Kristian

April Fool: Hari Ulangtahun Pembunuhan Kejam Umat Islam di Granada

Bulan Mac telahpun berlalu beberapa jam yang lepas. Bulan April kini menjelma. Terdapat suatu kebiasaan jahiliyah yang biasa kita alami pada tarikh 1 April atau lebih dikenali sebagai hari ‘April Fool’. Apakah sebenarnya ‘April Fool’ itu? April Fool adalah suatu hari seseorang dibolehkan untuk menipu atau membohongi orang lain. Tetapi sebagai seorang yang beragama Islam ada sesuatu yang patut kita ketahui berkenaan ‘April Fool’ ini. Mari kita telusuri …………..

Sejarah April Fool

Sebenarnya April Fool adalah perayaan hari kemenangan ke atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan melalui penipuan. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membenarkan penipuan dan pembohongan meskipun ia dikaburi dengan alasan kononnya ia hanya sekadar suatu hiburan atau gurauan semata-mata.

Kebiasaannya orang akan mengatakan bahawa April Fool (yang hanya berlaku pada 1 April) adalah hari kita boleh menipu kawan, orang-orang tua, saudara-mara atau sesiapa sahaja. Mangsa gurauan itu pula tidak boleh marah atau beremosi apabila sedar bahawa dirinya telah menjadi sasaran April Fool. Biasanya si mangsa, jika sudah sedar terkena April Fool, maka dirinya juga akan ketawa bersama-sama atau hanya sekadar merasa ‘bengang’ bukannya betul-betul marah.

Walaupun ia tidaklah sehebat perayaan tahun baru atau Valentine’s Day, budaya April Fool akhir-akhir ini telah menunjukkan kecenderungan yang semakin membumi ke dalam masyarakat kini terutamanya di kalangan anak-anak muda. Tidak mustahil jika pada masa mendatang ia akan merebak ke masyarakat kampung pula. Amat mengharukan, mengapakah kita dengan sangat mudah terikut-ikut budaya Barat ini tanpa mengkaji dengan akal yang kritis terlebih dahulu. Apakah ianya budaya yang baik ataupun tidak, atau adakah ia bermanfaat atau sebaliknya?

Perayaan April Fool bermula daripada suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. Perayaan April Fool atau dikenali sebagai The April’s Fool Day, bermula daripada suatu episod sejarah tragedi besar yang menimpa kaum Muslimin di Sepanyol pada tahun 1487 Masihi bersamaan tahun 892 Hijrah.

Sejak Sepanyol dibebaskan oleh Islam pada abad ke-8 Masihi oleh Amirul Jihad, Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur membangun menjadi negeri yang makmur. Tentera-tentera Islam bukan hanya berhenti di Sepanyol, malah terus-menerus melakukan pembebasan di kawasan-kawasan pedalaman Perancis. Perancis Selatan sangat mudah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan kawasan-kawasan yang lain telah dibebaskan oleh Islam. Walaupun tentera Islam kuat, pasukan Islam masih memberi peluang kepada suku Goth dan Navaro di daerah yang berada di sebelah barat di kawasan pergunungan. Sesungguhnya Islam telah menebarkan kemakmuran di Sepanyol.

Oleh kerana sikap para penguasa Islam yang begitu mulia dan rendah hati, ramai orang Sepanyol yang akhirnya menganut agama Islam dengan kerelaan mereka sendiri. Umat Islam Sepanyol bukan sahaja beragama Islam, malah bersungguh-sungguh mempraktikkan cara hidup Islam. Bukan sekadar membaca Al-Qur’an, bahkan bertingkah-laku berdasarkan Al-Qur’an. Mereka sentiasa mengatakan ‘tidak’ untuk arak, pergaulan bebas dan semua perkara yang dilarang oleh Islam. Keadaan yang harmoni ini berlangsung selama hampir 6 abad. Subhanallah!

Namun demikian, selama tempoh itu juga, golongan kafir yang masih berada di sekeliling Sepanyol terus berusaha untuk menghancurkan Islam dalam negara Sepanyol tanpa mengenal letih dan jemu. Malangnya, ikhtiar mereka kerap berakhir dengan kegagalan. Oleh itu dititipkan sejumlah detektif untuk memerhati kelemahan umat Islam di Sepanyol.

