Doa

Doa Memasuki Pasar

Doa memasuki kedai atau pasar yang diajarkan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. Saya memang mengamalkan doa-doa ini. Alhamdulillah, biasa juga mendapat potongan harga tanpa dijangka dan insyaAllah dilindungi daripada segala keburukan. Jom kita amalkan dengan istiqamah………

1) Diriwayatkan di dalam kitab at-Tirmizi dan selainnya daripada saidina Umar bin Khattab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

doa masuk kedai
hadis tentang doa masuk kedai/pasar

Ertinya:

Siapa yang memasuki pasar kemudian mengucapkan:

doa memasuki kedai/pasar
doa ketika memasuki kedai/pasar (1)

‘(La ilaha illallah wahdahu la syarika lahu lahul-mulku wa lahul-hamdu yuhyi wa yumitu wahuwahayyun layamut biyadihil-khairu wahuwa ‘alakulli syai in qadir).’

Maknanya:

”(Tiada Tuhan yang patut disembah selain Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya. Milik-Nya seluruh kerajaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia Maha menghidupkan lagi Maha mematikan. Dia Maha hidup dan tidak akan pernah mati. Di tangan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha kuasa atas segala sesuatu.)”

Maka akan ditetapkan baginya satu juta pahala, akan dihapuskan daripadanya satu juta dosa dan akan diangkat darjatnya satu juta tingkat.

Diriwayatkan oleh al-Hakim Abu Abdillah dalam kitab al-Mustadrak ‘alash-Sahihain dari banyak jalur. Pada sebahagian jalurnya ada tambahan: “Dan didirikan baginya rumah di syurga. ”

2) Daripada Buraidah r.a, dia berkata: ”Apabila Rasulullah s.a.w. memasuki pasar, baginda mengucapkan:

doa ketika memasuki kedai/pasar
doa memasuki kedai/pasar (2)

Ertinya:

“Dengan nama Allah. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan pasar ini dan kebaikan apa yang terdapat di dalamnya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan pasar ini dan kejahatan apa yang ada di dalamnya. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada aku terkena sumpah palsu dan hasil yang rugi. “

Testimoni Terkini
Post ini sebenarnya saya keluarkan daripada artikel yang bertajuk Panduan Memilih Mekanik Dan Bengkel. Ketika itu bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Selepas menyiapkan artikel itu dan menetapkan hari dan masa untuk disiarkan (biasanya saya menetapkan artikel saya tersiar pada Hari Isnin jam 14.45), saya pun bersiap-siap untuk ke Madrasah Manarul Hikmah Lil-Banat, Layang-Layang untuk mengambil anak-anak perempuan saya pulang bercuti sempena Idul Fitri.

Setibanya di kawasan perumahan kami, saya singgah ke sebuah kedai pakaian untuk meninjau harga jubah untuk perempuan sebelum membelinya di sebuah kedai lain yang menarik minat kami sekeluarga. Sedang kami membelek-belek jubah, tuan punya kedai bersuara, “Semua jubah itu harganya RM80.00.” “Ye? RM180.00? Saya mengulangi kata-katanya untuk mendapatkan kepastian. Kebetulan saya sedang membelek jubah yang berharga RM180.00, saya biasa membanding-banding harga jubah sedemikian di facebook. Memang harganya sekitar RM150.00 ke atas.

“Tidak, RM80,00 sahaja.” jawabnya. “Oh, ye ke? MasyaAllah, alhamdulillah, terima kasih” jawab saya. Syukur ………. kami tidak perlu bersusah-susah untuk menawar harga dan akhirnya kami membeli tiga helai jubah di kedai itu sahaja.

Esoknya, sewaktu ke kedai minyak Petronas mata saya tertancap ke suatu permainan. Ianya hanyalah berupa empat ekor itik yang berlainan saiz. Biasanya ia ada di dalam iklan sabun mandian (Tuan/puan cubalah tinjau di kedai Petronas, masih ada lagi). Kebetulan anak kami ada empat orang dan jarang-jarang dapat berkumpul, jadi saya pun mencapainya untuk dibahagi-bahagikan kepada mereka. Harga yang tertera di situ RM12.00. “Mahal ni, tidak mengapalah, sesekali……..” getus saya di dalam hati. Sewaktu hendak membayar, juruwang memberitahu harganya cuma RM6.80………. alhamdulillah lagi dan lagi……..

Nota
Beramallah untuk mendapatkan reda Allah. Kalau kita mengejar akhirat, insyaAllah akhirat dapat dan dunia pun akan datang dengan menghina diri. Kalau diniatkan untuk dunia, akhirat terlepas dan dunia akan menjauh sambil mengejek kita kembali.

