Nak Cakap Sket……

Selamat Pengantin Baru……Eh?…..

Selamat Pengantin Baru……Eh?…..


بـَــيـْــتـِــى جـَــنـَّــتـِــى : RUMAHKU SYURGAKU

Pada detik 11.30 pagi 24 Sya’ban, 16 tahun yang lalu (24 Sya’ban 1414 H = 6 Februari 1994)……..

“Aku terima nikah’nya’ fulanah binti fulan dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai.”
“Eh, orang dah lalu highway, dia ikut jalan lama lagi, sebut “aku terima nikah, bukan nikahnya”. Kata Pak Imam.
Aduh, aku dah berpeluh-peluh ni…… macam-macam pulak! ……….
(ulang semula) “(Pak Imam)……………”
Aku tarik nafas, “Aku terima nikah fulanah binti fulan dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai”
“Sah?”
“Saaaaaaahhhhhhh”
Alhamdulillah………….

MUSIM-MUSIM PERKAHWINAN

Musim-musim perkahwinan,
menyingkap tabir rahsia,
isteri yang kita nikahi,
tidaklah semulia Khadijah,
pun tidak setabah Fatimah,
justeru dia hanyalah wanita akhir zaman,
yang punya cita-cita menjadi solehah.
Musim-musim perkahwinan,
mengajar kita kewajipan bersama,
isteri itu tanah, kita langit penaungnya,
dia ladang tanaman, kita pemugarnya,
dia kiasan ternakan, kita gembalanya,
dia adalah murid, kita mursyidnya,
dia bagaikan anak kecil, kita tempat bermanjanya,
saat dia menjadi madu, kita teguk sepuasnya,
saat dia menjadi racun, kitalah penawar bisanya,
dia tulang yang bengkok, berhatilah meluruskannya.
Musim-musim perkahwinan,
menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa,
kita belajar meniti sabar dan redha,
memiliki isteri yang tidak sehebat mana,
justeru kita tersentak dari alpa,
kita bukannya Rasulullah,
pun bukan Saidina Ali Karramallaahuwajhah,
Cuma suami akhir zaman,
Yang berusaha menjadi soleh.

(Sajak oleh Abu Akil, Majalah An-Nasihah th 80an)

…….Ssyyyh……. tak apa-apa ker kahwin dah nak masuk Ramadhan ni? Tak ada apa-apa pun, pasal sorang di utara, seorang di selatan, sekolah lagi………..alhamdulillah Allah pelihara.

Untuk adik-adik yang masih bujang, kami ingin berpesan;

Selamat Pengantin Baru……Eh?…..

Dapatkan mesej bergambar di sini

(Walaupun kedapatan juga yang bercinta macam nak ‘rak’ sebelum kahwin dan bahagia hingga ke akhir hayat…………..)

Kami berdoa semoga dengan rahmat dan taufik hidayah daripada Allah S.W.T, wujud lagilah hendaknya insan-insan yang bercinta selepas bernikah, berkenalan setelah bertunang, bertunang selepas puas hati dengan istikharah…….. berbulan madu sepanjang hayat……..berdua bahagia hingga ke syurga. (bermadu hingga ke syurga?…….. no komen, kalau dah rezeki apa salahnya?…. ADOIII!!!! Siapalah cubit aku ni????

Kepada saudara saudari yang amat menjaga kehormatan diri, menjaga pandangan mata namun belum berpunya hingga kini…….. usahlah tertipu dengan bisikan syaitan apabila melihatkan kawan-kawan berpacaran ke sana ke mari dan kahwin cepat. Jangan merasa diri ‘tak laku’. Berdoa langsung terus kepada Allah mohon disampaikan jodoh. (Doa yang terbaik ialah yang dipetik daripada ayat al-Qur’an dan hadith) Walaubagaimanapun gunakan Bahasa Melayu pun Allah faham, dahului dan tutup doa itu dengan selawat. Mana tahu Allah bagi cash? Ha…. nak sangat? Ambik…… tak sempat habis belajar dah kena kahwin……. siapalah tu e’?

