaian yang terbaik yang kita miliki (tidak perlu baru). Harus diperhatikan bahwa kita tidak berhutang atau melampaui batas-batas kesederhanaan sesuai ajaran agama Islam dalam hal berpakaian.
6. Memakai wangi-wangian.
7. Mengerjakan solat Ied di (lapangan terbuka).
8. Menghindari makan sebelum shalat Iedul Adha dan makan kurma (atau apa pun yang manis) dengan hitungan ganjil sebelum shalat ledul Fitri.
9. Berangkat ke tempat solat seawal mungkin.
10. Berjalan kaki ke tempat solat Ied (jika letaknya pada jarak yang dapat ditempuh dengan berjalan kaki).
11. Membaca takbir dengan suara keras sepanjang perjalanan menuju tempat solat Iedul Adha, dan dengan suara perlahan-lahan ketika menuju tempat solat Iedul Fitri. .
12. Mempergunakan jalan yang berbeda ketika berangkat dan kembali dari tempat solat Ied.
13. Banyak membaca takbir (keras pada waktu Iedul Adha dan perlahan pada waktu Iedul Fitri). .
14. Melaksanakan Iedul Fitri agak siang dan solat Iedul Adha lebih pagi.
15. Mengerjakan 2 (dua) rakaat shalat Ied tanpa azan atau iqamat.
16. Adalah terlarang untuk mengerjakan solat nafil di (lapangan terbuka) baik sebelum atau pun setelah solat.
17. Mengerjakan 2 (dua) rakaat solat nafil setibanya di rumah.
18. Pada rakaat pertama solat Ied, Rasulullah صلى الله عليه وسلم membaca surah al-A’laa (surah ke-87) dan pada rakaat ke dua surah al-Ghaasyiyah (surah ke-88).
Catatan: Surah-surah ini sebaiknya tidak dianggap sebagai wajib. Surah lain juga boleh dibaca.
19. Apabila Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah selesai mengerjakan solat Ied, beliau berdiri menghadap orang-orang yang duduk di shaf-shaf untuk menyampaikan khutbah, memberi mereka pengajaran, dan memerintahkan mereka (untuk melakukan kebaikan). Jika baginda صلى الله عليه وسلم bermaksud mengirim suatu pasukan, atau menyampaikan perintah-perintah khusus, maka dilakukannya pada waktu itu.
20. Khutbah disampaikan setelah solat Ied.
21. Pada waktu menyampaikan kedua khutbah Ied, Rasulullah صلى الله عليه وسلم sering kali membaca takbir.
22. Kedua khutbah Ied adalah sunnah, tetapi mendengarkannya adalah wajib. Diharamkan untuk berjalan-jalan, berbicara atau bahkan mengerjakan solat ketika khutbah sedang berlangsung.
23. Tidak dibenarkan dan benar-benar bukan sunnah dari Nabi صلى الله عليه وسلم untuk berjabat tangan atau berpelukan (membuat mu’anaqah) setelah solat Ied. Akan tetapi, menemui mereka yang telah datang dari jauh dengan berjabat tangan atau berpelukan dengan mereka sebagaimana kita bertemu adalah diperbolehkan.
24. Saling memberi salam pada hari raya Ied dengan kata-kata:
عـِــيْدً مـُــبـَــارَكٌ (led Mubarak) adalah diperbolehkan, tetapi sebaiknya tidak dilakukan sebagai ritual suatu tata cara agama juga tidak dengan ketaatan yang keras.

Rujukan:
Mufti E.M.H. Salejee (Terjemahan: Ahliyyah Tubagus Muhammad Yusuf). 2008. Sunnah 24 Jam Sehari Bersama Rasulullah saw. Bandung, Indonesia: PUSTAKA RAMADHAN

Kelebihan Zikrullah, Ulama’ dan Penuntut Ilmu.


Kelebihan Ilmu dan Zikir
Kelebihan Ilmu dan Zikir

Hazrat Abu Hurairah رضى الله عنه meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Dunia dilaknat dan apa-apa yang ada di dalam dunia juga dilaknat (jauh daripada rahmat Allah سبحانه وتعالى) kecuali zikrullah dan apa-apa yang menghampirkan kepadanya, alim dan penuntut ilmu.”

Keterangan:

Apa-apa yang menghampirkan kepadanya‘ boleh dimaksudkan apa-apa yang menghampirkan kepada zikir. Jika demikian maka maksudnya adalah apa-apa yang menolong dan membantu seseorang untuk berzikir, termasuk juga makan minum sekadar perlu dan keperluan-keperluan hidup yang lain. Menurut pengertian ini segala perbuatan yang berbentuk ibadat adalah juga termasuk dalam zikrullah.