Dunia datang dengan menghina diri bermaksud, apa-apa keuntungan dunia yang telah Allah tetapkan untuk menjadi milik kita, pasti dan pasti akan kita perolehi, meskipun kita tidak pernah mengangankannya atau mengingininya. Dunia datang kepada kita dengan perintah Allah.
Ia menjadi hina kerana bak kata pepatah ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’.

3 hadis berkaitan klik sini.


Al-Azkar

1. Imam An-Nawawi. Terjemahan Al-Azkar Imam An-Nawawi. 2010. Selangor Darul Ehsan: Al-Hidayah Publication. Halaman 492-493.

Mengharap Dan Meminta Hanya Kepada Allah

Nukilan Rasa: Ibrah Musibah

Syukur kerna musibah ini,
Menginsafkan daku betapa daifnya sang hamba,
Hanya bisa berbuat apa-apa,
Hatta mengelipkan mata atau bersuara, hanyalah seizin Tuannya.

Syukur atas musibah ini,
Memberiku peluang merasai mati sebelum mati,
Menanggung sendirian segala hiba dan derita……
Bertemankan Raqib dan `Atid di sisi……..
Munkar dan Nakir? Bilakah mati?????

Syukur atas musibah itu,
Membuatkanku terkaya daripada rasa memiliki segala sesuatu,
Walaupun ia dalam pelukanku, dalam genggamanku………

Syukur atas musibah ini,
Memisahkanku jauh, jauh daripada hiruk pikuk duniawi,
Ke suatu alam yang sepi, sunyi, sendiri, misteri………

Syukur atas musibah ini,
Menyuluh rahsia demi rahsia,
Oh, wujudnya aku di sini,
Hanyalah ibarat melukut di tepi gantang!
Kewujudanku tidak menambahi,
Hilang tidak mengurangi,
Lantas menghancur musnah
Segala rasa kebesaran, kepandaian dan kemuliaan diri…………..

Oh, syukurnya aku atas musibah ini……..
Memperkasakan tekadku untukku terus memberi,
Walau kecil tidak terpandang,
Tidak dipeduli,
Tidak dimengerti……………….

Duhai Allah, Tuhan hamba,
Keluarkanlah segala kebesaran makhluk dari dalam hati hamba,
Dan masukkanlah hanya kebesaran-Mu,
Duhai Yang Maha Besar,
Hanya Engkaulah Yang Maha Besar…..

Oh, betapa……
Betapa aku rindu untuk pulang ke ribaan-Mu dengan segera!
Tetapi bila?????…..
Izinkanlah daku wahai yang Maha Menyinta,
Untuk tidak disakiti lagi di sana,
Cukup sudah, puas sudah,
Sudah-sudahlah……….

Terimalah, kabulkanlah angan dan harapanku,
Hamba yang tetap syukur,
Hamba yang selalu terhibur,
Walau apa pun yang Engkau hulur……..

Mengharap Dan Meminta Hanya Kepada Allah
Mengharap Dan Meminta Hanya Kepada Allah

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Aku akui,
Ia bukanlah musibah, bahkan tuah,
Yang hanya bisa dimengerti oleh mata hati…….
Tatkala sakit begini……

Tidakkah kalian iri?
………..kelazatan hidangan pahala telah
Melenyapkan sebesar-besar kesakitan yang aku nikmati
Saat ini…………oh……….

Namun………
Sebesar-besar kemaafan jua kupohon ke hadrat kalian,
Wahai saudara dan temanku sekalian…….
Setiap usai dibantai, dibelasah si’Tuah’ ini,
Suatu solusi yang senada akan kuperolehi;
………..selama hampir dua dekad ini……..
Ya……. Bunyinya masih dan tetap begini;

1) Aku hanya melukut di tepi gantang!
2) Hayatku yang masih bersisa ini, untuk apa???
3) SEBENARNYA, HANYA ALLAH SAHAJA yang menyayangiku!!
4) Istiqamahkan amalan solehmu!!! Kematian adalah kepastian!!!
5) USAH, USAH, USAH,
Usah terkesan dengan manusia,
Sayang dan meluat, tiadalah tetap,
Kasih mereka, juga bersyarat……………………
6) Hanya anak-anak sahaja yang masih memerlukanku. INGAT INI!!
7) Aku tidak layak menyintai sesiapapun kecuali Dia dan Pesuruh-Nya, atau kerana Dia dan Pesuruh-Nya.
8) Aku patut berpada dengan hanya punya makanan, pakaian dan tempat berteduh.

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya meriwayatkan ucapan Sahl bin Abdullah al-Tustari.
“Apabila seseorang sudah terbiasa bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan sudah biasa bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan, maka pada saat itu Allah akan memberinya kekuatan agar mampu bersabar dalam menerima ketentuanNya.”