Akhirnya mereka menemui cara untuk menakluki Islam, iaitu dengan melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Maka dalam diam mereka mula menyeludup masuk minuman keras dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik-muzik dipersembahkan bagi melalaikan para pemuda Islam Sepanyol agar lebih suka menyanyi dan menari daripada membaca Al Qur’an. Mereka juga mengirim beberapa ulama’ palsu untuk meniupkan idea perpecahan ke dalam tubuh umat Islam di Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan dikuasai tentera salib. Serangan tentera salib dilakukan dengan kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan hanya tentera-tentera Islam yang dibunuh, malah termasuk masyarakat awam, wanita-wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua. Satu demi satu daerah di Sepanyol ditakluk oleh tentera salib.

Granada adalah daerah terakhir yang ditakluki. Penduduk Islam di Sepanyol (yang juga dikenali sebagai orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera salib terus menerus mengejar mereka. Apabila jalan-jalan dalam keadaan sunyi sepi, yang tinggal hanyalah sisa-sisa ribuan mayat yang bergelimpangan dan bermandikan darah. Tentera salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam di Granada yang bersembunyi di dalam rumah masing-masing. Dengan lantang tentera-tentera salib meneriakkan pengumuman bahawa umat Islam di Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman dan dibenarkan untuk berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

kapal

Pada mulanya, orang-orang Islam sangsi dengan tawaran tersebut. Beberapa orang wakil Muslim diizinkan untuk melihat sendiri kapal-kapal layar yang sudah dipersiapkan di pelabuhan. Akhirnya, setelah benar-benar melihat memang wujud kapal yang disediakan buat mereka, orang-orang Islam pun segera bersiap untuk meninggalkan Granada dan belayar meninggalkan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada keluar dari rumah mereka dengan membawa kesemua barang keperluan, berjalan beriringan menuju ke pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai pengumuman tersebut telah memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di rumah masing-masing. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan para penghuninya. Api dilihat menjulang-julang ke angkasa setelah mereka membakar rumah-rumah tersebut bersama-sama dengan orang-orang Islam yang masih bersembunyi di dalamnya. Allahuakbar!

Ribuan umat Islam yang lain terkandas di pelabuhan dan hanya mampu tergamam apabila melihat tentera salib membakar pula kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal tersebut dengan cepat tenggelam ke dalam lautan. Umat Islam tidak dapat melakukan apa-apa kerana tidak mempunyai sebarang senjata. Mereka juga kebanyakannya terdiri daripada perempuan-perempuan dan anak-anak yang masih kecil. Tentara salib telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan arahan dari pemimpin mereka, ribuan tentera salib segera membunuh umat Islam Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jeritan, tangisan dan takbir memecah suasana. Seluruh kaum Muslimin Sepanyol di pelabuhan tersebut habis dibunuh dengan kejam. Mayat bergelimpangan di merata-rata tempat. Laut yang biru telah berubah menjadi merah kehitaman………………

Tragedi ini berlaku pada tarikh 1 April. Peristiwa inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian apabila tibanya 1 April sebagai April Fool (The April’s Fool Day). Pada tanggal 1 April, orang-orang dibolehkan untuk menipu orang lain. Bagi umat Kristian, April Fool merupakan hari kemenangan di atas pembunuhan ribuan umat Islam di Sepanyol oleh tentera salib melalui tipu daya. Oleh sebab itulah mereka merayakan April Fool dengan cara membolehkan penipuan dan pembohongan walaupun diselaputi dengan alasan sekadar sebagai hiburan atau gurauan semata-mata.

Bagi umat Islam, April Fool merupakan tragedi yang sangat menyedihkan. Hari tersebut ribuan saudara seiman kita disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Oleh sebab itu, adalah tidak patut bagi umat Islam untuk turut serta dalam merayakan tradisi ini. Sesiapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka sesungguhnya dia sedang merayakan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara mereka di Granada, Sepanyol pada 5 abad yang silam.

Jadi, awasilah sekeliling anda, anak-anak anda dan diri anda sendiri daripada terkena virus jahiliah ‘April Fool’ tanpa kalian sedari.

Benarlah sabda Rasulullah berkenaan peristiwa akhir zaman di bawah ini:

Peristiwa Akhir Zaman, Hadis 5
Hadis Akhir Zaman (5)

Ertinya:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, “Rasulullah S.A.W bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang Engkau maksudkan?” Nabi S.A.W menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka?”