Apa-apa yang menghampirkan kepadanya‘ boleh juga membawa maksud apa-apa yang menghampirkan kepada Allah. Mengikut pengertian ini pula apa-apa yang menghampirkan kepada Allah, termasuklah segala jenis ibadat dan yang dimaksudkan daripada zikrullah yang disebutkan dalam hadith di atas ialah zikir yang khusus.

Ilmu termasuk dalam kedua-dua pengertian tersebut. Mengikut pengertian pertama, ilmulah yang menghampirkan seseorang kepada zikrullah. Sebagaimana dikatakan oleh seorang penyair, ‘Tidak mungkin seseorang dapat mengenal Allah tanpa ilmu’. Manakala mengikut pengertian yang kedua ialah tidak ada ibadat yang lebih penting daripada ilmu. Walaupun demikian orang alim dan penuntut ilmu masih disebutkan dalam hadith tersebut secara berasingan untuk menegaskan bahawa ilmu adalah sesuatu yang begitu berharga.

Diriwayatkan dalam satu hadith bahawa menuntut ilmu semata-mata kerana Allah سبحانه وتعالى adalah termasuk dalam pengertian takut kepada Allah سبحانه وتعالى. Menuntut ilmu dan pergi ke mana-mana saja untuk mencari ilmu adalah ibadat. Menghafal ilmu adalah tasbih (mensucikan Allah سبحانه وتعالى ). Perbincangan dalam mengkaji ilmu adalah jihad. Membaca dan mentelaah kitab adalah sedekah dan mengajar ilmu kepada orang-orang yang layak diajar adalah penghampiran diri kepada Allah. Sesungguhnya melalui ilmu, halal dan haram dapat dibezakan. Ilmu adalah tanda arah jalan ke syurga, penghibur hati ketika gelisah, teman dalam perjalanan, guru ketika keseorangan, memberi petunjuk dalam kesenangan dan kesusahan dan senjata ketika melawan musuh untuk membela kawan.



Sejuuuk perut mak ngandungkan ko naaaak……

Oleh itu, Allah سبحانه وتعالى telah meninggikan darjat para ulama. Mereka adalah penyeru kepada kebaikan. Mereka adalah imam yang jejak langkah dan amal perbuatan mereka perlu diikuti, mereka sebagai tempat rujukan. Para malaikat suka bersahabat dengan mereka. Para malaikat mengusap sayap-sayap ke atas mereka untuk mengambil berkat atau menunjukkan kasih sayang. Setiap makhluk di dunia ini sama ada yang di darat mahupun yang di laut memohon keampunan untuk mereka. Sehinggakan ikan-ikan di laut, binatang-binatang buas di hutan dan binatang yang berbisa (seperti ular dan sebagainya) juga sentiasa memohon keampunan daripada Allah سبحانه وتعالى untuk mereka. Ini semuanya ialah kerana ilmu merupakan nur bagi hati dan cahaya bagi mata. Melalui ilmu seseorang hamba boleh sampai ke tahap sebagai seorang yang terbaik di kalangan umat dan boleh mencapai kedudukan yang tinggi di dunia dan akhirat.

Memutalaah pelajaran adalah umpama puasa dan menghafal adalah seperti bertahajud. Dengan ilmu dapat dieratkan lagi tali persaudaraan, dan dengan ilmu juga dapat mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu adalah imam kepada amal, dan amal adalah pengikut ilmu. Ilmu hanyalah diilhamkan kepada orang-orang yang berbahagia sahaja sedangkan orang-orang yang malang adalah jauh daripada ilmu. Kedudukan hadith yang disebutkan di atas telah dipertikaikan oleh sesetengah ulama. Walau bagaimanapun, apa-apa saja kelebihan yang terkandung dalam hadith tersebut disokong oleh hadith-hadith yang lain. Selain itu, banyak kelebihan yang lain diterangkan dalam kitab-kitab hadith. Oleh itulah alim dan penuntut ilmu disebut secara khusus dalam hadith di atas.

Rujukan:
1. Allama Mohammad Zakariyya rah.alaih syeikhul hadith. 2004. FADHILAT ZIKIR. Kuala Lumpur: ERA ILMU SDN. BHD. m.s 71-73.
2. Kalghari

Scroll to Top