Wahai diriku,
Tahukah kamu,
Pahala seluruh amalan solehmu selamanya,
Tidak kan mampu membayar harga nikmat,
Walau hanya sebiji mata,
Yang telah kau guna buat melihat,
Segala-gala yang telah engkau lihat.
Justeru, layakkah engkau merintih-rintih begini???
Oh, astaghfirullahal’azim………………

Ya Allah,
Bantulah aku untuk senantiasa membasahi lidahku,
Dengan menyebut-nyebut nama-Mu yang Manis,
Bantulah aku untuk sentiasa mensyukuri nikmat-nikmat-Mu,
Yang kesemuanya tidak kan mampu kutulis,
Bantulah aku untuk sentiasa melakukan penambahbaikan,
Di dalam menghadapkan tujuan amalan,
Semata-mata mahu membuatkan-Mu senang dan tersenyum manis……………………..

———————————————————————————————————

Penghargaan dan terima kasih kepada Majalah SOLUSI terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Isu Ke 19 kerana telah membedah isu ’Hikmah Musibah’ yang telah menghadiahkan sinar harapan kepada banyak hati yang sedang celaru, haru-biru, keliru, pilu……………………..

Seterusnya memungkin empunya hati itu tenteram, tenang dan menumpaskan momokan-momokan setan yang tidak pernah lelah mengintai peluang untuk menggelincirkan dan menyesatkan…………….

Akulah salah seorang empunya hati itu………………..

Nukilan jiwa nan berkematu;
Wak Mykrk,
25 & 26 Mei 2010.

*** ‘Ibrah (عِبْرَة): pengajaran, teladan

Doa Menolak Banjir / Agar Hujan Dialihkan

zikir ketika hujan turun
Zikir Ketika Hujan Turun

Daripada Aisyah r.anha beliau berkata bahawa apabila Rasulullah S.A.W melihat hujan, baginda berdoa seperti doa di atas.
Hadis riwayat Imam al-Bukhari

Melalui riwayat Ibnu Majah pula disebutkan bahawa doa tersebut dibaca sebanyak dua atau tiga kali.(Tafsir al-Azkar m.s 304)

doa menolak banjir
Doa Menolak Banjir / Agar Hujan Dialihkan (Pendek)

Doa menolak banjir
Doa Menolak Banjir / Agar Hujan Dialihkan (Panjang)

– Makna doa sebagaimana di dalam buku Adab & Petua Kecemerlangan Pelajar m.s 158.

الأ َوْدِيَةِ : tanah lembah -> ٣٨٥ – قاموس ادريس المربوى عربى – ملايو
مَنـْـبـِتٌ : tempat tumbuh, pangkal, semai -> ٢٩٤ – قاموس ادريس المربوى عربى – ملايو

Hadis berkaitan:

Hadis sahih berkaitan doa ini
Hadis sahih berkaitan doa ini

Maknanya:

“Bahawa ada seseorang masuk masjid pada hari Jumaat dari pintu yang searah dengan Darul Qadha’ (balai pengadilan), sementara Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah.

Dia menghadap Rasulullah s.a.w. dengan berdiri dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, harta benda telah hancur, tanam-tanaman telah rosak, berdoalah kepada Allah agar menurunkan hujan kepada kami.

Maka Rasulullah s.a.w. mengangkat kedua tangan baginda dan berdoa, “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami, ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami, ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami.”

Demi Allah, saat itu kami tidak melihat ada awan atau mega sedikitpun di langit, sementara antara kami dengan bukit Sila’ tidak ada rumah atau bangunan satu pun.

Dari belakang baginda muncul awan gelap seperti perisai. Setelah awan gelap tersebut menutupi langit, turunlah hujan.

Demi Allah, seminggu lamanya kami tidak melihat matahari.

Kemudian pada hari Jumaat berikutnya orang itu masuk dari pintu yang sama sementara Rasulullah s.a.w. berkhutbah.

Dia menghadap baginda dengan berdiri dan mengatakan, Wahai Rasulullah, harta benda telah hancur, tanam-tanaman telah rosak, berdoalah kepada Allah untuk menghentikannya.

Maka Rasulullah s.a.w. mengangkat kedua tangannya dan berdoa, “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan bukan kepada kami. Ya Allah, turunkanlah hujan pada tanah gersang, tanah tandus, dasar lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan.”

Hujan pun berhenti. Kami keluar dan berjalan di bawah sinar matahari.”

Lafaz hadis ini demikian di dalam sahih al-Bukhari dan sahih Muslim. Hanya saja dalam riwayat Bukhari disebutkan dengan lafaz Allahummas-qina sebagai pengganti lafaz aghitsna.

