Nak Cakap Sket……

Buku maghfirah pustaka

Hadiah Sudah Dapat. Terima Kasih IKIMfm Dan Maghfirah Pustaka

Nisfu Sya’ban kali amat bermakna……….

Apakah yang lebih menggembirakan bagi seorang ‘ulat buku’ selain daripada mendapat hadiah buku? Alhamdulillah tergerak pula jari saya untuk mendail 03 62051500 apabila DJ Siti Rohani Surani mengumumkan kuiz akan ke udara………

* Sila klik gambar untuk melihatnya dalam saiz lebih besar.

Saya teruja untuk menyertai kerana soalan sehari sebelum itu adalah berkenaan hukum tajwid. Rasanya kalau soalan tajwid yang mudah tu bolehlah saya jawab. Ceh, dengan penuh keyakinan saya mencuba. Allahuakbar, soalannya…….. alhamdulillah tentang ulama Islam tetapi ternyata lebih senang………

Kepada kawan-kawan sekalian, kalau ingin mencuba silalah dengar rancangan Warna Pagi di Radio IKIM.fm. Waktunya di antara pukul 8.00 pagi hingga 9.00 pagi.

Berbanyak terima kasih diucapkan kepada Maghfirah Pustaka (M) Sdn. Bhd. kerana menaja hadiah untuk bulan Jun 2012. Hadiah telah selamat saya terima semalam pada pukul 2.10 petang bersamaan 14 Syaaban 1433 H.

Selalu ke saya telefon Radio IKIM.fm. Jarang….. saya suka dengar saja. Aktiviti terkini pula ialah merakam rancangan-rancangan kegemaran. Hayya bil-Arabiah dan Durus Arabiah pun banyak sudah saya rakam. Nak dengar?…….. Tunggu……..

Ermmm……. Cik Siti dan Pian, boleh saya sertai kuiz lagi?

Senarai Penginapan di Pantai Air Papan, Mersing, Johor

Senarai Penginapan di Pantai Air Papan, Mersing

Assalamualaikum. Anak-anak sedang sibuk menghadapi peperiksaan sekarang. Apa maknanya tu? Maknanya cuti sekolah sudah hampirlah kawan-kawan. Bukan anak sahaja yang suka, ibu ayah pun sama……… mengaku sajalah……

Bagi kami sekeluarga, percutian biasanya adalah pada musim cuti sekolah Bulan Mac. Tahun 2010, kami ke Melaka. 2011 ke Kuala Lumpur. Pada tahun ini pula kami memilih untuk bercuti di negeri sendiri sahaja………. iaitu PANTAI AIR PAPAN.

Senarai Penginapan di Pantai Air Papan, Mersing, Johor

Kredit gambar: http://kasawari7.blogspot.com/2008/04/sehari-di-air-papan-mersing.html

Sejarah Kampung Air Papan:

Mengikut cerita lisan, Kampung Air Papan mendapat nama bersempena peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu. Pada masa itu, penduduk kampung mendapatkan sumber air dari satu pancur di tepi bukit yang berhampiran dengan sebuah kilang papan.

Mereka kemudian meletakkan papan sebagai alas di pancuran tersebut. Bersempena dengan keadaan tersebut, maka penduduk kampung menamakan kampung mereka sebagai Kampung Air Papan.

Kampung Air Papan terletak kira-kira 15 atau 12km dari Bandar Mersing. Ia diapit oleh dua kampung yang terdekat iaitu Kampung Tenglu Besar dan Kampung Tenglu Laut yang terletak di Mukim Tenglu. Kampung Air Papan juga boleh dikunjungi dari Kampung Tenglu Laut melalui jalan tepi pantai yang kecil.

Tarikan utama di Kampung Air Papan ialah Pantai Air Papan yang kedudukannya menghadap perairan Laut China Selatan. Pantai ini sering dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negeri untuk bersantai terutama pada hujung minggu atau hari-hari kelepasan am.

