Politik

Siapakah Yang Layak Kita Undi?


Telah dikeluarkan oleh Ibnu Asakir daripada Asim katanya: Abu Bakar ra telah mengumpulkan orang ramai sewaktu beliau sedang sakit. Beliau telah menyuruh orang membawanya ke mimbar. Itulah khutbah yang terakhir yang telah dilakukannya. Beliau telah memuji Allah SWT dan berkata:

Wahai kaum muslimin! Janganlah kamu sibuk dengan urusan dunia dan janganlah terfitnah olehnya lantaran kecantikan zahirnya. Utamakanlah kehidupan akhirat dari kehidupan dunia dan sentiasalah cintakan kehidupan akhirat di dalam dirinya. Maka, yang lazim berlaku, kecintaan kepada salah satu dari kedua-duanya akan menyebabkan kamu merasa benci kepada salah satu yang lain. Berkaitan dengan persoalan khalifah, ia mengawal segala urusan kita di mana zaman yang terkemudian tidak akan menjadi baik melainkan dengan perantaraan apa yang memperbaiki zaman yang awal.

Jawatan khalifah ini tidak akan dipikul oleh seseorang pun melainkan oleh;
1. orang yang cekap dan mampu mengawal dirinya sendiri.
2. orang yang lebih afdal dari segi kekuatan.
3. Beliau adalah seorang yang tegas dalam situasi tegang.
4. orang yang lemah lembut dalam hal yang rumit.
5. Beliau adalah orang yang paling mengetahui akan pendapat orang-orang yang memberikan pendapat dan memberikan penghargaan sepenuhnya.
6. beliau tidak menyibukkan dirinya dengan perkara yang tidak memberi manfaat kepada dirinya.
7. Beliau tidak kesal atau berduka cita jika terlepas sesuatu yang di luar dari kemampuannya.
8. Beliau tidak merasa malu untuk belajar.
9. Beliau tidak bingung di dalam masa-masa tegang dan cemas.
10. Beliau amat memelihara harta rakyat dan tidak menyalah gunakan harta (kepunyaan negara) dengan suatu perbuatan khianat dengan melampaui batasan.
11. Beliau seorang yang taat dan berjaga-jaga dari kemurkaan Allah SWT.
Beliau adalah Umar bin Al-Khattab.

Kemudian Abu Bakar ra pun turun dari mimbar.
(Sebagaimana dalam Kanzul Ummal.)

Dalam riwayat Abdul Razak daripada Umar ra katanya :

Tidak dapat tidak jawatan ini hendaklah disandang oleh lelaki yang mempunyai empat sifat iaitu;
1. Dia mestilah bertindak dengan sopan dan lemah lembut tanpa menunjukkan sifat lemah.
2. Tegas tanpa bersikap bongkak ataupun keras kepala.
3. Sentiasa berjimat cermat dengan harta tanpa sifat bakhil
4. Seorang yang pemurah tanpa bersikap boros.

Jika salah satu sifat ini tidak wujud maka ketiga-tiga sifat yang lain akan rosak.

Juga daripada Abdul Razak dan Ibnu Asakir dan selain daripada keduanya daripada Umar ra katanya:

Tiada seorang pun yang mampu melaksanakan tugas khalifah melainkan;
1. seorang yang tidak terlalu bertolak ansur (mengenai hukum Allah).
2. tidak mempamirkan sikap merendah diri pada yang bukan tempatnya.
3. tidak mengikut sifat tamaknya.
4. Seorang yang amat teliti dan berjaga-jaga tentang kemuliaan dirinya sendiri.
5. tidak menyembunyikan perkara yang hak di sebalik kemarahannya.

(Sebagaimana dalam Kanzul Ummal.)

