Motivasi

Motivasi Pelajar Cemerlang

Beg haji 2014

Hajiku 1435H / 2014, Insya-Allah

Assalamualaikum wrt wbt. Rindunya hendak menulis di blog ini. Kalau benar rindu mengapa membisu? Ini saya hendak ceritalah ni. Ok, tepuk tangan dulu…

Inilah sebabnya saya lama menyepi di samping adalah satu sebab lagi. Takkanlah semua hendak diceritakan bukan?

Mula-mula kita dengar nasyid dulu boleh? Jom…

Pendahuluan

Sebelum ini saya pernah berceloteh mengenai Haji di pautan Haji Menuju ALLAH – Raihan. Di dalam artikel itu saya ada memberitahu bahawa tarikh pemergian haji yang Tabung Haji peruntukkan kepada saya adalah pada tahun 2022. Suami saya yang mendaftar setahun lebih awal pula diberikan tarikh 2016.

Alhamdulillah, dengan rahmat kasih-sayang Allah SWT serta doa-doa mereka yang makbul di sisi-Nya, rayuan saya untuk mengerjakan haji bersama suami diluluskan.

Berita gembira tersebut saya terima melalui panggilan telefon daripada pejabat Tabung Haji daerah Kulaijaya pada 14.7.14 bersamaan 15 Ramadan 1435H.

Jumlah jemaah haji Malaysia pada tahun ini adalah seramai 22,320 orang. Pada kebiasaannya, musim haji akan mengumpulkan seramai 4 juta umat Islam di Tanah Suci.

Pada tahun ini, jumlah perbelanjaan haji bagi bakal haji yang baru pertama kali menunaikannya adalah RM9,980.00 daripada jumlah sebenar RM16,155.00. Mereka yang menunaikan haji buat kali kedua akan dikenakan bayaran sebenar iaitu RM16,155.00

Pada awal tahun 2014, suami saya menerima surat tawaran mengerjakan haji. Tunggu punya tunggu, surat untuk saya tidak juga kunjung tiba. Sayunya hati bukan kepalang…

Rupa-rupanya di dalam surat tawaran tersebut dikepilkan sekali borang untuk diisi nama-nama sesiapa (ahli keluarga khususnya) yang cadangkan untuk dibawa bersama. Setelah suami berbincang dengan bapanya, maka keputusan dibuat untuk dituliskan nama saya… alhamdulillah.

Kursus Asas Haji

Sejak itu, berulang-aliklah kami ke Masjid Bandar Baru Uda untuk mengikuti Kursus Asas Haji. Waktu kursus adalah pada setiap hari Rabu jam 9.00 malam hingga 11.00 malam. Agak mujahadah untuk ke sana kerana saya hanya boleh bertolak ke BBU selepas maghrib kerana membawa satu-satunya anak yang masih ada di rumah. Dia bersekolah agama dan sampai ke rumah lebih kurang jam 6.50 petang.

Tahun ini dia bakal menduduki UPSR. Kerja sekolah tentunya banyak, ditambah dengan sekolah agama petang. Dia selalu meragam tatkala dibawa bersama. Namun, saya gagahkan menghadapi apa jua kerenahnya.

Saya pergi ke Masjid Bandar Baru Uda dari Kulaijaya dengan menaiki kereta sedangkan suami dari tempat kerjanya di Tanjung Langsat (nun di penghujung Pasir Gudang) dengan menunggang motorsikal. Waktu balik ke rumah kami kejar-mengejar di jalanan yang memakan masa selama setengah jam. Seronok pula, tidak sabar menunggu Rabu minggu hadapan untuk main kejar-kejar tengah-tengah malam…

Hal ini tidak berani saya kongsikan di laman sosial. Bimbang pula ada yang mengambil kesempatan. Maklumlah sewaktu pulang dari kursus biasanya suasana sekitar perumahan kami sudah sunyi sepi. Bahaya…

Kursus Asas di masjid berdekatan bukannya tiada tetapi waktu kursus adalah pada hujung minggu dan kami ada komitmen lain pada waktu tersebut. Kursus ini diadakan sebanyak 15 siri iaitu bersamaan 15 minggu. Ianya sangat bermanfaat dan pada hemat saya ia adalah ‘WAJIB’ dihadiri oleh sesiapa juga yang ingin mengerjakan haji.

Kursus Asas Haji terbuka kepada umum, sesiapa juga boleh mengikutinya dan ianya percuma.

Pada hari terakhir kursus, suami saya ada merakam pengajaran Ustaz Abu Bakar bin Watak, pembimbing kursus asas haji di masjid tersebut. Setiap malam Rabu kehadiran memang penuh dan tempat parkir keretalah yang selalunya agak menyusahkan saya sebagai orang perempuan. Ah, hendak seribu daya, tidak hendak satu dalih pun cukup.

Pengajaran Ustaz Abu Bakar jelas dan menarik. Masya-Allah, saya agak merasa kagum dengan kebolehannya berdiri dan berjalan ke bahagian lelaki dan wanita sewaktu mengajar. Ianya membantu kami yang sudah berusia ini untuk kekal memberikan fokus kepada pelajaran. Tidak sempat hendak tidur

Ini adalah video rakaman tersebut. Pada minit-minit awal, kepala tuan/ puan perlu ditelengkan sedikit. Mohon maaf ye.

Kursus Intensif Haji

Pada 23 dan 24 Mei pula kami mengikuti Kursus Intensif Haji di UTM Skudai. Di dalam kursus ini ada ujian bertulis. Sesiapa yang ‘berkeperluan’ akan ditambah dengan Kursus Khas Haji.