Penginapan di Pantai Air Papan

Pada mulanya susah juga hendak mencari info berkenaan penginapan yang terdapat di Pantai Air Papan. Rupa-rupanya, kami yang silap………

Oleh kerana Pantai Air Papan terletak di Mersing, tidak semua pemilik penginapan di Air Papan menamakan premis mereka dengan ‘Air Papan’.

Lalu ianya menyedarkan saya mengapa sekiranya kita mahu menamakan blog, kita digalakkan untuk memilih nama domain yang amat berkaitan dengan niche blog kita.

Sebagai contoh; kebanyakan artikel di blog saya adalah berkaitan belajar Bahasa Arab, jadi rekalah nama yang ada ‘arab’. Setelah puas berbincang dengan Teacher Nash, pilihan kami adalah; https://arabmykrk.com

Oleh itu, bila ada sesiapa mencari info tentang Bahasa Arab, insyaAllah mudahlah blog ini ditemui……. Berbalik kepada tajuk di atas, akhirnya kami memilih untuk menginap di Air Papan Beach Resort.

Bukannya apa, melihatkan kepada nama resort-resort yang lain itu, bimbang ianya bukan terletak di Air Papan. Sedangkan kami berhajat mahu berkelah di Pantai Air Papan.

Kami ke sana pada pertengahan minggu. Jadi, pengunjung tidaklah ramai. Rupa-rupanya di sana ada banyak resort dan chalet yang terletak saling sebelah menyebelah.

Kami menuju ke sana dari arah Johor Bahru dan melewati Pantai Tanjung Leman dahulu. Oh, Tanjung Leman lebih dekat rupanya…….. Apalah orang Johor ni, ke Utara sudah, ke Pantai Timur sudah…….. negeri sendiri pun belum mahir…….. hehehe………

Kita akan melaui bandar Mersing sebelum tiba di Kampung Air Papan. Berdekatan dengan pantai juga ada surau dan sekolah agama. (Sekolah-sekolah agama kerajaan negeri Johor memang dibina bersebelahan dengan masjid atau surau)

Resort dan chalet di sini kelihatan selesa, tidak kurang juga yang tampak boleh ditambah-baikkan lagi. Alhamdulillah tempat menginap kami selesa dan boleh menyaksikan pemandangan laut dari dalam bilik.

Oleh kerana kebetulan waktu kami ke sana adalah musim hujan, kami anak beranak hanya mandi di kolam mandi yang disediakan oleh pihak pengurusan Air Papan Beach Resort sahaja. Pada waktu malam apabila hujan telah reda, barulah kami ke pantai.

Hemmmm……… masa itulah telefon bimbit saya rosak. Apa tidaknya, toleh kiri kanan tiada sesiapa dan suasana sunyi…… saya terus saja terjun menyertai anak-anak di dalam kolam. Sudah kecut jari jemari barulah naik ke tepi. Argh, telefon!!!! Ada dalam kocek! Inna lillah…….. Amekaw………. hahaaaaa

Pada waktu siang, kami makan di kedai makan yang terletak di tepi pantai. Malamnya pula, kami keluar ke Bandar Mersing. Kami makan di sebuah kedai makan yang terletak sederet dengan sebuah kilang keropok lekor dan kedai runcit.

Tuan punya restoran itu bercakap dalam dielek Kelantan. Oleh itu, kami memilih untuk makan tomyam dan lain-lain eksesorinya. Alhamdulillah memang umph! Harganya pun tidak mahal.

Tuan/ puan boleh mencari panginapan di sini:

Untuk memudahkan kawan-kawan yang ingin bercuti ke Pantai Air Papan, Mersing, saya bawakan untuk tuan/puan senarai nama penginapan dan nombor telefon untuk dihubungi.