Banyak pengajaran yang dapat diperolehi dari hadis ini. Semoga Allah memberikan taufik.
(Tafsir al-Azkar m.s 305 – 307)

Penjelasan Dan Cara Beramal:

Turunnya hujan adalah tanda rahmat Allah untuk semua makhluk-Nya. Namun begitu, kadang-kadang kita perlu memohon kepada Allah agar diturunkan rahmat-Nya itu di tempat lain, buat sementara waktu untuk memastikan kelancaran program sukan, merentas desa atau majlis perkahwinan yang diadakan di tempat terbuka. Sebenarnya kita terus meminta turunnya rahmat tanpa sekatan, cuma permintaan kita supaya dialihkan ke tempat lain. Insya-Allah dengan izin-Nya diperkenankan permintaan kita dan program dapat berjalan sebagaimana yang dirancang. (Adab & Petua Kecemerlangan Pelajar m.s 158)

Pautan Berkaitan:
Doa yang dibaca ketika jalan-jalan terhalang kerana banjir akibat hujan yang berterusan.

Rujukan:
1. ealqamus
2. محمد إدريس عبد الرءوف المربوى . ربيع الثانى ١٣٥٤ هجره.قاموس ادريس المربوى عربى – ملايو. بيروت : دار الفكر
3. ١٩٨٥ .ايچ. فرقان احمد الانصري. دعا دان ذكر رسول الله
Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd. m.s 70
3. Imam An-Nawawi. Terjemahan Al-Azkar Imam An-Nawawi. 2010. Selangor Darul Ehsan: Al-Hidayah Publication. Halaman 304-306.
4. Siti Nor Bahyah Mahamood, Zahazan Mohamed dan Mahfuzah Omar. 2006. Adab & Petua Kecemerlangan Pelajar. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd. m.s 158

Amalan-amalan Wajib Bagi Pesakit Gangguan Jin

Sakit ‘gangguan jin’ memang memeritkan. Datangnya tidak menentu. Namun, jika diamat-amati ternyata penyebabnya ialah nipisnya ‘benteng’ diri pesakit (walaupun bukan semua pesakit – maaf). Seandainya pesakit sudah disahkan sembuh, amalan-amalan kerohanian seumpama amalan fardu dan sunat (sunnah) amat perlu dititik-beratkan.

Jika anda leka dan bermalas-malasan, maka bersiap siagalah dengan gangguan-gangguan mereka. Anda harus akur bahawa tubuh badan anda sudah bukan seperti insan normal lainnya. Di dalam badan anda sudah ada highway laluan mereka. Tutupi jalan-jalan tersebut dengan amalan-amalan agama.

Yakinlah bahawa sesungguhnya Allah سبحانه وتعالى amat mengasihi anda. Dia memberi ujian tersebut kerana hakikatnya Dia mahu memberi anda amalan tambahan agar anda lebih dekat kepadaNya.

Menurut sepotong hadith, (mafhumnya lebih kurang); Allah سبحانه وتعالى telah menetapkan kedudukan seseorang pada suatu darjat tertentu. Namun apabila Allah mendapati orang tersebut belum juga dapat mencapai tahap yang telah Dia tetapkan melalui amalannya, maka Allah سبحانه وتعالى menurunkan ujian berupa sakit dan sebagainya.

Semuanya adalah agar dengan pahala penanggungan sakit dan lain-lain ujian itu, hamba tersebut akan sampai ke darjat tersebut. Oh, betapa Maha Pengasihnya Allah……..

Nota di bawah ini saya petik daripada: Forum Rawatan Sihir

Di sini saya perturunkan beberapa amalan yang perlu dilakukan oleh pesakit gangguan makhluk halus atau sihir yang disyorkan oleh ustaz Haji Abdul Malik Bin Haji Ladzim, iaitu anak murid Ustaz Walid Salam Bali, Mesir. Amalan-amalan ini bolehlah ditokok tambah atau disesuaikan dengan beberapa amalan yang pernah disyorkan di dalam forum ini.

AMALAN WAJIB PESAKIT:


1. Solat berjemaah di masjid atau surau (tempat di mana azan dilaungkan).
2. Sentiasa berwudhuk.
3. Baca بـِسـْــم ِ اللهِ الرَّحـْــمـَـٰــن ِ الرَّحِــيم ِ dalam semua perbuatan dan pekerjaan.
4. Amalkan selepas solat subuh 100 kali.

لاَ إ ِلـَـٰــهَ إ ِلاَّ اللـَّـهُ وَحـْــدَهُ لاَ شـَــر ِيــكَ لـَـهُ، لـَـهُ الـْـمُـلـْـكُ

وَلـَـهُ الـْحـَمـْــدُ يُحـْــيـِي وَيُـمـِــيتُ وَهُــوَ عـَــلـَى كـُلّ ِشـَــيْءٍ قـَــدِيـرٌ


Nota: Perkataan يُحـْــيـِي وَيُـمـِــيتُ boleh disebut atau tidak, terpulang kepada anda.

