neraka

علامات الساعة Hadis Akhir Zaman: 15. Dua Golongan Yang Akan Menjadi Penghuni Neraka

Dua Golongan yang Akan Menjadi Penghuni Neraka: Pemimpin dan Perempuan Yang Berpakaian Tetapi Telanjang
Dua Golongan yang Akan Menjadi Penghuni Neraka

15. Dua Golongan yang Akan Menjadi Penghuni Neraka

Ertinya:

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda:
“Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka.

Pertama: Golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor Iembu yang digunakan untuk memukul orang.

Kedua: Perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang­-lenggok sewaktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget.

Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya”.

(Hadis Riwayat Imam Muslim Rahimahullaahu Ta’ala)

رواه مسلم فى كتاب اللباس والزينة باب النساء الكاسيات العاريات

Keterangan:

Kebenaran sabdaan Rasulullah saw. ini dapat kita lihat dari realiti masyarakat yang ada pada hari ini.

Ada golongan yang suka memukul orang dengan cemeti tanpa soal-siasat, bertindak kepada manusia dengan hukum rimba.

Ramai perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun boleh, kerana masih ada secarik kain di atas badan.

Kalau kita hendak katakan bertelanjang pun boleh. Ia adalah kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang.

Selain daripada itu terdapat perempuan yang berpakaian dengan pakaian yang sangat tipis sehingga menampakkan warna kulit dan bentuk badan. Tambahan pula apabila berjalan, mereka sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar seperti bonggol unta.

Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk ke dalam syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya, walaupun semerbak wanginya telah tercium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya.

40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman (Edisi Rumi)
Rujukan:
Abu Ali Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki. 2008. 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman. Kedah: Khazanah Banjariah. Muka surat: 42-43
Kitab ‘EDISI ISTIMEWA 40 HADIS PERISTIWA AKHIR ZAMAN’ boleh didapati secara online melaui link ini: Klik sini

Nota:
Mykrk telah memperolehi ijazat daripada Tuan Guru Ahmad Fahmi Zamzam untuk menggunakan isi kandungan kitab ini di dalam blog ArabMykrk.com. Semoga Allah merahmati dan memberkati beliau serta seluruh keturunannya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

IKTIKAF: Amalan Yang Lebih Baik Daripada Sepuluh Tahun Iktikaf

Ikramul Muslimin: Hak-hak Orang Islam: Hadith 968/155

(155) Daripada Ibnu Abbas رضي الله عنهما, daripada Nabi صلى الله عليه وسلم baginda bersabda, “Barangsiapa berjalan untuk menunaikan suatu keperluan (hajat) saudaranya, maka hal itu lebih baik daripada sepuluh tahun i’tikaf.

Barangsiapa yang beri’tikaf sehari kerana Allah, maka Allah menjadikan (menjauhkan) antara dia dan neraka (sejauh) tiga parit, yang satu paritnya lebih jauh daripada jarak antara bumi dan langit.”

(Hr. Thabrani dalam al-Awsath, dan isnadnya jayyid – Majma’uz Zawaa’id VIII/351)

Rujukan:

1. فضيلة الشيخ محمد يوسف الكاندهلوى حفـظه لله تعالى. ١٤١٨ه. الأحاديث المنتحبة فى الصفات الست للدعوة إلى الله تعالى. نظام الدين دلهى الجديدة (الهند). مكتبة فيض عام. صفحة: ٢٩٤

2. Penghimpun: Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi. Penyusun: Maulana Muhammad Yusuf al-Kandahlawi. MUNTAKHAB AHADITH (Terjemahan Muhammad Qosim at-Timori). 2004. Johor Bahru: JAMI’ATUL ULUM AR-RAHMAN YPI ASH SHODIQEEN & PERNIAGAAN JAHABERSA. m.s. 542

IKTIKAF: Di antara Iktikaf Dan Tunaikan Hajat Saudara

Ganjaran iktikaf berbanding menunaikan hajat saudara
Allah akan jadikan di antaranya dengan neraka tiga parit

3. Hazrat Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما berkata bahawa sesungguhnya sekali beliau sedang beriktikaf di dalam masjid Nabi صلى الله عليه وسلم.

Telah datang kepadanya seorang lelaki lalu memberi salam kemudian dia telah duduk. Hazrat Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما telah berkata kepadanya,

“Wahai fulan! Aku nampak kamu berada di dalam keadaan dukacita dan sedih.” Beliau menjawab, “Wahai saudara sepupu Rasul Allah. Aku ada hak yang wajib ditunaikan dan demi kehormatan penghuni kubur ini, aku tidak mampu menunaikannya.”

Hazrat Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما pun berkata, “Adakah patut aku bercakap dengannya bagi pihakmu?” Lelaki itu menjawab, “Persilakanlah sekiranya engkau suka.”

Perawi berkata lalu Hazrat Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما pun memakai kasut dan keluar dari masjid.

Lelaki itu pun berkata kepadanya, “Adakah engkau lupa apa yang sedang engkau lakukan?”

Hazrat Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما menjawab, “Tidak !! Sesungguhnya aku telah mendengar penghuni kubur ini berkata, dan masanya masih hampir.” Lalu kedua-dua matanya digenangi air mata.

(Hazrat Ibn ‘Abbas رضي الله عنهما menceritakan) Baginda bersabda, “Sesiapa yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya dan dapat menyempurnakannya adalah lebih baik baginya daripada beriktikaf sepuluh tahun

dan sesiapa yang beriktikaf sehari kerana mencari keredaan Allah سبحانه وتعالى maka Allah akan jadikan di antaranya dengan neraka tiga parit dan satu parit lebih lebar dari jarak antara bumi dengan langit.”

(Kalaulah ini ganjarannya bagi satu hari iktikaf, maka betapakah kadar ganjaran bagi iktikaf selama sepuluh tahun.)

(Riwayat at-Tabrani dalam al-Ausath, al-Baihaqi, al-Hakim (sahih isnadnya) sebagaimana dalam at-Targhib. as-Suyuti dalam Dur (Manthur), disahihkan oleh al-Hakim, didaifkan oleh al-Baihaqi)

Sumber: Shaikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariyya rah. (Terjemahan Ustaz Muhammad Razif bin ‘Abd. Wahab). 1999. FADHILAT RAMADHAN. Kuala Lumpur: Era Ilmu Sdn. Bhd. m.s 95-96

Scroll to Top