Yakinlah dengan sebenar-benar yakin akan ayat Allah S.W.T ini;

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

الــْـخَـبِـِـيــثَـَاتُ لِلـْــخَـبِـيـثِـيـنَ وَالـْخَـبِـيـثـُــونَ لِلـْــخَـبِـيـثَـَـاتِ

وَالطـَّـــيـِّـــبَـاتُ لِلطـَّـيـِّـــبِـيـنَ وَالطـَّـيـِّـــبُـونَ لِـلطـَّــيـِّـــبَـاتِ

أُوْلَــئِـكَ مُــبَرَّؤُونَ مِـمـَّــا يَـقـُــولـُـونَ

لـَهُم مـَّــغـْـفِــرَة ٌ وَرِزْقٌ كـَــرِيــمٌ

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (26)
(Surah an-Nur – Surah ke-24 ayat 26)

* Ingin mengetahui tarikh-tarikh bersejarah hidup anda dalam tahun Hijrah? Sila manfaatkan widget ‘PENUKAR TARIKH HIJRAH – MASIHI, MASIHI – HIJRAH’ ini:


* Mungkin akan berlaku perbezaan 1 atau 2 hari sebab widget ini bukan ciptaan warga Malaysia, jadi kiraannya mengikut peredaran bulan di negara lainlah….no problem, small matter

Rujukan:
http://www.quranexplorer.com/quran

Penukar tarikh Hijrah – Masihi

Tajuk berkaitan:
Kenangan Terhalalp/s-baca komen saya di sini tau! (17/08/2009 | 12:34 pm)
HADITH: Solat Istikharah
Doa-doa Untuk Kebahagiaan Rumahtangga (Suami, isteri, anak soleh solehah)
Hai, sebantal pun tak boleh tidur?
(Situasi 3 – Perbualan anak dengan bapa : anak sudah teringin hendak berkahwin….)

Keutamaan Solat Wanita dan Solat Tarawih

Artikel ini telah tersiar di dalam Majalah Fardu Ain Edisi 14

(Kredit gambar)
Kaum wanita dibolehkan keluar dari rumah mereka apabila ada keperluan yang sangat mendesak. Demikian juga diharuskan bagi mereka pergi ke masjid, asalkan mereka menutup aurat dengan sempurna, tidak memakai wangi-wangian dan tidak memakai perhiasan yang menimbulkan suara gemerincing.

Rasulullah s.a.w. tidak melarang para wanita pergi ke masjid berdasarkan hadis-hadis berikut:

عَن ِ ابْن ِ عُمَرَ رَضِيَ الله ُ عَنـْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلـّـَى الله ُ عَلـَيْهِ وَسَلـّـَمَ

لاَ تَمْنـَعُواالنـِّسَاءَ مِنَ الـْخـُرُوْج ِ إ ِلـَى الـْمَسْجـِدِ بِاللـّـَيْلِ

رواه البخاري ومسلم وأحمد وأبو داود والترمذي وعبد بن حميد

وفي رواية

لاَ تَمْنـَعُوا إ ِمَاءَ اللهِ مَسَاجـِدَ اللهِ

رواه البخاري ومسلم وأحمد وأبو داود وابن خزيمة

وأخرى

لاَ تَمْنـَعُوا نِسَاءَكُمُ الـْمَسْـجـِدَ وَبُيُوْتُهُنّ َ خَيْرٌ لـَهُنَّ

رواه أحمد وأبو داود وابن خزيمة

Daripada Ibnu Umar r.anhuma, beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Janganlah kalian melarang wanita-wanita untuk pergi ke masjid pada malam hari.”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Abdu bin Humaid)

Di dalam satu riwayat: “Janganlah kalian mencegah wanita-wanita janda untuk pergi ke masjid.”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah)

Pada riwayat yang lain: “Janganlah kalian melarang wanita-wanita untuk pergi ke masjid, TETAPI di rumah lebih baik bagi mereka (untuk solat)
(Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah)

Bahkan, solat seorang wanita yang dikerjakan di rumahnya lebih baik daripada solatnya yang dikerjakan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Padahal, seseorang yang mengerjakan solat di Masjidil Haram akan memperolehi pahala 100 000 kali ganda dan di Masjidin Nabawi 50 000 kali ganda.

Sehubungan dengan itu, di dalam sebuah hadith diceritakan mengenai seorang sahabiyah, Ummu Sa’adah r.anha yang datang menemui Rasulullah SAW dan berkata, “Ya Rasulullah, saya ingin melaksanakan solat denganmu secara berjemaah di masjid.”

Rasulullah SAW bersabda, “Saya mengetahui betapa engkau berkeinginan untuk melaksanakan solat di belakangku dengan berjemaah, akan tetapi apabila engkau melaksanakan solat di bahagian yang paling dalam di dalam rumahmu adalah lebih baik daripada mengerjakannya di dalam rumahmu.