Air Papan Beach Resort
Laman web: http://airpapanbeachresort.com.my/
Testimoni: http://saghah.blogspot.com
(Membaca testimoni blog inilah saya terdorong untuk menempah bilik di resort ini. Kami menginap di Melati Merah. Terima kasih, Sarah)
(Sh Abu Bakar / Siti Farah)
*Tel : 07-799 5566
Fax : 07-799 5566
*H/P : 012-791 4324 / 019-744 9909 / 013-727 2772
e-mail : reservation@airpapanbeachresort.com
admin@airpapanbeachresort.com

Sri Mersing Resort
Laman web:
Testimoni: http://budakbakong.blogspot.com/2011/10/family-day-santaisri-mersing-resort.html
(Sh Abu Bakar / Siti Farah)
*Tel: 07 – 7992384, 799 2085 (RES)
Fax : 07 – 7992384
*H/P: 013 – 727 2772
Nota: Kedua-dua resort di atas dimiliki oleh orang yang sama.

Mersing Beach Resort – terletak di hujung pantai dan betul-betul menghadap laut.
Laman web:
Laman web 2: http://mersingbeachresort.blogspot.com/
Facebook:
*Mr. Faisal – +6012-7121097, +6016-7007465
*Office – +607-7994545
email : mersingbeachresort@gmail.com

Teluk Godek Beach Resort (Lani’s Place) COCONUT INN – Tuan punya resort juga mengusahakan kedai makan yang terletak menghadap laut. Mee bandung di kedai makannya saya beri empat bintang.
*Telefon: 07-7994469
*Rozlani Salleh – 013-7464469
*Sariyah Yunos – 013-7434469
Email: telukgodek@hotmail.com

Sri Tanjung Chalet
Telefon: 07-7994780
Facebook: https://www.facebook.com/pages/SriTanjung-Chalet/134897506588785
Testimoni 1: http://kasehmanisah.blogspot.com/2010/03/pantai-air-papan-mersing-26-28-feb-2010.html
Testimoni 2: http://terajubintang7.blogspot.com/2011/04/percutian-di-mersing-johor.html

Air Papan Chalet
*Telefon: (Encik Suhaimi) 07-7992993 atau 013-7447070

Fishing Bay Beach Resort – Hotel yang pertama akan kita temui
Laman web:
Email: reservations@fishingbayresort.com, fishingbbr@yahoo.com.sg
Testimoni: http://menara-kehidupan.blogspot.com/2011/07/berkunjung-ke-air-papan-mersing.html
*Telefon: Haslinda Eunos- 012 – 716 6753
*Telefon: 07-799 6753
*Telefon: 07-2225300 (JB)
*Fax : 07 – 2216300 (JB)

Kali’s Guest House – Terletak paling jauh dari pantai
Laman web:
Telefon: 017-7639274

Homestay Kampung Ayer Papan
Laman web:
*Telefon: 019-7624137 (Norshamsudin A. Razak)

Laman web Komuniti Desa Johor Darul Takzim:

Hotel Sri Malaysia, Mersing– Jauh dari Pantai Air Papan, tetapi di belakang hotel ada pantai juga.
Laman web: http://www.serimalaysia.com.my/
Facebook: https://www.facebook.com/pages/Rangkaian-Hotel-Seri-Malaysia/101077733300021
Alamat: LOT TTB 641, Jalan Ismail,
86800 Mersing, Johor, Malaysia.
Telefon: 07-799 1876
FAX: 07-799 1886

Nota: Nombor telefon bertanda * telah saya pastikan bahawa ianya adalah benar dan berfungsi pada hari ini 21.5.2012.

 

Selamat bercuti dan mengeratkan silaturahim sekeluarga.

Sejarah Dan Hukum Menyambut Valentine’s Day

Sejarah Dan Hukum Menyambut Valentine's Day
Sejarah Dan Hukum Menyambut Valentine's Day

Dapatkan mesej bergambar tuan/puan di sini

PENDAHULUAN SEJARAH SAMBUTAN HARI VALENTINE

Terdapat beberapa peristiwa sejarah berkenaan tarikh 14 Februari

PERTAMA

Ia dirayakan sempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol pada 14 Februari 1492. St. Valentino merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam pada masa itu. Disebabkan sumbangan tersebut, St. Valentino dianggap sebagai kekasih rakyat.

