Review

Beg haji 2014

Hajiku 1435H / 2014, Insya-Allah

Assalamualaikum wrt wbt. Rindunya hendak menulis di blog ini. Kalau benar rindu mengapa membisu? Ini saya hendak ceritalah ni. Ok, tepuk tangan dulu…

Inilah sebabnya saya lama menyepi di samping adalah satu sebab lagi. Takkanlah semua hendak diceritakan bukan?

Mula-mula kita dengar nasyid dulu boleh? Jom…

Pendahuluan

Sebelum ini saya pernah berceloteh mengenai Haji di pautan Haji Menuju ALLAH – Raihan. Di dalam artikel itu saya ada memberitahu bahawa tarikh pemergian haji yang Tabung Haji peruntukkan kepada saya adalah pada tahun 2022. Suami saya yang mendaftar setahun lebih awal pula diberikan tarikh 2016.

Alhamdulillah, dengan rahmat kasih-sayang Allah SWT serta doa-doa mereka yang makbul di sisi-Nya, rayuan saya untuk mengerjakan haji bersama suami diluluskan.

Berita gembira tersebut saya terima melalui panggilan telefon daripada pejabat Tabung Haji daerah Kulaijaya pada 14.7.14 bersamaan 15 Ramadan 1435H.

Jumlah jemaah haji Malaysia pada tahun ini adalah seramai 22,320 orang. Pada kebiasaannya, musim haji akan mengumpulkan seramai 4 juta umat Islam di Tanah Suci.

Pada tahun ini, jumlah perbelanjaan haji bagi bakal haji yang baru pertama kali menunaikannya adalah RM9,980.00 daripada jumlah sebenar RM16,155.00. Mereka yang menunaikan haji buat kali kedua akan dikenakan bayaran sebenar iaitu RM16,155.00

Pada awal tahun 2014, suami saya menerima surat tawaran mengerjakan haji. Tunggu punya tunggu, surat untuk saya tidak juga kunjung tiba. Sayunya hati bukan kepalang…

Rupa-rupanya di dalam surat tawaran tersebut dikepilkan sekali borang untuk diisi nama-nama sesiapa (ahli keluarga khususnya) yang cadangkan untuk dibawa bersama. Setelah suami berbincang dengan bapanya, maka keputusan dibuat untuk dituliskan nama saya… alhamdulillah.

Kursus Asas Haji

Sejak itu, berulang-aliklah kami ke Masjid Bandar Baru Uda untuk mengikuti Kursus Asas Haji. Waktu kursus adalah pada setiap hari Rabu jam 9.00 malam hingga 11.00 malam. Agak mujahadah untuk ke sana kerana saya hanya boleh bertolak ke BBU selepas maghrib kerana membawa satu-satunya anak yang masih ada di rumah. Dia bersekolah agama dan sampai ke rumah lebih kurang jam 6.50 petang.

Tahun ini dia bakal menduduki UPSR. Kerja sekolah tentunya banyak, ditambah dengan sekolah agama petang. Dia selalu meragam tatkala dibawa bersama. Namun, saya gagahkan menghadapi apa jua kerenahnya.

Saya pergi ke Masjid Bandar Baru Uda dari Kulaijaya dengan menaiki kereta sedangkan suami dari tempat kerjanya di Tanjung Langsat (nun di penghujung Pasir Gudang) dengan menunggang motorsikal. Waktu balik ke rumah kami kejar-mengejar di jalanan yang memakan masa selama setengah jam. Seronok pula, tidak sabar menunggu Rabu minggu hadapan untuk main kejar-kejar tengah-tengah malam…

Hal ini tidak berani saya kongsikan di laman sosial. Bimbang pula ada yang mengambil kesempatan. Maklumlah sewaktu pulang dari kursus biasanya suasana sekitar perumahan kami sudah sunyi sepi. Bahaya…

Kursus Asas di masjid berdekatan bukannya tiada tetapi waktu kursus adalah pada hujung minggu dan kami ada komitmen lain pada waktu tersebut. Kursus ini diadakan sebanyak 15 siri iaitu bersamaan 15 minggu. Ianya sangat bermanfaat dan pada hemat saya ia adalah ‘WAJIB’ dihadiri oleh sesiapa juga yang ingin mengerjakan haji.