5. Amalkan membaca al-Quran
– PAGI Surah as-Soffat atau Yassin
– PETANG Surah ad-Dhukan atau al-Jin
6. Denar CD Ruqyah Syariah sehari 3 kali (Wajib dengar dengan khusyuk).
7. Bergaul dengan orang-orang yang soleh.
8. Jangan sesekali mendengar muzik yang diharamkan syariat.
9. Sentiasa menutup aurat dengan sempurna.
10. Perbanyakkan ucapan istighfar 100 kali sehari atau lebih.
11. Jangan berburuk sangka dengan Allah سبحانه وتعالى dan sesama manusia.
12. Baca ayat-ayat berikut ketika hendak tidur.
– Surah al-Fatihah
– Ayat al-Kursi
– Subhanallah 33 kali.
– Alhamdulillah 33 kali.
– Allahu Akbar 33 kali.
– Baca khawatim (penutup) surah al-Baqarah iaitu ayat 285-286 seperti di bawah:


(285) Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya.

(Mereka berkata): “Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”. Mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu jualah tempat kembali”.

(286) Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”.

13. Baca surah-surah berikut ketika hendak tidur dan ulangi sebanyak tiga kali:
– al-Ikhlas sekali.
– al-Falaq sekali.
– an-Nas sekali.
– KEMUDIAN DOA: “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada kejahatan JIN dan Manusia”. Hembus atau isyarat meludah ke tapak tangan dan sapukan ke seluruh tubuh yang tercapai oleh tangan tanpa pengecualian.
14. Amalkan bacaan surah al-Baqarah (seluruhnya) setiap 3 hari sekali.
15. Perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah صلى الله عليه وسلم sekurang-kurangnya 100 kali sehari.

Himpunan amalan berikut adalah yang termudah dan paling pantas untuk melindungi diri dan rumah kita dari gangguan jin atau syaitan.

Amalan berikut ini ada dalilnya.
Sila rujuk: Tafsir Ibnu Kathir Jilid 1 versi Bahasa Arab terbitan Darul Fikr, halaman 59 – athar daripada Abdullah ibn Mas’ud berkenaan amalan 10 ayat Surah al-Baqarah.

Sepuluh ayat itu ialah 4 ayat pada awal Surah al-Baqarah, ayat al-Kursi (255), 2 ayat selepas ayat al-Kursi (256 – 257) dan 3 ayat terakhir Surah Al-Baqarah.
Kelebihannya: Jika dibaca di dalam rumah pada waktu malam, syaitan tidak akan masuk ke dalam rumah itu pada malam tersebut.
Riwayat lain: Jika dibaca, maka syaitan dan segala sesuatu yang tidak menyenangkan tidak akan mendekatinya dan ahli keluarganya pada hari itu. Jika dibaca kepada orang yang gila maka akan sembuh penyakitnya itu.

Begitu juga amalan Tasbih Nabi Yunus, ada hadith yang berkaitan.

Diamalkan SETIAP PAGI dan SETIAP SELEPAS ASAR (hendak amal lebih, lagi bagus):


1. Al-Baqarah ayat 1-4, 255-257, 284-286 (Sila rujuk di ***1 di bawah, halaman 3 dan 4).
( anggaran 3 minit )
2. Selawat 50 kali – Selawat yang paling pendek ialah “ALLAH humma sali ‘ala Muhammad”

اللـَّــهـُــمَّ صـَــلّ ِ عـَــلـَــى مـُــحـَــمـّـَــدٍ


( anggaran 5 minit )
3. Tasbih Nabi Yunus (doa taubat Nabi Yunus di dalam perut ikan nun) 100 kali – sila rujuk Surah al-Anbiya 87 untuk Arabnya; sebutannya “LA ILAA HA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINAZ ZOOLIMIIIIIIN”

لاَ إ ِلـَـٰــهَ إ ِلاَّ أ َنـْــت َ سـُــبـْــحَــانـَــكَ إ ِنـِّـى كـُــنـْــت ُ مـِــن َ الظـّـَالـِــمـِــيــن



( anggaran 10 minit )

InsyaAllah dengan melaburkan masa 20 minit setiap pagi atau setiap petang, kita akan merasa lebih tenang. Konsentrasi kita kepada kerja dan amal juga dapat ditingkatkan.

Amalan tersebut insyaAllah dapat melindungi diri daripada dimasuki jin, sama ada jin sihir atau jin tanam anggur.

Sekiranya jin memasuki tubuh badan kita, kita akan:
1. Rasa takut melihat cermin di waktu malam (sebab akan nampak satu muka lain yang gelap dan menakutkan).
2. Rasa malas lakukan kerja atau solat.
3. Rasa lenguh berat di leher atau di bahu.
4. Membuat kita rasa pening, migrain atau susah berfikir.
5. Rasa sakit tetapi doktor pun tidak tahu apa puncanya walhal macam-macam pemeriksaan darah, X-ray, MRI, CT-scan sudah dilakukan.