Kursus Perdana Haji

Pada 15 dan 16 Ogos pula kami mengikuti Kursus Perdana Haji di UTHM, Parit Raja. Terasa seperti sudah berada di Mina pula. Sepulangnya dari kursus, kaki saya bengkak dan sakit. Maklumlah kaki orang manja… Apa tidaknya, kami menjalani praktikal, tawaf, sa’ei dan melontar sebagaimana jarak dan situasi sebenar.

Berjalan ke tempat jamrah
Kursus Perdana Haji

Suspen pula rasa hati, mampukah aku? La haula wala quwwata illa billah…

Glamour

Ketika menjalani kursus, saya mendapati jurugambar sangat rajin mengambil gambar. Saya terfikir-fikir juga untuk apakah gambar-gambar itu digunakan?

Tibalah ke upacara penutup kursus. Rupa-rupanya tujuan gambar diambil adalah untuk kami mengambil pengajaran akan kesalahan-kesalahan kami.

Contohnya;
1. Memakai ihram tetapi memakai baju panas di dalam bagi lelaki.
2. Memakai ihram tetapi berseluar panjang di sebelah dalam bagi lelaki.
3. Tidak memakai stokin bagi wanita ketika mengerjakan tawaf.

Aduh, ada ke tidak muka aku? Anak-anak muda kata ‘bengang giler’ lah masa itu. Walau bagaimanapun, pihak penganjur menjelaskan bahawa bukanlah tujuan mereka untuk mengaibkan sesiapa.

Ketika melakukan latihan sa’ie saya terdengar juga ustaz-ustaz mengingatkan, “Waktu ihram, tidak boleh memakai niqab.” Memang terdapat tiga hingga empat orang wanita berniqab ketika itu. Saya memakai niqab bertopi yang kawan saya pinjamkan.

Sewaktu berkesempatan mengemukakan kemusykilan kepada ustazah bertugas, saya bertanyakan soalan bagaimanakah kedudukan wanita yang berniqab. Adakah boleh mereka mengenakan niqab?

Ustazah tersebut menjelaskan, boleh asalkan yang berawning iaitu kain niqab itu tidak mencecah kulit wajah.

Inilah niqab yang akan saya pakai ketika ihram, insya-Allah. Terima kasih kepada teman yang meminjamkan.

Niqab haji dan umrah
Niqab Semasa Ihram

Masa inilah saya sempat merakam video Kipas Giant di Masjid UTHM .

Ketika itu hanya beberapa detik sebelum azan subuh. Video dirakam dari tempat solat wanita di bahagian atas. Tempat wuduk juga ada di tingkat atas. Kedudukan tempat wuduk sedemikian amat mesra pengguna. Tahniah UTHM.

Sumbangan Badan Korporat

Keperluan Haji
Sumbangan Badan Korporat

Di sini ingin saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jazakumullahu khaira al-jaza’ kepada badan-badan korporat yang telah menyumbangkan barangan keperluan kepada semua jemaah haji Malaysia 2014.

1. Maybank – beg dan sejadah
2. Pharmaniaga – Kit topeng muka
3. Yayasan Felda – beg peralatan mandi
4. Colgate – Berus gigi, ubat gigi
5. TM – Botol spray wuduk dan lampu suluh
6. NationWide Express – Uncang kasut dan batu untuk melontar jamrah
7. CCM – Ubat-ubatan
8. Bank Rakyat – Mini Spray Water Fan (yang paling saya suka)
9. Minyak angin hijau cap Lang dan lain-lain ubat
10. Ubat gigi Safi
11. Berus gigi Oral B
12. Sim kad Mobily (sim kad pun ada… masya-Allah!)
13. Takaful Malaysia – Buku Panduan Ibadat Haji Wanita

Inilah rupa Mini Spray Water Fan. Pihak Tabung Haji sudah pesan awal-awal supaya sorokkan barang ini daripada cucu-cucu semasa kursus perdana haji tempohari. Kalau hendak juga, tunggu datuk balik haji. Eh, bukan cucu saja yang suka, nenek pun suka juga…

Semoga Allah SWT memberkati rezeki semua pihak yang bermurah hati, Allahumma aamiiiiiin.

Pergi Haji…

Insya-Allah kami akan berangkat ke Mekah pada 18.9.2014 melalui KLIA dengan menaiki pesawat KT48 pada jam 1.30 pagi. Ujian sungguh! Rumah saya hanya 10 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai. Mengapa KLIA? Hai, banyak komenlah pulak! Senyum… syukur…

Sehubungan dengan itu, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafaan di atas segala salah silap saya sepanjang perkenalan kita sama ada disengajakan atau tidak. Doakan kami dan semua jemaah haji 2014 bersamaan 1435H mendapat haji yang mabrur.

Assalamualaikum. Ilal liqo’… Insya-Allah.

Pengucapan Awam Dari Kacamata Islam (Public Speaking)

Pendahuluan

Assalamualaikum tuan puan yang saya muliakan sekalian. Apa khabar? Semoga semuanya baik-baik sahaja di bawah lindungan rahmat dan kasih sayang Allah.

Pada hari yang berbahagia ini saya ingin berkongsi tentang pengucapan awam. Sepanjang perjalanan hidup tuan/puan pasti ada seseorang tokoh pengucap yang menjadi kesukaan tuan/puan bukan?