Kursus Asas Haji terbuka kepada umum, sesiapa juga boleh mengikutinya dan ianya percuma.

Pada hari terakhir kursus, suami saya ada merakam pengajaran Ustaz Abu Bakar bin Watak, pembimbing kursus asas haji di masjid tersebut. Setiap malam Rabu kehadiran memang penuh dan tempat parkir keretalah yang selalunya agak menyusahkan saya sebagai orang perempuan. Ah, hendak seribu daya, tidak hendak satu dalih pun cukup.

Pengajaran Ustaz Abu Bakar jelas dan menarik. Masya-Allah, saya agak merasa kagum dengan kebolehannya berdiri dan berjalan ke bahagian lelaki dan wanita sewaktu mengajar. Ianya membantu kami yang sudah berusia ini untuk kekal memberikan fokus kepada pelajaran. Tidak sempat hendak tidur

Ini adalah video rakaman tersebut. Pada minit-minit awal, kepala tuan/ puan perlu ditelengkan sedikit. Mohon maaf ye.

Kursus Intensif Haji

Pada 23 dan 24 Mei pula kami mengikuti Kursus Intensif Haji di UTM Skudai. Di dalam kursus ini ada ujian bertulis. Sesiapa yang ‘berkeperluan’ akan ditambah dengan Kursus Khas Haji.

Kursus Perdana Haji

Pada 15 dan 16 Ogos pula kami mengikuti Kursus Perdana Haji di UTHM, Parit Raja. Terasa seperti sudah berada di Mina pula. Sepulangnya dari kursus, kaki saya bengkak dan sakit. Maklumlah kaki orang manja… Apa tidaknya, kami menjalani praktikal, tawaf, sa’ei dan melontar sebagaimana jarak dan situasi sebenar.

Berjalan ke tempat jamrah
Kursus Perdana Haji

Suspen pula rasa hati, mampukah aku? La haula wala quwwata illa billah…

Glamour

Ketika menjalani kursus, saya mendapati jurugambar sangat rajin mengambil gambar. Saya terfikir-fikir juga untuk apakah gambar-gambar itu digunakan?

Tibalah ke upacara penutup kursus. Rupa-rupanya tujuan gambar diambil adalah untuk kami mengambil pengajaran akan kesalahan-kesalahan kami.

Contohnya;
1. Memakai ihram tetapi memakai baju panas di dalam bagi lelaki.
2. Memakai ihram tetapi berseluar panjang di sebelah dalam bagi lelaki.
3. Tidak memakai stokin bagi wanita ketika mengerjakan tawaf.

Aduh, ada ke tidak muka aku? Anak-anak muda kata ‘bengang giler’ lah masa itu. Walau bagaimanapun, pihak penganjur menjelaskan bahawa bukanlah tujuan mereka untuk mengaibkan sesiapa.

Ketika melakukan latihan sa’ie saya terdengar juga ustaz-ustaz mengingatkan, “Waktu ihram, tidak boleh memakai niqab.” Memang terdapat tiga hingga empat orang wanita berniqab ketika itu. Saya memakai niqab bertopi yang kawan saya pinjamkan.

Sewaktu berkesempatan mengemukakan kemusykilan kepada ustazah bertugas, saya bertanyakan soalan bagaimanakah kedudukan wanita yang berniqab. Adakah boleh mereka mengenakan niqab?

Ustazah tersebut menjelaskan, boleh asalkan yang berawning iaitu kain niqab itu tidak mencecah kulit wajah.

Inilah niqab yang akan saya pakai ketika ihram, insya-Allah. Terima kasih kepada teman yang meminjamkan.

Niqab haji dan umrah
Niqab Semasa Ihram

Masa inilah saya sempat merakam video Kipas Giant di Masjid UTHM .

Ketika itu hanya beberapa detik sebelum azan subuh. Video dirakam dari tempat solat wanita di bahagian atas. Tempat wuduk juga ada di tingkat atas. Kedudukan tempat wuduk sedemikian amat mesra pengguna. Tahniah UTHM.