Sumber:
As-Sheikh Muhammad Yusof Al-Kandahlawi. 1994. Hayatus Sahabah (kehidupan para sahabat Rasulullah SAW jilid 4). Kuala Lumpur. Darul Nu’man, m.s 117-121 (Siapakah Yang Bertanggungjawab Untuk Memikul Jawatan Khalifah)

Kepimpinan Saidina Umar r.a Pada Zaman Kegemilangan Islam


1. Dikeluarkan oleh Ibnu Abdul Hakam daripada Abu Soleh Al-Ghifari katanya: “Amru bin Al-‘As telah menulis sepucuk surat kepada Umar bin Al-Khattab r.a.: “Sesungguhnya kami telah menyiapkan rancangan untuk membina sebuah rumah untuk kamu berhampiran dengan masjid jamek.”

Kemudian Umar r.a. menulis jawapan surat Amru bin Al-‘As. Beliau menulis: “Sesungguhnya aku adalah seorang lelaki biasa dari tanah Hijaz di mana rumahnya mestilah berada di tengah-tengah kota.” Maka Umar r.a. memerintahkannya agar menjadikan rumah tersebut sebagai pasar untuk kaum muslimin.

(Sebagaimana dalam Al-Kanz. )

2. Dikeluarkan oleh Ibnu Abdul Al-Hakam daripada Abu Tamim Al-Jaishani r.a. katanya: “Umar bin Al-Khattab telah menulis sepucuk surat kepada Amru bin Al-‘As:

Amma Ba’du! Telah sampai ke pengetahuanku bahawa kamu telah membuat mimbar yang lebih tinggi daripada tengkuk kaum muslimin. Apakah yang menghalang kamu supaya berkhutbah dalam keadaan berdiri dan kaum muslimin berada di bawahmu. Aku menegaskan kepadamu agar merobohkannya.

(Sebagaimana dalam Al-Kanz. )

3. Dikeluarkan oleh Muslim daripada Abu Usman r.a. katanya: “Umar r.a. telah menulis surat kepada kami dan kami berada di AZERBAIJAN:

Ya Utbah bin Farqad! Sesungguhnya harta ini bukanlah dihasilkan daripada usaha kamu, bapa kamu mahupun ibu kamu. Kenyangkanlah kelaparan kaum muslimin di khemah-khemah mereka dengan makanan yang boleh mengenyangkan mereka dari perkhemahan kamu. Hendaklah kamu menghindari dari kehidupan bermewah-mewah dan meniru-niru cara kehidupan ahli syirik dan memakai pakaian sutera.”

(Sebagaimana dalam At-Targhib. )

4. Dikeluarkan oleh Ibnu Asakir daripada Urwah bin Royam sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a. sentiasa ingin mengetahui akan hal ehwal kaum muslimin. Pada suatu hari penduduk HAMAS telah datang menemuinya. Beliau pun bertanya kepada mereka: “Bagaimanakah keadaan amir (pemimpin) kamu?” Mereka menjawab: “Beliau seorang yang baik melainkan beliau telah membina tingkat atas di dalam rumahnya di mana beliau tinggal di sana.”

Kemudian Umar r.a. pun menulis sepucuk surat kepadanya melalui seorang penghantar surat dan memerintahkan penghantar surat tersebut membakar tingkat atas rumahnya itu. Apabila beliau sampai di sana, dia pun mengumpulkan kayu lalu membakar pintu ke bilik itu.

Apabila amir tersebut diberitahu mengenai apa yang berlaku, beliau memerintahkan orang supaya membiarkan penghantar surat itu kerana dia merupakan orang utusan khalifah. Kemudian beliau pun mengambil surat yang dibawa oleh utusan itu. Belum sempat beliau menyimpan surat itu, beliau pun menunggang kudanya untuk menemui Umar r.a.

Apabila beliau sampai di hadapan Umar r.a., Umar pun memerintahkannya supaya menemaninya ke Harra di mana terdapat banyak unta yang disedekahkan di sana. Umar r.a. pun menyuruh lelaki itu mencampakkan pakaiannya.