KEDUA

Sambutan ini mengaitkan dengan kematian paderi St. Valentino ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II. Terdapat dua versi cerita berkaitan dengan St. Valentino ini.

VERSI PERTAMA

Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta disiksa.

St. Valentino sebagai seorang yang kuat berpegang dengan ajaran Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Claudius II.

St. Valentino diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorbanan yang dilakukan oleh St. Valentino ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya.

Malah St. Valentino disamakan dengan Jesus yang dianggap oleh penganut Kristian mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.

Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, dia telah jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir hayatnya sebelum dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Valentinemu).

Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka iaitu St. Valentino.

VERSI KEDUA

Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin.

Justeru itu, Claudius II menghalang para pemuda dari berkahwin. Namun demikian St. Valentino menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terharap para pemuda-pemuda Rom secara sulit.

Aktiviti St. Valentino ini akhirnya dapat diketahui oleh Claudius II lalu beliau mengarahkan St. Valentino ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

KETIGA

Valentine’s Day berkaitan dengan pesta sambutan kaum Rom Kuno sebelum kedatangan agama Kristian dinamakan Lupercalia.

Lupercalia merupakan upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.

Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom Kuno yang bernama Juno Februata. Pada hari berikutnya mereka akan melakukan upacara penyembahan dan membuat perarakan secara besar-besaran terhadap dewi cinta mereka.

KEEMPAT

Ada pandangan sejarah juga menyatakan sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung pada musim mengawan yang jatuh pada 14 Februari. Ini merupakan pendapat tradisi orang Inggeris.

DALIL DAN HUKUM MERAYAKAN HARI VALENTINE

Allah S.W.T telah berfirman:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَہُودَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَ‌ۘ بَعۡضُہُمۡ

أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬‌ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُ ۥ مِنۡہُمۡ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِى ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat

kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya,

maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (al-Maidah 5: ayat 51)

Allah S.W.T telah berfirman lagi:

لَّا تَجِدُ قَوۡمً۬ا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya (al-Mujadilah 58: ayat 22)

Begitu juga melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:

وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِہِمَا رَأۡفَةٌ۬ فِى دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ

Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat (an-Nur 24: ayat 2)

Rasulullah S.A.W telah melarang untuk mengikuti tatacara ibadat selain Islam:

“Barangsiapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk dari kaum tersebut.” (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)

Bila merayakannya bermaksud untuk mengenang kembali Valentine, maka tidak disangsikan lagi bahawa seseorang itu telah kafir, sekiranya dia tidak bermaksud demikian maka dia telah melakukan suatu kemungkaran yang besar.

Menurut Al-Lajnah Ad-Da’imah Lil Buhuts Al-’Ilmiyah Wal Ifta’ (Lembaga Pengkajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi):

  • Ia merupakan satu dosa kerana dengan begitu nyata telah bertasyabbuh (menyerupai perbuatan orang kafir dan tidak soleh).
  • Merupakan Hari Raya Nasrani
  • Seharusnya meninggalkannya dan menjauhinya sebagai sikap taat terhadap Allah dan Rasul-Nya.
  • Diharamkan atas setiap muslim untuk membantu menjayakan Hari Kekasih, baik berbentuk makanan, minuman, penjualan, pembelian produk, hadiah, surat, iklan dan sebagainya.

(Fatwa tersebut disalin dari buku Al-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram)

Asy Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin (Ulama’ Arab Saudi) telah memberi pandangan bahawa tidak boleh merayakan Hari Kekasih kerana:

  • Ia merupakan hari raya bid’ah yang tidak ada dasar hukumnya di dalam syariat Islam.
  • Ia menyebabkan hati menjadi sifat duniawi dan mengejar keseronokan semata-mata.
  • Tidak halal melakukan ritual hari raya, baik dalam bentuk makan-makan, minum-minum, berpakaian, saling tukar hadiah atau pun lainnya.