Sumbangan Badan Korporat

Keperluan Haji
Sumbangan Badan Korporat

Di sini ingin saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jazakumullahu khaira al-jaza’ kepada badan-badan korporat yang telah menyumbangkan barangan keperluan kepada semua jemaah haji Malaysia 2014.

1. Maybank – beg dan sejadah
2. Pharmaniaga – Kit topeng muka
3. Yayasan Felda – beg peralatan mandi
4. Colgate – Berus gigi, ubat gigi
5. TM – Botol spray wuduk dan lampu suluh
6. NationWide Express – Uncang kasut dan batu untuk melontar jamrah
7. CCM – Ubat-ubatan
8. Bank Rakyat – Mini Spray Water Fan (yang paling saya suka)
9. Minyak angin hijau cap Lang dan lain-lain ubat
10. Ubat gigi Safi
11. Berus gigi Oral B
12. Sim kad Mobily (sim kad pun ada… masya-Allah!)
13. Takaful Malaysia – Buku Panduan Ibadat Haji Wanita

Inilah rupa Mini Spray Water Fan. Pihak Tabung Haji sudah pesan awal-awal supaya sorokkan barang ini daripada cucu-cucu semasa kursus perdana haji tempohari. Kalau hendak juga, tunggu datuk balik haji. Eh, bukan cucu saja yang suka, nenek pun suka juga…

Semoga Allah SWT memberkati rezeki semua pihak yang bermurah hati, Allahumma aamiiiiiin.

Pergi Haji…

Insya-Allah kami akan berangkat ke Mekah pada 18.9.2014 melalui KLIA dengan menaiki pesawat KT48 pada jam 1.30 pagi. Ujian sungguh! Rumah saya hanya 10 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai. Mengapa KLIA? Hai, banyak komenlah pulak! Senyum… syukur…

Sehubungan dengan itu, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafaan di atas segala salah silap saya sepanjang perkenalan kita sama ada disengajakan atau tidak. Doakan kami dan semua jemaah haji 2014 bersamaan 1435H mendapat haji yang mabrur.

Assalamualaikum. Ilal liqo’… Insya-Allah.

Sesuatu Yang ……… Tentang KL Server.net

Wah, ada berita baiklah! KL Server.net sedang mengadakan promosi pendaftaran domain baru serendah RM20.00. Promosi berlangsung sehingga 28 Februari 2013 saja.

Harga RM20.00 yang ditawarkan itu memang murah. Harga biasa adalah RM35.00. Sila rujuk SINI untuk menyemak nama domain. Daftar segera domain idaman tuan/ puan sebelum ianya disambar pesaing tuan/ puan.

KL Server.net
KL Server.net

Baiklah, menyentuh tentang hosting pula. Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan sekalian, dahulu saya berpindah ke KL Server.net adalah kerana harga harga pakej hosting yang mereka tawarkan adalah di antara yang murah dan berbaloi-baloi di Malaysia. Ketika itu saya memilih salah satu pakej yang di tawarkan di SINI

Saya ada dua domain di SANA. Oleh kerana pakej yang saya pilih adalah Free Domain Web Hosting, maka salah satu domain tersebut saya perolehi secara percuma sahaja.

Pada awalnya saya hanya bertawakal kerana pemilik KL Server.net adalah lulusan Universiti di Mesir. Dalam minda saya ada juga terdetik, tahukah ustaz ini mengendalikan perkara-perkara teknikal sebegini?

Ternyata sangkaan itu meleset. Perkhidmatan yang diberikan adalah setanding dengan syarikat-syarikat yang lain. Tambahan pula isteri beliau (women entrepreneurs) adalah rakan saya di fb dan sering menulis status di dalam Bahasa Inggeris. In shaa Allah ia adalah gandingan yang mantap.

Buku maghfirah pustaka

Hadiah Sudah Dapat. Terima Kasih IKIMfm Dan Maghfirah Pustaka

Nisfu Sya’ban kali amat bermakna……….

Apakah yang lebih menggembirakan bagi seorang ‘ulat buku’ selain daripada mendapat hadiah buku? Alhamdulillah tergerak pula jari saya untuk mendail 03 62051500 apabila DJ Siti Rohani Surani mengumumkan kuiz akan ke udara………

* Sila klik gambar untuk melihatnya dalam saiz lebih besar.