Kemudian Umar menyuruh lelaki itu memakai pakaian yang diperbuat daripada bulu unta dan menyuruhnya supaya melepaskan seekor selepas seekor dan memberikan minuman kepadanya. Amir itu melakukan apa yang disuruh oleh Umar r.a. sehingga beliau keletihan akibat turun dan naik atas unta tersebut. Selepas itu Umar pun bertanya kepadanya: “Bilakah kamu membina tingkat atas itu?”

Beliau menjawab: “Baru lagi ya amirul mukminin.” Umar r.a. pun berkata: “Kamu telah membina tingkat atas tersebut untuk menyusahkan orang ramai yang berurusan dengan kamu. Kamu duduk di atas tempat yang tinggi daripada orang-orang miskin, yatim dan fakir. Kembalilah jalankan tugas kamu dan janganlah ulangi perbuatan kamu itu.”

(Sebagaimana dalam Kanzul Ummal. )

5.
(i)Dikeluarkan oleh Ibnu Al-Mubarak, Ibnu Rahawiah dan Musaddad daripada ‘Itab bin Rifa’ah katanya: “Telah sampai ke pengetahuan Umar r.a. bahawa Saad r.a. telah membina sebuah istana untuknya dan membina sebuah pintu gerbang di hadapan istana tersebut.

Beliau juga berkata bahawa dia telah pun bebas daripada rungutan dan aduan orang ramai. Kemudian Umar r.a. pun mengutuskan Muhammad bin Maslamah r.a. Kebiasaannya Umar r.a akan melakukan sedemikian rupa jika beliau mahu sesuatu itu dilakukan mengikut kehendaknya. Beliau berkata kepada Muhammad: “Pergilah kamu kepada Saad dan bakarlah pintu gerbang itu.”

Muhammad pun tiba di KUFAH, apabila beliau sampai di pintu gerbang itu, beliau pun mula membakarnya. Seseorang telah datang kepada Saad untuk memberitahunya mengenai kejadian itu dan menjelaskan kepadanya akan sifat orang membakar pintu tersebut dan dengan demikian Sa’ad pun mengetahui siapakah orang tersebut bahawa beliau adalah Muhammad bin Maslamah lalu keluar menemuinya.

Muhammad berkata kepada Sa’ad: “Amirul mukminin telah diberitahu bahawa engkau telah berkata bahawa engkau telah bebas daripada rungutan dan aduan orang ramai.” Sa’ad berkata: “Demi Allah! Aku tidak berkata sedemikian.” Muhammad berkata: “Aku hanya melakukan apa yang telah diperintah ke atasku untuk melakukannya dan menyampaikan kepada amirul mukminin apa yang telah engkau katakan.”

Kemudian Muhammad meminta Sa’ad agar memenuhi bekalan untuk perjalanannya kembali ke MADINAH tetapi Sa’ad enggan untuk menunaikan permintaannya itu.

Muhammad pun kembali ke Madinah. Apabila Umar r.a. melihat kedatangan Muhammad, beliau pun berkata kepadanya: “Aku kira kamu belum lagi menyempurnakan tugasmu?” Muhammad berkata: “Aku telah melakukannya dan beliau memberikan alasan dan bersumpah dengan nama Allah bahawa dia tidak berkata sedemikian.”

Umar r.a. pun bertanya: “Adakah beliau telah memberikan hadiah kepadamu?” Muhammad menjawab: “Negeri IRAQ adalah miskin dan penduduk kota di sekelilingku mati kelaparan. Oleh yang demikian, aku agak keberatan untuk memaksanya atas yang sedemikian itu dan engkau akan memperoleh yang sejuk dan aku akan memperoleh yang panas (kamu akan menikmatinya sedangkan aku akan merasakan kepanasan api neraka).

Tidakkah kamu mendengar Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Seorang mukmin itu tidak boleh memenuhkan perutnya sedangkan jiran-jirannya dalam kelaparan.”