Mengerjakan solat di dalam rumahmu lebih baik daripada mengerjakannya di perkarangan rumahmu, mengerjakan solat di perkarangan rumahmu lebih baik daripada mengerjakannya di masjid tetanggamu, (masjid yang berdekatan dengan rumahnya) dan mengerjakan solat di masjid tetanggamu lebih baik daripada datang ke masjidku.”
(Hadis riwayat Musnad Ahmad)

Di dalam hadis yang lain ada menyebutkan:

عَن ِ ابْن ِ مَسْعُـوْدٍ رَضِيَ الله ُ عَنـْهُ عَن ِ النـّـَبـِيّ ِ صَلـّـَـى الله ُ عَلـَيْهِ وَسَلـّـَمَ قـَالَ

صَلاَة ُ الـْمَرْأ َةِ فِيْ بَيْتِهَا أ َفـْضَلُ مِن ْ صَلاَتِهِ فِيْ حُجْر ِهَا

وَصَلاَتِهَا فِيْ مَخْدَعِهَا أ َفـْضَلُ مِنْ صَلاَتِهَا فِيْ بَيْتِهَا

رواه أبو داود وابن حزيمة

وفي رواية لابن حزيمة

إ ِنّ َ أ َحَبّ َ صَلاَةٍ تُصَلـِّيْهَا الـْمَرْأ َة ُ إ ِلـَى اللهِ فِيْ أ َشدِّ مَكـَان ٍ فِيْ بَيْتِهَا ظُلـْمَةً

رواه ابن حزيمة

Maksudnya: Daripada Ibnu Mas’ud r.a, daripada Nabi s.a.w.baginda bersabda: ” Solat seorang wanita di ruangan rumahnya lebih afdal daripada solatnya di ruangan luar rumahnya. Solatnya di biliknya lebih afdal daripada solatnya di ruangan rumahnya.
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah)

Di dalam riwayat yang lain: Sesungguhnya solat seorang perempuan yang paling disukai Allah adalah solat yang dilakukannya di tempat yang paling tersembunyi di dalam rumahnya.
(Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah)

Urwah r.a. meriwayatkan kata-kata daripada Saidatina Aisyah r.anha sebagai berikut, “Wanita-wanita Bani Israil membuat sandal yang diperbuat dari kayu yang mereka pakai ke tempat-tempat ibadah mereka, dan mereka senantiasa menarik perhatian laki-laki, oleh karena itu Allah melarang mereka pergi ke sinagog (tempat ibadah orang Yahudi).” (Musnad Abdur Razzaq)

Dalam athar yang lain, Saidatina Aisyah r.anha berkata, “Jika Rasulullah SAW melihat tingkah laku kaum wanita setelah baginda wafat, nescaya baginda akan melarang mereka datang ke masjid sebagaimana wanita-wanita Bani Israil.”

Di dalam bulan Ramadhan nanti, terutamanya pada awal bulan, kita dapat saksikan ramai wanita Malaysia berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih. Alasan mereka ialah tidak pandai melaksanakan solat tarawih bersendirian di rumah dan tidak hafal bacaan-bacaan yang dibaca secara beramai-ramai di antara solat-solat tersebut. Ada juga yang berkata, “Senang solat di masjid, kita cuma baca Fatihah sahaja……….., dapat jumpa kawan-kawan……….”

Cara mengerjakan solat tarawih sebenarnya mudah saja. Ia dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam. Selepas membaca bacaan wajib iaitu Fatihah, sunat membaca sebarang ayat atau surah daripada Al-Qur’an, tidak kira pendek atau panjang, atau berulang-ulang, asalkan bacaan itu betul dan solat ini dibuat dengan cermat.

Tidak ada hadis Nabi s.a.w. tentang bacaan surah ini. Segala bacaan di luar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Ia juga tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

Kaum wanita memang dibolehkan ke masjid untuk untuk menuntut ilmu fardu ain sekiranya suami tidak mampu mengajar. Begitu juga wanita-wanita tua yang sudah kurang urusan di rumahnya.

Bagi kaum ibu pula, pastikan urusan rumah telah beres dan anak-anak yang ditinggalkan pula selamat seperti anda mempunyai anak dara dan teruna. Pastikan mereka menjaga ibadah solat sepeninggalan puan-puan dan tidak mengundang berlakunya sumbang mahram sepanjang ketiadaan puan-puan. Bagaimana pula dengan makan pakai suami?