Mengapa tuan/puan suka mendengarkan kata-katanya? Adakah ucapannya itu mampu menyuntik motivasi, inspirasi, mencolek hati atau dia itu kacak dan lawa?

Bagaimana kalau tuan/puan pula diminta untuk berucap di khalayak ramai? Bersediakah atau menggigilkah? Hehehe…….. menonton atau menjadi pendengar memang seronok. Macam-macam kita boleh komen orang yang berdiri di hadapan itu bukan?

“Kau nampak tak, jari dia menggigil…… jelas kelihatan di slaid…… Eh, pembentang yang kedua tu boringlah, ada ke dia baca nota dari awal sambil ke sudah. Aku pun boleh baca sendiri, tak payah datang sini pun tak apa….. nasib baiklah muka dia kacak!”

Haish, bukan senang hendak bercakap di hadapan orang ramai! Bayangkanlah satu dewan kesemua mata mencorong memandang kita dari atas ke bawah.

Itu tidak termasuk yang berbual-bual sesama sendiri. Langsung tidak menghormati kita yang terpacak berdiri di pentas. Kalau tidak kuat semangat, mahu menangis dan berlari pulang ke rumah dibuatnya!

Pengucapan Awam
Pengucapan Awam

Kisah Sebenar Pengucapan Awam

Ustazah Norhafizah Musa seorang penalis dalam rancangan Usrati di Radio IKIM.fm pernah berkongsi kisah dirinya. Semasa kecil dia sering digesa oleh ibu bapanya untuk memasuki pelbagai pertandingan di sekolah.

Pertama kali memasuki pertandingan tilawah al-Quran semasa darjah satu dia merasa sangat gemuruh. Dia membaca ayat al-Quran berhelai-helai sehingga hilang suara. Dia hanya memberhentikan bacaan apabila penjaga masa datang dan memberitahu supaya berhentikan bacaan kerana masa sudah lama habis.

Loceng (sudu yang diketuk pada cawan) telah dibunyikan berkali-kali tetapi Ustazah Norhafizah tidak mendengar. Hampir sumbing cawan tersebut diketuk-ketuk oleh penjaga masa.

Tentu sahaja kita tidak akan mendengar bunyi dari luar diri seandainya bunyi degupan jantung sendiri sangat jelas pada pendengaran kita…… Hah…… cuba kita bayangkan perasaanya saat itu………

Syukur alhamdulillah, kini beliau memahami mengapa ibu bapanya mendidik beliau sedemikian. Jadilah beliau sebagaimana yang kita saksikan hari ini. Syukur alhamdulillah kita mendapat nikmat ilmu agama berkat kemampuan beliau berani berbicara di hadapan khalayak.

 

Kursus Pengucapan Awam

Dalam dunia ini memang ada manusia istimewa yang dianugerahi Allah kemampuan berbicara di khalayak awam. Bagaimana pula dengan individu yang berdarah gemuruh?

Situasi bertambah parah apabila tuntutan tugasnya memerlukan dia mempunyai kemahiran pengucapan awam.

Ah, boleh stres jadinya…… ibarat makan tak lalu, tidur tak lena, mandi tak basah, buang air besar pun tidak lawas. Ianya boleh mengundang masalah kesihatan yang lain pula.

Bagaimana sekiranya kita sudah lanjut umur serta sudah berkerjaya, masihkah ada esok bagiku? Esok untuk siapa?

Jangan risau tuan/puan sekalian, kebesaran seseorang bukanlah terletak di mana dia berada tetapi ke arah mana pergerakannya. Hendak seribu cara, tidak hendak satu dalih pun mencukupi.

Kemahiran pengucapan awam memang perlu bagi sesetengah individu. Berita baiknya pula ialah ia suatu kemahiran yang boleh diasah dan dipelajari serta dikuasai.

Kelab Pidato perdana menyediakan ruang untuk sesiapa yang mahu memajukan diri. Testimoni daripada rakan-rakan kita yang sudah menyertainya juga menggalakkan. Silalah baca di bawah ini:

Bersesuaian dengan tema blog saya yang membicarakan isu-isu berkaitan Islam, rasanya moleklah di sini saya kongsikan tiga belas rukun komunikasi dalam Islam.

Ia adalah prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi bagi merealisasikan impian menjadi pengucap awam yang berkesan.

Tiga Belas Rukun Pengucapan Awam Berkesan Dari Kacamata Islam

Rukun Pengucapan Awam Islam
Tiga Belas Rukun Pengucapan Awam Berkesan

1. Rancang Idea Sebelum Bercakap

Pengucapan awam yang berkesan ibarat projek besar yang kompleks yang memerlukan perancangan rapi. Kaedah pengucapan yang dirancang dengan baik dan sistematik melambangkan kebijaksanaan pengucap.

Rukun yang pertama ini sangat penting. Saya sendiri walaupun sudah biasa bercakap di hadapan khalayak, tetap akan meluangkan masa untuk menyusun idea dan mencari bahan secukupnya.

Saya akan ulang-ulang dari awal hingga akhir paling kurang tiga kali di samping membuat catatan ringkas di atas sehelai kertas yang muat di telapak tangan.

Firman Allah Taala:

an-Nahl ayat 125

2. Analisis Audien (Pendengar)

Cuba kenali mereka yang akan menjadi audien kita dari segi pengetahuan sedia ada serta sikap mereka terhadap subjek yang akan kita sampaikan. Maklumat-maklumat ini amat mustahak diambil kira ketika merancang isi ucapan atau mesej kepada pendengar.