Sebagaimana dalam Al-Kanz.

(ii)Dikeluarkan oleh At-Tabrani daripada Abu Bakrah dan Abu Hurairah r.anhuma dengan ringkas melainkan dalam hadisnya dinyatakan bahawa telah sampai ke pengetahuan Umar r.a. bahawa Sa’ad telah menjauhkan dirinya daripada orang ramai dan mengunci pintu rumahnya. Lalu Umar r.a. mengutuskan Ammar bin Yasir r.a. pergi ke sana dan membakar pintu gerbang yang dibina oleh Sa’ad tersebut.

6. Dikeluarkan oleh;

(i) Ibnu Asakir dan As-Syaikiri daripada Juwairiyah r.anha.
(ii) Beberapa perawi telah berkata daripada Nafi’.
(iii) Sesetengah mereka daripada seorang lelaki daripada anak-anak Abu Darda’ r.a.

KATANYA: Abu Darda’ telah meminta keizinan daripada Umar r.a. untuk pergi ke SYAM. Umar r.a berkata: “Aku tidak akan mengizinkan kamu pergi ke Syam melainkan bertugas untukku sebagai gabenor.” Abu Darda’ berkata: “Aku tidak mahu menjadi gabenor.” Umar r.a. menjawab: “Oleh itu aku tidak akan mengizinkan kamu pergi ke Syam.”

Kata Abu Darda’ r.a: “ Aku akan pergi tetapi dengan syarat aku hanya akan mengajar sunnah nabi s.a.w. kepada mereka dan bersolat bersama mereka.” Maka Umar r.a. pun mengizinkan Abu Darda’ pergi.

Pada suatu ketika Umar r.a. telah pergi ke SYAM. Apabila berada di luar Syam, beliau pun singgah di suatu tempat sehingga waktu petang menjelang. Apabila tiba waktu malam Umar r.a. berkata: “ Ya Yarfa’! Bawalah aku berjumpa dengan Yazid bin Abu Sufyan.

Kamu akan melihat beliau duduk di atas hamparan yang mahal dan sutera yang diperolehi dari harta rampasan kaum muslimin. Apabila kamu memberi salam kepadanya, beliau akan menjawab salammu itu tetapi tidak akan membenarkan kamu masuk menemuinya kecuali dia mengetahui siapakah diri kamu.”

Maka mereka pun bergerak sehingga sampai di hadapan pintunya dan berkata: “Assalamu’alaikum!” Yazid menjawab: “Alaikumussalam.” Yarfa’ bertanya: “Boleh aku masuk?” “Siapakah kamu?” Yarfa’ menjawab: “Aku adalah teman seseorang yang apabila kamu mengetahuinya, pasti kamu tidak akan menyenangi kedatangannya itu. Bersamaku adalah amirul mukminin.”

Lalu Yazid pun membuka pintu. Kelihatan lampu-lampu, hamparan yang indah dan beliau duduk di atas hamparan itu yang bersalut emas dan sutera. Umar r.a. pun berkata: “Ya Yarfa’, kamu tunggu di pintu ini.”

Umar r.a masuk dan terus memukul Yazid dengan cambuknya di dahi Yazid kemudian beliau menggulung semua barang-barang yang terdapat di dalam rumah itu dan meletakkannyadi tengah-tengah rumah dan berkata kepada mereka yang hadir di sana: “Janganlah kamu meninggalkan tempat ini sehingga aku kembali kepada kamu.”

Maka kami pin meninggalkan Yazid. Umar r.a. berkata kepadaku: “ Ya Yarfa’! Ikutilah aku untuk menemui Amru bin Al-‘As. Kamu akan melihat beliau duduk di atas hamparan yang mahal dan sutera yang diperolehi dari harta rampasan kaum muslimin.