Penetapan hukum juga telah dijelaskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006. Mesyuarat ini telah memutuskan bahawa:

“Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.”

Peringatan Dan Nasihat:

  • Hendaklah setiap Muslim berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah dalam semua keadaan.
  • Hendaklah setiap Muslim benar-benar berwaspada agar tidak terjerumus dalam kesesatan.
  • Hendaklah setiap Muslim kembali kepada Allah dengan memohon petunjuk-Nya dan keteguhan di dalam petunjuk-Nya.
  • Valentine’s Day adalah suatu kelalaian dan merupakan ritual agama lain.
  • Menyampaikan seruan kebenaran adalah kewajipan bagi setiap Muslim

Benarlah sabda Rasulullah berkenaan peristiwa akhir zaman di bawah ini:

Peristiwa Akhir Zaman, Hadis 5
Hadis Akhir Zaman (5)

Ertinya:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”

Hadith riwayat Muslim.

Keterangan:

Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun gaya hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggakan dalam urusan yang kecil dan perkara yang tidak munasabah. Contohnya; seandainya orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka.

Pada masakini kita dapat menyaksikan sendiri kenyataan sabdaan Rasulullah S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nasrani sama ada secara sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani malah ramai pula di kalangan kita yang menjadi alat dan tali barut mereka.

Ya Allah, selamatkanlah kami daripada mereka! Wallahua’lam.

Sumber

1. IBU PEJABAT PERKIM,
TINGKAT 4 & 6, BANGUNAN PERKIM,
150, JALAN IPOH, 51200 KUALA LUMPUR.
TEL: 03-4042 6224/ 03-4041 2482 FAKS: 03-4042 7403
EMEL: info@perkim.net.my
www.perkim.net.my
2. Ayat al-Quran: http://www.quranexplorer.com/quran/

http://www.box.com/s/ftrhxa6bfv83ucy5s8jy

Selamat Hari Raya

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN. BERHARI RAYALAH DENGAN MENGAMALKAN ADAB-ADAB BERHARI RAYA DAN BERZIARAH YANG DIAJARKAN ISLAM.
KERANA……… TIDAK MENGAMALKAN ADAB-ADAB AKAN MENYEBABKAN KITA MENINGGALKAN SUNNAH, MANAKALA MENINGGALKAN SUNNAH PULA DIKHUATIRI LAMA KELAMAAN KITA AKAN TERLANJUR MENGABAIKAN AMALAN FARDHU PULA. NA’UZUBILLAH.

KEMATIAN DATANG TIDAK MEMBERITAHU, NAMUN PERLU DIINGAT! AMALAN KITA AKAN DIHITUNG BAGAIMANAKAH AKHIRNYA?………. ADAKAH SAAT KEMATIAN KITA;

HUSNUL KHATIMAH (akhir yang baik – حُسْنُ الـْـخـَـاتِـمَة) ATAU……

SU’UL KHATIMAH? (akhir yang jahat / buruk –سـُـوءُ الـْـخـَـاتـِـمَة)
SEMATKAN SENTIASA DALAM HATI RASA KHAUF (takut – خـَـوْف) DAN RAJA’ (harap – رَجَاء)

( TAKUT AMALAN TIDAK DITERIMA ALLAH TETAPI DALAM MASA YANG SAMA

SENTIASA BERSANGKA BAIK DAN MENGHARAPKAN RAHMAT ALLAH SWT. YANG MAHA LUAS)

JANGAN LUPA ……. CARILAH MASA UNTUK BERPUASA ENAM HARI DALAM BULAN SYAWAL. UNTUK BERAMAL SOLEH, KITA MESTI MENCARI, MEMPERUNTUKKAN DAN MELAPANGKAN SERTA MENGORBANKAN MASA. JIKA TIDAK, MEMANG TIADA MASA, MEMANG TIDAK SEMPAT. TAHU-TAHU SAJA SUDAH MASUK BULAN ZUL KAEDAH ……

Beberapa senario berbeza;

1) Tempat: Bukit Mertajam, Seberang Prai, Pulau Pinang.
Selepas seminggu berhari raya di Johor, kami kembali ke sini kerana bertugas. Semasa menziarahi jiran (kononnya berhari raya, eh, ? kuih dah habis?) “Kuih tak dok dahla, ghaya pun Mak Ndak masak laksa….” Oh, ye ke?….. best juga macam ni kan? Lepas seminggu tutup cerita raya.