Ianya demikian kerana setiap manusia adalah unik dan mempunyai keupayaan yang berbeza dalam memahami mesej yang diterima.

Perolehi seberapa banyak maklumat tentang audien seperti ; bilangan, lingkungan umur, jantina, taraf perkahwinan, bangsa, latarbelakang sosial dan budaya, taraf pendidikan, bahasa, kerjaya dan minat

Sabda Rasulullah SAW:

“Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing.” (Riwayat Muslim)

3. Pastikan Isi Ucapan Adalah Benar

Jika perlu membuat rujukan, rujuklah kepada sumber yang berautoriti dan berkredibiliti. Kebenaran dan kesahihan bicara memang dititikberatkan oleh Islam serta pakar-pakar komunikasi moden.

Kata-kata yang ditunjangi kepalsuan hanya membawa kepada kebinasaan. Selain dari itu, ia juga akan memusnahkan kredibiliti kita, organisasi yang kita wakili serta fahaman yang menjadi anutan kita.

Firman Allah Taala:

al-Ahzab ayat 70

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Busuknya Pembohongan
Hadis Busuknya Pembohongan

Sayyidina Abdullah bin Umar r.anhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW. bersabda, “Apabila seseorang hamba bercakap dusta, maka malaikat akan menjauhkan diri daripadanya sejauh sebatu kerana busuk pendustaannya itu.” (At-Tirmizi)(1)

4. Gaya Bahasa Hendaklah Bersesuaian dan Baik

Bahasa melambangkan bangsa. Allah mencipta semua bahasa dengan keindahannya masing-masing.

Manusialah yang mencemari keindahan bahasa itu dengan memilih untuk menggunakan perkataan yang kotor lagi keji.

Firman Allah Taala:

al-isra' ayat 53

Firman Allah Taala:

al-Baqarah ayat 83

Firman Allah Taala:

an-Nisa' ayat 8

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Bercakap Yang Baik-baik Atau Diam Saja
Hadis Bercakap Yang Baik-baik Atau Diam Saja

Sayyidina Abu Hurairah r.anhu berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT. dan hari akhirat hendaklah dia memperkatakan perkara yang baik ataupun dia diam.” (Bukhari)(2)

5. Nada Percakapan Hendaklah Terkawal dan Bersesuaian

Lontaran suara yang yang lunak serta tuturkata yang lemah lembut merupakan ciri penting dalam usaha-usaha membujuk dan mempengaruhi.

Kelunakan suara mampu menghunjam ke dasar kalbu lantas memadamkan api pertentangan. Nada suara tuan/puan perlu ada variasi, bukannya mendatar.

Pastikan kelantangan suara kita sesuai dengan suasana sekitar, saiz dan tahap kebisingan. Jika terlalu kuat, kita akan kelihatan seperti menjerit. Pendengar pastinya tidak selesa diperlakukan sedemikian.

Sebaliknya jika terlalu perlahan butir bicara kita tidak dapat difahami.

Nada suara pula tinggikan atau rendahkan mengikut keperluan.

Kelajuan percakapan suara boleh dipelbagaikan mengikut tempat dan komposisi audien sama ada sedikit atau ramai. Bercakaplah lambat-lambat untuk menerangkan perkara yang kompleks dan sukar difahami.

Bercakaplah sepatah demi sepatah jika berucap di tempat terbuka seperti di padang atau di masjid yang bertujuan untuk didengari dan diambil perhatian oleh penduduk sekitar. Bercakap lambat-lambat perlu kerana kawasan ini menyebabkan suara kita boleh melantun semula.

Suasana akan menjadi hingar-bingar dan tidak dapat difahami mesej yang hendak disampaikan jika bercakap laju-laju di tempat seperti di atas.

Cuba dengarkan pengacara majlis pertandingan kawad ini bertutur. Dia bercakap sepatah demi sepatah pada durasi 10:44 hingga 11:20.

Tentukan juga bilakah masa untuk berhenti, meneruskan ucapan, menarik dan menghembus nafas. (tolong jangan bernafas di mikrofon ye, tak rela I mendengarkannya……).

Elakkan juga bunyi-bunyi yang tidak berkenaan seperti; ’emm… uh… er..eeee’.. a… aaaa….” Kemahiran yang kelihatannya remeh temeh ini memerlukan latihan berterusan.

Firman Allah Taala:

Taha ayat 43-44

Firman Allah Taala:

Luqman ayat 19

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Tentang Lemah-lembut dan Bertolak-ansur
Hadis Tentang Lemah-lembut dan Bertolak-ansur

Sayyidina ‘Abdullah bin Mas’ud r.anhu berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Tidakkah saya memberitahu kamu mengenai seseorang yang api neraka haram ke atasnya dan dia haram ke atas api neraka? Dia ialah orang yang hampir kepada semua orang lain dan berkeperibadian lembut serta mudah dalam berurusan dengan orang lain.” (Tirmizi)(3)

6. Susunan Maklumat Jelas dan Berstruktur

Mesej yang tersusun dan jelas membantu audien memahami dengan mudah. Selain dari itu ia juga menampakkan persediaan dan kebijaksanaan pada pihak pengucap.

Sebaliknya mesej yang kabur dan bercelaru bakal mengelirukan dan berpotensi menimbulkan pertentangan.