Apabila kamu memberi salam kepadanya, beliau akan menjawab salammu itu tetapi tidak akan membenarkan kamu masuk menemuinya kecuali dia mengetahui siapakah diri kamu.” Maka kami pun berjalan menuju kepadanya dan aku mendapati beliau sebagaimana yang telah diberitahu oleh amirul mukminin.

Umar r.a pun memukul Amru di dahinya. Kemudian beliau menggulung semua barang-barang yang terdapat di dalam rumah itu dan meletakkannyadi tengah-tengah rumah dan berkata kepada mereka yang hadir di sana: “Janganlah kamu meninggalkan tempat ini sehingga aku kembali kepada kamu.”

“ Ya Yarfa’! Ikutilah aku untuk menemui Abu Musa r.a. Kamu akan melihat beliau duduk di atas hamparan yang mahal dan sutera yang diperolehi dari harta rampasan kaum muslimin. Apabila kamu memberi salam kepadanya, beliau akan menjawab salammu itu tetapi tidak akan membenarkan kamu masuk menemuinya kecuali dia mengetahui siapakah diri kamu.”

Maka kami pun berjalan menuju kepadanya dan aku mendapati beliau sebagaimana yang telah diberitahu oleh amirul mukminin.

Umar r.a pun memukul Abu Musadi dahinya dan berkata: “Kamu juga ya Abu Musa! Abu Musa pun berkata: “Ya amirul mukminin! Engkau telah melihat apa yang dilakukan oleh sahabat-sahabatku, mereka telah mengambil lebih daripada apa yang telah aku ambil.

Aku telah mengikuti mereka melakukannya atas sebab yang tertentu.” Umar r.a pun bertanya: “ Apakah barang-barang dan kelengkapan ini?” Abu Musa menjawab: “Penduduk tempat ini mendakwa bahawa seseorang amir (pemimpin) itu tidak akan jadi kelihatan baik melainkan sekiranya beliau tidak mempunyai barang-barang ini.”

Kemudian Umar r.a. pun mengumpulkan barang-barang tersebut dan meletakkannyadi tengah-tengah rumah dan berkata kepada mereka yang hadir di dalam majlis Abu Musa tersebut: “Tidak seorang pun dibenarkan keluar dari tempat ini sehingga aku kembali menemui kamu semula.”

Apabila kami keluar dari sisi Abu Musa, Umar r.a. pun berkata kepadaku: “Ya Yarfa’ Ikutilah aku untuk menemui saudaraku untukku melihatnya, beliau tidak mempunyai hamparan, lampu-lampu yang indah, tidak mempunyai pengiring dan pintu rumahnya tidak berkunci dari dalam.

Beliau berbaring di atas pasir dengan berbantalkan kain yang disumbat dengan daun-daun kayu. Beliau hanya menyelimutkan badannya dengan sehelai kain yang nipis untuk melindungi dirinya dari kesejukan. Kamu memberi salam kepadanya dan dia akan menjawab salammu.

Kamu meminta izin untuk menemuinya dan beliau akan mengizinkan kamu sebelum beliau mengetahui siapakah diri kamu.” Maka kami pun berjalan menuju ke rumah saudaranya yang dikatakan olehnya itu.

Apabila kami sampai di hadapan pintunya, kami pun memberi salam lalu beliau menjawab salam kami. Umar pun berkata: “Bolehkah aku masuk?” Beliau menjawab: “Masuklah.” Umar pun menolak daun pintu yang tidak mempunyai selak tersebut dan tidak berkunci.

Maka kami pun masuk ke dalam rumahnya yang gelap tidak berlampu. Umar r.a. pun meraba-raba mencarinya di dalam kegelapan tersebut sehingga menemui dan beliau ditemui sedang berbaring dengan kepalanya di atas bantal yang diisikan dengan daun-daun kayu. Umar r.a. meraba akan hamparannya tetapi ianya cuma berlantaikan pasir.