Selain itu, amalan diatas insyaAllah dapat menghalang jin dan syaitan daripada memasuki rumah kediaman kita:

Sekiranya jin dan syaitan dapat masuk, mereka akan:
1. Menyebabkan anak kecil menjerit malam-malam buta, selain takut melihat sesuatu yang kita tidak Nampak.
2. Menganggu rehat tidur kita kerana dada atau kepala kita akan rasa ditindih benda berat.
3. Duduk atau berdiri berdekatan kita menyebabkan kita rasa rimas seolah-olah ada sesuatu yang menakutkan berdekatan kita.
4. Membuat bising di rumah seperti; mengetuk pintu, bumbung, mengalih kerusi meja dan lain-lain.

Untuk mereka yang ada masa, cuba juga tambahkan amalan seperti membaca Surah al-Baqarah sekali atau Surah Yasin sekali atau tiga kali setiap hari.

Secebis kisah masyarakat……………

“Sepulangnya dari berubat, badan saya terasa amat ringan dan boleh duduk tegak di atas kerusi sebelah pemandu. Selama ini masuk saja ke dalam kereta, sudah pasti kerusi itu terus saya baringkan.

Kalau memandu pun saya memandu dalam keadaan kerusi pemandu yang hampir terbaring, tapi mesti kereta auto dan power stering. Kalau tidak, balik rumah tidurlah tak bangun-bangun sampai esok. Sampai rumah apa lagi, saya pun mengemaslah rumah yang macam sarang jin itu.

Selama ini saya memang tidak pernah menjemput orang datang ke rumah kerana malu dengan keadaan rumah yang bersepah. Tetapi malangnya hanya dua hari sahaja saya sihat. Selama dua hari itu pula suami saya terganggu-ganggu tidurnya. Ada yang mencakar kaki dan menghempapnya.

Ketika ini saya merasakan badan saya amat sensitif kepada persekitaran. Dekat dengan pinggan mangkuk kotor sakit, dekat dengan kain baju berlonggok tidak berlipat sakit, dekat dengan benda yang berpalang atau bergantung sakit, dekat dengan sampah sakit, keluar rumah, sakit. Lihat suami, sakit. Tengok tv, sakit. Dengar radio pun sakit. Membuang sampah di belakang rumah lagilah sakit.

Apabila sakit masih berterusan, seorang lagi kawan mengajak kami ke rumah seorang ustaz. Berubat tiga kali belum sembuh juga. Ustaz itu menyuruh saya membaca doa manzil berterusan, bersedekah, berpuasa dan solat sunat taubat. Badan saya di’alin’ dengan tujuh biji telur ayam kampung sebanyak dua sesi. Malangnya tiada apa-apa yang ditemui di dalam telur itu.

Beliau mengatakan bahawa kalau orang ‘memberi’ samada separuh jin di badannya berpindah kepada orang yang diberi atau dia sudah tidak tahan hendak membelanya. Badan saya kesakitan kerana ‘mereka’ tidak serasi dengan saya (tidak diamalkan, lalu mereka tidak mendapat ‘upah’).

Dia juga memberitahu bahawa badan saya sudah menjadi seperti magnet. Apabila berpapasan dengan mana-mana jin, kesemua mereka akan memasuki badan saya. Jika berdekatan dengan orang yang membuat pemujaan, jin akan datang tetapi bukan ke arah mereka sebaliknya kepada saya…….ya Allah………saya sentiasa ketakutan di dalam rumah.

Pintu dan tingkap bertutup rapat sebab kadangkala sedang saya membaca surah Al-Baqarah pun (saya baca tiga hari sekali sejak berubat) badan tetap terasa sakit, bila diperiksa rupanya ada satu tingkap yang terbuka.

Penunjuk bahawa saya ini sihat ialah kemampuan saya untuk bersolat sambil berdiri. Tetapi yang sedihnya sedang saya elok solat berdiri, andai kedengaran loceng jiran India depan rumah saya bersembahyang, tidak semena-mena terjelepuk saya terduduk di dalam solat itu. Sedang molek membasuh pinggan, tiba-tiba nak terduduk bila kedengaran loceng India belakang rumah bersembahyang ‘dhuha’.