Saya teruja untuk menyertai kerana soalan sehari sebelum itu adalah berkenaan hukum tajwid. Rasanya kalau soalan tajwid yang mudah tu bolehlah saya jawab. Ceh, dengan penuh keyakinan saya mencuba. Allahuakbar, soalannya…….. alhamdulillah tentang ulama Islam tetapi ternyata lebih senang………

Kepada kawan-kawan sekalian, kalau ingin mencuba silalah dengar rancangan Warna Pagi di Radio IKIM.fm. Waktunya di antara pukul 8.00 pagi hingga 9.00 pagi.

Berbanyak terima kasih diucapkan kepada Maghfirah Pustaka (M) Sdn. Bhd. kerana menaja hadiah untuk bulan Jun 2012. Hadiah telah selamat saya terima semalam pada pukul 2.10 petang bersamaan 14 Syaaban 1433 H.

Selalu ke saya telefon Radio IKIM.fm. Jarang….. saya suka dengar saja. Aktiviti terkini pula ialah merakam rancangan-rancangan kegemaran. Hayya bil-Arabiah dan Durus Arabiah pun banyak sudah saya rakam. Nak dengar?…….. Tunggu……..

Ermmm……. Cik Siti dan Pian, boleh saya sertai kuiz lagi?

Senarai Penginapan di Pantai Air Papan, Mersing, Johor

Senarai Penginapan di Pantai Air Papan, Mersing

Assalamualaikum. Anak-anak sedang sibuk menghadapi peperiksaan sekarang. Apa maknanya tu? Maknanya cuti sekolah sudah hampirlah kawan-kawan. Bukan anak sahaja yang suka, ibu ayah pun sama……… mengaku sajalah……

Bagi kami sekeluarga, percutian biasanya adalah pada musim cuti sekolah Bulan Mac. Tahun 2010, kami ke Melaka. 2011 ke Kuala Lumpur. Pada tahun ini pula kami memilih untuk bercuti di negeri sendiri sahaja………. iaitu PANTAI AIR PAPAN.

Senarai Penginapan di Pantai Air Papan, Mersing, Johor

Kredit gambar: http://kasawari7.blogspot.com/2008/04/sehari-di-air-papan-mersing.html

Sejarah Kampung Air Papan:

Mengikut cerita lisan, Kampung Air Papan mendapat nama bersempena peristiwa yang berlaku pada zaman dahulu. Pada masa itu, penduduk kampung mendapatkan sumber air dari satu pancur di tepi bukit yang berhampiran dengan sebuah kilang papan.

Mereka kemudian meletakkan papan sebagai alas di pancuran tersebut. Bersempena dengan keadaan tersebut, maka penduduk kampung menamakan kampung mereka sebagai Kampung Air Papan.

Kampung Air Papan terletak kira-kira 15 atau 12km dari Bandar Mersing. Ia diapit oleh dua kampung yang terdekat iaitu Kampung Tenglu Besar dan Kampung Tenglu Laut yang terletak di Mukim Tenglu. Kampung Air Papan juga boleh dikunjungi dari Kampung Tenglu Laut melalui jalan tepi pantai yang kecil.

Tarikan utama di Kampung Air Papan ialah Pantai Air Papan yang kedudukannya menghadap perairan Laut China Selatan. Pantai ini sering dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negeri untuk bersantai terutama pada hujung minggu atau hari-hari kelepasan am.

Penginapan di Pantai Air Papan

Pada mulanya susah juga hendak mencari info berkenaan penginapan yang terdapat di Pantai Air Papan. Rupa-rupanya, kami yang silap………

Oleh kerana Pantai Air Papan terletak di Mersing, tidak semua pemilik penginapan di Air Papan menamakan premis mereka dengan ‘Air Papan’.

Lalu ianya menyedarkan saya mengapa sekiranya kita mahu menamakan blog, kita digalakkan untuk memilih nama domain yang amat berkaitan dengan niche blog kita.