Firman Allah Taala:

an-Nur ayat 54

7. Bahasa Badan Perlu Menyokong Lisan

Becakaplah dari lubuk hati yang paling dalam dan bersemangat. Ia akan menjangkit kepada audien atau pendengar untuk bersama menghayati ucapan dan butir bicara yang kita sampaikan. Elakkan berucap seperti membaca warta berita.

Imam Muslim dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan:

“Apabila Rasulullah s.a.w berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya lantang (nyaring) dan semangatnya bangkit bagai seorang Panglima perang yang memperingatkan tentang kedatangan musuh yang ingin memerangi umat Islam pada ketika pagi atau petangnya.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)

8. Berhujah Dengan Waras

Jika ditakdirkan kita perlu berhujah di dalam ucapan yang cuba kita sampaikan, maka berhujahlah dengan hujah yang rasional dan waras.

Berbalas hujah hanya bersenjatakan emosi semata kelak hanya menonjolkan ketidakmatangan kita sebagai pengucap.

Firman Allah Taala:

an-Nahl ayat 125

Sabda Rasulullah SAW:

Pengucapan awam dari kacamata Islam - Hadis Anjuran Berakhlak Mulia
Hadis Anjuran Berakhlak Mulia

Sayyidina Umamah r.anhu berkata, Rasulullah SAW. bersabda, “Saya menjamin (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di pinggir syurga bagi seseorang yang tidak ingin bertengkar walaupun dia di pihak yang benar,

dan (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di tengah syurga bagi seseorang yang tidak berbohong walaupun semasa dia bergurau

dan (untuk mendapatkan) sebuah mahligai di darjat yang tertinggi daripada syurga bagi seseorang yang memperelokkan akhlaknya.” (Abu Daud)(4)

9. Ambil Kira Pendapat Orang Lain

Betapa hebatpun keilmuan seseorang, ia hanyalah setitik daripada selautan ilmu Allah. Allah juga tidak memberi semua ilmu kepada seseorang.

Oleh yang demikian, adalah lumrah sekiranya didapati sipolan mahir dalam bidang ini tetapi naïf pula dalam bidang itu. Oleh yang demikian berlapang dada dan bersedia menerima pandangan pihak lain adalah suatu sikap yang terpuji.

Bak kata pepatah, ‘Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.’

Firman Allah Taala:

(9.1)aliimran159

Firman Allah Taala:

asy-Syura ayat 38

10. Amalkan Apa Yang Diucapkan

Kepimpinan melalui teladan. Dakwah bil hal iaitu menyampaikan mesej melalui tabiat atau akhlak yang baik adalah lebih berkesan daripada semata-mata dakwah bil lisan iaitu bercakap atau berceramah.

Kita sendiri dapat merasakan kadang kala seorang penceramah itu suaranya tidaklah sesedap mana. Bercakap pula dengan pelat kedaerahan beliau tetapi bicaranya itu menusuk ke hati dan mudah kita ingati seterusnya mengamalkan apa yang beliau sarankan.

Sebaliknya ada pula penceramah yang kelihatan hebat, lengkap dengan alat bantu yang mampu mengekalkan perhatian pendengar sehingga ke ayat terakhir. Namun, ianya hanya berakhir di dewan itu sahaja. Hanya sampai ke daun telinga buat halwa pendengaran sahaja.

Koleksi Motivasi Pagi Radio IKIM.fm oleh Encik Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew

Program Motivasi Pagi Radio IKIM.fm bulan Jun disampaikan oleh Encik Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew. Beliau mendapat jolokan ‘Ustaz Air Mata’.

Saya sendiri dengan mudah menitiskan air mata tatkala mendengar motivasi yang disampaikannya. Masakan tidak, kisah teladan yang diceritakan adalah berkenaan para sahabat yang berjuang di sisi Rasulullah SAW. Baginda mengiktiraf kedudukan para sahabat melalui banyak hadis.

Tambah sayu hati saya kerana Encik Ebit merupakan anak kepada ‘saudara kita’. Betapa hebatnya Allah yang merezekikannya dengan ingatan yang kuat terhadap kisah-kisah kehidupan para sahabat.

Saya yang sejak di bangku sekolah sehingga kini didedahkan dengan majlis taalim dan hayatus sahabah di rumah setiap selesai solat fardu Isya’ pun tidak mampu mengingatinya dengan baik. Apatah lagi jika disuruh menceritakannya semula……..

Rupa-rupanya ramai yang ‘tangkap leleh’ macam saya……… cuba tinjau apa kata sahabat-sahabat kita di fanpage facebook IKIMFM:

Ustaz Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew
Encik Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew
Ustaz Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew
Komen Motivasi Pagi IKIM.fm Jun-Julai 2012 oleh Encik Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew
Ustaz Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew
Komen Motivasi Pagi IKIM.fm Jun-Julai 2012 oleh Encik Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew
Komen Motivasi pagi IKIM.fm Jun-Julai 2012 oleh Ustaz Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew
Komen Motivasi Pagi IKIM.fm Jun-Julai 2012 oleh Encik Ebit Irawan Bin Ibrahim Lew

Bersempena dengan mujahadah sepuluh terakhir Ramadhan 1433 Hijrah ini, marilah kita mendengar semula motivasi ini. Semoga dapat membugarkan kembali semangat cintakan Islam, cintakan Allah dan cintakan Rasulullah SAW.

Selain daripada itu, seperkara yang perlu kita perhatikan adalah akhlak kita. Sebelum amalan kita ‘sampai’ ke hadrat Allah SWT. ianya akan disaring melalui tujuh pintu langit.