Umar r.a meraba bajunya yang cuma dari kain yang nipis. (Saudaranya itu adalah Abu Darda’ r.a.) Maka Abu Darda’ pun berkata: “Siapa ini? Adakah amirul mukminin?” Umar r.a. menjawab: “Ya.” Beliau berkata: “Demi Allah! Sudah setahun lamanya kita tidak bertemu.”

Umar r.a. pun berkata: “Allah merahmati kamu, adakah aku tidak memberikan belanja yang mencukupi untuk kamu?” Abu Darda’ r.a. berkata: “ Adakah kamu masih ingat akan satu hadis yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. ya Umar?” Umar r.a. bertanya: “Hadis yang mana satu?”

Abu Darda’ pun berkata: “Hendaklah apa yang kamu miliki dalam kehidupan dunia ini seumpama bekalan yang dibawa oleh seorang pengembara yang menunggang kuda.” Kata Umar r.a.: “Aku masih mengingatinya.”

Abu Darda’ r.a. pun bertanya: “Oleh yang demikian, apakah yang kita telah lakukan selepasnya ya Umar?” Yarfa’ berkata: “Maka kedua-duanya pun berterusan menangis hingga ke waktu subuh.”

Sebagaimana dalam Kanzul Ummal.

SUMBER:
As-Sheikh Muhammad Yusof Al-Kandahlawi. 1994. Hayatus Sahabah – Kehidupan Para Sahabat Rasulullah S.A.W. jilid 4. Kuala Lumpur : Darul Nu’man. m.s 184-190 (Larangan Ke Atas Amir Untuk Hidup Mewah dan Membiarkan Orang Yang Memerlukan Pertolongan)

“Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai kerisauannya maka Allah SWT akan memperkayakan hatinya dan harta benda dunia akan datang kepadanya dalam keadaan tunduk dan hina dan sesiapa yang menjadikan dunia sebagai kerisauannya Allah SWT akan menjadikan kemiskinan terbayang-bayang di hadapannya dan dia akan diselubungi kesusahan. Dia tidak akan mendapat di dunia lebih daripada apa-apa yang telah ditakdirkan”.
Dipetik dari kitab at-Targhib, hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmizi.

Siapakah Yang Selamat (Dari Azab Allah) Akibat Perlantikan dirinya Sebagai Amir / Pemimpin?


Dikeluarkan oleh At-Tabrani daripada Abu Wail Shaqiq bin Salamah sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a telah melantik Bashar bin Asim r.a untuk memungut zakat penduduk Hawazin. Bashar telah melewat-lewatkan pemergiannya lalu beliau telah ditemui oleh Umar r.a.

Umar r.a telah bertanya kepadanya: “Apakah yang menyebabkan kamu terlambat? Adakah kamu tidak mendengar dan taat kepada arahan kami?” Bashar berkata: “Tidak, melainkan aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang menjadi ketua bagi sesuatu urusan ke atas kaum muslimin, maka dia akan datang pada hari kiamat sehingga dia akan berdiri di atas sebuah jambatan neraka.

Jika beliau telah melakukan kebaikan, dia akan selamat. Jika telah melakukan kejahatan, jambatan itu runtuh lalu beliau terjatuh ke dalam api neraka tersebut selama tujuh puluh tahun.”

Abu Zar r.a. telah berkata kepada Umar bin Al-Khattab r.a.:Adakah kamu mendengar sesuatu daripada Rasulullah s.a.w.?” Umar r.a. pun menjawab: “Tidak.” Abu Zar r.a. berkata: “ Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Barangsiapa yang bertanggungjawab ke atas urusan kaum muslimin, beliau akan datang pada hari kiamat sehingga dia akan berdiri di atas sebuah jambatan neraka.