Suasana raya pun sudah tiada di tempat tersebut, tetapi kawan-kawan sekerja masih ada yang mempelawa datang beraya ke rumah.

2) Biras yang berasal dari Kelantan bercerita, “Raye dua tiga hari, lepah tu ta’dok sapo nak mari doh.

3) Saya di Johor sedari kecil hingga kini.
Selagi bulan Syawal belum berakhir, rumah terbuka / marhaban masih terus berjalan. Setiap hujung minggu ada saja jemputan di sana sini. Di rumah, ada beberapa balang kuih yang memang sentiasa tersedia untuk tetamu ’emergency’. (Simpan kerepek selama 2 bulan pun tidak lemau). Set jug dan gelas juga sentiasa eveready.

4) Seorang sahabat di Negeri Sembilan yang pernah tinggal di Saujana, Johor Bahru bercerita, “Seronok  raya kat Johor, semua rumah dia orang pergi, hari-hari dapat makan…… (ini mesti kes marhaban).

Sejujurnya ingin saya katakan bahawa…….. oh, maaf, susah untuk saya ungkapkan.

Cukup jika saya katakan bahawa saya merasa tenang dengan budaya yang memeriahkan Ramadhan dan menyambut Syawal ala kadar sahaja………………….

Persediaan untuk menyambut raya selama sebulan tentu berbeza dengan persediaan menyambut raya beberapa hari sahaja dan sedikit sebanyak ianya akan memberi tekanan kepada mereka yang kurang berkemampuan atas sebab-sebab yang wajar seperti orang-orang yang mempunyai masalah kewangan, kesihatan dan lain-lain.

Tambahan pula selepas seronok beraya, anak-anak akan menghadapi peperiksaan.

ALHAQIIR ILALLAH : mykrk.

قـُــل ِالـْــحـَــقّ َ وَلـَــوْ كـَــانَ مـُــرًّا
Berkata benarlah walaupun pahit.
Sekali lagi mohon maaf jika terlanjur bicara.
إلى اللقاء، مع السلامة

Panduan Memilih Mekanik Dan Bengkel

Sebagai pemilik kenderaan, pernahkah anda merasa seperti ‘ditipu’ oleh bengkel di mana anda menghantar kereta untuk diperbaiki? Kadangkala, bil anda melambung di luar dari jangkaan awal sedangkan kerosakan kereta anda tidaklah seberapa.

Senario sebegitu bukan baru bagi pemilik kenderaan yang menghantar kereta mereka untuk diperbaiki di bengkel-bengkel tertentu dan tidak bertauliah. Penipuan di sesetengah bengkel yang tidak bertanggungjawab itu bukan baru, harga diletakkan sesuka hati kerana mahu mengaut keuntungan banyak dan cepat.

Bagi anda yang tidak berpengalaman menghadapi situasi kenderaan rosak, anda terpaksa ’menyerahkan’ bulat-bulat kereta anda untuk diperbaiki dan sekiranya mekanik dan bengkel tidak bertanggungjawab, anda pasti menjadi ’mangsa’,

Lantaran itu, amat penting bagi anda mengetahui serba sedikit kaedah dan cara memilih bengkel dan mekanik yang boleh dipercayai dan memberikan perkhidmatan pembaikan kereta yang sempurna.

Panduan Memilih Mekanik Dan Bengkel
Panduan Memilih Mekanik Dan Bengkel

Lazimnya, anda mahukan keihklasan daripada mekanik anda. Untuk mendapatkan mekanik dan bengkel yang sedemikian, anda perlu ’mencari’nya terlebih dahulu. Seorang mekanik yang jujur akan memberitahu anda tentang punca kerosakan dan apa yang perlu diperbaiki dan yang tidak perlu diperbaiki.