  • Langit Pertama: Ghibah (mengumpat).
  • Langit Kedua: Berharap agar mendapat keuntungan dunia.
  • Langit ketiga: Takabbur.
  • Langit keempat: Ujub (takjub dengan kebolehan diri sendiri)
  • Langit kelima: Hasad kepada orang yang belajar ilmu dan beramal seperti amalannya.
  • Langit keenam: Tiada belas kasihan kepada hamba Allah yang mengalami kesusahan.
  • Langit ketujuh: Riyak (menunjuk-nunjuk)

Amalan kita perlu dipastikan dapat melepasi setiap pintu langit yang dijaga oleh para malaikat.

Pada setiap pintu ini, malaikat pembawa amalan manusia akan ditahan oleh mereka untuk memastikan sama ada amalan manusia tersebut diterima dan dapat melalui ke pintu langit seterusnya ataupun sebaliknya.

Amalan yang tertolak akan sama ada;

  • Ditahan.
  • Dipukulkan semula ke muka orang yang mengerjakannya.
  • Dibuang.

Namun ketika bertemu Allah: Allah berfirman kepada malaikat, “Kamu adalah yang bertugas menjaga amalan hamba-Ku ini. Aku lebih mengetahui segala isi hatinya. Dia tidak ikhlas kepada-Ku dengan amalannya. Dia boleh menipu orang lain, menipu kamu tetapi tidak boleh menipu Aku.”

Marilah kita muhasabah diri sendiri sebelum tiba hari penghisaban yang tiada keraguan akan kedatangannya…………

Sila klik untuk mendengar atau memuat turun. Menurut pengalaman saya, saya boleh memuat turun sekirannya menggunakan pelayar Mozilla Firefox.

Selamat mendengar dan jangan lupa untuk ‘memburu’ Lailatul Qadr bukan ‘menunggu’ Lailatul Qadr.

Doa dan Pendahuluan Ucapan
Doa dan Pendahuluan Ucapan

NOTA: SEMUA AUDIO SUDAH DIPADAMKAN OLEH MYKRK KERANA MENGHORMATI HAK CIPTA IKIM.FM

1. Hidupkan Agama Islam

2. Tanamkan Rasa Mencintai Nabi SAW.

3. Dapatkan Keredaan Allah Dengan Meneladani Para Sahabat r.anhum ajma’in

4. Solat

5. Taalim

6. Adab Menuntut Ilmu

7. Ikram (memuliakan) Orang Lain

8. Memaafkan

9. Menegur Dengan Hikmah

10. Merendah Diri, “Saya Yang Bersalah”

11. Perkara Hak Dan Munkar Jadi Terbalik

12. Malayani Orang Lain Dengan Baik

13. Berkorban Untuk Agama Islam

14. Setiap Orang Berpotensi Menjadi Pintu Hidayat. Kisah Amar bin Jamuh

15. Cintai Islam

16. Syukur

17. Apakah Tanda Cinta?

18. Musibah

19. Istighfar Dan Taubat

20. Ikhlas

21. Berkasih Sayang Suami Isteri (Kursus Perkahwinan)

22. Buat Yang Terbaik

23. Tawakal

Di bawah ini adalah rakaman rancangan Islam Agamaku:

Kredit gambar: Gambar Profil fb Encik Ebit Lew
Laman web: TranformJiwa.com
Fanpage Facebook: Transform Training & Consultancy
Fanpage Facebook: Transform Pro Kids
Fanpage Facebook: Ebit Lew

Penghargaan dan terima kasih:
Rancangan Motivasi Pagi Radio IKIM.fm dan penerbitnya Cik Siti Rohani binti Surani

Koleksi Motivasi Pagi Radio IKIM.fm oleh Ustaz Haji Hasrizal Abdul Jamil

Siapalah yang tidak mengenali Ustaz Haji Hasrizal Abdul Jamil? Beliau merupakan seorang pendakwah, perunding latihan pembangunan manusia, blogger dan penulis kepada buku-buku motivasi keagamaan negara.

Beliau memegang ijazah Sarjana Muda (Hons.) Sharia & Islamic Studies dari Mu’tah University, Jordan (جامعة مؤتة). Anak kelahiran Ipoh, Perak ini sebelum itu menuntut di Sekolah Izzuddin Shah di Ipoh.

Berpengalaman sebagai penjawat tugas Minister of Religion di Belfast Islamic Centre Northern Ireland, UK dan beberapa masjid sekitar Republic of Ireland, beliau kemudiannya bertugas sebagai Penolong Pengarah Penyelidikan dan Modul di Fitrah Perkasa Sdn Bhd.

Beliau aktif berinteraksi di blognya www.saifulislam.com, juga di halaman Facebook facebook.com/hasrizalabduljamil. Untuk pengetahuan kawan-kawan, blognya kini dihoskan didedicated server.

Ianya demikian kerana server yang biasa sudah tidak mampu menampung pengunjung yang terlalu ramai. Tetapi kos untuk bayaran yuran dedicated server pula adalah terlalu tinggi.

Ustaz Haji Hasrizal berumahtangga dengan Dr Nazhatul Muna Ahmad Nasarudin, pakar Perubatan Kecemasan dan Pensyarah di Pusat Perubatan UKM (UKMMC) mereka dikurniakan dengan empat cahaya mata; Muhammad Saiful Islam, Naurah Sabihah, Muhammad Imaduddin dan Ahmad Muizzuddin.

