Sebagai pemilik kenderaan, pernahkah anda merasa seperti ‘ditipu’ oleh bengkel di mana anda menghantar kereta untuk diperbaiki? Kadangkala, bil anda melambung di luar dari jangkaan awal sedangkan kerosakan kereta anda tidaklah seberapa.
Senario sebegitu bukan baru bagi pemilik kenderaan yang menghantar kereta mereka untuk diperbaiki di bengkel-bengkel tertentu dan tidak bertauliah. Penipuan di sesetengah bengkel yang tidak bertanggungjawab itu bukan baru, harga diletakkan sesuka hati kerana mahu mengaut keuntungan banyak dan cepat.
Bagi anda yang tidak berpengalaman menghadapi situasi kenderaan rosak, anda terpaksa ’menyerahkan’ bulat-bulat kereta anda untuk diperbaiki dan sekiranya mekanik dan bengkel tidak bertanggungjawab, anda pasti menjadi ’mangsa’,
Lantaran itu, amat penting bagi anda mengetahui serba sedikit kaedah dan cara memilih bengkel dan mekanik yang boleh dipercayai dan memberikan perkhidmatan pembaikan kereta yang sempurna.

Lazimnya, anda mahukan keihklasan daripada mekanik anda. Untuk mendapatkan mekanik dan bengkel yang sedemikian, anda perlu ’mencari’nya terlebih dahulu. Seorang mekanik yang jujur akan memberitahu anda tentang punca kerosakan dan apa yang perlu diperbaiki dan yang tidak perlu diperbaiki.
Anda sepatutnya diberikan penjelasan dan penerangan yang tepat mengenai punca kerosakan, senarai barangan dan alat ganti yang perlu ditukar dan anggaran kos serta jangkamasa yang diperlukan untuk memperbaiki kereta anda.
Kerja-kerja pembaikan tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran anda. Tiada pembaikan tambahan boleh dilakukan tanpa pengetahuan atau kebenaran anda. Anda berhak diberi penerangan untuk kerja-kerja tambahan berkenaan dan anggaran kosnya sekali.
Berikut sedikit tips bagi menjaga kepentingan anda semasa menghantar kereta untuk diperbaiki:
1) Cari bengkel yang sesuai yang anda kenali sebelum kereta anda mengalami kerosakan lagi. Jangan tunggu sehingga kereta anda mengalami kerosakan. Ini boleh dilakukan menerusi rakan-rakan atau pendapat dan mereka yang lebih berpengalaman yang telah berurusan dengan bengkel dan mekanik-mekanik tertentu.
2) Pilih bengkel yang anda rasakan sesuai dan kemas serta kelihatan teratur. Bengkel yang tidak teratur dan kelam kabut
mungkin menandakan kerja yang tidak kemas. Juga, perhatikan persekitaran bengkel, sama ada ia dilengkapi peralatan moden dan sebagainya.
3) Anda juga perlu tahu serba sedikit tentang kerosakan kereta anda. Hantar ke bengkel yang bersesuaian. Seorang mekanik enjin tidak akan dapat memberikan perkhidmatan paling memuaskan untuk kerosakan sistem penghawa dingin? Begitu juga sebaliknya.
4) Anda berhak meminta penjelasan mengenai kerosakan kereta anda dan alat-alat yang perlu diganti. Jangan biarkan mekanik memulakan kerja atau menukar alat ganti tanpa pengetahuan dan kebenaran anda.
5) Anda juga berhak diberikan penerangan mengenai anggaran kos membaiki kerosakan kereta. Anda perlu teliti mengenai kos barangan, keperluan menggantikan alat-alat ganti, kos buruh dan sebagainya. Juga, lebih baik jika anda tidak menyerahkan bulat-bulat kereta anda di bengkel. Cuba percepatkan masa pembaikan dan jangan tinggalkan kereta anda semalaman sekiranya tidak perlu.
6) Untuk mendapatkan mutu kerja yang baik, adalah lebih baik mendapatkan perkhidmatan mekanik profesional dan bertauliah.
7) Anda juga perlu menguji pandu kereta anda sebelum membuat bayaran. Kenalpasti masalah lain jika ada dan jangan tergesa-gesa terus membuat bayaran dan meninggalkan bengkel. Kerosakan lain, sekiranya ada, lebih mudah diperbaiki ketika itu.
8) Selain itu, anda juga perlu memeriksa barangan yang telah diganti untuk memastikan bahwa atat-alat ganti yang baru telah dipasang pada kereta anda.
9) Pastikan anda membaca dan meneliti bil sebelum membuat pembayaran. Jika ada yang tidak jelas, minta penjelasan mekanik dan pastikan kos yang dinyatakan tidak melampau.
Langkah-langkah pencegahan perlu diambil untuk memastikan kereta anda tidak berdepan dengan kerosakan yang teruk. Penjagaan yang konsisten seperti menukar minyak enjin dan penapis minyak pada jangka masa yang ditetapkan, penalaan dan lain-lain pemeriksaan boleh mencegah kos pembaikan yang tinggi.
Tetapi yang pasti, kita pasti tidak dapat mengelakkan kereta kita daripada memasuki bengkel. Samada kerosakan kecil atau besar, kita perlu tahu langkah-langkah yang harus diambil.
Rujukan: Majalah Drive (AAM) tahun 2000.
Pingback: Doa Memasuki Pasar | ArabMykrk.com
Pingback: Doa Memasuki Pasar | ArabMykrk.com