Sebagai contoh; kebanyakan artikel di blog saya adalah berkaitan belajar Bahasa Arab, jadi rekalah nama yang ada ‘arab’. Setelah puas berbincang dengan Teacher Nash, pilihan kami adalah; https://arabmykrk.com

Oleh itu, bila ada sesiapa mencari info tentang Bahasa Arab, insyaAllah mudahlah blog ini ditemui……. Berbalik kepada tajuk di atas, akhirnya kami memilih untuk menginap di Air Papan Beach Resort.

Bukannya apa, melihatkan kepada nama resort-resort yang lain itu, bimbang ianya bukan terletak di Air Papan. Sedangkan kami berhajat mahu berkelah di Pantai Air Papan.

Kami ke sana pada pertengahan minggu. Jadi, pengunjung tidaklah ramai. Rupa-rupanya di sana ada banyak resort dan chalet yang terletak saling sebelah menyebelah.

Kami menuju ke sana dari arah Johor Bahru dan melewati Pantai Tanjung Leman dahulu. Oh, Tanjung Leman lebih dekat rupanya…….. Apalah orang Johor ni, ke Utara sudah, ke Pantai Timur sudah…….. negeri sendiri pun belum mahir…….. hehehe………

Kita akan melaui bandar Mersing sebelum tiba di Kampung Air Papan. Berdekatan dengan pantai juga ada surau dan sekolah agama. (Sekolah-sekolah agama kerajaan negeri Johor memang dibina bersebelahan dengan masjid atau surau)

Resort dan chalet di sini kelihatan selesa, tidak kurang juga yang tampak boleh ditambah-baikkan lagi. Alhamdulillah tempat menginap kami selesa dan boleh menyaksikan pemandangan laut dari dalam bilik.

Oleh kerana kebetulan waktu kami ke sana adalah musim hujan, kami anak beranak hanya mandi di kolam mandi yang disediakan oleh pihak pengurusan Air Papan Beach Resort sahaja. Pada waktu malam apabila hujan telah reda, barulah kami ke pantai.

Hemmmm……… masa itulah telefon bimbit saya rosak. Apa tidaknya, toleh kiri kanan tiada sesiapa dan suasana sunyi…… saya terus saja terjun menyertai anak-anak di dalam kolam. Sudah kecut jari jemari barulah naik ke tepi. Argh, telefon!!!! Ada dalam kocek! Inna lillah…….. Amekaw………. hahaaaaa

Pada waktu siang, kami makan di kedai makan yang terletak di tepi pantai. Malamnya pula, kami keluar ke Bandar Mersing. Kami makan di sebuah kedai makan yang terletak sederet dengan sebuah kilang keropok lekor dan kedai runcit.

Tuan punya restoran itu bercakap dalam dielek Kelantan. Oleh itu, kami memilih untuk makan tomyam dan lain-lain eksesorinya. Alhamdulillah memang umph! Harganya pun tidak mahal.

Tuan/ puan boleh mencari panginapan di sini:

Untuk memudahkan kawan-kawan yang ingin bercuti ke Pantai Air Papan, Mersing, saya bawakan untuk tuan/puan senarai nama penginapan dan nombor telefon untuk dihubungi.

Air Papan Beach Resort
Laman web: http://airpapanbeachresort.com.my/
Testimoni: http://saghah.blogspot.com
(Membaca testimoni blog inilah saya terdorong untuk menempah bilik di resort ini. Kami menginap di Melati Merah. Terima kasih, Sarah)
(Sh Abu Bakar / Siti Farah)
*Tel : 07-799 5566
Fax : 07-799 5566
*H/P : 012-791 4324 / 019-744 9909 / 013-727 2772
e-mail : reservation@airpapanbeachresort.com
admin@airpapanbeachresort.com

Sri Mersing Resort
Laman web:
Testimoni: http://budakbakong.blogspot.com/2011/10/family-day-santaisri-mersing-resort.html
(Sh Abu Bakar / Siti Farah)
*Tel: 07 – 7992384, 799 2085 (RES)
Fax : 07 – 7992384
*H/P: 013 – 727 2772
Nota: Kedua-dua resort di atas dimiliki oleh orang yang sama.