Hadith riwayat Muslim.

Keterangan:

Umat Islam akan mengikuti jejak langkah ataupun gaya hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggakan dalam urusan yang kecil dan perkara yang tidak munasabah. Contohnya; seandainya orang Yahudi dan Nasrani masuk ke lubang biawak yang kotor dan sempit sekalipun, orang Islam akan terus mengikuti mereka.

Pada masakini kita dapat menyaksikan sendiri kenyataan sabdaan Rasulullah S.A.W ini. Ramai orang Islam yang kehilangan pegangan di dalam kehidupan. Mereka banyak meniru ‘cara hidup’ Yahudi dan Nasrani sama ada secara sedar atau tidak. Ramai orang Islam yang telah terperangkap dengan tipu helah Yahudi dan Nasrani malah ramai pula di kalangan kita yang menjadi alat dan tali barut mereka.

Ya Allah, selamatkanlah kami daripada mereka! Wallahua’lam.

Pautan Berkaitan:
April Fool: Towardshuda

Sumber:
1. http://www.mykhilafah.com
2. ابو على البنجري الندوي (احمد فهمى زمزم). ١٩٩٩.امڤت ڤولوه حديث تنتڠ ڤريستيوا أخير زمان. قدح دارالأمان: الخزانة البنجرية. موك سورة: 22 – 23

Benarkah Allah yang Kamu Sembah?

Md. Asham B. Ahmad
Fellow

11/01/2010 | Artikel Bahasa Malaysia

Muqaddimah

Setiap orang tahu ‘Allah’ bukan perkataan Melayu, akan tetapi tiada siapapun akan mempersoalkan seorang Melayu menggunakan kalimah itu bagi merujuk kepada Tuhan yang disembahnya kerana orang-orang Melayu adalah Muslim, dan semua Muslim dari segala bangsa memanggilNya dengan nama itu kerana itulah nama yang Dia Tanzilkan, dan dengan nama itulah Dia diseru oleh hamba-hambaNya.

Kita sebenarnya bercakap tentang ‘menamakan’ Tuhan; kita tidak boleh memberikannya nama yang salah. Manusia biasa sekalipun akan marah sekiranya nama mereka atau gelaran yang diberikan tidak disebut dengan betul apatah lagi sekiranya ia salah sama sekali.

Akan tetapi kenapa pula perlu kita memberikan nama kepadaNya? Bukankah sepatutnya, sekiranya Dia pernah mentanzilkan apa-apa, namaNya, itulah yang sepatutnya diketahui dengan jelas dan pasti? Sekiranya ada sesuatu kitab yang layak dinamakan Kalam Allah, namaNya tidak sepatutnya tidak diketahui. Bagaimana mungkin Dia dikenali sekiranya namaNya pun tidak diketahui?

Kaum Muslimin tidak mencipta nama untuk Tuhan yang mereka sembah apatah lagi meminjam nama-nama dari mana-mana bahasa bagi merujuk kepada Tuhan. Mereka tidak biasa berbuat demikian kerana nama agama yang mereka anuti itupun,(yakni Islam) dan nama orang-orang yang menyerah diri kepada Allah dengan mengikuti agama itu (Muslim/Muslimun) diberikan oleh Allah sendiri, bukan mereka yang menciptanya, apatah lagi diberikan oleh orang luar. Justeru, mereka tidak boleh menerima gelaran ‘Mohemmadans’, dan agama Islam sebagai ‘Mohemmadanism’. Sebab-sebabnya ialah: pertama, Muhammad bukanlah sebagaimana Jesus Christ pada tanggapan penganut Kristian; Muslim tidak menyembah Muhammad. Kedua, Islam bukan suatu ideologi atau falsafah yang dicipta oleh Muhammad justeru boleh digelar Mohemmadanism. Sebab ketiga ialah Kaum Muslimin sudah kenal siapa diri mereka sejak dari awal lagi. Mereka tidak memanggil diri mereka Muslimin kerana itulah nama yang diberikan oleh orang, tidak seperti penganut Kristian yang memperolehi nama itu dari musuh mereka yakni orang-orang Rom.

Pada pandangan seorang Muslim, amatlah tidak wajar bagi suatu agama yang mendakwa agama yang benar dan ditanzilkan tetapi tidak mempunyai nama bagi Tuhan yang mereka seru manusia untuk menyembahnya. Lebih memalukan lagi sekiranya agama itu meminjam nama itu dari agama lain lebih-lebih lagi pula apabila agama itu dianggap sesat dan menyeleweng!

