
Hazrat Abu Hurairah رضى الله عنه meriwayatkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda, “Dunia dilaknat dan apa-apa yang ada di dalam dunia juga dilaknat (jauh daripada rahmat Allah سبحانه وتعالى) kecuali zikrullah dan apa-apa yang menghampirkan kepadanya, alim dan penuntut ilmu.”
Keterangan:
‘Apa-apa yang menghampirkan kepadanya‘ boleh dimaksudkan apa-apa yang menghampirkan kepada zikir. Jika demikian maka maksudnya adalah apa-apa yang menolong dan membantu seseorang untuk berzikir, termasuk juga makan minum sekadar perlu dan keperluan-keperluan hidup yang lain. Menurut pengertian ini segala perbuatan yang berbentuk ibadat adalah juga termasuk dalam zikrullah.
‘Apa-apa yang menghampirkan kepadanya‘ boleh juga membawa maksud apa-apa yang menghampirkan kepada Allah. Mengikut pengertian ini pula apa-apa yang menghampirkan kepada Allah, termasuklah segala jenis ibadat dan yang dimaksudkan daripada zikrullah yang disebutkan dalam hadith di atas ialah zikir yang khusus.
Ilmu termasuk dalam kedua-dua pengertian tersebut. Mengikut pengertian pertama, ilmulah yang menghampirkan seseorang kepada zikrullah. Sebagaimana dikatakan oleh seorang penyair, ‘Tidak mungkin seseorang dapat mengenal Allah tanpa ilmu’. Manakala mengikut pengertian yang kedua ialah tidak ada ibadat yang lebih penting daripada ilmu. Walaupun demikian orang alim dan penuntut ilmu masih disebutkan dalam hadith tersebut secara berasingan untuk menegaskan bahawa ilmu adalah sesuatu yang begitu berharga.
Diriwayatkan dalam satu hadith bahawa menuntut ilmu semata-mata kerana Allah سبحانه وتعالى adalah termasuk dalam pengertian takut kepada Allah سبحانه وتعالى. Menuntut ilmu dan pergi ke mana-mana saja untuk mencari ilmu adalah ibadat. Menghafal ilmu adalah tasbih (mensucikan Allah سبحانه وتعالى ). Perbincangan dalam mengkaji ilmu adalah jihad. Membaca dan mentelaah kitab adalah sedekah dan mengajar ilmu kepada orang-orang yang layak diajar adalah penghampiran diri kepada Allah. Sesungguhnya melalui ilmu, halal dan haram dapat dibezakan. Ilmu adalah tanda arah jalan ke syurga, penghibur hati ketika gelisah, teman dalam perjalanan, guru ketika keseorangan, memberi petunjuk dalam kesenangan dan kesusahan dan senjata ketika melawan musuh untuk membela kawan.
Sejuuuk perut mak ngandungkan ko naaaak……
Oleh itu, Allah سبحانه وتعالى telah meninggikan darjat para ulama. Mereka adalah penyeru kepada kebaikan. Mereka adalah imam yang jejak langkah dan amal perbuatan mereka perlu diikuti, mereka sebagai tempat rujukan. Para malaikat suka bersahabat dengan mereka. Para malaikat mengusap sayap-sayap ke atas mereka untuk mengambil berkat atau menunjukkan kasih sayang. Setiap makhluk di dunia ini sama ada yang di darat mahupun yang di laut memohon keampunan untuk mereka. Sehinggakan ikan-ikan di laut, binatang-binatang buas di hutan dan binatang yang berbisa (seperti ular dan sebagainya) juga sentiasa memohon keampunan daripada Allah سبحانه وتعالى untuk mereka. Ini semuanya ialah kerana ilmu merupakan nur bagi hati dan cahaya bagi mata. Melalui ilmu seseorang hamba boleh sampai ke tahap sebagai seorang yang terbaik di kalangan umat dan boleh mencapai kedudukan yang tinggi di dunia dan akhirat.
Memutalaah pelajaran adalah umpama puasa dan menghafal adalah seperti bertahajud. Dengan ilmu dapat dieratkan lagi tali persaudaraan, dan dengan ilmu juga dapat mengenal yang halal dan yang haram. Ilmu adalah imam kepada amal, dan amal adalah pengikut ilmu. Ilmu hanyalah diilhamkan kepada orang-orang yang berbahagia sahaja sedangkan orang-orang yang malang adalah jauh daripada ilmu. Kedudukan hadith yang disebutkan di atas telah dipertikaikan oleh sesetengah ulama. Walau bagaimanapun, apa-apa saja kelebihan yang terkandung dalam hadith tersebut disokong oleh hadith-hadith yang lain. Selain itu, banyak kelebihan yang lain diterangkan dalam kitab-kitab hadith. Oleh itulah alim dan penuntut ilmu disebut secara khusus dalam hadith di atas.
Rujukan:
1. Allama Mohammad Zakariyya rah.alaih syeikhul hadith. 2004. FADHILAT ZIKIR. Kuala Lumpur: ERA ILMU SDN. BHD. m.s 71-73.
2. Kalghari
Pingback: MUNTAKHAB AHADITH: BAH. 1 – KALIMAH TOYYIBAH // KEJAYAAN ADA DALAM KETAATAN – Hadith 195 | ArabMykrk.com