Mersing Beach Resort – terletak di hujung pantai dan betul-betul menghadap laut.
Laman web: http://mersingbeachresort.webs.com/
Laman web 2: http://mersingbeachresort.blogspot.com/
Facebook: https://www.facebook.com/mersingbeachresort
*Mr. Faisal – +6012-7121097, +6016-7007465
*Office – +607-7994545
email : mersingbeachresort@gmail.com

Teluk Godek Beach Resort (Lani’s Place) COCONUT INN – Tuan punya resort juga mengusahakan kedai makan yang terletak menghadap laut. Mee bandung di kedai makannya saya beri empat bintang.
*Telefon: 07-7994469
*Rozlani Salleh – 013-7464469
*Sariyah Yunos – 013-7434469
Email: telukgodek@hotmail.com

Sri Tanjung Chalet
Telefon: 07-7994780
Facebook: https://www.facebook.com/pages/SriTanjung-Chalet/134897506588785
Testimoni 1: http://kasehmanisah.blogspot.com/2010/03/pantai-air-papan-mersing-26-28-feb-2010.html
Testimoni 2: http://terajubintang7.blogspot.com/2011/04/percutian-di-mersing-johor.html

Air Papan Chalet
*Telefon: (Encik Suhaimi) 07-7992993 atau 013-7447070

Fishing Bay Beach Resort – Hotel yang pertama akan kita temui
Laman web:
Email: reservations@fishingbayresort.com, fishingbbr@yahoo.com.sg
Testimoni: http://menara-kehidupan.blogspot.com/2011/07/berkunjung-ke-air-papan-mersing.html
*Telefon: Haslinda Eunos- 012 – 716 6753
*Telefon: 07-799 6753
*Telefon: 07-2225300 (JB)
*Fax : 07 – 2216300 (JB)

Kali’s Guest House – Terletak paling jauh dari pantai
Laman web:
Telefon: 017-7639274

Homestay Kampung Ayer Papan
Laman web:
*Telefon: 019-7624137 (Norshamsudin A. Razak)

Laman web Komuniti Desa Johor Darul Takzim:

Hotel Sri Malaysia, Mersing– Jauh dari Pantai Air Papan, tetapi di belakang hotel ada pantai juga.
Laman web: http://www.serimalaysia.com.my/
Facebook: https://www.facebook.com/pages/Rangkaian-Hotel-Seri-Malaysia/101077733300021
Alamat: LOT TTB 641, Jalan Ismail,
86800 Mersing, Johor, Malaysia.
Telefon: 07-799 1876
FAX: 07-799 1886

Nota: Nombor telefon bertanda * telah saya pastikan bahawa ianya adalah benar dan berfungsi pada hari ini 21.5.2012.

 

Selamat bercuti dan mengeratkan silaturahim sekeluarga.

Mengharap Dan Meminta Hanya Kepada Allah

Nukilan Rasa: Ibrah Musibah

Syukur kerna musibah ini,
Menginsafkan daku betapa daifnya sang hamba,
Hanya bisa berbuat apa-apa,
Hatta mengelipkan mata atau bersuara, hanyalah seizin Tuannya.

Syukur atas musibah ini,
Memberiku peluang merasai mati sebelum mati,
Menanggung sendirian segala hiba dan derita……
Bertemankan Raqib dan `Atid di sisi……..
Munkar dan Nakir? Bilakah mati?????

Syukur atas musibah itu,
Membuatkanku terkaya daripada rasa memiliki segala sesuatu,
Walaupun ia dalam pelukanku, dalam genggamanku………

Syukur atas musibah ini,
Memisahkanku jauh, jauh daripada hiruk pikuk duniawi,
Ke suatu alam yang sepi, sunyi, sendiri, misteri………

Syukur atas musibah ini,
Menyuluh rahsia demi rahsia,
Oh, wujudnya aku di sini,
Hanyalah ibarat melukut di tepi gantang!
Kewujudanku tidak menambahi,
Hilang tidak mengurangi,
Lantas menghancur musnah
Segala rasa kebesaran, kepandaian dan kemuliaan diri…………..

Oh, syukurnya aku atas musibah ini……..
Memperkasakan tekadku untukku terus memberi,
Walau kecil tidak terpandang,
Tidak dipeduli,
Tidak dimengerti……………….

Duhai Allah, Tuhan hamba,
Keluarkanlah segala kebesaran makhluk dari dalam hati hamba,
Dan masukkanlah hanya kebesaran-Mu,
Duhai Yang Maha Besar,
Hanya Engkaulah Yang Maha Besar…..