Anda sepatutnya diberikan penjelasan dan penerangan yang tepat mengenai punca kerosakan, senarai barangan dan alat ganti yang perlu ditukar dan anggaran kos serta jangkamasa yang diperlukan untuk memperbaiki kereta anda.

Kerja-kerja pembaikan tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran anda. Tiada pembaikan tambahan boleh dilakukan tanpa pengetahuan atau kebenaran anda. Anda berhak diberi penerangan untuk kerja-kerja tambahan berkenaan dan anggaran kosnya sekali.

Berikut sedikit tips bagi menjaga kepentingan anda semasa menghantar kereta untuk diperbaiki:
1) Cari bengkel yang sesuai yang anda kenali sebelum kereta anda mengalami kerosakan lagi. Jangan tunggu sehingga kereta anda mengalami kerosakan. Ini boleh dilakukan menerusi rakan-rakan atau pendapat dan mereka yang lebih berpengalaman yang telah berurusan dengan bengkel dan mekanik-mekanik tertentu.

2) Pilih bengkel yang anda rasakan sesuai dan kemas serta kelihatan teratur. Bengkel yang tidak teratur dan kelam kabut
mungkin menandakan kerja yang tidak kemas. Juga, perhatikan persekitaran bengkel, sama ada ia dilengkapi peralatan moden dan sebagainya.

3) Anda juga perlu tahu serba sedikit tentang kerosakan kereta anda. Hantar ke bengkel yang bersesuaian. Seorang mekanik enjin tidak akan dapat memberikan perkhidmatan paling memuaskan untuk kerosakan sistem penghawa dingin? Begitu juga sebaliknya.

4) Anda berhak meminta penjelasan mengenai kerosakan kereta anda dan alat-alat yang perlu diganti. Jangan biarkan mekanik memulakan kerja atau menukar alat ganti tanpa pengetahuan dan kebenaran anda.

5) Anda juga berhak diberikan penerangan mengenai anggaran kos membaiki kerosakan kereta. Anda perlu teliti mengenai kos barangan, keperluan menggantikan alat-alat ganti, kos buruh dan sebagainya. Juga, lebih baik jika anda tidak menyerahkan bulat-bulat kereta anda di bengkel. Cuba percepatkan masa pembaikan dan jangan tinggalkan kereta anda semalaman sekiranya tidak perlu.

6) Untuk mendapatkan mutu kerja yang baik, adalah lebih baik mendapatkan perkhidmatan mekanik profesional dan bertauliah.

7) Anda juga perlu menguji pandu kereta anda sebelum membuat bayaran. Kenalpasti masalah lain jika ada dan jangan tergesa-gesa terus membuat bayaran dan meninggalkan bengkel. Kerosakan lain, sekiranya ada, lebih mudah diperbaiki ketika itu.

8) Selain itu, anda juga perlu memeriksa barangan yang telah diganti untuk memastikan bahwa atat-alat ganti yang baru telah dipasang pada kereta anda.

9) Pastikan anda membaca dan meneliti bil sebelum membuat pembayaran. Jika ada yang tidak jelas, minta penjelasan mekanik dan pastikan kos yang dinyatakan tidak melampau.

Langkah-langkah pencegahan perlu diambil untuk memastikan kereta anda tidak berdepan dengan kerosakan yang teruk. Penjagaan yang konsisten seperti menukar minyak enjin dan penapis minyak pada jangka masa yang ditetapkan, penalaan dan lain-lain pemeriksaan boleh mencegah kos pembaikan yang tinggi.

Tetapi yang pasti, kita pasti tidak dapat mengelakkan kereta kita daripada memasuki bengkel. Samada kerosakan kecil atau besar, kita perlu tahu langkah-langkah yang harus diambil.

Rujukan: Majalah Drive (AAM) tahun 2000.

Share/Save
Share/Save
Scroll to Top