Isu Kalimah Allah: Kenapa Melayu Menentang

Apabila sesetengah pemuka agama Kristian menuntut ‘hak’ menggunakan Kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian dalam Bahasa Melayu sudah pasti umat Islam akan membantah. Ini tidak sama sekali bermakna mereka mahu ‘memonopoli’ kalimah itu. Sebaliknya mereka hanya menuntut supaya makna sesuatu kalimah tidak dipermainkan sesuka hati. Kalimah yang tepat mesti digunakan bagi merujuk kepada makna yang dimaksudkan. Secara praktikalnya orang Melayu tidak berupaya menghalang mana golongan Kristian yang mahu memanggil Tuhan mereka dengan sebarang nama termasuklah ‘Allah’ bahkan ‘Mickey Mouse’ sekalipun.

Walaubagaimanapun mereka terpaksa menentang kerana isunya kini adalah isu Bahasa Melayu, dan Kalimah Allah seperti yang difahami dalam Bahasa Melayu tidak pernah merujuk kepada tuhan sembahan orang Kristian. Kalimah ‘Tuhan’ sebenarnya sudah memadai untuk tujuan itu, dan kedegilan mahu menggunakan kalimah ‘Allah’ dilihat sebagi penzahiran permusuhan melalui serangan terhadap keutuhan Bahasa Melayu itu sendiri.

Hujah dan Hujah Balas

Segolongan pemuka agama Kristian berhujah bahawa ‘Allah’ juga bermakna tuhan agama Kristian kerana menurut mereka kalimah itu telah digunakan lama dahulu dalam terjemahan Injil Melayu dan buku-buku sembahyang mereka. Mereka juga berhujah bahawa kalimah ‘Allah’ telah lama digunakan oleh masyarakat Kristian-Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Andaikan mereka dapat buktikan kewujudan dokumen-dokumen di atas di mana kalimah Allah boleh ditemui digunakan. Kita boleh membalas bahawa, ia tidak sama sekali membuktikan bahawa ‘Allah’ di dalam Bahasa Melayu juga bererti tuhan Kristian. Ia hanya menunjukkan bahawa percubaan pendakwah-pendakwah Kristian untuk memaksakan maksud mereka terhadap kalimah berkenaan sudah lama berlaku. Sama ada dokumen itu baru atau lama bukanlan soalnya di sini. Apa yang penting ialah bangsa Melayu tidak pernah menggunakan Kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan Kristian sebaliknya sesetengah puak Kristianlah, dahulu dan sekarang yang telah bertungkus-lumus berusaha membuat mereka menerima makna tersebut. Kalaulah kalimah Allah itu sememangnya bererti tuhan sepertimana difahami orang Kristian apakah gunanya lagi usaha mengkristiankan bangsa Melayu kerana mereka telahpun Kristian pada hakikatnya!

Kaum Muslimin dan Kristian masing-masing mendakwa agama mereka berasaskan wahyu yang ditanzilkan oleh Tuhan. Kitab pegangan Kaum Muslimin, al-Qur’an, yang ditanzilkan dalam bahasa Arab dengan jelas menyatakan bahawa Allah ialah nama Tuhan yang disembah oleh setiap Muslim tidak kira bangsa atau tanahairnya.

Apa yang kita tahu ialah Kalimah Allah tidak pernah digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek ataupun Latin Kitab Perjanjian Baru dan Lama, dan tiada bukti yang boleh dipercayai tentang kewujudan terjemahan Injil dalam bahasa Arab sebelum Islam. Terjemahan Arab yang pertama dan yang terpenting yang menjadi rujukan utama Kaum Yahudi di negara-negara Islam telah dilakukan oleh Sa’adia ben Joseph (892-942). Beberapa terjemahan Arab moden oleh puak Katolik dan Protestant telah dibuat pada kurun-kurun ke 19 dan 20 Masihi. Ada kemungkinan bahawa kalimah Allah digunakan bagi merujuk kepada Tuhan Kristian dalam terjemahan-terjemahan ini. Namun persoalannya kenapa ‘Allah’, dan bukan istilah-istilah yang digunakan dalam versi-versi Hebrew, Greek dan Latin?