Oh, betapa……
Betapa aku rindu untuk pulang ke ribaan-Mu dengan segera!
Tetapi bila?????…..
Izinkanlah daku wahai yang Maha Menyinta,
Untuk tidak disakiti lagi di sana,
Cukup sudah, puas sudah,
Sudah-sudahlah……….

Terimalah, kabulkanlah angan dan harapanku,
Hamba yang tetap syukur,
Hamba yang selalu terhibur,
Walau apa pun yang Engkau hulur……..

Mengharap Dan Meminta Hanya Kepada Allah
Mengharap Dan Meminta Hanya Kepada Allah

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Aku akui,
Ia bukanlah musibah, bahkan tuah,
Yang hanya bisa dimengerti oleh mata hati…….
Tatkala sakit begini……

Tidakkah kalian iri?
………..kelazatan hidangan pahala telah
Melenyapkan sebesar-besar kesakitan yang aku nikmati
Saat ini…………oh……….

Namun………
Sebesar-besar kemaafan jua kupohon ke hadrat kalian,
Wahai saudara dan temanku sekalian…….
Setiap usai dibantai, dibelasah si’Tuah’ ini,
Suatu solusi yang senada akan kuperolehi;
………..selama hampir dua dekad ini……..
Ya……. Bunyinya masih dan tetap begini;

1) Aku hanya melukut di tepi gantang!
2) Hayatku yang masih bersisa ini, untuk apa???
3) SEBENARNYA, HANYA ALLAH SAHAJA yang menyayangiku!!
4) Istiqamahkan amalan solehmu!!! Kematian adalah kepastian!!!
5) USAH, USAH, USAH,
Usah terkesan dengan manusia,
Sayang dan meluat, tiadalah tetap,
Kasih mereka, juga bersyarat……………………
6) Hanya anak-anak sahaja yang masih memerlukanku. INGAT INI!!
7) Aku tidak layak menyintai sesiapapun kecuali Dia dan Pesuruh-Nya, atau kerana Dia dan Pesuruh-Nya.
8) Aku patut berpada dengan hanya punya makanan, pakaian dan tempat berteduh.

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya meriwayatkan ucapan Sahl bin Abdullah al-Tustari.
“Apabila seseorang sudah terbiasa bersabar dalam melaksanakan ketaatan dan sudah biasa bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan, maka pada saat itu Allah akan memberinya kekuatan agar mampu bersabar dalam menerima ketentuanNya.”

Wahai diriku,
Tahukah kamu,
Pahala seluruh amalan solehmu selamanya,
Tidak kan mampu membayar harga nikmat,
Walau hanya sebiji mata,
Yang telah kau guna buat melihat,
Segala-gala yang telah engkau lihat.
Justeru, layakkah engkau merintih-rintih begini???
Oh, astaghfirullahal’azim………………

Ya Allah,
Bantulah aku untuk senantiasa membasahi lidahku,
Dengan menyebut-nyebut nama-Mu yang Manis,
Bantulah aku untuk sentiasa mensyukuri nikmat-nikmat-Mu,
Yang kesemuanya tidak kan mampu kutulis,
Bantulah aku untuk sentiasa melakukan penambahbaikan,
Di dalam menghadapkan tujuan amalan,
Semata-mata mahu membuatkan-Mu senang dan tersenyum manis……………………..

———————————————————————————————————

Penghargaan dan terima kasih kepada Majalah SOLUSI terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Isu Ke 19 kerana telah membedah isu ’Hikmah Musibah’ yang telah menghadiahkan sinar harapan kepada banyak hati yang sedang celaru, haru-biru, keliru, pilu……………………..

Seterusnya memungkin empunya hati itu tenteram, tenang dan menumpaskan momokan-momokan setan yang tidak pernah lelah mengintai peluang untuk menggelincirkan dan menyesatkan…………….

Akulah salah seorang empunya hati itu………………..

Nukilan jiwa nan berkematu;
Wak Mykrk,
25 & 26 Mei 2010.

*** ‘Ibrah (عِبْرَة): pengajaran, teladan

Scroll to Top