Keutamaan Solat Wanita Dan Solat Tarawih
Keutamaan Solat Wanita Dan Solat Tarawih

Alangkah moleknya jika-jika kaum lelaki berduyun-duyun ke masjid berkat galakan para wanita. Wanita pula bersolat pada awal waktu di dalam bilik tidur masing-masing. Pada zaman Rasulullah s.a.w. hanya lelaki yang diketahui benar-benar kemunafikannya sahaja yang tidak bersolat di masjid.

Selain daripada itu, kaum wanita juga berpeluang mendapat pahala melebihi kaum lelaki. Sekiranya lelaki mendapat pahala sebanyak 27 kerana solat berjamaah, puan-puan akan mendapat 28 pahala. Mengapa lebih? Satu adalah pahala solat puan-puan, 27 pula adalah saham yang puan-puan perolehi kerana menggalakkan mahram menunaikan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

مَنْ سَنّ َ سُـنـّـَة ً حَسَـنـَة ً فـَلـَهُ أ َجْرُهَا وَأ َجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا

إ ِلـَى يَوْم ِالـْقِيَامَةِ

وَمَنْ سَـنّ َ سُنـّـَة ً سَيِّـِئَة ً فَعَلـَيْهِ و ِزْرُهَا وَو ِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا

إ ِلـَى يَوْم ِ الـْقِيَامَةِ

رواه ابن ماجه

Klik untuk mendengar bacaan hadis di atas

Sesiapa yang menggalakkan satu kebaikan untuk diikuti dan dilaksanakan oleh orang lain, maka orang yang menggalakkan juga mendapat pahala sehingga hari kiamat.
Dan sesiapa menggalakkan sesuatu kejahatan lalu kejahatan itu diikuti dan dilaksanakan oleh orang lain, maka orang yang menggalakkan juga mendapat dosa sebagaimana orang yang melakukannya sehingga hari kiamat.
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Galakkanlah mahram puan-puan dengan menyediakan peralatan mereka untuk ke masjid seperti; baju untuk solat, serban, sugi, minyak wangi, kunci motorsikal atau kereta dan lain-lain pada suatu tempat yang khusus. Dengan cara ini, mereka mudah ke masjid dan puan-puan juga dapat menunaikan solat pada awal waktu tanpa gangguan, insyaAllah.

Di bawah ini adalah panduan solat tarawih yang biasa dikerjakan di masjid-masjid kerajaan Negeri Johor. Saya baru sahaja mengemaskininya (Ramadan 1434 H / Julai 2013) dengan font ‘sakkal majalla’ yang lebih kemas dan mudah dibaca.

Jika ada kelapangan masa, bolehlah puan-puan membaca wirid-wirid selingan di antara solat-solat tarawih itu. Kelebihan membaca selawat dan zikir-zikir tersebut ada di dalam banyak hadis. Ianya telah disusun oleh para ulama’ untuk kemudahan kita mengamalkannya.

Wahai kaum wanita yang budiman, solatlah kamu mengikut cara atau anjuran Rasulullah s.a.w. Baginda diutuskan untuk memberi panduan bagaimana cara beribadah, beraqidah dan berakhlak. Beramallah dengan cara yang terbaik mengikut keutamaan. Mohon maaf jika terlanjur bicara. Semoga ada manfaatnya. Wassalam.

Rujukan:

1. Dr. Muhammad Ismail M. 2005. Hijab – Pakaian Taqwa Bagi Wanita Muslimah. Bandung : Pustaka Ramadhan
2. Haji Mohamad Jajuli Abd. Rahman. 2005. Solat-solat Sunat Hikmah Dan Cara. Selangor : Wholesale-mart Business Point Sdn Bhd.
3. Ustaz Fadzli Al-Yamani. Majalah SOLUSI Isu No.22 (Ogos 2010). (Soaljawab Solat) Muka surat 38. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
4. Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki. 2007. Kumpulan Hadis Nabawi Riwayat 10 Sahabat Jilid 1. Kedah: Pustaka Darussalam. m.s 71
5. Sheikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki. 2007. Kumpulan Hadis Nabawi Riwayat 10 Sahabat Jilid 2. Selangor: Halaqah Resources. m.s 53
6. Kapsul Hadith Radio IKIM.fm oleh Ustaz Haji Zamri Haji Zainal Abidin
7. Senarai rujukan Haji Mohamad Jajuli Abd. Rahman tentang solat sunat tarawih:
7.1.Nawawi mengatakan semua ulama sepakat tentang hukumnya. Lihat al-Majmu’, Juz 4, hlm 37.
7.2.Mengikut Syaukani, ertinya solat yang ikhlas dan tidak riya’. Lihat Nailul Autar, Juz 3, him 50.
7.3.Sahih Bukhari, Juz2, hlm 251; al-Jami’al Sahih, Juz 2, hlm l76; Sunan Abu Daud, Juz 2, hlm 49; Sunan al-Nasai, Juz 4, hlm 155; Sunan Ibnu Majah, Juz 1, hlm 420; Sunan al-Darimi, Jilid 1, hlm 474; al-Muwatta’, Juz 1, hlm 113.
7.4.Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 253.
7.5.Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 252.
7.6.Al-Majmu’, Juz 5, hlm 38.
7.7.Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 252.
7.8.Al-Baihaqi, Juz 2, hlm 496.
7.9.Bukhari, Juz 2, hlm 48; Muslim, Juz 2, hlm 189.
7.10.Bukhari, Juz 2, hlm 245; Muslim, Juz 3, hlm 162.
7.11.Sahih Bukhari, Juz 2, hlm 40; Muslim, Juz 2, hlm 163.