Pergi ke kedai orang Melayu (laris kedai ini), tetapi semasa hendak membayar di kaunter, kepala saya seperti disambar elektrik. Cepat-cepat saya ke belakang, lega sedikit. Pergi lagi ke kaunter tempat tuan kedai tu berdiri, sekali lagi kepala saya zzzzzrrrrt….aduhai, kenapakah ini?……

Makan di kedai pun masalah juga, saya terpaksa pastikan bahawa tuan punya kedai tidak menggunakan pelaris ‘jin’. Jika tidak, walaupun makanan itu ditempah oleh seseorang dan diletakkan di surau untuk diagih-agihkan kepada ahli jemaah, lalu ‘orang berpenyakit’ seperti saya memakannya…..jawablah…..menungging……..ini bukan kasyaf tetapi penyakit….

Paling menyakitkan dan taubat kalau bersebelahan dengan orang yang berpenyakit sama dengan saya. Waduh…….nggak tahan……sakitnya pak……Susah jadinya….. yang senang duduk dalam rumah diam-diam. Sejak berubat juga barulah insan jahil seperti saya ini mengetahui bahawa untuk membuat air doa ialah dengan menggunakan air yang belum dipanaskan di atas api seperti air zam-zam, air hujan atau air mineral (yang bertutup biru bukan putih).

Pernah sekali suami saya mengadu dalam tidurnya dia dikacau oleh makhluk seperti manusia tetapi bersirip seperti ikan. Setelah beliau ucapkan kepadanya, “la haula walaa quwwata illa billaah”

“لاَ حـَــوْلَ وَلاَ قـُــوَّة َإ ِلاَّ بـِــاللهِ”

makhluk itu terus mengecil dan lenyap.

Lantas saya pun teringat dahulu semasa menjadi anak angkat Pak Abu. Hairan juga, keluarga-keluarga angkat peserta kursus yang lain dihidangkan dengan lauk ikan yang besar-besar dan dimasak dengan pelbagai cara, tapi keluarga angkat saya pula tidak menyediakan lauk ikan walau seekor pun. Mengapa ye?……..

Malam nak tidur jangan ceritalah, baca ayat macam-macam; awal surah A-Baqarah, ayat Kursi, dua ayat selepas ayat Kursi, tiga ayat terakhir Surah Al-Baqarah, Tiga Kul (isyarat meludah lalu sapu ke seluruh badan), tasbih fatimah, dua tiga macam doa tidur, 5 ayat terakhir Surah Al-Kahf. Lelapkan mata, eh, mereka datang!

Macam-macam rupa….macam rupa hantu-hantu yang dalam tv tu lah, mula-mula takut, lama-lama senyum jelah kat dia orang. Alamak, takleh tido……..camner ni……..

Alhamdulillah suatu pagi tu dengan kehendak Allah saya terdengar doa elak gangguan semasa tidur dari radio. “Auuzu bikalimaatillahit taaaaaammati min ghodhobihi wa’iqobihii wasyarri ‘ibaadihii wa min hamazaatisy syayatiini waany yahdhuruuuun”

أ َعـُــوذ ُ بـِــكـَــلـِــمـَــاتِ اللهِ التـّـَـآمـّـَـاتِ مـِــن ْ غـَــضـَــبـِــهِ

وَعِــقـَــابـِــه وَشـَــرّ ِعـِــبـَــادِهِ وَمـِــن ْ هـَــمَــز َاتِ الشـّـَــيـَــاطِــيــن

وَأ َن يـَــحـْــضـُــرُون

Sebelum tidur, kalau teringat, saya baca awal-awal. Kalau terlupa, dia datang…..nak buat tak tahu?……hemph, tak tidur sampai pagi nanti! bacakan sekali, dua kali….hilang terus rupa makhluk tu. Benarlah, Allah Maha kuasa, makhluk langsung tiada kuasa, kita minta perlindungan daripada Allah kalau mereka mengganggu.

Pesanku kepada pembaca budiman. Jangan ambil mudah perkara ini. Jangan mudah percaya kepada orang lain. Sekiranya anda diberi ilmu seperti ini, tolonglah jangan amalkan tetapi jangan pula anda membiarkannya begitu sahaja, kelak akan menjadi seperti saya. Sebaliknya pulangkan semula kepadanya secara baik.

Jika anda ternampak mentera-mentera berbahasa Melayu di mana-mana walaupun diakhiri dengan ‘dengan berkat kalimah la ilaha illallah’, tolonglah….jangan dibaca langsung. Once (sekali) anda membacanya, khadam ayat itu akan datang dan tidak bakal pergi kecuali di’buangkan’ oleh mereka yang mahir.

Jin dan syaitan memang menunggu-nunggu peluang untuk menjadikan anda syirik kepada Allah. Setiap kerja yang mereka lakukan, pasti berkehendakan upah sehingga akhirnya anda terpaksa mensyirikkan Allah barulah mereka akan menjalankan kerja yang anda pinta. Sama ada untuk; kelihatan hebat, disayangi orang, penjaga harta, kelihatan cantik, menjarangkan anak dan sebagainya.