Jika beliau melakukan kebaikan dalam pentadbirannya, dia akan selamat. Jika sebaliknya, jambatan itu akan roboh dan beliau akan terhumban ke dalam neraka itu selama tujuh puluh tahun dan neraka itu amat gelap dan hitam.” Maka hadis yang mana satukah lebih menggetarkan hatimu?”

Umar r.a. menjawab: “Kedua-duanya. Oleh itu adakah sesiapa yang mahu mengambil jawatan khalifah ini?’ Abu Zar r.a. pun berkata: “Hanya orang yang hidungnya telah terpotong dan pipinya telah dilekapkan di atas tanah yang akan mengambil alih jawatan ini. Adapun aku tidak mengetahui melainkan jawatan khalifah ini baik untuk kamu. Kerana jika kamu memberikan jawatan khalifah ini kepada seseorang yang tidak berlaku adil, kamu juga akan berkongsi dosa dengannya.”

Sebagaimana dalam At-Targhib. Dikeluarkan juga oleh Abdul Razak, Abu Nu’aim, Abu Sa’ed An- Naqoshi, Al-Baghowi dan Ad-DarulQutni dari galur Sawid sebagaimana dalam Al-Kanz. Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu Mundah dari selain galur sawid sebagaimana dalam Al-Isobah.

Sumber: As-Sheikh Muhammad Yusof Al-Kandahlawi. 1994. Hayatus Sahabah (Kehidupan Para Sahabat Rasulullah S.A.W jilid 4). Kuala Lumpur : Darul Nu’man, m.s 149-150

Amalan Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar r.anhuma dalam kegelapan malam


Dikeluarkan oleh Al-Khotib daripada Solih Alghifari sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a. sering menziarahi seorang wanita tua yang buta di luar Madinah pada waktu malam. Beliau akan mengangkat air untuk wanita tua itu dan berkhidmat bagi memenuhi keperluan wanita itu. Walau bagaimanapun, setiap kali beliau pergi ke rumah wanita tua itu, beliau mendapati bahawa seseorang yang lain telah mendahului dalam berkhidmat untuk wanita itu. Beliau telah datang ke rumah wanita itu untuk mengetahui siapa yang mendahului berkhidmat untuk wanita itu, tetapi untuk beberapa kali beliau sering terlewat. Pada suatu malam, Umar r.a. menunggu akan kedatangan orang itu di pinggir jalan yang menuju ke rumah wanita tua itu dan beliau mendapati bahawa orang itu adalah Abu Bakar As-Siddiq r.a., khalifah rasulullah s.a.w. Maka Umar r.a. pun berkata: “Demi Allah! Engkau yang telah melakukannya.”
Sebagaimana dalam muntakhab Al-Kanz.

Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim di dalam kitab Al-Hilyah daripada Al-Auza’ie sesungguhnya Umar bin Al-Khattab r.a. telah keluar dalam kegelapan malam. Maka Talhah r.a. telah melihatnya lalu mengekori ke mana Umar r.a. pergi. Beliau melihat Umar r.a. memasuki satu rumah dan rumah yang lain. Keesokan harinya, Talhah r.a. pun pergi ke rumah yang dimasuki oleh Umar r.a. itu dan mendapati bahawa penghuninya adalah seorang wanita tua yang buta dan lumpuh sedang duduk. Talhah r.a. pun bertanya kepada wanita tua itu: “Apakah yang telah dilakukan oleh lelaki yang datang ke rumahmu semalam?” Wanita itu pun menjawab: “Beliau telah berkhidmat untukku sejak sekian lama. Beliau akan datang untuk memenuhi segala keperluanku dan mengurangkan kesempitanku.” Talhah r.a. pun berkata kepada dirinya sendiri: “Telah kehilangan oleh ibumu akan dirimu ya Talhah, engkau telah mengekori Umar r.a. semata-mata untuk menyergahnya.”