Pada bulan Mei lepas, ustaz mengisi segmen Motivasi Pagi di Radio IKIMfm. Menurut ustaz, Cabaran besar rancangan Motivasi Pagi di Radio IKIM ini ialah menyesuaikan penyampaian untuk lapisan atas dan bawah.

Golongan atas tidak rasa pengisian yang disampaikan kosong dan longgar tidak berisi.

Golongan ‘santai ‘ pula mesti disantuni agar tidak hilang upaya memahami apa yang disampaikan.

Dan paling sukar adalah menentukan dos agar 10 minit itu ada kepala, badan dan ekor.

Alhamdulillah berikutan peristiwa ‘kehancuran’ handphone saya pada entri ini dan berkat melazimi ‘Doa Ketika Ditimpa Musibah’ selepas peristiwa itu, kini saya dapat mengongsikan rakaman rancangan kegemaran saya.

*** Saya seorang yang SENTIASA SUKA di atas apa jua yang berlaku di dalam hidup…..

Jom kita dengarkan. Dengarlah berulang-kali, mudahan-mudahan dapat diaplikasikan di dalam proses kita berfikir.

CARA BERFIKIR ORANG BERJAYA: Koleksi Motivasi Pagi Radio IKIM.fm oleh Ustaz Haji Hasrizal Abdul Jamil

CARA BERFIKIR ORANG BERJAYA

(Klik link untuk mendengar motivasi. Ada 23 tajuk kesemuanya)

NOTA: SEMUA AUDIO SUDAH MYKRK PADAM KERANA MENGHORMATI HAK CIPTA IKIM.FM

1. Bagaimana cara kita berfikir

2. Cara fikir org brjaya dan gagal

3. BIG PICTURE THINKING

4. FOCUS THINKING

5. alihkan gangguan

6. Cara Membangunkan Pemikiran Berfokus

7. latihan fokus

8. CREATIVE THINKING

9. contoh masalah

10. contoh masalah (sambungan)

11. org berjaya, org gagal – berbeza cara berfikir

12. REALISTIC THINKING

13. REFLECTIVE THINKING

14. REFLECTIVE THINKING

15. manfaat reflective thinking

16. Idea2 utk hasilkan reflective thinking

17. Faedah reflective thinking

18. peruntukkan masa utk berfikir

19. Hidupkan budaya bertanya

20. Mempersoalkan kebiasaan

21. Mempersoalkan pemikiran popular (kebiasaan)

22. muhasabah cerita kura-kura

23. al-Kahf-Fikir pra syarat beragama

24. isteri masih dara

Bagaimana Saya Boleh Maju Dalam Pelajaran Dan Ko-Kurikulum?

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apa khabar? Sedar tidak sedar kita sudah berada pada dua minggu terakhir bulan Oktober. Peperiksaan UPSR dan PMR telahpun berlalu. Kepada murid-murid yang tidak mengambil peperiksaan tersebut, mereka bakal menghadapi peperiksaan akhir tahun.

Hemmm…. saya ada rahsia yang ingin dibisikkan terutamanya kepada pelajar-pelajar sekolah. Walau bagaimanapun, rahsia ini boleh diamalkan dan berkesan kepada pelajar pada peringkat mana sekalipun., sama ada dari tadika hinggalah ke phd. Kenapa? Tidak percaya ke? Eh, Professor Doktor Muhaya Mohamad pun pernah cakap tau!

Baiklah, dengar ini saya hendak cerita. Sebenarnya sudah lama hendak cerita. Tetapi terasa macam hendak membangga diri pula. Tidak mengapalah, saya serahkan kepada Allah untuk menilainya. Saya dedahkan di sini kerana saya sayangkan kalian semua……….. sharing is caring………….

Sebagaimana yang adik-adik dan tuan/puan semua tahu, saya bersekolah arab sejak berumur 13 tahun lagi iaitu selepas tamat sekolah rendah. Namun begitu, pencapaian saya lebih menyerlah di dalam bidang akademik, terutamanya mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Walaupun mendapat agregat 1 dalam mata pelajaran Bahasa Arab di dalam peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) – sekarang PMR, nombor yang biasanya menjadi hak milik tetap saya di dalam peperiksaan awal, pertengahan atau akhir tahun adalah dua puluh lebih.

Grrrrr, saya memang tidak suka belajar Bahasa Arab. Sudahlah subjeknya berbelas-belas, kena hafal lagi! Ingin sahaja saya mengubahnya. FAHAM SAHAJA CUKUPLAH!!! Gugur rambutlah asyik menghafal!!!. Tetapi siapalah yang mahu simpati. Itulah nasib pelajar sekolah Arab.

Tibalah ke saat-saat terakhir……….. saya menduduki peperiksaan Syahadah Ibtida’iyyah. Memanglah dapat pangkat ’jayyid jiddan’ (sangat baik). Nombornya? Jeng jeng……………… 48 beb. Hwaaaa mabruk mabruk.

sijil syahadah ibtida'iyyah

Tapi kan, nak tahu tak? Ada seorang kawan saya tu. Dia sama saja macam saya, nombor puluh-puluh biasalah. Tapi kali ini dia dapat nombor 3 seluruh negeri Johor. Wah, mana aci macam ini! Ini tidak boleh jadi…………

Saya pun bertanyalah, ” Awak, kita ni kan sama je. Tapi kenapa kali ini awak boleh dapat nombor 3 e’?” Dia jawab, ”Entah, abah kita tu (abah dia ustaz). Abah kita suruh kita sembahyang hajat masa malam nak periksa hari tu.” ”Sembahyang hajat? Macam mana tu?” (eh, itu pun aku tak tahu?) ”Masa rakaat pertama selepas al-Fatihah, abah kita suruh baca Surah Al-Kafirun 11 kali, rakaat kedua selepas al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas 11 kali. Masa sujud akhir pulak baca Lailaha illa anta, subhanaka inni kuntu minaz zolimin 40 kali. Lepas bagi salam doalah apa yang kita hendak.” “Tu je?” Saya kurang percaya. ” Ha’a” jawabnya jujur.