Hidup di dunia hanya sementara, akhirat jua tempat yang kekal abadi. Meminta hanya kepada Allah dan bukan yang selainNya. Saka tidak semestinya diwariskan kepada saudara sedarah sedaging tetapi kepada sesiapa sahaja malah mungkin tanpa disedari penerimanya.

Ambil tahu kegiatan anak-anak anda, sebab mereka memang suka mencuba. Mudah-mudahan iman kita terpelihara sehingga kita selamat bertemuNya……..aamiiiiiin. Wallaahua’lam.”

Tajuk berkaitan:
1. Doa: Zikir agar hati tidak mati
2. DOA: Qunut Nazilah
3. Doa memudahkan tidur
4. Doa ketika ditimpa musibah
5. Doa: Sabda Nabi SAW: “Doa saudaraku Yunus amat menakjubkan…”
6. Cara Mendapat Kasih Sayang Allah سبحانه وتعالى
7. VIDEO: Rawatan Gangguan Jin
8. VIDEO: Zikir ( amalan setiap hari Jumaat ) oleh Tuan Guru Nik Aziz
9. Khadam
10. Bacaan Ruqyah Syariah 1,
11. Waktu Senja: Apa Yang Patut Kita Buat?

Rujukan:
***1. Doa Manzil (Sila belajar secara bertalaqqi -menghadap- guru al-Qur’an bagi mempastikan bacaan anda benar sebelum mengamalkannya)
manzil
2. Forum Rawatan Sihir
3. Majalah ASUH GALERI ILMU SDN. BHD.
4. Virtual Friends.net

Lafaz Takbir Hari Raya Beserta Makna

Lafaz Takbir Hari Raya
Lafaz Takbir Hari Raya beserta makna

Lafaz Takbir Raya Dalam Tulisan Rumi:

Takbir Umum:

Allaahu akbar. Allaahu akbar. Allaahu akbar. Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar.
Allaahu akbar walillaahil hamd.

Bacaan lengkap:

Allaahu akbaru kabiiraa
walhamdulillaahi kathiiraa
wasubhaanallaahi bukrataw wa ashiilaa.

Laa ilaaha illallaahu walaa na’budu illaa iyyaahu mukhlishiina lahuddiin

walau karihal kaafiruun. (atau)
walau karihal musyrikuun. (atau)
walau karihal munaafiquun.

Laa ilaaha illallaahu wahdah, shodaqo wa’dah,

wanashoro ‘abdah, wa a’azza jundahu

wahazamal ahzaaba wahdah.

Laa ilaaha illallaahuwallaahu akbar.

Allaahu akbar walillaahil hamd

Takbir Terbahagi Kepada Dua:
1) Takbir Mursal: Tidak mengiringi solat
2) Takbir Muqayyad: Mengiringi solat

Keterangan:
(1) TAKBIR MURSAL

* Sunat dilakukan sama ada lelaki atau perempuan, bermukim atau musafir, merdeka atau hamba.

* Tidak sunat kepada jemaah haji kerana mereka sunat bertalbiah selama mereka dalam ihram. Apabila telah bertahallul baharulah sunat bertakbir.

* Sunat bertakbir dengan suara yang tinggi sama ada di rumah, di jalan, di masjid atau di pekan.

* MASANYA ialah dari jatuh matahari (maghrib) malam dua hari raya sehingga imam takbiratul ihram untuk menunaikan solat hari raya.
Bagi orang yang solat bersendirian berakhirnya dengan takbiratul ihramnya.
Bagi orang yang tidak solat hendaklah bertakbir sehingga gelincir matahari.

(2) Sunat TAKBIR MUQAYYAD pada Hari Raya Aidil Adha:
* (i) Mengiringi tiap-tiap solat fardu sama ada tunai atau qada’

(ii) Mengiringi solat sunat rawatib.

(iii) Mengiringi solat sunat mutlak.

(iv) Mengiringi solat jenazah.

(v) Mengiringi solat sunat Tahiyyatul Masjid.

(vi) Mengiringi solat sunat Wuduk.

* MASANYA:

(i) Bagi orang yang TIDAK mengerjakan haji:
Bermula dari subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah).
Berakhir ketika jatuh matahari akhir hari Tasyrik (13 Zulhijjah)

(ii) Bagi orang yang mengerjakan haji:
Bermula pada Zuhur hari Nahar (10 Zulhijjah)
Berakhir ketika jatuh matahari akhir hari Tasyrik (13 Zulhijjah)

Hari Raya Aidilfitri TIDAK ADA takbir muqayyad dan tidak sunat bertakbir mengiringi tiap-tiap solat malam hari rayanya.

Rujukan: Kitab Matla’ Al-Badrain terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Muka surat: 100-102. (3) Kitab Sembahyang: Sembahyang Hari Raya.

Share/Save
Share/Save
Scroll to Top