Sumber:
As-Sheikh Muhammad Yusof Al-Kandahlawi. 1994. Hayatus Sahabah (kehidupan para sahabat Rasulullah SAW jilid 4). Kuala Lumpur. Darul Nu’man, m.s 191 (Sentiasa Ingin Menjaga Kebajikan Kaum Muslimin dan Hal Ehwal Mereka)

Hak-hak Rakyat Ke atas Amir (Pemimpin)


Dikeluarkan oleh Al-Baihaqi daripada Al-Aswad katanya: “Tatkala satu rombongan datang menemui Umar r.a., Umar pun bertanyakan mengenai amir mereka: “Adakah beliau menziarahi orang yang sakit? Adakah beliau menghulurkan bantuan kepada hamba yang dalam kesusahan? Apakah yang dilakukannya apabila orang datang berjumpa dengannya?” Jika mereka menjawab bahawa amir mereka tidak melakukan walaupun satu sebagaimana soalan-soalan Umar tersebut, Umar akan memecat mereka.”

Sebagaimana dalam Al-Kanz. Dikeluarkan oleh At-Tibri daripada Aswad dengan maknanya.
Dikeluarkan oleh Al-Baihaqi daripada Asim bin Abu An-Najid daripada Umar bin Al-Khattab r.a., Apabila Umar r.a. menghantar gabenornya ke sesuatu tempat beliau akan menjelaskan beberapa syarat yang mesti dipatuhi oleh mereka iaitu: “Kamu jangan menunggang kuda Turki, jangan makan roti yang berayak, jangan memakai pakaian dari kain yang lembut dan halus, jangan kamu menutup pintu rumah kamu tanpa menunaikan keperluan-keperluan orang ramai. Jika kamu melakukan salah satu daripada perkara-perkara tersebut, hukuman adalah seharusnya dikenakan ke atas kamu.”

Kemudian beliau pun mengucapkan selamat jalan kepada mereka. Apabila gabenor itu ingin pulang ke tempatnya, Umar r.a. akan berkata kepadanya: “Aku tidaklah melantik kamu untuk menumpahkan darah kaum muslimin, mengambil kesempatan ke atas mereka dan ke atas kehormatan serta harta-benda mereka. Akan tetapi aku telah menghantar kamu untuk mendirikan solat, membahagi-bahagikan harta rampasan di kalangan kamu, menghukum di kalangan mereka dengan adil. Apabila kamu menemui sesuatu kemusykilan maka hendaklah kamu merujuk perkara tersebut kepadaku. Ketahuilah! Janganlah kamu menyusahkan orang-orang Arab Badwi dan menghina mereka. Janganlah menghina atau pun membiarkan mereka sehingga mereka kehilangan pergantungan kepada kamu dan hendaklah kamu mengikuti Al-Quran.”
Sebagaimana dalam Al-Kanz.

Dikeluarkan oleh At-Tibri daripada Abu Husain dengan maknanya secara ringkas dan ditambahkan dalam riwayatnya: “Ikutilah hukum dalam Al-Quran dan berhati-hatilah dalam meriwayatkan apa-apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Aku sentiasa berdiri di sisi kamu (memerhatikan tindakan kamu).” Umar r.a. sentiasa mengambil berat apa yang dilakukan oleh gabenor-gabenornya. Jika terdapat sebarang aduan mengenai gabenor tersebut, beliau akan memanggil gabenor yang berkenaan dan orang yang mengemukakan aduan tersebut supaya mereka bersemuka dengan beliau dan membentangkan segala masalah mereka di hadapannya. Sekiranya aduan terhadap gabenor itu benar, maka Umar r.a. akan melucutkan jawatan gabenor itu serta-merta.

Sumber:
As-Sheikh Muhammad Yusof Al-Kandahlawi. 1994. Hayatus Sahabah (kehidupan para sahabat Rasulullah SAW jilid 4). Kuala Lumpur. Darul Nu’man, m.s 181 (Hak-hak Orang Ramai Ke Atas Amir)

Scroll to Top