Apa yang nyata kalimah ‘Allah’ hanya digunakan apabila Bible diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Kaum Muslimin, antaranya Bahasa Melayu di mana kalimah itu wujud dan digunakan hasil dari pengislaman bahasa dan akal bangsa Melayu. Kita tidak mungkin menjumpai kalimah Allah dalam Algonquin Bible yang diterjemahkan untuk orang India Amerika pada 1663, apatah lagi dalam versi-versi lain seperti Wycliffe, Tyndale, Douay, King James ataupun Confraternity. Tiada sebab untuk mereka menggunakan Kalimah Allah dalam terjemahan berkenaan bagi merujuk kepada Tuhan Kristian kerana Allah tidak pernah menjadi tuhan orang Indian Amerika ataupun orang Inggeris, justeru kalimah itu tidak wujud dalam bahasa-bahasa mereka.

Amatlah menarik memikirkan kenapa sebahagian pemuka agama Kristian di negara ini begitu bersungguh-sungguh menuntut ‘hak’ menggunakan kalimah Allah dengan berhujah bahawa kalimah itu telah lama digunakan oleh Arab Kristian sebelum kedatangan Islam lagi. Semenjak bila pula orang-orang Arab Kristian dan bahasa mereka menjadi rujukan penting bagi agama Kristian dan masyarakat Kristian secara amnya? Bahasa Arab langsung tidak penting jika dibandingkan dengan bahasa Hebrew, Greek ataupun Latin dalam soal memahami agama Kristian dari sumber-sumber utamanya. Sebaliknya, tiada sesiapapun boleh memahami agama Islam tanpa memahami bahasa Arab.

Yang kita maksudkan dengan bahasa Arab di sini ialah bahasa Arab yang telah diislamkan, bahasa yang telah melalui perubahan menyeluruh dengan penurunan al-Qur’an. Kepentingan bahasa Arab Qur’ani dalam soal pembentukan pemikiran dan pandangan hidup Kaum Muslimin tidak boleh dibandingkan langsung dengan kedudukan bahasa Arab ketimbang agama Kristian.

Apabila puak-puak Kristian di negara kita berhujah kepada kerajaan bahawa orang Arab Kristian sebelum Islam telah lama menggunakan kalimah Allah mereka mengandaikan bangsa Melayu itu seumpama robot yang akan meniru segala apa yang datang dari Tanah Arab. Mereka silap. Apabila bangsa Melayu menggunakan kalimah Allah dalam bahasa mereka yang mereka maksudkan ialah Allah yang dinyatakan dalam al-Qur’an bukan yang dimaksudkan oleh Kaum Arab Jahiliyyah mahupun kaum Kristian. Bangsa Melayu tiada hubungan kebudayaan atau keagamaan dengan Arab Jahiliyyah mahupun Arab Kristian sebelum ataupun selepas Islam. Hubungan mereka dengan bangsa Arab terbina atas satu asas yang dikongsi bersama yakni Islam dan al-Qur’an. Segala kata kunci berserta dengan makna dan pengertiannya yang membentuk pandangan hidup bangsa Melayu diperolehi dari al-Qur’an. Bahkan semua kata kunci ini dikongsi oleh bahasa-bahasa Islami yang lain, bukan sahaja bahasa Melayu.

Kesimpulan

Apa yang jelas adalah percubaan puak-puak Kristian tertentu menyahislamkan (deislamize) bahasa Melayu bagi memudahkan penyebaran dakyah mereka. Sekiranya mereka merasa berhak untuk menyebarkan agama mereka kepada sesiapa sahaja (termasuk bangsa Melayu) tidakkah bangsa kita juga punya hak untuk menyanggah sebarang usaha merendah-rendahkan budaya dan agama kita? Malangnya dari kalangan kitalah muncul pengkhianat budaya dan agama kita. Merekalah yang membenarkan ‘Bahasa Melayu’ dipanggil ‘Bahasa Malaysia’.

Isu yang sama:

1. www.zaharuddin.net
2. IKATAN STUDI ISLAM UKM
3. Kalau dieja ‘Alaha’, bagaimana?
4. Ustaz Abdullah Zaik
5. Implikasi Penggunaan Nama Allah – Halaqah.net
6. Dato’ Seri Syed Hamid Albar
7. Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah
8. Orang Kristian Pun Menentang Penggunaan Kalimah “Allah”

Scroll to Top