YES ! Berbekalkan ‘azimat’ inilah saya melangkah penuh gaya ke Maahad Johor, institusi yang mengumpulkan lulusan lepasan Syahadah Ibtida’i seluruh negeri Johor.

Setiap peperiksaan yang saya hadapi, tidak kira kecil atau besar, saya pastikan saya melakukan solat hajat pada malam peperiksaan akan berlangsung. Hasilnya……………. Jeng jeng jeng………… nombor hak milik kekal saya ialah sama ada 1, 2 atau 3. Seronoknya ………….. terasa macam dunia ini ana yang funyalah!

Kawan-kawan kata saya terror. Uhuk uhuk………. korang tak tahu rahsia aku…….. ’Prak!’ Eh, bunyi apa yang koyak tu?

Apabila berjaya memasuki maktab perguruan pula, saya masih meneruskan kaedah tersebut. Alhamdulillah………… Purata mata gred saya ialah 4.29 dengan gred A di dalam mata pelajaran pengkhususan iaitu Pengetahuan Agama.

sijil maktab perguruan

Memang tahun-tahun persekolahan di Maahad Johor dan maktab perguruan amat manis saya rasakan. Bertambah-tambah kesyukuran saya kerana ianya dapat dengan kehendak Allah saya capai di celah-celah kesibukan saya sebagai pemimpin pelajar. Di maahad saya memikul amanah sebagai ketua 3 buah asrama (Kayangan 1, Resak dan Sekolah Agama Taman Perling – betul-betul ’gila kuasa’……. hihi) dan ketua bagi sebuah jawatankuasa di sekolah. Semasa di maktab pula, mahu tidak mahu saya relakan diri dikorbankan menjadi exco jawatankuasa agama selama 4 semester.

Sebahagian Senarai Tugas
Ko-kurikulum

Bagaimana saya mampu melakukannya? Jawapannya ialah……….. SOLAT HAJAT…………. baik untuk urusan pelajaran mahupun urusan beban amanah tersebut.

La haula wala quwwata illa billah. Segalanya pinjaman daripada Allah. Namun sekurang-kurangnya saya berpeluang menikmati kebahagiaan menjadi orang yang berguna………….

Masalahnya kadangkala apabila saya menyampaikan rahsia ini kepada seseorang, dia akan menggumam, ”Eleh, kalau solat hajat tapi tak usaha, tak guna jugak…..” Memang benar.

Impaknya kepada peribadi saya pula ialah saya sedar pada akhir usaha itu nanti saya bakal menyerah diri kepada Allah. Oleh kerana itu dalam diri timbul rasa yang teramat malu sekiranya menadah tangan tanpa berusaha sehabis daya terlebih dahulu. Seterusnya tanpa disedari motivasi untuk menumpukan sepenuh perhatian tatkala guru mengajar, membuat nota yang baik, mengajar rakan-rakan dan lain-lain lagi mudah saya lakukan tanpa disuruh.

InsyaAllah anak-anak, adik-adik. Kalian MAMPU melakukannya! Berpautlah kepada yang Maha Bijaksana, nescaya kita juga akan bijaksana. Berpautlah kepada yang Maha Kuat, nescaya kita juga akan menjadi kuat. Percayalah! InsyaAllah……………

Nota:

*Setelah menjejakkan kaki ke Maahad Johor, barulah saya merasa amat bersyukur kerana berpeluang bersekolah di Sekolah Arab Bugisiah Tampok. Ia adalah di antara sekolah arab terbaik di Johor pada hemat saya. Demikianlah manusia……… hanya mengerti nilai sesuatu setelah ianya tiada di hadapan mata. Terima kasih sebanyak-banyaknya ustaz, ustazah, cikgu-cikgu dan teman-teman semua…………..

* Solat hajat ada banyak kaedahnya, pilihlah cara yang sesuai dengan tuan/puan. Saya suka cara di atas kerana ada kenangan tersendiri dan doa Nabi Yunus.

* Sekiranya anak masil kecil, ibu bapalah yang solatkan hajat untuk mereka.

* Jika mampu lakukanlah solat hajat empat rakaat yang pernah Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed uar-uarkan di dalam rancangan Tafsirul Qur’an. Kaedah ini diajarkan oleh Rasulullah S.A.W kepada Saidina Ali r.anhu di dalam suatu hadis yang agak panjang.

Caranya:
Pada rakaat pertama selepas al-Fatihah baca Surah Yasin.
Pada rakaat kedua selepas al-Fatihah baca Surah ad-Dukhan.
Pada rakaat ketiga selepas al-Fatihah baca Surah as-Sajdah.
Pada rakaat keempat selepas al-Fatihah baca Surah al-Mulk.

Keempat-empat surah ini merupakan surah yang mula-mula dihafal oleh para pelajar maahad tahfiz sebelum mulai menghafal seluruh al-Qur’an. InsyaAllah ianya ‘amat mustajab’.

Share/Save
Share/Save
Scroll to Top