Tajuk Berkaitan:

1. SOLAT SUNAT TARAWIH: HIKMAH DAN CARA

VIDEO: Hari Guru 2009 – Guru Pembina Negara Bangsa

selamat hari guru

Mahu melihat sajak ini selengkapnya? Klik sini, juga di sini.

Sempena Hari Guru yang jatuh pada 16 Mei, kebanyakan sekolah yang memulakan hari persekolahannya pada hari Isnin merayakan sambutan hari guru pada hari ini. Malam tadi anak-anak aku tidur lewat kerana beria-ia mahu menyiapkan kad ucapan hari gurunya. Tidak seperti tahun-tahun lalu, mereka meminta aku membelikan hadiah di kedai. Anak-anak aku yang ke-tiga dan ke-empat ini memang kreatif, walaupun pencapaiannya sederhana berbanding dengan kakak dan abangnya. Sememangnya sewaktu aku masih bergelar cikgu dulu, hadiah yang amat aku hargai dan aku simpan hingga sekarang ialah kad-kad ucapan rekaan murid-murid aku sendiri. Apa yang mencuit hati aku ialah pada pagi hari sebelum sambutan hari guru diadakan, sebagai guru yang bertugas di kedai koperasi sekolah, aku mendapati murid berpusu-pusu membeli alatulis pada pagi tersebut. Rupa-rupanya………mereka jadikan ia sebagai hadiah hari guru kepada kami…………Walaupun hanya sebatang pensil, sepeket tisu, ianya amat kami hargai. Namun, kejayaan merekalah hadiah paling berharga buat kami yang bergelar cikgu. Pada kesempatan ini inginku ucapkan Selamat Hari Guru kepada semua insan yang bergelar guru (bakal, sedang bertugas atau bekas). Terutamanya kepada guru-guru atau bekas guru di;

Tadika Pasti Bandar Putra, Kulaijaya.
Tadika Darul Ilmu, Bandar Putra, Kulaijaya.
Sekolah Agama Simpang Rengam, Kluang.
Sekolah Agama Tampok, Benut, Pontian.
Sekolah Agama Rengit, Batu pahat.
Sekolah Agama Taman Muhibah, Kulaijaya.
Sekolah Agama Bandar Putra, Kulaijaya.
Sekolah Rendah Islam Hidayah Johor Bahru.
Sekolah Kebangsaan Simpang Rengam, Kluang.
Sekolah Kebangsaan Bandar Tenggara, Kulaijaya.
Sekolah Kebangsaan Kampung Gelam, Melaka.
Sekolah Kebangsaan Telok Bahang, Pulau Pinang.
Sekolah Kebangsaan Mengkuang, Bukit Mertajam, Seberang Prai.
Sekolah Kebangsaan Kulai, Kampung Melayu, Kulaijaya.
Sekolah Kebangsaan Senai.
Sekolah Kebangsaan Bandar Putra, Kulaijaya.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kelapa Sawit.
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sengkang, Kulaijaya.
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kelan, Kulaijaya.
Sekolah Arab Bugisiah Tampok, Benut, Pontian.
Sekolah Menengah Tinggi Arab Johor (Maahad Johor)
Madrasah Manar El-Hikmah, Layang-layang.
Madrasah Al-Qur’an Sinaran Baru, Johor Bahru.
Semoga Allah memberkati kalian di dunia dan akhirat. Aamiiiiiin.

Share/Save
Share/Save
Scroll to Top